Suara Sri Andalas |
Meninjau Keadaan Penduduk Rumah Panjang di Ulu Krian, Sarawak Posted: 14 Mar 2011 07:38 PM PDT Ulu Krian, 14 Mac 2011 – Dalam rangka kerja lawatan ke negeri Sarawak, YB Dr Xavier Jayakumar telah membuat lawatan keadaan penduduk di rumah panjang di Ulu Krian. Hasil lawatan mendapati keadaan sekitar rumah panjang tersebut begitu daif. Jalan yang menghubungkan rumah panjang tersebut telah dibina hanya dengan batu kerikil sejak 20 tahun lamanya. Penduduk telah dijanjikan dengan jalan yang ditar setiap kali pilihanraya diadakan namun janji tersebut sehingga kini tidak dikotakan. Begitu juga keadaannya dengan bekalan elektrik, kesemua penduduk terpaksa membeli sendiri generator bagi unit rumah masing-masing. Petrol dibeli dari pekan Seratok dan penggunaannya berkos RM200 hingga RM250 setiap bulan dan lebih sekiranya menggunakan generator yang lebih besar. Kabel elektrik sebenarnya terdapat disepanjang jalan yang dibina, namun untuk mendapatkan pemasangan ke rumah individu perlu mendapatkan tandatangan dan sokongan ADUN. YB Dr Xavier Jayakumar diberitahu hanya mereka yang setia dan mematuhi syarat-syarat tertentu akan diberi sambungan kabel elektrik, bagi yang tidak maka sambungan kabel elektrik tidak akan dibuat. Bagi mendapatkan sumber air bersih pula, mereka perlu mendapatkannya dari sungai kerana tiada bekalan air bersih dari sambungan paip walaupun pekan terdekat hanya 30 minit hingga 1 jam perjalanan dari sini. Keadaan ini turut menyebabkan sisa kumbahan dari tandas tidak dapat dipam dan disalurkan dengan sempurna. Ini juga boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti pencemaran air sungai berdekatan ketika hujan serta jangkitan daripada wabak penyakit berkaitan. Kehadiran YB Dr Xavier Jayakumar yang ditemani isterinya, Puan Sheila Devaraj dan para petugas disambut gembira dengan para penduduk berebut-rebut untuk bersalaman dengan mereka. Keadaan yang daif dengan perabot yang terhad membuatkan YB Dr Xavier Jayakumar dan isterinya yang pada mulanya duduk di sofa, duduk bersama-sama penduduk di lantai sambil berbual mesra bertanyakan khabar mereka. Di dalam rumah panjang ini, tiang yang diperbuat daripada 'kayu besi Borneo' merupakan asas kepada pembinaan rumah tersebut dan kemudiannya segala pembinaan dan penambahan telah dibuat disekelilingnya. Kebanyakan anak-anak pergi bersekolah di asrama berdekatan dan akan pulang ke unit rumah masing-masing pada hujung minggu. Keadaan mereka di rumah panjang ini sangat daif walaupun negara telah merdeka lebih 50 tahun dan pelbagai janji telah ditaburkan setiap kali pilihanraya. Mereka perlukan perubahan yang dapat membela nasib dan masa depan mereka. |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan