Rabu, 20 April 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Sumpah:Hanya Patuh Kepada Peraturan Allah

Posted: 20 Apr 2011 12:05 AM PDT

Dari Harakah

Setahu para ulama, tiada sumpah dalam urusan yang melibatkan zina, rogol liwat (melainkan isteri yang mengadu kepada hakim bahawa dia diliwat oleh suami dibenarkan bersumpah), tuduhan seseorang itu melakukan zina tanpa mengemukakan saksi (qazaf) berpandukan tindakan yang tidak memanggil Safwan atau Aisyah bersumpah dalam peristiwa fitnah ke atasnya.

Demikian penerangan yang diberikan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai cabaran bersumpah dari bekas bendahari agung Perkasa, Datuk Shuib Lazim kepada dua pemimpin kanan PAS, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

"Sumpah hanya ada dalam urusan yang bukan jenayah di atas, yang pembuktian hanya dilakukan melalui penyaksian atau pengakuan.

"Andainya dibenarkan sumpah dalam urusan qazaf, nescaya akan binasalah masyarakat, apabila seseorang wanita atau lelaki yang khianat atau berniat jahat kepada seorang imam, sanggup bersumpah dengan nama Allah:

"Wallahi, wabillahi, watallahi, imam itu telah merogol saya, nescaya akan punah keyakinan masyarakat pada imam, demikian seterusnya," terang Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Lantaran itu, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Rasulullah s.a.w mengkategorikan qazaf sebagai dosa membinasakan – yakni ia akan membinasakan diri yang dituduh, keluarganya mungkin bercerai-berai, masyarakat hilang kepercayaan padanya dan institusi atau syarikat akan membawa hilang kredibiliti kepada majikannya.

"Bayangkan kalau sumpah dibenarkan dalam tuduhan zina, rogol dan liwat, sudah tentu akan ada golongan yang akan mengambil kesempatan sanggup bersumpah demi menjatuhkan maruah seseorang," tambahnya.

Disebabkan itu, katanya, Islam menyeru umatnya agar berpegang pada panduan ilmu yang disampaikan oleh para ulamak yang muktabar.

"Apabila Dr Yusuf al-Qardhawi menjelaskan tiadanya sumpah dalam urusan qazaf, bermakna inilah panduan syarak yang perlu dipatuhi oleh umat Islam.

"Semoga Allah menjauhi kita dari membuat tuduhan yang berupa qazaf kerana ia termasuk dalam tujuh dosa besar yang membinasakan umat manusia," kata Tuan Ibrahim.

Oleh itu, beliau berkata, Shuib harus mendalami peraturan syarak sebelum mencabar pemimpin PAS untuk bersumpah.

"Yang minta saksi ini bukan PAS, tapi Allah dan Rasul-Nya. Jangan kita anggap Allah jahil dalam membuat peraturan-Nya – Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Hakim dalam menetapkan hukuman-Nya.

"Kita mesti ikut peraturan Allah, bukan membuat peraturan baru yang bercanggah dengan peraturan Allah. PAS tidak berhasrat membela sesiapa tetapi kita perlu ikut peraturan Allah," tegas Tuan Ibrahim.

Kalau Shuib merasakan klip video seks itu satu kes penting, kata Tuan Ibrahim dia perlu menayangkannya pada hakim yang bakal memutuskan sesuatu kes dan bukannya kepada orang ramai untuk minta penghakiman awam.

"Dia perlu mengadu kepada polis bukan tayang pada wartawan untuk jadi bahan menjatuh seseorang, kalau ianya benar sekalipun, apa lagi ianya penuh dengan pertikaian kesahihannya," bidas Tuan Ibrahim, yang turut melahirkan rasa kesal ke atas kelambatan polis untuk mengambil tindakan terhadap trio Datuk T yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang melakukan jenayah secara terang dengan menyiarkan video lucah kepada orang awam.

Memahami Kejahilan Politik BN

Posted: 19 Apr 2011 09:44 PM PDT

Dari Merdeka Review
Oleh Hafiz Zainuddin

PR kecundang, BN melemah

Kita tidak boleh menuduh rakyat Sarawak telah silap membuat pilihan. Atas kefahaman dan penilaian tertentu, mereka telahpun menggunakan ruang demokrasi yang disediakan sebaik mungkin. Yang pasti, Pakatan Rakyat nyata kecundang apabila gagal menggantikan BN malah menafikan majoriti 2/3 pun masih jauh.

Sama sekali PRN Sarawak kali ini sedikit sebanyak memberi tamparan kepada PR yang begitu yakin untuk menafikan majoriti 2/3 BN sekaligus membuktikan bahawa congakan awal oleh Zentrum meleset. Walau bagaimanapun, keputusan pilihanraya menunjukkan peningkatan undi kepada PR adapun BN masih selesa dengan kemenangan 55 kerusi dari 71 kerusi bertanding.

Secara umum, rakyat Sarawak masih selesa dengan BN dengan mandat baru yang telah diberikan.

Pada masa yang sama menjelaskan bahawa strategi kempen BN nampaknya gagal mempertahankan majoriti sedia ada walaupun jentera BN bertungkus lumus berkempen. Isu video seks nyata tidak memberi kesan kepada minda rakyat Sarawak malah populariti Najib dan Muhyiddin juga tidak mampu membendung kecenderungan pengundi untuk mengundi Pakatan Rakyat. Kemenangan beberapa kerusi tambahan untuk Pakatan Rakyat juga melucutkan gelaran Sarawak sebagai fix deposit buat BN.

Kemenangan DAP menggusarkan?

Hampir 80% dari 15 kerusi yang di menangi Pakatan Rakyat didominasi oleh DAP. Ternyata, DAP berjaya mengubah sentimen rakyat yang selama ini menyokong SUPP yang mewakili sebahagian besar masyarakat Cina Sarawak. Kesimpulan pertama yang boleh dibuat dari kemenangan besar DAP ini ialah, masyarakat Cina komited dalam meneruskan agenda perubahan dengan memberikan sokongan padu mereka kepada calon-calon Pakatan Rakyat manakala PAS dan PKR pula telah mula diterima di Sarawak dengan peningkatan undi di kawasan-kawasan tertentu. Atas kejayaan besar ini DAP telah dimangsakan oleh media.

Apa lagi yang oleh diperkatakan dengan kemenangan besar DAP ini baik di Semenanjung mahupun di Sarawak? Sudah tentu kemenangan DAP ini menimbulkan rasa kurang senang dari BN yang telah hilang sokongan dan kepercayaan dari masyarakat Cina seolah-olah masyarakat Cina memberi signal kepada kerajaan bahawa “kami tidak perlu lagi diwakili di peringkat federal”, “kami boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa”.

Perubahan berani yang dilakukan oleh masyarakat Cina Sarawak telah disalah erti sebagai sebuah “kebangkitan Cina”. Malah kemenangan DAP ini digambarkan sebagai menularnya “politik perkauman”. Persoalannya, apakah jika masyarakat Cina memberi kemenangan kepada SUPP dianggap kemenangan untuk Melayu? Walhal calon-calon yang bertanding mewakili SUPP juga di kalangan masyarakat Cina. Apakah yang sebenarnya cuba digarapkan oleh media perdana negara ini dengan dakwaan yang begitu dangkal dan menjatuhkan imej profesional mereka. Sekiranya kita benarkan dakwaan ini, apa pula yang boleh dijelaskan dengan kemenangan PAS di Kedah dan bertahannya kerajaan PAS di kelantan selama lebih 20 tahun?

Kemenangan PAS dicemburui

Situasi politik dan budaya di Malaysia masih lagi berlegar disekitar faham perkauman sempit malah BN sangat selesa dengan “tradisi” ini. Isu kaum sering kedengaran di negara ini untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar. Sepertimana yang telah diungkapkan oleh Syed Husin Ali dalam bukunya Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan menyatakan bahawa “persaingan kelompok atasan diberi wajah kaum”.

Masyarakat Bumiputera dan Melayu harus disedarkan dari salah faham ini. Ayuh kita lihat sebagai contoh; Jika PAS yang memenangi sesebuah kawasan atau negeri, orang Melayu akan dituduh sebagai golongan yang tidak mahu bersyukur dengan jasa kerajaan, jika PKR yang menang, rakyat akan dituduh pula sebagai menyokong pengkhianat bangsa dan jika kemenangan itu di pihak DAP (sudah tentu kawasan Cina), kemenangan itu ditafsir sebagai “kebangkitan Cina” Dan menunjukkan seolah-olah masyarakat Cina tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan atas dominasi ekonomi yang diperoleh. Apakah kita rakyat Malaysia juga perlu termakan dengan isu-isu sebegini?

Bukan kaum, tapi diskriminasi politik

Saya ingin bertanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi; apakah rakyat tidak punya hak untuk memilih sehingga jika ia tidak berpihak kepada pemerintah mereka akan dituduh sedemikian rupa? Haruskah rakyat di negara ini terus diperbodohkan dengan pandangan-pandangan berbaur perkauman yang tidak sihat dan ia dibiarkan berleluasa?

Kita masih lagi dalam bahang suasana PRN Sarawak. Kemenangan besar DAP sebenarnya menjelaskan bahawa masyarakat Cina mahu untuk berubah dan berani melakukan perubahan. Apa yang berlaku kepada masyarakat Bumiputera pula, mereka punya azam untuk berubah tetapi masih terperangkap dengan hegemoni Melayu-Melanau dan dibatasi dengan sikap sinikal dan takut apatah lagi masih dimainkan dengan politik projek “jalan raya” yang nampaknya masih belum selesai.

Soalnya sekarang bukanlah “kebangkitan Cina”. Orang Cina telahpun bangkit dari kemiskinan mereka sejak selepas merdeka lagi. Keputusan PRN Sarawak sebenarnya menunjukkan bahawa masyarakat Cina cuba bersikap lebih realistik dan berani melakukan perubahan. Selain itu, ia juga membuktikan kepada kita bahawa masyarakat Cina lebih sensitif dan peka terhadap perkembangan politik tanah air. Saya bukanlah memuji tetapi inilah yang harus kita semua fikirkan bersama. Ya, agar kita seluruh rakyat Malaysia lebih realistik dan berani menyatakan pendirian terhadap isu-isu penyelewengan dan salah urus tadbir pemimpin-pemimpin negara.

Memang, Bumiputera-apalagi orang Melayu diutamakan dalam arus pembangunan nasional agar dapat bersaing dengan masyarakat yang lain. Akan tetapi, dilema yang dihadapi bukan diskriminasi dari sisi kaum tetapi apa yang berlaku adalah diskriminasi politik. Lihat sahaja apa yang pernah berlaku di Terengganu berkaitan royalti minyak yang ditukar kepada Wang Ihsan apabila PAS berjaya membentuk kerajaan di sana. Begitu juga diskriminasi berbelas-belas tahun kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam hal peruntukan kewangan dalam projek bekalan air bersih yang sehingga kini menjadi tanda soal.

Nampaknya isu perkauman ini sengaja terus dibangkit dalam mempertahan monopoli politik BN agar dilihat perjuangan mereka relevan sehingga sekarang. Apakah kemiskinan sebahagian masyarakat bumiputera di bandar dan di kawasan pedalaman di hadapan mata kita membuktikan BN benar-benar memperjuangkan nasib golongan ini? Dan apakah kita masih tidak malu kerana masih dicengkam dengan hegemoni kaum ini? Sejarah telahpun membuktikan kebenaran dan telah sampai masanya untuk kita merevolusikan minda!

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Siapakah “Whistle Blower” Sebenar?

Posted: 19 Apr 2011 08:02 PM PDT

Dari TVSelangor

Sejak 21 Mac, gandingan Datuk T diangkat oleh pemimpin Umno dan juak-juaknya termasuk Perkasa dan Utusan Malaysia sebagai 'whistle blowers' yang harus dilindungi.

Pada tarikh itu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Shazryl Eskay dan Shuib Lazim menayangkan video kepada media dan ahli politik terpilih untuk "membuktikan' Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur.

Suara-suara Umno mengenai keperluan melindungi Datuk T sebagai "whistle blower" semakin lantang dengan pengumuman terbaru polis bahawa tiga individu berkenaan mungkin dihadapkan ke mahkamah kerana menayangkan video lucah.

Persoalan timbul sama ada Datuk T layak dipanggil "whistle blower" kerana kononnya mendedahkan perbuatan sumbang Anwar.

"Whistle blower" adalah pihak yang mendedahkan sesuatu skandal , khususnya yang mempunyai implikasi kepentingan nasional.

Umumnya orang yang membuat pendedahan itu terbabit secara langsung dalam skandal berkenaan, justeru keperluan untuk memastikan keselamatan beliau.

“Whistle blower” berkenaan juga dikecualikan daripada pendakwaan demi memastikan agenda lebih besar ialah membongkar skandal itu dan menghukum “ikan jerung" yang bertanggungjawab, mencapai matlamatnya.

Merujuk kepada kes Datuk T, seseorang yang memegang bukti dan mahu menegakkan kebenaran tidak akan membuat tempahan bilik hotel dan menjemput media serta ahli politik tertentu (Zaid Ibrahim) untuk menonton video lucah.

Tindakan itu bukan amalan rasional bagi pihak yang menuntut keadilan tetapi lebih mirip kepada ahli politik yang mahu memastikan rakaman itu dipancarkan ke seluruh media tempatan dan antarabangsa.

Pihak yang berjiwa Islam dan tidak mahu mengaibkan sesiapa (seperti mana yang didakwa Datuk T) tidak akan menggunakan media untuk membuat ugutan terbuka terhadap Anwar dan isterinya untuk berundur dari politik.

Sejak 21 Mac, motif Eskay, Rahim Thamby Chik dan Shuib bersabit video itu terbongkar sedikit demi sedikit.

Kecacatan-kecacatan dalam video berkenaan turut diperinci dan didedahkan oleh pihak-pihak tertentu, untuk membuktikan rakaman itu adalah fitnah licik semata-mata.

Dukacita dimaklumkan gandingan Datuk T tidak boleh memakai topi "whistle blower" supaya kebal dari pendakwaan di mahkamah undang-undang mahupun menghadapi penilaian di mahkamah rakyat.

Segala tindakan yang diambil mereka mempunyai agenda tertentu dan ianya amat berkait dengan agenda besar Umno untuk Datuk Seri Anwar.

Benar, "whistle blower" harus dllindungi, tetapi siapakah "whistle blower" dalam kes ini, mahupun dalam politik Negara?

Jawapannya Anwar Ibrahim.

Susulan tindakannya mendedahkan pelbagai skandal di Dewan Rakyat dan di ceramah-ceramah, Anwar digantung enam bulan dari Parlimen Disember lalu.

Ceramah-ceramah beliau di Kuala Lumpur, Johor dan negeri-negeri lain menjadi sasaran serbuan polis.

Di Sarawak, ceramah-ceramah Anwar dihadiri ribuan orang, di bandar dan kawasan pedalaman, dengan pengundi Melayu-Melanau, Cina, Iban dan Dayak hadir mendengar kepincangan-kepincangan BN.

Sehingga hari ini, Perdana Menteri dan menteri-menteri Umno khususnya tidak menjawab beberapa skandal yang dibongkarkan oleh Anwar.

Ini termasuklah pemberian kontrak lebih RM2 bilion Kementerian Pertahanan kepada seorang pemimpin Umno dari Perak sejak tahun 2008 yang mencerminkan budaya kronisme masih menebal dalam Umno.

Najib juga tidak mengulas dakwan Anwar bahawa 1Malaysia Development Corporation (MDB) dan syarikat milik keluarga Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud menjalankan urusniaga mencurigakan dengan Petro Saudi.

Urusniaga itu melibatkan hampir RM6 bilion ringgit.

Contoh-contoh ini hanya secebis daripada pendedahan yang dibuat oleh Anwar di Parlimen dan di luar dewan sejak beliau menjadi Ketua Pembangkang Ogos 2008.

Kebanyakan daripada dakwaan itu tidak dijawab oleh menteri berkenaan, sebaliknya Ketua Pembangkang diaib dan dicaci dengan kata-kata kurang sopan di dalam Parlimen serta juga di luar oleh juak-juak Umno.

Sejak 2008, Umno mencari helah bagaimana untuk mengekang "whistle blower" bernama Anwar Ibrahim.

Perbicaraan fitnah liwat sekali lagi menjadi senjata politik Umno untuk menyerang Anwar dengan keyakinan pengundi Melayu mudah dipengaruhi atas isu-isu agama dan moral.

Juak-juak Umno seperti Umni Hafilda dikitar semula manakala "pejuang-pejuang bangsa" seperti Senator Ezam Mohamad Nor dan S.Nallakarupan diberikan liputan luar biasa dalam media arus perdana.

Apabila "tsunami fitnah" Umno tidak dapat menghakis sokongan untuk Anwar KERANA orang Melayu menolak budaya sedemikian, parti itu tidak berundur malah memperhebatkan serangan.

Maka sampailah giliran gandingan Datuk T pula memegang "obor kebenaran" Umno dengan video seks demi membela agama bangsa dan negara.

Dan jika video seks babak pertama gagal mencapai maksud yang dihajatkan oleh Umno, usah bimbang kerana kilang fitnah parti itu sentiasa rancak dengan senjata-senjata lain.

Perlu ditanya, jika Anwar tidak lantang dan hujahnya tidak meyakinkan, adakah Umno akan mengambil peduli terhadapnya?.

Apakah rakyat di Semenanjung dan di Sarawak akan menerima secara membuta tuli segala pendedahan Anwar, jika ia tidak disokong dengan bukti dan fakta?

Jelas, Umno mempunyai kepentingan untuk membisukan "whistle blower" terbesar di negara ketika ini dengan apa cara sekali pun sama ada menerusi mahkamah atau pun menggunakan video untuk menabur fitnah.

Tiada ulasan: