Khamis, 30 Jun 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Polis Malaysia Tidak Ada Kepakaran Berhadapan Himpunan Besar

Posted: 30 Jun 2011 06:17 AM PDT

Didalam tempoh seminggu kebelakangan ini, kerja Polis hanyalah menangkap, mengugut dan menakut-nakutkan orang ramai supaya tidak menyertai BERSIH 2.0. Sebenarnya, jika Polis ada kepakaran, Polis tidak perlu menangkap, mengugut dan menakut-nakut orang ramai.

Polis yang bijak akan memanggil pemimpin-pemimpin BERSIH untuk memincangkan cara-cara Himpunan itu boleh diadakan. Diantaranya Polis memberitahu orang ramai mengenai tapak-tapak atau kawasan-kawasan yang boleh menampung peserta yang ramai, mungkin dibeberapa lokasi, sebelum Himpunan itu bergerak kearah yang hendak dituju.

Himpunan itu hanya akan bergerak kearah yang dituju setelah diselesaikan masalah route (atau jalan-jalan) yang akan dilalui. Jalan-jalan yang akan dilalui itu dikawal dari segi aliran trafiknya atau aliran trafiknya dialihkan ke jalan yang lain.

Pimpinan BERSIH mengepalai jalan didalam kumpulan-kumpulan yang ditetapkan mengikut arahan Polis.

Peserta-peserta Himpunan sekali-kali tidak boleh bergerak secara bersendirian tanpa mematuhi arahan pimpinan BERSIH dan berarak dibelakang pemimpin-pemimpin itu dengan arahtuju jalan ditetapkan oleh Polis.

Dengan perarakan yang teratur sebegini, tidak ada huru-hara atau kacaubilau boleh berlaku, dan jika berlaku huru-hara dan kacau-bilau, maka perbuatan-perbuatan itu bukanlah dilakukan oleh peserta-peserta BERSAIH melainkan dilakukan oleh agen-agen probokatur yang sengaja mahu mencetuskan keadaan yang tidak menyenangkan untuk dilaungkan bahawa Himpunan BERSIH ini tidak berdisiplin.

Lihat, siapa yang merosakkan harta awam hendaklah ditangkap oleh peserta-peserta HIMPUNAN, mereka yang membuat probokasi itu mudah dikenali samada mereka itu peserta-peserta Himpunan yang tulen atau yang ditanamkan didalam HIMPUNAN itu untuk mewujudkan keadaan huru-hara dan kacau-bilau.

Tujuan BERSIH adalah jelas supaya dapat diwujudkan di Negara ini satu sistem Pilihanraya yang adil, telus dan bersih; ia bukan bertujuan untuk memihak kepada parti-parti Pembangkang atau parti-parti Kerajaan.

Apabila wujud satu sistem Pilihanraya yang bersih, maka semua pihak dapat menghormati Demokrasi yang tulen, dan tidak timbul mana-mana pihak tidak menghormati keputusan Pilihanraya yang dikawal oleh sistem Pilihanraya yang jelas dan terang akan ketelusan dan keadilannya.

Didalam Negara Demokrasi, pasti ada parti yang menang dan parti yang kalah; itulah adat Demokrasi. Yang menang akan menjadi Kerajaan dan yang kalah akan menjadi Pembangkang tetapi Kerajaan dan Pembangkang akan sama-sama menghormati keputusan rakyat.

Polis Malaysia hendaklah belajar dari Himpunan yang besar yang berlaku di Negara Demokrasi yang maju. Polis disana boleh mengawal satu juta manusia di jalanan dengan tidak perlu menggunakan kekerasan. Peserta-peserta Himpunan menghormati Polis dan Polis pula menghormati Himpunan.

Akan menjadi perkara yang sangat ganjil jika amalan demokrasi itu hanya wujud pada nama sahaja walhal amalan saebenarnya tidak wujud dan Polis menjadi talibarut kepada parti yang memerintah.

Tangkap, ugut, siasat semua sudah, tapi BERSIH 2.0 tetap diteruskan!

Posted: 30 Jun 2011 02:17 AM PDT

Apabila segala usaha untuk menghalang BERSIH 2.0 telah dibuat dan BERSIH 2.0 tetap akan diteruskan untuk berhadapan lagi dengan pancutan air beracun dan gas pemedih mata yang boleh membawa maut, maka tentulah ada sesuatu yang hendak disampai oleh penganjur-penganjur BERSIH 2.0 ini.

Penganjur-penganjur Bersih 2.0 bukanlah terdiri daripada mereka yang keras kepala, bukan dari golongan para ekstremis seperti pemimpin-pemimpin PERKASA tetapi terdiri daripada mereka yang mempunyai kedudukan didalam masyarakat dan terkenal sebagai manusia yang memiliki sifat-sifat liberal, maka tentulah ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem Pilihanraya di Malaysia ini.

Dato Ambiga, umpamanya, bukanlah seorang anggota mana-mana Parti Pembangkang, beliau adalah bekas Presiden Majlis Peguam, dan tidak ada kena mengena dengan badan-badan yang terkenal dengan sifat ekstremisme.

Apabila golongan liberal seperti Dato Ambiga menerajui sebuah NGO bertujuan semata-mata untuk melihatkan supaya wujud di Negara ini sistem Pilihanraya yang telus berlandaskan demokrasi yang tulen, maka terserlahlah elemen-elemen yang tidak kena dengan sistem Pilihanraya di Negara ini.

Badan yang mengendalikan Pilihanraya dimana-mana Negara yang memanggil diri mereka Demokrasi adalah badan bebas. Badan itu tidak mempunyai apa-apa kepentingan untuk ia berpihak kepada parti Kerajaan atau parti Pembangkang. Bagi badan itu, ia mahu melihat perjalanan demokrasi itu dapat dipertahankan dan dihormati.

Untuk demokrasi disuburkan apa jua yang menjadi halangan kepada Pilihanraya yang bersih perlu ditanggalkan dari perjalanan Pilihanraya itu.

Sistem pilihanraya itu bukan sahaja adil dan bersih tetapi mestilah tampak sebagai adil dan bersih, dan tidak digunakan sebagai alat untuk mana-mana parti yang terlibat dengan pilihanraya itu menyalahgunakannya.

Untuk memastikan ia berjalan bersih dan telus, pendaftaran pengundinya hendaklah mengikut saluran yang betul, tidak wujud undi hantu, dan jauh sekali wujud pengundi-pengundi yang memperolehi kad pengenalan secara mee segera dan didaftarkan mereka sebagai pengundi.

Jika warga-negara asing boleh menerima kad secara mee segera dan didaftarkan sebagai pengundi semata-mata untuk memberikan kepastian bahawa parti Kerajaan akan terus memegang tampuk pemerintahan maka alangkah rosaknya kewarganegaraan itu dan apakah maknanya yang disebutkan patriotisme itu. Parti yang akan memerintah adalah diundi oleh mereka yang tidak selayaknya mengundi.

Telah diakui oleh bekas-bekas pegawai tentera bahawa hanya seorang berdua sahaja yang mengundikan untuk anggota-anggota tentera yang mengundi secara undi pos. Pengakuan ini menunjukkan bahawa wujud penipuan yang besar didalam sistem pemilihan undi pos dan ramai dari kalangan mereka yang menang yang mewakili Parti Kerajaan yang menang melalui penipuan ini.

Pengundi-pengundi boleh didaftarkan sebagai pengundi pos dan pada masa yang sama mereka juga mengundi menurut saluran bukan undi pos, jika ini terus dibenarkan oleh sistem Pilihanraya maka merosakkan sistem one man one vote.

Telah ditunjukkan bahawa terdapat rumah-rumah didapati begitu ramai pemilih-pemilih yang langsung tidak ada kaitan dengan alamat rumah itu, bahkan menjadi persoalan besar apabila rumah seorang Melayu didaftarkan dialamat itu beberapa orang Cina dan India. Ini semuanya menunjukkan kehadiran pengundi hantu yang enggan diperbetulkan oleh badan yang bertanggungjawabkan untuk menjalankan Pilihanraya yang adil.

Pengundi-pengundi hanya layak mengundi sekali sahaja, maka kenapa tidak digunakan dakwat celup untuk mengelakkan pemilih-pemilih mengundi lebih dari sekali, atau mengundi secara undi pos dan dalam masa yang sama mengundi lagi mengikut saluran diluar undi pos?

Bersih 2.0 hanya meminta sistem pengundian yang telus dan adil. Dengan sistem itu dia akan memperkokohkan lagi sistem demokrasi dan demokrasi yang bersih itu adalah demokrasi yang secara megahnya dapat dipertahankan.

Banyak demokrasi di negara-negara Asia-Afrika gagal kerana Badan yang mengendalikan Pilihanraya itu adalah badan bukan bebas, tetapi menjadi talibarut kepada Parti yang memerintah. Acapkali Parti yang memerintah itu menang didalam Pilihanraya walhal sudah ditolak oleh rakyat semata-mata kerana Demokrasi yang tempang dengan sistem Pilihanraya yang diselewengkan.

Malaysia akan menjadi Negara seumpama itu jika sistem Pilihanraya yang dijalankan tidak telus, bersih dan adil.

Setiap rakyat Malaysia WAJIB memberi sokongan kepada usaha BERSIH untuk mempastikan sistem Pilihanraya di Negara ini tidak menyeleweng.

Tiada ulasan: