Ahad, 27 Mac 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Program Menyampaikan Sumbangan di Sungai Jati

Posted: 27 Mar 2011 02:00 AM PDT

Sungai Jati, Klang, 27 Mac 2011 - YB Dr Xavier Jayakumar telah menghadiri satu program yang dianjurkan untuk menyampaikan bantuan sumbangan kepada anak-anak yatim, golongan OKU dan ibu tunggal.

Dalam program tersebut, seramai 17 orang anak yatim, 12 orang OKU serta ibu-ibu tunggal telah menerima bantuan sumbangan.

Turut disampaikan adalah kunci rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) kepada para penerima. Menurut YB Dr Xavier, rumah PPRT yang dibina kini adalah lebih berkualiti kerana dibina dari batu-bata keseluruhannya berbanding sebahagiannya kayu sebelum ini. Rumah tersebut juga dilengkapi dengan lampu dan kipas serta bumbung yang dicat dengan warna biru menunjukkan rumah yang baru dibina.







Kumpulan Kelima Dari DUN Sri Andalas Jalani Pemeriksaan Mammogram

Posted: 26 Mar 2011 02:00 AM PDT

Klang, 26 Mac 2011 - Seramai 46 orang wanita, kebanyakannya adalah guru dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Batu Ampat telah dihantar untuk menjalani pemeriksaan mammogram secara percuma.

Kumpulan kelima dari DUN Sri Andalas ini telah dihantar seawal pukul 7.30 pagi. Program yang mendapat perhatian YB Dr Xavier Jayakumar ini adalah merupakan Skim Kesihatan Wanita iaitu Mammogram Selangor, ataupun singkatannya MammoSEL.

Pemeriksaan mammogram secara percuma untuk wanita berusia 35 tahun keatas telah dimulakan di DUN Sri Andalas sejak 27 Disember 2010. Wanita yang berusia 35 tahun disarankan untuk mendaftar di pejabat DUN masing-masing untuk dapatkan pemeriksaan mammogram secara percuma yang dibiayai Kerajaan Negeri Selangor.  




Menyampaikan Sumbangan Kepada Surau-surau di Sekitar DUN Sri Andalas

Posted: 25 Mar 2011 02:00 AM PDT

Taman Sri Andalas, Klang, 21 Mac 2011 - YB Dr Xavier Jayakumar telah menghadiri satu majlis menyampaikan sumbangan kepada surau-surau di sekitar DUN Sri Andalas.

Bertempat di perkarangan Surau An Najihin, majlis tersebut telah diadakan selepas sembahyang Isya'. Sebanyak lima buah surau dan dua persatuan telah menerima sumbangan. 

Hadir dalam majlis tersebut adalah ahli-ahli majlis dalam kawasan DUN Sri Andalas iaitu Encik Abdul Manap Yusoff, Encik Azmi Jusoh dan Encik PS Rajoo serta Ketua Kampung Kg. Jawa, Tuan Haji Ismail Abdullah. 

Turut diberi kepada wakil-wakil surau yang hadir adalah akhbar Selangor Kini untuk diedarkan kepada orang ramai sekitar surau masing-masing.






Tiada ulasan: