anjung setiawangsa |
Serbu KM: Umno bertindak ala samseng Posted: 08 May 2011 08:28 PM PDT 06 Jamadilakhir 1432H. [MOD] - BUTTERWORTH, 9 Mei: Tindakan ala samseng yang dipamerkan oleh pemuda Umno Pulau Pinang sepertimana yang dizahirkan selepas majlis perasmian Projek Pembinaan Jalan Penghubung di Jalan Bagan 29 - Jalan Siram oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng memperlihatkan wajah sebenar pimpinan mereka yang ingin wujudkan. Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man (gambar), ketika mengulas insiden yang mencemarkan imej Umno Pulau Pinang itu, menyatakan apa yang dipertontonkan oleh Pemuda Umno yang diterajui oleh ketuanya, Shaik Hussein Mydin, mencalarkan wajah Umno sendiri. Dalam insiden semalam, selepas majlis perasmian bertempat di pasar awam Taman Bagan, sekumpulan pemuda Umno telah menyerbu Lim Guan Eng ketika bersama dif kehormat untuk menyatakan kekesalan mereka mengenai isu 'Kristian agama rasmi negara' sepertimana yang disiarkan oleh akhbar arus perdana milik Umno. "Apakah ini barisan pemimpin yang mahu diwujudkan oleh Umno tanpa menghormati seorang ketua kerajaan negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat sebagai pemerintah. "Jika tindakan tidak bermoral dan ala samseng ini jelas dipertontonkan di khalayak ramai, apakah kita yakin mereka ini dapat membela nasib rakyat dan golongan muda sekiranya ini akhlak yang ada," kata Salleh yang juga Adun Permatang Pasir. Beliau berkata, Umno sepatutnya berasa malu di atas tindakan ala samseng yang ditunjukkan oleh pemuda mereka. Soalnya, bagaimana pula sekiranya kejadian ini dilakukan oleh kumpulan lain terhadap pimpinan mereka pula. "Apakah mereka rela ianya berlaku sedemikian. Begitu jugalah dengan tindakan mereka pada hari ini. Sepatutnya gunakan saluran yang betul. Jangan tunjukkan betapa rendahnya akhlak yang ada pada pimpinan mereka apabila bertindak demikian, " ujarnya lagi. Dalam insiden tersebut juga juak-juak Umno telah membentangkan kain rentang, namun dengan kepantasan pihak polis, insiden yang memalukan itu dapat dihalang daripada terus menjadi satu provokasi yang memalukan. Selain dari Mohd Salleh turut hadir pada majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng dan kepimpinan PAS dan PKR. Harakahdaily/- Oleh : Muhayat Jasmin |
PAKATAN RAKYAT MEMPERKASA ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI NEGARA MALAYSIA Posted: 08 May 2011 08:23 PM PDT KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan ini ingin mempertegaskan bahawa kami bersama-sama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat telah meletakkan asas yang sama dalam menerajui politik negara sebagaimana yang telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Shah Alam (2009) dan diperkukuhkan menerusi Konvensyen Pakatan Rakyat Pulau Pinang (2010) iaitu akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini. Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat. Oleh yang demikian hirup pikuk yang di lemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah. Kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kealpaan dan kelemahan pimpinan UMNO yang telah diberi amanah memerintah negara selama lebih dari 50 tahun ini. Merekalah yang sebenarnya gagal memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan, sehingga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat, melemahkan jati diri orang melayu beragama Islam, dan seterusnya menghadapi kecelaruan sakhsiah dan bencana akidah yang tidak mampu untuk menguatkan orang melayu beragama Islam dalam negara kita ini. Apa lagi yang boleh diharapkan dari UMNO, kerana mereka juga gagal memberikan kefahaman Islam sebenar dan seterusnya gagal menunjukkan contoh Islam yang unggul kepada rakan mereka MCA dalam Barisan Nasional. Hasilnya kita dapat lihat sendiri bagaimana pendirian dan kenyataan politik pimpinan MCA ini semakin hari semakin hanyut dan menampakkan kecelaruan dalam memahami Islam sebagai agama rasmi negara kita ini. Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) Ahad, 4 Jamadil Akhir 1432 / 8 Mei 2011 |
You are subscribed to email updates from anjung setiawangsa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan