Anwar Ibrahim |
- PKR Desak Timbalan Presiden SPR Undur Jika Gagal Bukti Daftar Pemilih Bersih
- BERSIH Lambang Kejujuran Dan Kebebasan Pilihanraya Malaysia
- Ku Li: Gugur Pemusatan Kuasa Di Tangan PM, Peguam Negara
- Pidato Dato Seri Anwar Ibrahim Di Program Rapat Anak Muda
- Menanti Pertembungan Sengit Di Parlimen
- SPR Perlu Hormati Hak Berhimpuan Rakyat – GAMIS
PKR Desak Timbalan Presiden SPR Undur Jika Gagal Bukti Daftar Pemilih Bersih Posted: 19 Jun 2011 03:21 AM PDT PKR menggesa timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan jika tidak dapat membuktikan daftar pemilih induk yang diwartakan bulan lalu adalah bersih seratus peratus daripada pengundi hantu. Wan Ahmad diberi kata dua 48 jam membuktikan perkara itu. Sambil menjadikan contoh di bahagian Parlimen Gombak diwakilinya, timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata SPR perlu membuktikan dakwaan dibuat beliau hari ini adalah tidak benar. Dalam kenyataannya hari ini, Azmin (gambar) berkata, rumah diduduki ibunya di Kampung Klang Gate dekat sini mempunyai 11 pemilih berdaftar iaitu enam Melayu dan lima Cina. "Emak saya tinggal seorang diri sejak ayah saya meninggal dunia pada 1999. Sekarang saya ada (lima) adik-beradik Cina (pengundi kalangan kaum Cina) di rumah emak saya," kata beliau ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya PKR 2011 di sini hari ini. |
BERSIH Lambang Kejujuran Dan Kebebasan Pilihanraya Malaysia Posted: 19 Jun 2011 03:02 AM PDT Dari keadilandaily KEADILAN mengesali sikap kerajaan Umno Barisan Nasional (Umno BN) terhadap himpunan aman BERSIH yang diadakan pada 9 Julai ini, kata Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Menurutnya, ugutan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Umno BN menyekat kebebasan rakyatnya untuk berhimpun. "Himpunan BERSIH adalah kejujuran dan kebebasan sistem pilihanraya di negara ini. "Ruang dan hak rakyat memilih wakilnya secara bebas adalah aspek integriti politik terpenting yang dituntut rakyat mutakhir ini, " katanya dalam kenyataan media. Himpuan BERSIH katanya, bakal menguji pendokong dan penentangnya. "Di pihak pendokong, ia akan menguji kesepakatannya menuntut sistem pilihanraya lebih adil dan telus manakala penentang perlu membuktikan kesediaannya menjadi lebih terbuka dan bertolak ansur," katanya. Oleh itu, kata beliau, menjadi tanggungjawab penganjur dan peserta himpunan BERSIH untuk mengelak dari sebarang konfrontasi akibat provokasi pihak tertentu. "Saya menyeru penganjur berjaga-jaga dan peserta wajar mengetahui selok belok amalan himpunan aman dan melengkapkan diri dengan ilmu keselamatan sebelum berhimpun. "Kita juga berharap pihak berkuasa khasnya Polis bersikap profesional dan menyambut baik tawaran penganjur untuk bekerjasama bagi menjamin kelancaran himpunan," katanya. Beliau turut mengingatkan penentang BERSIH agar menghormati hak sebahagian besar rakyat Malaysia yang mahu berhimpun secara aman, sebagaimana hak kumpulan tertentu untuk berhimpun dihormati selama ini. "Sejak penubuhannya, KEADILAN komited untuk membaiki sistem pilihanraya Malaysia dan himpunan BERSIH adalah lambang kepada usaha itu. "Maka, KEADILAN memastikan anggotanya turun beramai-ramai menyertai ratusan ribu rakyat Malaysia pada 9 Julai ini," tegasnya. Sementara itu, pada hari ini, KEADILAN menjadikan himpunan BERSIH sebagai tema utamanya bersempena berlangsungnya Konvensyen Pilihanraya Kebangsaan parti itu. |
Ku Li: Gugur Pemusatan Kuasa Di Tangan PM, Peguam Negara Posted: 19 Jun 2011 12:03 AM PDT Ahli politik veteran Tengku Razaleigh Hamzah menggesa agar pemusatan kuasa di pejabat Perdana Menteri dan Peguam Negara dikaji balik agar kepentingan rakyat jelata tidak terus terhakis sebagaimana disaksikan sejak tiga dekad lalu. Dalam pandangan yang lantang terbaru ini, Ahli Parlimen Gua Musang (gambar) itu berkata, cabaran pada hari ini ialah meneliti kembali pemusatan kuasa di tangan individu tertentu termasuk perdana menteri dan mengembalikan persekitaran politik yang "imbang dan periksa" demi rakyat menikmati amalan demokrasi yang tulen. "Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mendapatkan balik hak-hak kita dalam (negara) demokrasi, bahawa kuasa dan jawatan adalah satu amanah dan tanggungjawab, bukan untuk kepentingan peribadi ataupun sebagai satu peluang untuk memperkayakan diri. "Kita, sebagai rakyat yang aktif dalam politik dan bertanggungjawab, perlu menekankan semula konsep obligasi sosial dan tanggungjawab awal ke atas mereka yang mahukan jawatan politik. Kuasa ada tugas, bukan satu jawatan," kata beliau ketika berucap pada majlis Perak Lectures anjuran Perak Academy di Taiping malam tadi. Bekas menteri kewangan itu berkata, kerajaan juga perlu memikirkan semula dasar-dasar ekonomi negara ini khususnya dalam memfokus objektif nasional yang sangat memerlukan tindakan segera. "Dasar ekonomi bukan hanya mengenai penjanaan kekayaan tetapi juga memerlukan satu dimensi moral yang mengambil kira kebaikan kesemua rakyat sebagai satu keutamaan berbanding keuntungan (semata-mata)," kata beliau dalam ucapannya yang secara panjang lebar menyentuh perubahan dalam keutamaan negara sejak tiga hingga empat dekad lalu berbanding teras mesej disampaikan ketika perisytiharan kemerdekaan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Stadium Merdeka pada 1957. "Falsafah yang menjadi panduan ialah tanggungjawab (pemegang) jawatan awam. Jawatan awam dilihat sebagai satu tugas, bukan satu peluang (mencari kepentingan diri). "Jawatan awam juga sebahagian daripada komitmen politik untuk mewujudkan satu Malaysia yang adil, saksama, kohesi dan seimbang," kata beliau sambil menambah, elemen-elemen itu disepadukan oleh keperluan tanggungjawab turun-temurun bagi mereka yang akan menggantikan kepimpinan pada masa-masa mendatang. Justeru kata Tengku Razaleigh, salah satu kerugian besar dalam dunia pemegangan jawatan awam dan politik di Malaysia pada hari ini ialah kehilangan tanggungjawab turun-temurun ini atau yang bersifat generasi. Katanya, setiap tindakan dan pendekatan kelihatan dikelilingi oleh sikap tamak dan keinginan mahu menjadi bilionair, yang turut membawa kepada piramid kroni dalam parti-parti politik pemimpin yang memerintah dan sekutu-sekutu dalam bisnes. "Ia kombinasi hierarki kroni politik dan kroni bisnes yang membawa kepada pemusatan kuasa dalam kepimpinan politik semasa dan di pejabat Perdana Menteri," kata Ketua Umno Gua Musang ini, yang pernah menyaingi Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan presiden Umno pada 1987. Dr Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Oktober 2003 dan kemudian oleh Datuk Seri Najib Razak sejak April 2009. Sehubungan itu kata Tengku Razaleigh, pemusatan kuasa di tangan satu individu telah membawa kepada manipulasi sistem politik iaitu institusi-institusi kuasa termasuk media. Banyak media sama ada akhbar atau stesen televisyen dimiliki oleh parti-parti politik teras dalam Barisan Nasional (BN) khususnya Umno. Dakwaan sebelum ini menyebut bidang kehakiman turut hilang kebebasan ketika era kepimpinan Dr Mahathir, tetapi perdana menteri keempat itu menafikan perkara tersebut banyak kali. "Sebagai pertukaran kepada pemusatan kuasa, sikap tamak dan kepentingan peribadi digalakkan menerusi (kepimpinan melalui) teladan dan dalam topeng kesetiaan kaum yang sewajarnya menerima ganjaran," katanya. Bertolak daripada itu, Tengku Razaleigh berkata, persekitaran ini wujud di semua parti dalam struktur kuasa yang ada sekarang. "Situasi ini adalah sesuatu yang sangat bahaya dan sukar untuk dipatahkan sebab pemusatan kuasa sudah wujud sejak tiga dekad lalu," kata pemimpin kelahiran Kelantan ini. Tengku Razaleigh juga menarik perhatian bahawa persekitaran itu juga membawa gaya kepimpinan politik "talam dua muka" dan "cakap angin" — seolah-olah mempamerkan kepimpinan 'cakap tak serupa bikin'. Malah menurutnya, sikap sedemikian membawa politik yang menggalakkan pendekatan atau amalan mengaburkan maklumat. "Tema yang ketara ialah polisi menggunakan (elemen) perkauman dan agama di satu pihak dan bercakap mengenai perpaduan di pihak lain dengan menjadikan rakyat sebagai tebusan dalam usaha kekalkan status quo kuasa. "Akibatnya, kebimbangan mengenai perkauman dan agama mencengkam setiap aspek kehidupan, dalam politik, ekonomi, pendidikan dan pekerjaan, sedangkan realiti semasa tiada kaitan dengan agama atau kaum," kata beliau. |
Pidato Dato Seri Anwar Ibrahim Di Program Rapat Anak Muda Posted: 18 Jun 2011 11:57 PM PDT
|
Menanti Pertembungan Sengit Di Parlimen Posted: 18 Jun 2011 08:12 PM PDT Oleh Mohd Rashidi Hassan Parlimen minggu ini kembali rancak dengan kemasukan semula empat pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas enam bulan digantung berhubung isu APCO. Selain Anwar, Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh dan Timbalan Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden KeADILan,R Sivarasa kembali ke Parlimen 16 Jun lepas Pada 16 Disember lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menggantung Anwar dan tiga wakil rakyat terbabit daripada menghadiri persidangan selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa APCO Worldwide dengan kerajaan Malaysia. Karpal yang merupakan wakil rakyat DAP bagi kerusi Bukit Gelugor, Azmin (KeADILan-Gombak) dan Sivarasa (KeADILan-Subang) digantung kerana menghina dewan akibat membantah penggantungan Anwar. Isunya di sini bukan soal penggantungan empat MP Pakatan Rakyat semata-mata. Tugas menggantung adalah hak Speaker, namun usul dan motif penggantungan itu yang dipertikaikan. Umno-Barisan Nasional mengemukakan usul tersebut mereka mereka sudah tidak tahan dengan Anwar. Anwar dan MP Pakatan Rakyat, berjaya membongkar rahsia besar Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak menggunakan khidmat perunding Yahudi untuk kepentingan BN. Itu sahaja isunya. Ketiadaan Anwar dan tiga lagi MP selama enam bulan tidak dinafikan memberikan sedikit kesan. Pertembungan dengan BN tidak setajam ketika semua MP Pakatan Rakyat hadir semuanya. Tiada siapa dapat menafikan masalah besar kepada Umno-BN adalah Anwar. Sasaran mereka adalah Anwar. Fitnah yang dilemparkan juga teruknya ke atas Anwar. Mengapa Anwar? Ketika saya bersembang sembang dengan rakan dari Umno di lobi Parlimen, beliau dengan serius mengatakan, “Umno tidak ada pilihan, kalau Anwar masuk dalam (penjara) baru Umno selamat. “Belum tentu Umno selamat, itu andaian saudara, bagaimana jika sebaliknya?” soal saya. Beliau tidak menjawab soalan yang bersifat futuristik tersebut. Pada beliau, by hook or by crook, Anwar harus direhatkan jika Umno mahu selamat. Namun beliau tidak pula menafikan Umno agak gelojoh dalam usaha mereka untuk memusnahkan karektor peribadi Anwar. Belum pun kes liwat selesai, Umno-BN mendalangi isu video seks, macam-macam lagi yang dijangka akan dikeluarkan, semata-mata untuk menghapuskan hayat politik Anwar. Tetapi Umno juga sedar, bukan senang mereka hendak berhadapan dengan Anwar. Umno-BN agak termanggu apabila PAS dan DAP cukup setia bersama Pakatan Rakyat dalam menangani isu Anwar Usaha mereka untuk memecah belahkan Anwar dengan PAS dan DAP gara-gara isu video, menjadi buntu. “Saya berterima kasih kepada PAS dan DAP, khususnya kepada Dewan Ulama PAS Pusat yang meluluskan usul menolak isu video seks,” kata Anwar kepada saya semasa kami bersembang-sembang di lobi MP bersama Senator Saiful Izham Ramli dari Kedah. Saya turut bertanya kepada Anwar, jadualnya disusun begitu padat, kudrat sesiapa pun ada batasnya. “Tidak letih ke Dato’ Seri menghadapi tekanan setiap hari?” soal saya. Sambil tersenyum beliau menjawab, “Letih juga, tetapi mengenangkan kejahatan Umno-BN yang melampaui batas, ia menzahirkan kekuatan. “Kita tidak akan beri mereka laluan mudah, kita harus bertekad tumbangkan mereka (PRU nanti),” katanya penuh keyakinan. “Apa pilihan yang kita ada?” tambahnya. Pada saya, semangat seperti inilah yang diperlukan dalam Pakatan Rakyat. Semangat ini harus diterjemah dan diwarisi oleh seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat jika kita mahu menumbangkan BN pada PRU akan datang. Kami terus berbual-bual mengenai isu politik semasa. Anwar kelihatan mahu memesan makanan, tetapi beliau tidak tahu apa yang hendak dimakan. “Saya belum makan apa lagi, tapi tengahari ini saya tak mahu makan yang berat-berat. Kawan-kawan selalu ingatkan saya, jangan makan banyak sangat nanti perut buncit macam dalam video,” seloroh beliau. Akhirnya beliau memesan semangkuk sup cendawan yang dimakan dengan roti. Saya cukup dengan kopi o secawan. Sambil-sambil bersembang datang beberapa orang MP BN yang menyapa Anwar. Tetapi mereka kelihatan agak takut untuk duduk lama-lama dengan Anwar. Mereka sekadar hanya bersalaman dan mengucapkan selamat kembali ke Parlimen, kemudian berlalu pergi. Beberapa orang menteri dan MP Umno hanya menjenguk dari jauh. Agaknya mereka takut dekat dengan Anwar. Takut dituduh simpatisan Anwar, walaupun hakikatnya memang begitu. Kelibat Anwar dan rakan-rakan MP Pakatan Rakyat ditakuti kerana mereka mampu menggegarkan Dewan Rakyat. BN nampaknya tidak mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat. MP Umno-BN ibarat keris tumpul. Sebab itu mereka menggunakan MP pencacai untuk menggendong najis-najis BN. MP-MP yang khianat daripada KeADILan ini, bersama ‘sang katak’ digunakan setiap hari oleh media talibarut Umno sama ada TV mahu pun akhbar untuk menyerang Anwar dan Pakatan Rakyat. Tetapi mereka hanya kelihatan menang di tv dan akhbar. Hakikat sebenar dalam dewan, mereka tidak mampu berhadapan dengan Pakatan Rakyat. Yang penting, sepanjang sebulan ini Parlimen akan kembali rancak. Kembali hiruk pikuk kerana panglima-panglima sudah berkumpul semuanya. Pertembungan dengan BN dijangka kembali sengit. Sayangnya hiruk pikuk ini terpaksa saya tinggalkan seketika kerana mempunyai tugasan yang besar di luar negara bersama misi kemanusiaan Yayasan Amal. Ketika rencana ini disiarkan saya sudah berlepas ke Mesir, dari sana saya akan memasuki Rafah dan terus ke Gaza jika tidak dihalang di sempadan. Insya Allah jika tiada aral, kami akan merentasi laluan yang jauh ke sempadan Libya untuk meninjau pelarian yang terperangkap akibat kezaliman Muammar Gaddafi. |
SPR Perlu Hormati Hak Berhimpuan Rakyat – GAMIS Posted: 18 Jun 2011 08:03 PM PDT Dari TV Selangor Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu berlapang dada dan tidak terus menutup pintu rundingan dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dalam usaha memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini. Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Mohd Yusof Hadhari Saidon berkata, SPR harus jelas himpunan BERSIH 2.0 diadakan bukan untuk kepentingan parti politik tetapi untuk rakyat, yang cintakan keluhuran sistem pilihan raya. Malah Mohd Yusof berkata, himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan setelah SPR dan kerajaan pemerintah gagal meneliti empat tuntutan BERSIH kali pertama pada tahun 2007 yang lalu. Antara empat tuntutan itu ialah penggunaan dakwat kekal, penyemakan semula daftar pemilih, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara serta akses media yang adil kepada semua pihak. Sehubungan itulah, himpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan menjelang pilihan raya umum ke- 13 kelak. Sempena himpunan kali kedua itu, dua lagi tuntutan ditambah yakni, bantahan penyalahgunaan institusi kerajaan dan lanjutan tempoh masa berkempen yang munasabah. Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan Pengerusi SPR, Tan Sri ABdul Aziz Yusof menegaskan pihaknya akan menutup pintu rundingan kepada penganjur BERSIH 2.0 berikutan pihaknya telah memberi ruang itu sebelum ini. Abdul Aziz juga berkata pihaknya telah melakukan beberapa perubahan kearah pilihan raya yang lebih baik. Bagaimanapun Mohd Yusof ketika dihubungi Tv Selangor berkata, sehingga kini tiada apa- apa perubahan yang dilakukan SPR dan salahlaku pilihan raya terus berleluasa. "Sebelum inipun terdapat tuntutan yang dibuat oleh Bersih tetapi banyak yang tidak dilaksanakan. Yang jadi persoalan sekarang ini tuntutan yang lepas itu belum dilaksanakan sebab itu bagi saya tuntutan itu akan dibuat sekali lagi untuk desak SPR ini supaya serius dengan pandangan daripada masyarakat atau rakyat. Mohd Yusof juga membidas kenyataan Abdul Aziz yang mengutuk himpunan aman itu dan angkuh berkata, refrendum rakyat untuk kali kedua pada 9 Julai ini tidak akan sesekali mengubah dasar dan sistem pilihan raya yang sedia ada. "Demonstrasi satu cara yang saya rasakan perhimpunan yang mengumpulkan masyarakat dalam masa yang sama untuk kita nyatakan satu pandangan atau satu kenyataan utuk kita perbetulkan atau kita perbaiki sistem kerajaan yang ada iaitu seperti SPR dan sebagainya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan