Isnin, 14 Mac 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Jangan Kacau Tanah Kami

Posted: 14 Mar 2011 06:47 PM PDT

Dari Malaysian Insider

Pemilik tanah Kampung Baru tetap dengan pendirian menentang keras cadangan Putrajaya yang mahu mengadakan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 sambil menyifatkannya sebagai "rompakan secara senyap" untuk mengambil alih tanah penempatan eksklusif orang Melayu.

Malah ada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru berkata mereka tidak pernah sama sekali memberi persetujuan agar rang undang-undang itu digubal seperti mana dikatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bahawa hampir 90 peratus telah bersetuju dengannya.

Salah seorang penduduk yang ditemui, Zauriah Mat Nenggal berkata dia sama sekali tidak bersetuju dengan cadangan Raja Nong Chik untuk diadakan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 yang akan akan dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat pada Jun ini.

"Makcik memang tak setuju langsung, rumah mak cik dah dibangunkan janganlah kacau . . . tak akan nak robohkan rumah mak cik, ada otak itu pakailah. Jangan kacau rumah yang bukan hak kamu.

"Kalau nak robohkan kerajaan kena ganti balik, saya tidak mahu duit tapi saya mahu kerajaan ganti rumah juga . . . saya di sini ada rumah 12 pintu dan saya sewakan kepada orang, jadi jangan kacau mata pencarian mak cik," katanya yang berusia 77 kepada The Malaysian Insider.

Zauriah Mat Nenggal menegaskan buat apa kerajaan hendak mengacau tanah Kampung Baru. — Foto oleh Choo Choy May
Kata Zauriah, tindakan kerajaan yang mahu mewujudkan rang undang-undang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
"Raja Nong Chik hati Yahudi . . . Yahudi robohkan rumah Arab untuk bangunkan rumah tapi Raja Nong Chik nak ambil tanah Melayu untuk buat pembangunan.

"Raja Nong Chik tidak berperikemanusiaan langsung, ingat senang-senang nak robohkan rumah mak cik? Ingat orang Kampung Baru ini bodohkah? Ingat duit mak cik ini pasirkah? Kenapa nak kacau Kampung Baru? Ini kampung Melayu kenapa mesti nak kacau?" katanya.

Justeru, dia menggesa agar kerajaan pusat membatalkan hasrat untuk mengadakan akta tersebut.

"Raja Nong Chik ini dah belakangkan kiblat . . . tak jaga orang Melayu, baru jadi menteri dah lupa daratan.

"Kalau perkara ini Raja Nong Chik yang kena macam mana dia rasa? Mesti dia sakit hati," soalnya.

Bagi Jamaluddin Kamat, 54, cadangan untuk mewujudkan rang undang-undang itu seolah-olah mempunyai agenda tersendiri selain akan menidakkan hak pemilik dan pewaris tanah kawasan itu sekiranya ia dilaksanakan.

"Saya setuju dengan pembangunan di kawasan Kampung Baru tetapi tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang kalau kita lihat tidak jelas apa tujuan penubuhannya.

"Bagi saya rang undang-undang ini tidak menjamin masa depan pemilik dan pewaris tanah. Kalau contoh kita bersetuju apa jaminan kerajaan kepada kami? Pembangunan yang macam mana kerajaan mahu lakukan? Selain itu, kalau ia dilaksanakan mereka (kerajaan) mempunyai kuasa penuh ke atas tanah-tanah di kawasan ini," katanya.

Kata anak jadi Kampung Baru itu, rang undang-undang tidak diperlukan untuk membangunkan kawasan itu kerana sudah mempunyai Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru yang sudah menguruskan penempatan itu sejak 111 tahun lalu.

"Kami di sini tak perlukan rang undang-undang untuk membangunkan kawasan Kampung Baru ini, kami sudah ada MAS… selama ini MAS yang menguruskan semua perkara di sini.

"Pembangunan Kampung Baru ini boleh dilakukan tanpa rang undang-undang, kita boleh bangunkan melalui MAS dan kami percaya kepada MAS untuk menguruskan soal pembangunan tetapi dengan syarat kerajaan kena bantu, bukan dengan menubuhkan rang undang-undang yang kami sendiri pun tak tahu fungsinya," katanya.

Ditanya bacaan kali kedua rang undang-undang akan dibentangkan di Parlimen Jun ini, Jamaluddin berkata, pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu jelaskan kepada penduduk terlebih dahulu.

"Itu perlu dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah walaupun dapat tentangan, kena beritahu kerana kami nak tahu apa yang kerajaan ingin lakukan," katanya.

Kamal Hussein, 78, pula mahu imej kampung Melayu dikekalkan di Kampung Baru walaupun pembangunan dilakukan di kawasan itu.

"Bangunan tinggi-tinggi tidak diperlukan di Kampung Baru, cuma perlu menaik taraf mana-mana yang patut sahaja… buat apa nak bangunan tinggi, bukan kita mampu nak beli.

"Imej sebagai kampung Melayu perlu dikekalkan. Eloklah kalau kampung Melayu ini ada, lagipun Kampung Baru ini terkenal di seluruh dunia, kalau tiada imej kampung Melayu apa gunanya Kampung Baru di sini," katanya.

Dia juga bersetuju rang undang-undang yang telah diperhalusi semula Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar perlu dibentangkan kepada penduduk sebelum dibawa ke Parlimen.

"Kami di sini nak tahu apa yang diubah . . . apa yang diperhalusi dan kami nak tahu apa rang undang-undang yang akan dibentangkan nanti.

"Saya sendiri pun nak tahu apa yang mahu dilakukan kerajaan," katanya.

Raja Nong Chik sebelum ini berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen Jun ini selepas semua tugas memperhalusi semula deraf rang undang-undang itu selesai sepenuhnya.

Beliau berkata rang undang-undang itu, yang sepatutnya dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini, terpaksa ditangguhkan kerana kementerian perlu memperhalusi semula draf rang undang-undang itu.

Sementara itu, pemilik tanah generasi keempat Kampung Baru Efendi Ishak, 34, berkata rang undang-undang yang mahu dilaksanakan itu masih belum jelas fungsinya dan menimbulkan persoalan di kalangan pemilik dan pewaris tanah.

"Rang undang-undang tidak jelas, kita tak tahu apa yang kerajaan nak buat seolah-olah berselindung di sebalik nama rang undang-undang.

"Pemilik dan pewaris masih tertanya-tanya, kami tidak faham dan masih samar-samar tentang cadangan rang undang-undang ini," katanya.

Kata kakitangan swasta itu, sekiranya mahu membangunkan kawasan Kampung Baru kerajaan tidak perlu menubuhkan rang undang-undang, sebaliknya membantu pemilik dan pewaris dalam bentuk kewangan untuk membangunkan sendiri kawasan tersebut.

"Kami di sini tak bantah pembangunan tapi apa yang kami bantah adalah rang undang-undang ini. Kalau betul-betul nak bantu kami, tak perlukan rang undang-undang pun.

"Kami di sini boleh bangunkan sendiri kawasan Kampung Baru, tapi kerajaan perlu bantu dalam bentuk kewangan agar ia dapat dilakukan," katanya.

Mohd Yusof Abu, 67 pula berkata banyak perkara yang tidak dijelaskan kepada pemilik dan pewaris tanah mengenai rang undang-undang termasuk peruntukan yang memberikan kuasa penuh kepada menteri dan ia tidak boleh dicabar di mahkamah sekiranya perbadanan itu diwujudkan.

"Imuniti kepada perbadanan kami tak setuju . . . rang undang-undang ini juga kami tidak bersetuju, jadi bagaimana Raja Nong Chik boleh kata 90 peratus daripada kami bersetuju? Pembubaran MAS juga kami tidak setuju.

"Rang undang-undang ini tidak jelas dan ia cuba berselindung untuk menyembunyikan segala pembohongan yang mereka ingin lakukan," katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider ke Kampung Baru juga mendapati ramai penduduk di kawasan itu meletakkan kain rentang sebagai membantah cadangan rang undang-undang itu.

Seorang lagi yang ditemui, Mohammd Raizal Ahmad Yusof, 38, berkata, rang undang-undang tersebut tidak perlu dilaksanakan kerana kerajaan tidak mempunyai sebarang hak ke atas tanah yang diwasiatkan sejak turun-temurun itu.

"Apa hak kerajaan nak wujudkan rang undang-undang? Adakah tanah ini milik mereka? Ini adalah tanah wasiat dan ia perlu dijaga dan bukan untuk dibangunkan ikut rancangan kerajaan.

"Kalau nak bangunkan juga kerajaan pergi tanya setiap pemilik dan pewaris tanah, kalau mereka setuju bangunkan sahaja di tanah mereka buat apa nak libatkan semua tanah milik kami di sini," katanya.

Dia juga meminta agar Raja Nong Chik kemukakan bukti bahawa 90 peratus pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bersetuju dengan cadangan untuk diwujudkan rang undang-undang itu.

"Ada dia tanya pendapat pemilik dan pewaris tanah sebelum nak buat? Adakah kerajaan nak rompak tanah kami?" katanya.

Terdapat lebih 4,000 pemilik tanah Kampung Baru melibatkan tujuh kampung dengan kawasan seluas 90.2 hektar.

Pakatan Rakyat lancar kempen DNA ‘Datuk-Najib-Altantuya’

Posted: 14 Mar 2011 02:51 AM PDT

Dari KeadilanDaily

Pakatan Rakyat akan menggerakkan kempen yang dinamai 'DNA Najib-Altantuya' sebagai reaksi terhadap tohmahan pimpinan dan media kawalan Umno Barisan Nasional (BN) terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu sampel DNA.

"KEADILAN akan menggerakkan kempen bertema 'DNA Najib-Altantuya'. Kita merancang untuk memulakan kempen itu mulai minggu hadapan," kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail, hari ini

Bercakap pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, beliau berkata, kempen itu berbentuk pengedaran risalah dan ceramah penerangan di seluruh negara.

"Kita kini sedang menyediakan dokumen berkaitan," katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, demonstrasi yang diadakan ahli Umno BN menuntut Anwar menyerahkan sampel DNA sebagai suatu tindakan politik yang pincang.

"Sudah jelas bahawa kes ini adalah kes politik. Ia sengaja diwujudkan untuk memberi kesan kepada pengundi pada pilihan raya akan datang," katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now

Fitnah 2: Maklumat Bocor,Pejabat Peguam Negara Hina Mahkamah

Posted: 13 Mar 2011 09:31 PM PDT

Dari Keadilan Daily

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini akan mendengar dua permohonan pendakwa raya – semakan semula keputusan bicara dalam perbicaraan dan permohonan untuk mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sampel profail DNA.

Permohonan itu akan dibuat Peguam Cara Negara II, Mohd Yusof Zainal Abiden mengikut Seksyen 73 dan 165 Akta Bukti 1950.

Jumaat lalu, peguam bela membantah permintaan pendakwa raya dan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah yang kemudian menetapkan hari ini untuk mendengar hujah kedua-dua pihak.

Selasa lalu, Zabidin menolak tiga bukti yang diperoleh secara tipu – botol air mineral 'Cactus', tuala muka 'Good Morning', dan berus gigi – untuk dikemukakan sebagai bukti kerana ia diambil secara tipu helah sewaktu Anwar ditahan secara tidak sah.

Pendakwa raya akan memulakan hujah mereka diikuti hujah balas daripada Karpal Singh.

Berikut adalah laporan langsung dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur:

8.45 am – Galeri awam masih banyak ruang kosong.

8.51 am – DSP Jude Pereira kelihatan berdiri berhampiran pintu bilik saksi dan melihat-lihat galeri awam.

8.56 am – Anwar tiba di mahkamah bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

9.19am: Mahkamah mula bersidang.

9.24am: Karpal Singh mahu mahkamah membuat keputusan terlebih dahulu terhadap individu yang mengadakan demontrasi mendesak Anwar menyerahkan DNA-nya kepada mahkamah kerana perbuatan itu adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

"Ia merupakan satu intimidasi terhadap Yang Arif untuk memerintahkan Anwar membekalkan DNA beliau," kata Karpal.

Karpal juga mahu mahkamah mengambil tindakan terhadap permohonan penuh pendakwa yang dibocorkan di laman Malaysia-Today dan turut dilaporkan dalam akhbar News Straits Times hari ini.

9.29 am – Zabidin memanggil Karpal dan Yusof berbincang di bilik beliau. Mahkamah ditangguh sebentar.

9.47 am: Mahkamah bersidang semula. Hakim Zabidin mengingatkan kedua-dua pihak agar tidak melakukan sebarang perkara yang boleh merencatkan perjalanan perbicaraan yang sedang berlangsung.

10.13 am: Peguam Anwar, Marissa Regina Fernando tiba di mahkamah. Dalam pembentangannya, Yusuf berkata tanpa mengambil kira sama ada penahanan Anwar sah atau tidak, penahanan beliau dilakukan berdasarkan waran tangkap.

"Sama ada beliau dibawa (ke lokap) secara sah atau tidak, tangkapan dibuat berdasarkan waran tangkap. Anwar dilokap lanjutan daripada penahanan beliau," tambah Yusof lagi.

10.30am: Karpal mencelah pembentangan Yusof dan menyatakan beliau meleret dalam pembentangannya dan perkara yang dibentangkan juga sudah disentuh sebelum ini.

10.43am: Semua kerusi di galeri awam mahkamah penuh. Sebahagian hadirin kelihatan mengantuk begitu juga dengan Hakim Zabidin.

10.52am: Mahkamah ditangguhkan seketika.

11.28am: Mahkamah bersambung. Yusof membentangkan hujah bagi permohonan kedua iaitu mendapatkan sampel profail DNA Anwar.

12.07am: "Kami meminta mahkamah mempertimbang permohonan ini untuk membenarkan kami mengarahkan tertuduh memberikan sampel DNAnya," kata Yusof.

12.09am: Karpal berkata permohonan sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini dan beliau meminta masa sehingga esok untuk menyediakan hujah balas. Yusof tiada bantahan dan mahkamah dan Hakim Zabidin menangguhkan mahkamah.

Mahkamah akan bersidang semula jam 9 pagi esok.

Masalah Yang Dicetuskan Oleh First Lady

Posted: 13 Mar 2011 09:20 PM PDT

Oleh Mohd Rashidi Hassan

BERDASARKAN jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamad Nazri Aziz di Parlimen 9 Mac lepas, suatu division baru yang dinamakan FLOM memang wujud pada asalnya.

Ia dipaparkan dalam laman web www.pmo.gov.my (Prime Minister Office), tetapi ia kemudiannya ditarik balik kerana dipertikaikan wakil Pakatan Rakyat.

Nazri dalam jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, menafikan kewujudan FLOM, tetapi mengakui paparan mengenainya ditarik balik kerana beliau mendakwa ‘pembangkang keliru’.

Tetapi Nazri tidak sedar, kekeliruan itu sebenarnya dicetuskan oleh kerajaan sendiri. Jika tidak mahu ‘pembangkang’ atau rakyat keliru, mengapa paparan mengenai FLOM, dibina menggunakan alamat website rasmi kerajaan Malaysia yang menggunakan singkatan gov.my di internet?

Nazri juga memperakui bahawa Datin Seri Rosmah Mansor dan rombongannya membelanjakan wang rakyat sebanyak RM134,317.76 wang negara (wang rakyat) untuk lawatan ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh.

Rosmah melakukan lawatan dari 6-10 Januari ke Riyadh, 16-18 Januari ke Muscat dan 20 Januari 2011 ke Dhaka.

Ahli rombongan yang telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri adalah terdiri daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta isteri Menteri-Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri serta beberapa pegawai kerajaan yang terliba, kata Nazri.

Ada beberapa persoalan besar yang harus ditimbulkan di sini. Jawapan Nazri ini adalah jawapan rasmi kerajaan, selepas beberapa bulan isu berkaitan isteri PM dibangkitkan rakyat.

Sebelum ini, kerajaan dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri diam membisu.

Membangkitkan isu Rosmah bukan isu peribadi. Mempersoalkan kewajaran peranan Rosmah, juga bukan bertujuan menyentuh hal-hal peribadi PM Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri.

Dalam pertemuan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan karyawan Harakah di Pejabat Agung PAS 3 Mac lepas, beliau mengingatkan para wartawan agar tidak menyerang peribadi Rosmah.

Menyerang peribadi yang dimaksudkan beliau ialah, sebagai pengerak Harakah Islamiyah, kita tidak harus melabel Rosmah dengan gelaran yang menghina peribadi beliau.

Antara yang disebarkan dalam emel, facebook, blog dan sebagainya, ada pelayar internet menggelarkan beliau sebagai ‘bik mama’ (big mama), ada yang kata ‘the fat lady’. Semua gelaran ini tidak wajar dan tidak menepati kehendak Islam.

Namun masalah timbul, apabila Rosmah menggelarkan dirinya First Lady of Malaysia (Wanita Pertama Malaysia), atau singkatannya FLOM (FLOM).

Sebelum ini, isu berkaitan Rosmah menjadi serius apabila kerajaan tidak menjawab tentang kewujudan jabatan baru yang dinamakan sebagai FLOM di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Khabarnya dalam perancangan sebelum ini, FLOM ditempatkan pada aras yang sama dengan pejabat PM. Mempunyai pegawai yang tersendiri. Kewujudan FLOM disahkan melalui paparan dalam laman web rasmi JPM. Bagaimanapun, paparan tersebut dibuang selepas didedahkan media.

Namun hanya paparan yang dibuang. Lain-lain persoalan mengenai kewujudan FLOM, dana mana yang digunakan untuk membiayai perjalanan Rosmah ke luar negara, siapa yang membayar gaji pegawai-pegawai FLOM, semuanya didiamkan kerajaan.

Namun daripada jawapan Nazri di Parlimen, jelas menunjukkan Rosmah menggunakan wang kerajaan untuk memenuhi undangan negara terbabit. Yang lebih teruk sekali ialah apabila Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga menjadi anggota delegasi. Bila Menteri jadi anggota delegasi, maka sudah tentu Rosmah menjadi ketua rombongan.

Persoalannya, atas kapasiti apa seseorang yang tidak menjawat jawatan rasmi dalam kerajaan, boleh menjadi ketua rombongan, jika ianya majlis rasmi yang dibayar sepenuhnya oleh kerajaan.

Persoalan lain yang harus dibangkitkan, jika undangan tersebut khusus untuk Rosmah berucap atau menghadiri seminar, mengapa harus dibawa anggota rombongan yang besar? Mengapa harus diangkut seluruh isteri Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan?

Atas kapasiti apa kerajaan meluluskan peruntukan sebesar ini?

Mengenai FLOM, gelaran First Lady memang biasa digunakan, bagi merujuk kepada isteri Ketua Negara, sama ada dalam sistem beraja mahupun dalam sistem negara republik.

Namun, diterima juga gelaran First Lady bagi negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti di Malaysia.

Apa pun, ramai di kalangan rakyat yang mempertikaikan hasrat Rosmah menjadi FLOM kerana dalam sistem perundangan negara, Malaysia mempunyai Yang di-Pertuan Agong, manakala Raja Permaisuri Agong seharusnya menjadi First Lady.

Dalam konteks kuasa eksekutif berpusat kepada PM, mungkin Rosmah mahu First Lady dirujukkan kepada beliau.

Bagaimanapun, lima PM Malaysia sebelum ini, dari Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj hingga Tun Abdullah Ahmad Badawi, isteri mereka tidak pernah menggelarkan diri sebagai First Lady.

Justeru, apa yang dilakukan Rosmah adalah menyalahi precedent atau menyalahi amalan biasa yang diamalkan oleh isteri lima PM sebelum ini.

Tidak dinafikan wanita yang menjadi isteri kepada PM ada peranan tertentu yang harus dimainkan, untuk mendukung kerjaya suaminya.

Tetapi peranannya membantu suami (PM) harus dikhususkan. Isteri PM, isteri Menteri, isteri MB dan KM sama sekali tidak harus terbabit dalam business dealing, tender dan sebagainya.

Rosmah sudah pergi lebih jauh daripada lima isteri PM sebelumnya. Beliau pergi berkempen ke PRK Kerdau dengan menaiki helikopter. Masuk ke Felda dan berkempen untuk BN.

Harus dipersoalkan helikopter yang digunakan beliau milik siapa? Jika kos penerbangan tersebut dibiayai oleh ahli politik atau ahli perniagaan pro Umno-BN itu kita tidak persoalkan. Kita cuma mahu memastikan wang rakyat tidak disalahgunakan.

Masalah yang ditimbulkan oleh Rosmah bukan sahaja tidak disenangi Pakatan Rakyat, malah orang-orang Umno sendiri pun tidak menyenanginya.

Harus diingat, semasa PM, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi berkuasa dahulu, bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahannya sebagai ‘kerajaan tiga beranak’.

Hari ini bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahan Najib sebagai ‘kerajaan suami isteri’.

Kita tidak mahu menuduh lebih daripada itu, tetapi yang harus diperhatikan ialah kecenderungan kerajaan untuk membenarkan pihak tertentu terlalu berkuasa sehingga semua peraturan tatacara kerajaan dilanggar. Malah wang rakyat dibelanja sewenang-wenang untuk keperluan First Lady juga tidak wajar.

Kita mencabar kerajaan, jika apa yang dilakukan Rosmah tidak menyalahi peraturan, sila kemukakan bukti, butiran perbelanjaan beliau yang telus. Sila buktikan beliau tidak menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya.

Jika bukti-bukti ini tidak dikemukakan, hanya dijawab dengan mengatakan ‘itu fitnah pembangkang’, maka jangan sesekali dipersoalkan jika wujud persepsi buruk terhadap isteri PM.

Jika persepsi buruk ini tidak diatasi, apakah bezanya Rosmah dengan Leila Tablisi, Suzanne Mubarak dan Imelda Marcos?

Jangan-jangan FLOM bakal jadi flop!

This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now

Sidang Media Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat

Posted: 13 Mar 2011 09:01 PM PDT

Dimaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan selepas Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat.

Sidang media ini akan diadakan pada hari ini:

Tarikh : 14 Mac 2011 (Isnin)

Masa : 2:00 petang

Tempat : Bilik Mesyuarat Pejabat Ketua Pembangkang, Tingkat 14, Bangunan Parlimen.

Antara yang akan menghadiri sidang akhbar ini adalah YB Dato'Seri Anwar Ibrahim, YB Dato'Seri Haji Abdul Hadi Awang, YB Tuan Lim Kit Siang serta para Pimpinan Kanan Pakatan Rakyat .

Wakil media dijemput hadir untuk meliputi sidang media ini.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: