The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Felda - Harapan kepada kebaikan Posted: 18 May 2011 11:19 AM PDT Setiap peneroka Felda berhasrat memajukan diri dan meninggikan pendapatan, menjadi warga negara yang dapat bersaing hidup dengan manusia di luar sana. Samada dia ahli UMNO, PAS, PKR atau tidak berparti, setiap dia mahukan kesempurnaan hidup melalui keringat yang dicurahkan. Bukan sedikit pengorbanan dan keringat yang telah ditumpahkan demi untuk membina masa depan bukan sahaja untuk diri sendiri bahkan untuk seluruh kaum keluarganya. Tidak ada seorang peneroka pun yang mahu mengkhianati hasrat itu. Pentadbiran Felda tidak perlu syak-wasangka dan membeza-bezakan diantara peneroka-peneroka yang menyokong UMNO atau Pembangkang, kerana itu bukanlah peranan yang diberikan kepada Felda didalam peruntukan undang-undang khususnya GSA. Kebanyakan peneroka Felda kini sudah pun berusia tua. Mereka mempunyai keluarga dan anak-anak yang sudah dewasa dan disesetengah kawasan rancangan, anak-anak mereka sudah pun berumur lebih dari 40 tahun dan keatas. Mereka juga sudah mempunyai cucu-cucu yang kini sudah pun berumur melebihi 25 tahun. Kalau dulu peneroka-peneroka berpendapatan sangat kecil, dan ramai dari kalangan anak-anak mereka tidak mendapat pendidikan yang lebih baik, dan mereka membesar di tanah-tanah rancangan dan menghadapi masa depan yang tidak menentu, lebih buruk daripada masa depan yang dihadapi oleh ibu-bapa mereka. Anak-anak peneroka/cucu-cucu peneroka yang tinggal di rancangan-rancangan Felda masih hidup terumbang-ambing. Mereka tidak mempunyai pekerjaan yang stabil. Tidak pula mendapat kemudahan untuk hidup berdikari. Hanya salah seorang daripada mereka selaku anak-anak yang akan mewarisi harta ibu-bapa mereka, cucu-cucu pula jangan terfikir untuk mendapatkan hak keatas tanah datuk mereka itu. Sebagai seorang peneroka Felda, tidakkah ia memikirkan tentang masa depan anak-anak mereka? Apakah yang mampu mereka buat untuk memberikan masa depan yang cemerlang untuk anak-anak dan cucu-cucu mereka? Usahkan mereka dapat memikirkan tentang nasib masa depan anak-anak mereka; mereka sendiri pun terpaksa bergelomang dengan hutang yang begitu besar. Ada diantara mereka berhutang hingga RM120,000.00 dengan Felda dan keupayaan mereka untuk membayar hutang mereka adalah negatif memandangkan umur mereka yang sudah tua, dan kebanyakan mereka akan meninggal dunia dengan hutang tidak berbayar dalam jumlah yang sangat besar. Mana-mana anak mereka yang mewarisi ladang di rancangan Felda itu akan mewarisi pula hutang yang sangat besar. Felda merupakan sistem yang gagal jika mahu diambil kira tentang kebebasan manusia dari segi mencari pendapatan yang tidak dibebankan dengan hutang. Felda telah berjaya menjadikan lebih 112,000 peneroka Felda dan isteri masing-masing dengan hutang yang besar. Kenapa peneroka Felda mesti berhutang? Kebun getah atau sawit seluas 10 ekar yang diperuntukkan kepada setiap peneroka sudah cukup untuk menjamin pendapatan kepada peneroka-peneroka Felda dengan pendapatan tidak kurang dari RM5000.00 hingga RM10,000.00 sebulan (turun naik pendapatan terikat dengan harga komoditi). Tetapi didalam keadaan harga komoditi yang menjaminkan peneroka itu berpendapatan lebih dari RM5000.00 sebulan, mereka tetap juga dibayar hanya RM1500.00 setiap bulan, manakala hutang mereka semakin bertambah. Felda perlu mencari satu mekanisma baru bagi memperbetulkan sistem pendapatan bagi peneroka-peneroka dan satu sistem baru bagi membela nasib anak-anak peneroka dari generasi ke-2 dan ke-3. Takkan selama-lamanya Felda mempertahankan sistem dimana pendapatan peneroka-peneroka tetap rendah walaupun harga komoditi melambung tinggi dan dengan sistem peneroka-peneroka dibebankan dengan hutang yang sangat besar. Takkan selama-lamanya anak-anak peneroka dari generasi ke-2 dan ke-3 dibiarkan dalam keadaan yang tidak terbela. Dari kalangan anak-anak/cucu-cucu peneroka yang muda, mereka kini ramai yang terlibat dengan dadah, merempit dan menjalani kehidupan yang tidak ada penyelesaian dihujungnya. Felda memperolehi pendapatan hingga berbillion ringgit setiap tahun, tetapi tahap kehidupan peneroka-peneroka menurun apabila dikaji bahawa paras kemiskinan sudah dinaikkan seperti di Selangor kepada RM1500.00. Jika timbangan Selangor ini boleh digunapakai diseluruh Negara, bererti 100% peneroka Felda di seluruh Negara (kecuali mereka yang tanam sendiri) berada dibawah paras kemiskinan, apatah lagi kedudukan anak-anak mereka dari generasi ke-2 dan ke-3. Ini adalah satu senario yang sangat mengeciwakan. Adapun didalam rancangan Felda itu kedapatan lebih 90% orang-orang Melayu. Masyarakat warga Felda kini sudah mencecah melebihi 1 juta manusia, maka disanalah berkumpulnya manusia Melayu yang rata-rata berpendapatan dibawah paras kemiskinan. Setiap peneroka Felda bukan sahaja mahukan kehidupan mereka terjamin, mereka juga mahukan kehidupan anak-cucu mereka juga terjamin, tetapi dengan sistem yang dilaksanakan oleh Felda kini, harapan peneroka untuk kehidupan yang lebih sempurna untuk diri mereka dan keluarga mereka serta anak-cucu mereka akan menjadi berkecai. |
Nostalgia Felda 1980-an - 3605 Peneroka Felda disingkir sehingga 14 April 1984 Posted: 18 May 2011 06:28 AM PDT Sehingga 14hb April 1984, seramai 3605 Peneroka Felda telah disingkirkan dari tanah Rancangan. Mengikut kata Rais Yatim yang menjadi Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah pada ketika itu, peneroka-peneroka yang disingkirkan adalah mereka yang melanggar syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Felda. Saya mengambil sikap kritikal terhadap penyingkiran peneroka-peneroka Felda di tahun-tahun 1980-an itu jika sebab-sebab penyingkiran mereka disebabkan perkara-perkara yang tidak ada kena mengena dengan syarat penempatan dan kemajuan rancangan. Ramai diantara peneroka-peneroka yang dipecat kerana salah seorang daripada keluarga peneroka itu terlibat dengan kes jenayah. Kadang-kadang kes jenayah itu melibatkan peneroka sendiri, dan peneroka itu dibicarakan di Mahkamah, didapati bersalah, maka keseluruhan keluarga peneroka itu diperintah keluar daripada rancangan Felda. Ini adalah tindakan yang zalim, yang tidak selari dengan amalan yang dilakukan diluar rancangan Felda berhubung dengan pemilikan tanah. Pemilik tanah diluar rancangan Felda tidak akan kehilangan tanahnya jika pemiliknya itu melakukan jenayah, dan keluarganya tetap boleh mendiami diatas tanah itu melakukan kerja-kerja mencari rezeki diatas tanah itu dan tanah itu tidak ditarik dari keluarga itu walaupun pemiliknya didapati bersalah di Mahkamah. Apatah lagi jika yang melakukan jenayah itu bukan penerokanya sendiri tetapi dilakukan oleh anaknya, maka kenapa seluruh daripada keluarga peneroka itu dihukum dengan perintah singkir dari rancangan Felda. Lebih dirasakan kezalimannya apabila jenayah yang dikaitkan itu adalah sebenarnya perkara-perkara teknikal seperti melakukan kerja-kerja politik yang bertentangan dengan politik UMNO/BN. Kerapkali, seseorang peneroka yang menjalankan aktiviti politik pembangkang didalam kawasan tanah rancangan dianggap sebagai memecah-belahkan masyarakat peneroka Felda dan peneroka itu boleh disingkirkan. Penyingkiran kerana menjalankan aktiviti politik adalah tindakan zalim oleh Felda. Felda didalam melakukan tindakan singkir ini mengambil sikap bahawa Felda lah yang layak menterjemahkan undang-undang dan membelakangkan hak Kerajaan Negeri dibawah Group Settlement Act. Sebarang penyingkiran dari tanah rancangan adalah kuasa Kerajaan Negeri dan kuasa itu terletak kepada Pentadbir Tanah Daerah. Berapa ramai sudah peneroka-peneroka Felda disingkirkan secara zalim kerana semata-mata mereka tidak bersetuju dengan politik UMNO. Saya turut mempertahankan peneroka-peneroka yang disingkirkan ini dengan mengambil tindakan injunction di Mahkamah Tinggi dan banyak dari tidak dengan tindakan injunction ini dapat mengembalikan peneroka-peneroka itu kedalam rancangan Felda. Kes-kes jenayah yang sentiasa berlaku pada waktu itu melibatkan penjualan hasil (sawit/getah) kepada kilang-kilang bukan Felda. Pendapatan peneroka pada tahun-tahun sekitar 1980-an itu amatlah kecil, ada yang berpendapatan dibawah RM10.00 sebulan, dan ada yang berpendapatan -RM10.00. Mereka terpaksa menghantar hasil ladang ke luar rancangan Felda untuk mendapatkan sedikit wang tunai untuk keperluan mereka seperti perbelanjaan anak-anak termasuk anak-anak yang bersekolah. Semasa saya menjadi Majistret di sekitar tahun-tahun 1970-an, kes-kes curi getah skrap dari kebun sendiri, tidak pernah saya jatuhkan hukuman salah, kerana getah skrap itu adalah dari kebun peneroka itu sendiri, peneroka itu juga yang menoreh getah, dan peneroka itu juga yang menjualkan hasil skrap mereka keluar rancangan. Bagi saya tidak berlaku kes curi keatas harta sendiri oleh diri sendiri. Begitu juga dengan penjualan baja yang dijualkan semula oleh peneroka kepada petani-petani diluar rancangan. Mereka sangat memerlukan wang tunai memandangkan pendapatan mereka sangat kecil. Betul, mereka tidak kebuluran kerana mereka boleh berhutang melalui kedai-kedai PNF. Tetapi tidak ada seorang manusia pun diluar rancangan Felda yang mahu pendapatan mereka hanya dibayar dengan barang makanan semata-mata, mereka tetap juga mahukan wang tunai ditangan mereka. Ada kes khalwat, ada kes rogol, dan ada kes menumbuk pengurus felda. Kes-kes ini adalah kes jenayah. Betul, mereka melakukan jenayah dan dihukum bersalah oleh Mahkamah, tetapi kenapa dizalimi seluruh keluarga peneroka itu diperintahkan keluar dari rancangan Felda walaupun jenayah itu dilakukan oleh seorang daripada keluarga peneroka itu, dan kadang-kadang bukan dilakukan oleh Peneroka itu sendiri. Seramai 365 peneroka Felda dikeluarkan kerana tindakan memburukkan Kerajaan. Ini adalah jelas kes politik. Rakyat yang menjadi peneroka dinafikan hak berpolitik, berpesatuan, berkumpul dan menjadi anggota kepada parti-parti (pembangkang) yang sah disisi Perlembagaan. Pentadbiran Rais Yatim menjadi Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah adalah pentadbiran yang penuh dengan kebobrokan. Saya masih teringat kepada seorang peneroka di Felda Jengka 25(?) apabila dia menentang tindakan Felda menyediakan perabot baru dan renovasi rumah keatas sebuah rumah peneroka yang akan dinaiki oleh Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah yang akan melawat rancangan itu. Beliau telah disingkirkan dan seluruh keluarganya tidak dibenarkan tinggal di rancangan itu. Tidakkah tindakan penyingkiran itu zalim semata-mata kerana peneroka itu tidak mahu berlaku perbuatan hipokrit diatas tanah rancangan Felda itu untuk menunjuk-nunjukkan kepada Menteri bahawa peneroka hidup dengan kemewahan dengan perabot dan renovasi mee segera? Diatas tangan yang menandatangani surat singkir kepada peneroka berkenaan akan disoal diakhirat nanti, suatu kezaliman yang nyata! |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan