Isnin, 14 Mac 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Kontroversi Injil: Hishamuddin Lepas Tangan

Posted: 14 Mar 2011 02:00 AM PDT

SHAH ALAM 14 MAC : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussin dibidas kerana dilihat cuba lari daripada tanggungjawabnya menyelesaikan kontroversi penahanan 35,000 kitab Injil berbahasa Melayu di Perlabuhan Klang dan Perlabuhan Kuching dan meletakkan beban itu dibahu Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Selepas dikritik hebat pelbagai pihak, Hishamuddin akhirnya berkata pihaknya menunggu nasihat daripada Gani dalam mengambil sebarang tindakan.

EXCO Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab, Hishamuddin harus berani membuat keputusan dan tidak bersikap lepas tangan.

"Saya tidak tahu pula hal ini kena dibawa kepada Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan sebagainya. Hishamuddin harus bertanggungjawab pada kuasa yang dia ada. Dia tidak boleh suruh orang lain tentukan bidang kuasa dia dalam isu ini."

"Jadi sekarang ini kita nampak Hishamuddin lari dari tanggungjawab dia. Tak tahu dia takut ke ape. Sekarang orang sarawak tunggu saja," kata Dr Xavier.


Kontroversi penahanan kitab itu sudah berlarutan sejak tahun 2009 lagi apabila 5,000 naskah kitab tersebut ditahan di Perlabuhan Klang, walhal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan untuk kitab tersebut dibawa masuk ke negara ini.

Terbaru, sebanyak 30,000 naskah kitab yang sama sekali lagi ditahan di Perlabuhan Kuching atas alasan ia boleh memudaratkan keselamatan negara.   

Hishamuddin dalam reaksinya turut mendakwa penahanan itu dibuat kerana ia berkait dengan isu penggunaan kalimah Allah yang masih berada di Mahkamah Rayuan.  

"Tidak timbul isu penggunaan perkataan Allah dan sebagainya. Buku-buku ini sekarang kemana? Buku ini akan diedarkan kepada siapa? Jika buku ini akan dibawa kepada orang Melayu, ambillah tindakan. Kita ada perlembagaan ada akta yang tetap yang boleh diambil tindakan," tambahnya lagi.

Sikap Najib yang berdiam diri berhubung isu ini mendapat kritikan pelbagai pihak. Sekaligus slogan 1Malaysia yang sebelum ini gagah dipertahannya mula dipersoalkan.

"1Malaysia tu slogan kosong, tidak bermakna. Isu-isu sebegini tidak diselesai menggunakan slogan ini, macam mana hendak selesai masalah ini? Ini isu 1Malaysia. Semua orang ada hak sama rata."

"Najib takut nak komen. Dia mainkan isu perkauman sekarang. Bukan isu pentadbiran," ujarnya lagi.

"Semua orang ada hak untuk beragama. Kitab injil masuk melalui Sarawak sebab ramai rakyat negeri itu menganut agama Kristian,

Dr Xavier ketika ditanya apakah penyelesaian tuntas untuk isu ini berkata, kitab terjemahan itu harus dikeluarkan dari negara ini dan hanya dibekalkan kepada penganut agama Kristian sahaja.

"Keluarkan kitab Injil ini. Hanya bagi pada orang yang mahu gunakan kitab ini sahaja," katanya.

Lebih 10 peratus daripada rakyat Malaysia beragama Kristian dengan sebilangan besar daripada mereka menetap di Sabah dan Sarawak yang menggunakan Bahasa Melayu untuk majlis-majlis sembahyang.


Sumber: TVSNEWS

MP Sivarasa Dilarang Masuk Sarawak

Posted: 11 Mar 2011 09:00 PM PST

Ahli parlimen Subang, YB R Sivarasa telah dilarang daripada memasuki Sarawak setibanya beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kucing, pagi ini.

Sivarasa memberitahu Malaysiakini beliau mendarat pada jam 10.10 pagi dengan penerbangan AirAsia bersama ahli exco kerajaan negeri Selangor, YB Dr Xavier Jayakumar.

Kedua-dua mereka ke Sarawak bagi menghadiri konvensyen PKR yang dijadualkan hari ini.

"Saya ditahan di kaunter imigresen dan dimaklumkan bahawa terdapat masalah," katanya.


Buat masa ini, Sivarasa ditahan di bilik pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Kucing dan dijangka akan dikenakan perintah halangan masuk.

"Mereka akan hantar saya balik ke Kuala Lumpur pada penerbangan seterusnya yang mempunyai tempat," katanya.

Dr Xavier, diiringi oleh isterinya, Puan Sheila Devaraj dan seorang pembantu, Abdul Razak Ismail. Kedua-dua mereka dan Dr Xavier bagaimanapun dibenarkan masuk.

"Saya dilarang masuk ke Sarawak, dan sekarang sedang dieskot balik ke pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur," katanya.

Menurut beliau, tiada alasan kukuh yang diberikan berhubung larangan itu.

Arahan pejabat ketua menteri

"Tiada alasan apa-apa, hanya mereka katakan arahan telah dikeluarkan oleh pejabat Ketua Menteri untuk melarang saya dari masuk," katanya.

Sivarasa tidak menolak larangan itu berkemungkinan kerana kegusaran kerajaan dengan kehadiran beliau di Sarawak, serta menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar dan melanggar hak asasi.

"Saya pun tak tahu apa yang mereka takutkan terhadap saya dan saya anggap ini sebagai satu salah guna kuasa dan melanggar hak asasi saya sebagai seorang wakil rakyat dan ahli parlimen dan tindakan ini adalah tidak patut," katanya.

Ini adalah kali kedua Sivarasa dilarang memasuki Sarawak.

Pada 2009, pihak imigresen Sarawak menghantarnya pulang ke Kuala Lumpur.

Sivarasa kemudiannya dihantar pulang ke Kuala Lumpur pada penerbangan jam 11.55 pagi.

Sementara itu, penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tiba di Lapangan Terbang Kuching pada jam 11.25 pagi, dibenarkan masuk.

Ketua PKR Sarawak, Baru Bian, memberitahu pemberita bahawa parti itu akan membawa perkara berkenaan ke mahkamah.

"Ketika dihalang memasuki Sarawak kali pertama pada 2009, pihak Imigresen berkata Sivarasa tidak mempunyai surat jemputan. Tapi kali ini, kami memastikan dia menerima surat jemputan untuk konvensyen parti namun dia tetap dilarang sekali lagi," katanya.


Sumber: Malaysiakini

Lebih 5,000 Hadiri Sambutan 3 Tahun Pentadbiran PR di Negeri Selangor Anjuran ADUN Sri Andalas

Posted: 10 Mar 2011 11:00 PM PST

Klang, 10 Mac 2011 – Lebih 5,000 hadiri Majlis Sambutan 3 Tahun Pentadbiran Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang dianjurkan oleh ADUN Sri Andalas, YB Dr Xavier Jayakumar yang juga merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor.

Bertempat di Dewan Sukan MPK Taman Sri Andalas, majlis bermula pada pukul 8 malam, namun seawal pukul 7 malam, orang ramai telah mula hadir ke dewan tersebut. 

Majlis sambutan asalnya dirancang untuk diadakan di Taman Rakyat, Taman Seri Andalas, namun disebabkan pihak polis tidak memberikan kelulusan, majlis sambutan diadakan di Dewan Sukan MPK Taman Sri Andalas. Kehadiran lebih 5,000 mengakibatkan trafik sesak di kawasan dewan disebabkan kurangnya petak parkir serta kawasan yang lebih kecil berbanding tempat asal.

Antara tetamu-tetamu kehormat yang hadir adalah Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali, Ahli Parlimen Kota Raja, YB Dr Siti Mariah Mahmud dan YDP Pas Kota Raja, EXCO Kerajaan Negeri Selangor, YB Ronnie Liu, Adun Port Dickson, YB Ravi, ADUN Sri Muda, YB Shuhaimi Shafiei, Adun Sekinchan, YB Ng Suee Lim, Ketua AMK Kota Raja, Azmizam Zaman Huri dan Ahli-ahli Majlis dalam kawasan DUN Sri Andalas.


Orang ramai yang hadir ke dewan sebelum ucapan dimulakan dipertontonkan video-video mengenai program-program Kerajaan Negeri serta pencapaian Kerajaan Pakatan Rakyat selama 3 tahun di Negeri Selangor.

Antara yang menarik perhatian orang ramai pada malam itu adalah maklumat pendedahan tentang isu-isu semasa  seperti pendedahan cek RM1.4 juta yang dikeluarkan salah seorang bekas ahli parlimen PKR dan ketidakadilan dalam mendapatkan bahan bukti dalam kes fitnah liwat Dato Seri Anwar Ibrahim.

Bermula pada pukul 8 malam dewan sudah mula dipenuhi orang ramai dan disebabkan kapasiti dewan hanya mampu memuatkan seramai 3,000 orang, layar telah disediakan oleh urusetia ditempat-tempat strategik untuk orang ramai yang berada diluar.

Masa kemuncak merupakan ketika Dato Seri Anwar Ibrahim tiba untuk memberikan ucapan dan amanatnya. Kehadiran beliau bukan sahaja telah dinanti-nantikan malah orang ramai mengambil peluang untuk bersalaman dan bergambar dengan beliau.

Selain siri ucapan oleh pemimpin-pemimpin yang hadir, khemah dan kaunter-kaunter program Kerajaan Negeri seperti Skim TAWAS, MUES dan sebagainya dibuka untuk maklumat dan pendaftaran orang ramai. 

Turut diedar adalah maklumat Buku Jingga, Akhbar Selangor Kini, risalah-risalah program peringkat DUN dan Kerajaan Negeri.

Majlis sambutan berakhir pada pukul 12.30 malam yang diakhiri dengan ucapan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim.

YB Dr Xavier Jayakumar mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang hadir serta penghargaan kepada para petugas yang bertungkus lumus membuat persiapan sepanjang majlis diadakan. 








Tiada ulasan: