The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
- Orang Asal tolak geran tetapi mahukan warta...
- Nostalgia 2: Peristiwa di Felda Chalok Barat,
- Nostalgia: Perjuangan Awalan untuk Peneroka Felda
- Fakta Hak Peneroka
Orang Asal tolak geran tetapi mahukan warta... Posted: 06 May 2011 07:33 PM PDT Saya telah berinteraksi panjang dengan Sdr Yusri Ahon, seorang pemimpin kaum Orang Asal dari Kg Sg Mai, Jerantut, Pahang. Beliau kini terlibat dengan beberapa NGO Orang Asal dan merupakan seorang anak muda paling lasak dan aktif memperjuangkan hak dan kepentingan Orang Asal. Semasa Pilihanraya Kecil DUN Tenang saya telah mengajaknya untuk membantu calon PAS DUN Tenang khususnya untuk dua buah perkampongan Orang Asal disana. Dengan rendah diri dia menolak pelawaan saya. Katanya: "Saya tidak puas hati dengan Kerajaan PAS Kelantan kerana telah merampas tanah Orang Asal di Gua Musang." Saya dengan segera menghubungi Sdr Mazlan Aliman untuk disampaikan kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Menteri Besar, Kelantan. Mazlan telah menghubungu Tuan Guru dan Tuan Guru bersetuju menemui rombongan dari NGO Orang Asal bagi membincangkan isu tanah di Hulu Kelantan. Pada tarikh yang ditetapkan rombongan daripada Orang Asal yang dipimpin oleh Yusri Ahon dan rakan-rakannya telah menemui Tuan Guru di Pejabat Menteri Besar Kelantan. Mengikut laporan yang saya terima bahawa Kerajaan Kelantan akan memberikan geran tanah kepada Orang Asal iaitu diatas tanah yang sudah dimajukan untuk membolehkan Orang Asal Gua Musang mendapat pendapatan yang munasabah. Saya juga mendapat laporan bahawa rombongan Orang Asal tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Besar Kelantan itu kerana apa yang mereka tuntut bukanlah geran tanah tetapi penggezetan tanah mereka dan diwartakan didalam Warta Kerajaan Negeri. Saya telah berbincang dengan Sdr Yusri menyatakan bahawa geran tanah amatlah penting, tetapi siang-siang ditolak oleh Yusri dengan mengatakan bahawa Orang Asal mahukan tanah mereka digazetkan sebagai kawasan Rezab Orang Asal yang tidak boleh diganggu-gugat oleh mana-mana pihak luar. Saya menyatakan bahawa geran tanah sekurang-kurangnya untuk tanah kampong seperti yang dilakukan di Negeri Selangor di Kg Gerachi dan Kg Pertak kerana dengan adanya geran itu, tidak ada sesiapa lagi boleh mengganggu tanah mereka. Saya nyatakan bahawa banyak tanah-tanah Orang Asal yang dahulunya telah direzabkan oleh Penjajah Inggeris kini sudah ditarik balik Rezab itu dan kini dikawasan-kawasan Rezab Orang Asal sudah direzabkan Rezab Perhilitan, dan kampong-kampong yang ada didalam Rezab itu dimminta berpindah. Yusri menyatakan bahawa isu Orang Asal bukanlah isu geran tanah, tetapi isu penggezetan Rezab-Rezab. Orang Asal tetapi mahu tinggal secara berkelompok dengan sama-sama memiliki kawasan Rezab khususnya keatas tanah-tanah yang dahulunya menjadi tanah adat dan rayau nenek moyang mereka. Ini adalah isu baru bagi saya. Saya pinta saudara Yusri dan NGO-NGO yang sehaluan dengan pandangannya supaya membuat kertas kerja yang lengkap untuk diserahkan kepada parti. Sdr Yusri adalah Naib ketua PKR Cabang Jerantut dan Ketua PKR Ranting Kg Sg Mai, Jerantut. Beliau bertegas didalam isu ini bahawa jika PKR juga bersikap seperti PAS, maka beliau rela duduk diluar parti dan hanya bergerak didalam NGO sahaja dan meneruskan perjuangan untuk Orang Asal sehingga mencapai kemenangan. Sementara itu beliau tidak mahu bergerak lagi didalam gerakan politik, tidak mahu bersama UMNO kerana parti itu sudah 50 tahun meminggirkan isu tanah Orang Asal dan tidak mahu bersama PR kerana tidak mahu memperjuangkan isu tanah mengikut perspektif perjuangan yang dicadangkan oleh NGO Orang Asal. Yusri Ahon adalah seorang pejuang yang kental, dan tahap perjuangannnya tidak pernah sorot. |
Nostalgia 2: Peristiwa di Felda Chalok Barat, Posted: 06 May 2011 06:06 PM PDT Sekembali saya berceramah di Kelantan dan diikuti di Besut Terengganu, saya dijemput untuk berceramah di Felda Chalok Barat, Terengganu. Saya sampai ke Rancangan itu lebihkurang jam 8.00 malam. Gate di Rancangan itu ditutup rapat, dan ada lebih kurang 10 orang kedapatan ditepi gate itu. Apabila kereta saya menghampiri gate itu, seorang darinya menghampiri kereta saya dan mengenalkan dirinya sebagai Pengurus Rancangan dan beliau bertanya akan nama saya. Apabila saya nyatakan nama saya beliau terus menyatakan: "Minta maaf Encik, Encik tidak dibenarkan masuk ke Rancangan ini." Saya bertanya kenapa, dan dia menyatakan bahawa itu adalah arahan dari Ibu Pejabat Felda. Dan saya nyatakan kepadanya bahawa saya dijadualkan berceramah di sebuah rumah ahli PAS di dalam Rancangan itu dan saya adalah tetamu kepada ahli PAS itu. Pengurus itu tetap tidak membenarkan saya masuk. Kemudian, saya nyatakan kepadanya supaya membenarkan saya masuk sekejap untuk memberitahu Tuan Rumah bahawa ceramah itu terpaksa dibatalkan kerana saya tidak dibenarkan masuk kedalam Rancangan. Pengurus itu benarkan saya masuk untuk tujuan itu dan beliau mengekori kereta saya dari belakang. Sesampai ke rumah tempat ceramah itu dan belum sempat saya berkata apa-apa, Pengerusi Majlis telah mengalu-alukan kedatangan saya dan memandangkan kehadiran saya sudah lewat, maka beliau terus meminta saya berceramah. Dan saya pun terus memulakan ceramah saya. Pengurus yang berada dibelakang saya itu terus menghampiri saya dan menyatakan bahawa beliau tidak benarkan saya berceramah dan menyatakan kepada saya bahawa saya sudah berjanji untuk tidak berceramah. Ini adalah satu tekanan yang kiranya saya patuh akan melemahkan semangat penyokong-penyokong PAS dan peneroka-peneroka yang mahu mendengar ceramah saya khususnya mengenai kedudukan peneroka-peneroka Felda vis-a-vis Felda. Saya terus memberikan sedikit taklimat kepada Pengurus itu mengenai peruntukan undang-undang khususnya Ceramah yang diadakan didalam rumah yang tidak memerlukan permit polis dan tidak memerlukan kebenaran dari Pengurus. Pengurus itu naik berang! Dia terus meninggalkan tempat ceramah itu dan sekitar 30 minit, dia kembali semula dengan satu rombongan pasukan polis yang diketuai oleh seorang Inspektor. Saya berbincang dengan Inspektor itu berhubung hak rakyat mengadakan ceramah di tempat tertutup seperti didalam rumah. Inspektor itu memahami undang-undang dan dia terus beredar dari situ. Ini menyebabkan Pengurus itu lagi naik berang, dan dia seolah-olah menjerit memaki-hamun pihak Polis yang enggan bertindak terhadap ceramah itu. Dari masa ke masa semasa saya berceramah dia mengganggu ceramah saya itu dan minta saya berhenti. Saya beritahunya bahawa Insya Allah saya akan berhenti, dan masanya sudah tidak lama lagi iaitu jam 12.00 tengah malam. Tepat jam 12.00 tengah malam saya berhenti, dan selepas itu saya jemput Pengurus itu untuk minum bersama-sama peneroka didalam Rumah tetapi dia tidak mahu dan beredar dari situ. Semasa saya mahu keluar dari Rancangan itu, puluhan pemuda yang bermotor mengiringi saya hingga sampai ke gate, mereka bimbang sekiranya Pengurus itu melakukan tindakan-tindakan diluar jangkaan. Dan kembalilah saya dengan selamatnya menuju ke Temerloh, Pahang, dan oleh kerana sudah terlalu mengantuk maka saya parkir kereta saya (sebuah van) di Dungun dekat dengan sebuah masjid dan tidur disitu sehinggalah terdengar azan Suboh dan saya solat Suboh berjemaah. Apakh isu yang saya ceramahkan di Chalok Barat? Akan saya ceritakan dihalaman lain. |
Nostalgia: Perjuangan Awalan untuk Peneroka Felda Posted: 06 May 2011 04:48 PM PDT Di awal tahun 80-an, saya dilantik sebagai Anggota Lajnah Undang-Undang PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Wan Mutalib Embong. Saya memilih untuk dijadikan tugasan tanggungjawab saya untuk memperjuangkan hak dan kepentingan Peneroka Felda. Semasa itu semua Rancangan Felda berpagar di pintu masuk dan ada gate. Tidak mudah untuk melepasi gate ini jika seseorang itu disyakki sebagai orang yang tidak dikehendaki. Saya dicop sebagai seseorang "persona non grata" orang yang tidak dikehendaki didalam Rancangan Felda. Diatas kerjasama yang diberikan oleh penyokong-penyokong Pembangkang didalam Rancangan Felda, saya berjaya juga memasuki semua rancangan Felda walaupun disesetengah Rancangan itu dihalang oleh Pengurus-Pengurus Rancangan. Saya akan ceritakan peristiwa demi peristiwa di semua Rancangan Felda yang saya lawati sewaktu itu. Dan saya mulakan dengan peristiwa di Felda Jengka 22. Dengan bantuan penyokong-penyokong PAS (masa itu belum ada cawangan PAS disana), saya memasuki Felda Jengka 22 kerana dipanggil oleh peneroka-peneroka untuk menerangkan kedudukan mereka dibawah Surat Perjanjian diantara Peneroka dan Felda. Ada lebih kurang 40 orang peneroka-peneroka telah hadir disebuah rumah di rancangan itu. Saya hadir dengan membawa sebuah set radio dan mickrophone. Melalui set radio dan mickrophone itu kami perbetulkan gelombangnya dan radio itu berfungsi sebagai pembesar suara. Ramai lagi yang membawa radio masing-masing dan dengan penyelarasan gelombang maka aliran suara yang kuat boleh memecahkan kesepian malam. Sebaik saja saya mahu memulakan taklimat saya mengenai Surat Perjanjian diantara Peneroka dan Felda, tiba-tiba hadir seorang yang agak segak bersama rakan-rakannya cuba memberhentikan ceramah saya itu. Apabila saya enggan, dia menyatakan bahawa dia adalah Pengurus Felda dan berhak memberhentikan ceramah itu. Saya "lecture" sedikit tentang undang-undang kepada Pengurus Felda itu baik dibawah Perlembagaan Persekutuan mahupun dibawah Akta Polis, dan saya cabar Pengurus itu dimanakah kuasa yang ada padanya mengikut undang-undang. Sudah tentu dia tidak ada jawapan. Dia cuba rampas microphone ditangan saya, dan saya tepis tangannya dan rampas kembali microphone itu. Saya pinta Pengurus itu bersabar mendengar penerangan dari saya dan tidak mengambil tindakan liar. Entah bagaimana tiba-tiba Pengurus yang nampak ganas tadi menjadi senyap dan duduk ditepi tangga mendengar hingga ke akhir ceramah saya. Selepas habis ceramah, saya jemput Pengurus naik keatas rumah dan kami minum bersama, dan pada waktu itu dia menyatakan bahawa dia hanya menjalankan tugas dibawah arahan. Selepas minum bersama saya meninggalkan Majlis dan Pengurus itu bukan sahaja bersalaman dengan saya tetapi dia juga bersalam dengan semua yang hadir dengan berkata: "Minta Maaflah." Isi kandungan ceramah saya mengenai peruntukan Surat Perjanjian diantara Peneroka dan Felda itu akan saya paparkan dihalaman yang lain setelah kisah-kisah menarik tentang peristiwa-peristiwa yang saya lalui di Rancangan-Rancangan Felda pada awalan tahun-tahun 80-an dipaparkan di blog ini. |
Posted: 06 May 2011 04:26 PM PDT "Hasrat Tun Razak melalui Akta GSA bukan untuk menjadikan Felda tuan dan peneroka sebagai hamba, tetapi untuk mengagihkan tanah kepada rakyat yang berhak..." * Group Settlement Act (GSA) adalah panduan bagi Kerajan Negeri membangunkan sosio-ekonomi rakyat melalui pembangunan tanah. * Tanah akan dibahagikan kepada rakyat untuk membasmi kemiskinan dan membangunkan negara. *Peserta/peneroka dibenarkan membayar kos pembangunan tanah secara beransur-ansur tanpa menjejaskan hak mendapatkan geran hak milik. * Felda dilantik sebagai agensi pengelolarancangan sehingga peneroka mendapat hak milik (geran). * Kerajaan Negeri mamsih mempunyai hak terhadap tanah, malah memantau tugas Felda. * Felda juga disyaratkan mesti mendapatkan kelulusan kerajaan negeri sebelum boleh mengubal sebarang dasar/polisi/undang-undang kecil berkaitan penyeliaan ladang dan peneroka. *Namun Felda telah menggubal banyak peraturan/perjanjian yang menindas peneroka. *GSA tidak membenarkan Felda memiliki tanah yang diberikan oleh Kerajaan negeri kerana Felda hanya dilantik sebagai pengurus dan pemberian tanah adalah untuk mewujudkan kawasan penempatan berkelompok yang didiami oleh peneroka atau secara pemilikan saham oleh koperasi. * Sebaliknya Felda telah mengambil tanah tersebut untuk diusahakan sendiri dengan menubuhkan Felda Plantation Sdn Bhd. Tindakan ini menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri dan ramai rakyat hilang hak untuk menjadi peneroka. * Dibawah GSA, hanya pentadbir tanah yang berhak memutuskan sama ada seseorang peneroka boleh dikeluarkan dari tanah rancangan tertakluk kepada bukti nyata pelanggaran peruntukan GSA atau menduduki tanah rancangan secara haram, sehingga dia mendapat hak milik. Sekiranya peneroka telah mendapat hak milik, maka dia tertakluk kepada Kanun Tanah Negera 1965 sama seperti tanah lain. *Peneroka berhak mendapat geran/hakmilik tanah setelah menyelesaikan bayaran CAC (bayaran premium, upah ukur dan batu sempadan). Tindakan Felda melewatkan pemberian geran walaupun setelah peneroka melangsaikan hutang BK (Bayaran Kembali) adalah bertentangan dengan GSA. Malah GSA membenarkan pemberian hakmilik kepada Peneroka walaupun hutang BK belum langsai. "Felda hanyalah pengurus sementara sehingga peneroka mampu berdikari dan mendapat hak milik mereka. Felda tidak berhak menekan dan mengaut keuntungan peneroka selama-lamanya" Rujukan buku: "Menongkah Cabaran, Mendepani Zaman: Maruah Peneroka perlu dikembalikan" oleh: Wan Rohimi bin Wan Daud Dipetik dari Risalah Warga Felda keluaran Biro Masyarakat Felda, Parti Keadilan Rakyat. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan