Sabtu, 5 Mac 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Kerdau: 75% Sudah Mengundi Walau Jalan Sesak

Posted: 05 Mar 2011 09:26 PM PST

Laporan Langsung di Kerdau


2.25pm: Seramai 6,805 pengundi (75.62%) telah keluar mengundi sehingga jam 2 petang.

2pm: Kesesakan teruk berlaku di sebatang jalan yang menghubungkan pusat mengundi di Rumpun Makmur dan Kerdau.
Keadaan itu hampir menyebabkan kenderaan yang melalui jalan berkenaan tidak bergerak langsung.

1.25pm: Jumlah keluar mengundi hingga hingga jam 1 petang telahpun mencatat angka 6,467 pengundi – 71.86%.



1pm: Ramai petugas dan golongan yang hadir ke kawasan pengundian mengambil peluang untuk berehat, termasuk sekumpulan aktivis daripada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM).
Kumpulan aktivis berkenaan pada awalnya dilihat menyertai kumpulan petugas BN.
Kelihatan beberapa orang daripada mereka sedang bermain ping pong di hadapan bilik gerakan MBFM yang terletak kira-kira 30 meter daripada SK Jengka 25.



12.30pm: Jumlah keluar mengundi hingga jam 12 tengahari ialah seramai 5,874 orang – 65.29 peratus.

11.30am: Jumlah keluar mengundi hingga jam 11 pagi ialah seramai 4,890 orang – 54.34 peratus.
Sementara itu, suasana lebih meriah dikesan di Felda Jengka 23, di mana penyokong BN dan PAS saling ejek-mengejek di luar pusat pengundian di SK LKTP Felda 23.
Kumpulan penyokong dengan kekuatan masing-masingnya seramai kira-kira 100 orang itu berhimpun di pinggir jalan yang menuju ke pusat pengundian berkenaan.
Penyokong BN itu melaungkan "murah" dan "tak sedap" apabila sebuah kereta tiba dengan membawa muatan air botol untuk penyokong PAS.
Penyokong PAS berkenaan bagaimanapun sekadar mengibarkan bendera mereka apabila diejek begitu.
Keadaan di sini secara umumnya aman dengan dikawal sekumpulan anggota polis yang sebahagiannya dilengkapi pistol dan senapang gas pemedih mata.

11.25am: Sekumpulan lebih 200 sedang berkumpul di jalan masuk ke SK Jengka 25, tetapi para penyokong parti itu hanya bersorak sekali sekala sahaja.
Pada waktu ini juga, seramai kira-kira 30 orang anggota polis bertugas mengawal keadaan. Jumlah ini adalah lebih ramai berbanding pada awal pagi ini.
PAS mematuhi arahan SPR dengan tidak mendirikan 'pondok panas' di kawasan ini, tetapi BN sebaliknya.

10.50am: Naib presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan rakan sejawatannya dari PKR Fuziah Salleh dilihat meninjau kawasan pengundian di Felda Jengka 25.
Menurut Tuan Ibrahim, PAS bergantung pada pengundi muda yang mewakili 38 peratus daripada 8,999 pengundi.
"Jika mereka turun semua, insya-Allah kita ada harapan," katanya kepada Malaysiakini.

10.45am: Keadaan lalu lintas menjadi sesak di Felda Jengka 25 ekoran keadaan jalan yang sempit dan banyak kereta yang berpusu-pusu.
Polis bertindak menukar aliran trafik menjadi sehala.

10.43am: Di SMK Jengka 25, kebanyakan penyokong PAS dan BN merupakan orang luar. Jumlah penduduk yang tidak ramai membolehkan pengundi mengenali antara satu sama lain.
Kelihatan orang tempatan bertanya kepada perayu undi: "Dari mana ya? Tak pernah nampak."

10.30am: Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah keluar mengundi dipercayai telah melebihi 40 peratus.
Sekiranya jumlah keluar mengundi dapat mencecah lebih 50 peratus menjelang tengahari, beliau yakin ia akan melebihi jangkaan jumlah keluar mengundi sebanyak 80 peratus.
Proses pengundian berjalan baik dan lancar, katanya kepada media ketika mengunjungi pusat pengundian SMK Kerdau.

10.20am: Seorang anggota trafik PDRM yang ditugaskan di Felda Jengka 25 berkata, keadaan trafik agak kelam kabut pada awal pagi ini.
Ramai "orang luar" yang datang untuk meninjau kawasan pilihan raya ini, katanya.
Tambahnya, beliau tidak menjangkakan keadaan trafik akan menjadi terlalu sesak walaupun polis bertindak menukar aliran trafik di situ menjadi sehala.
Anggota itu juga berkata, pegawai atasannya mahu mereka menguatkuasakan undang-undang dengan tegas di dalam kawasan rancangan Felda itu.
Katanya, pegawai berkenaan memberitahu mereka supaya menyaman penunggang sesiapa saja yang didapati tidak memakai topi keledar atau membawa bendera parti.
Tambahnya beliau hanya berada di situ untuk memastikan keadaan terkawal.

10am: Peratus keluar mengundi setakat ini adalah sebanyak 36.25 peratus atau seramai 3,262 orang.
Jurucakap SPR berkata suruhanjaya itu menyasarkan lebih 80 peratus akan keluar mengundi hari ini.
"Sasaran dibuat berdasarkan peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008 iaitu 80.3 peratus," katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, kira-kira 100 penyokong PAS dan BN kini berkumpul dan bercampur satu sama lain dalam satu kumpulan di SMK Felda Jengka 25.
Bagaimanapun, mereka dilihat matang dan tidak mengejek sama lain.
Penyokong PAS, terutama wanita rancak berselawat dan penyokong BN cuma bersorak kepada pengundi.
Pemandu kereta juga dilihat mematuhi arahan SPR dengan tidak menggunakan logo parti, sebaliknya menggunakan kertas warna biru dan hijau pada kenderaan mereka.

9.47am: Calon PAS Hassanuddin Salim berkunjung ke pusat mengundi di Desa Murni dan turut menyapa seorang pengundi yang sedang memeriksa maklumat di kaunter SPR.
Sementara itu, seramai kira-kira 200 orang penyokong PAS dan 100 orang penyokong BN berkumpul di tepi jalan sambil melaungkan slogan dan ejekan.
Kumpulan PAS melaungkan "Hidup Islam" dan "Hancur rasuah" manakala kumpulan BN yang berada di seberang jalan menyambut dengan laungan "Bohong" dan "Hidup BN."
Hassanuddin yang menyapa penyokong daripada kedua-dua kem berkenaan berkata, beliau melihat sambutan yang baik daripada para pengundi.
Tidak sampai lima minit kemudian, beliau meneruskan perjalanan ke pusat pengundian seterusnya.
Kawasan Desa Murni mempunyai seramai 1,343 pengundi – daerah mengundi paling besar dalam kawasan DUN Kerdau.
Dalam pilihan raya umum lalu, BN memenangi kawasan ini dengan majoriti tipis sebanyak 96 undi.

8.45am: Di SK Tekal, jentera PAS dan BN menggunakan taktik memimpin warga emas ke pusat pembuangan undi.
Petugas BN memakai baju berwarna merah dengan tulisan 'Gelombang merah' manakala PAS pula banyak dibantu unit amalnya yang berpakaian seragam berwarna merah tua.
Tiada pondok panas didirikan di sekitar kawasan ini, seperti ditetapkan SPR.

8.30am: Di SK Tekal, suasana tenang dan senyap tidak seperti selalu. SPR menguatkuasakan had sempadan sejauh 50 meter di antara kumpulan penyokong.
Garisan polis juga dipasang di sepanjang jalan menyebabkan tiada kereta diletak di tepi jalan dan tiada orang ramai berkumpul.
Didapati ada gadis berbaju merah jambu, dipercayai anggota Puteri Umno, dilarang dari mengiringi calon warga emas ke peti undi.

8.00am: Pusat pengundian dibuka secara rasmi. Cuaca baik walaupun dijangka mendung pada petang.
Lewat malam tadi hujan telah turun. Keadaan trafik juga baik memandangkan masih belum ramai pengguna jalan raya yang keluar pada waktu ini.



Sumber: MalaysiaKini

Merlimau: SPR Sasar Lebih 80% Keluar Mengundi

Posted: 05 Mar 2011 09:25 PM PST

Laporan Langsung di Merlimau


2.31pm: Langit mulai mendung, kemungkinan hari akan hujan.

2.40pm: 66.8 peratus atau 7,133 daripada 10,679 pengundi di Merlimau sudah keluar mengundi sehingga jam 2 petang. SPR mensasarkan lebih 80 peratus akan mengundi hari ini.

1.30pm: 61.38 peratus atau 6,555 daripada 10,679 pengundi di Merlimau sudah keluar mengundi sehingga jam 1 tengahari. SPR mensasarkan lebih 80 peratus akan mengundi hari ini.

1.05pm: Di pusat mengundi Permatang Serai, penyokong PAS kelihatan marah terhadap polis dan SPR kerana membenarkan penyokong BN melepasi halangan, untuk mengiringi pengundi ke kaunter SPR.
Penyokong wanita dari kedua belah pihak menjerit antara satu sama lain.
Seorang penyokong wanita BN dilihat sengaja memprovokasi penyokong PAS dengan berjalan menghampiri mereka seperti gaya seorang model. Penyokong PAS bagaimanapun, tidak memperdulinya.

1pm: Masa makan tengahari. Penyokong kedua belah pihak sedang menjamu selera di bawah pokok. Begitu juga dengan anggota polis anti-rusuhan.


12.40pm: 54 peratus atau 5,746 daripada 10,679 pengundi di Merlimau sudah keluar mengundi sehingga jam 12 tengahari. SPR mensasarkan lebih 80 peratus akan mengundi hari ini.

11.40am: 43 peratus atau 4,571 daripada 10,679 pengundi di Merlimau sudah keluar mengundi sehingga jam 11 pagi. SPR mensasarkan lebih 80 peratus akan mengundi hari ini.

11.39am: Suasana di Ayer Merbau kembali tenang apabila kumpulan Pemuda PKR beredar menuju ke pusat mengundi yang lain.
Tetapi sekumpulan Pemuda BN kedengaran mengusik janggut penyokong PAS.
"Janggut sunah Nabi! Ni la bodoh, bangang," jawab seorang daripada mereka.

11.10am: Di SK Merlimau, keadaan jadi panas apabila Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tiba untuk melawat pusat mengundi dan kedai-kedai berhampiran Merlimau Utara.
Penyokong Pakatan melaungkan "rasuah, rasuah".

10.55am: Calon PAS Yuhaizad Abdullah melawsat pusat mengundi SK Merlimau 2 - tempat mengundi bagi pengundi dari Merlimau Utara, di mana 42.3 peratus adalah Melayu, 17.1 peratus Cina dan 40.1 peratus India.
Calon BN menang di Merlimau Utara dalam pilihan raya lalu dengan mendapat 234 undi manakala PAS memperolehi 174 undi.

10.52am: Merlimau: Kira-kira 20 penyokong BN berarak menuju ke pusat mengundi Ayer Merbau, mencetuskan insiden jerit-menjerit dengan pesaing mereka dari Pakatan.
Pemuda PKR melaungkan "Sapu Malaysia" dan "1Islam!" setiap kali Pemuda BN melaungkan "1Malaysia!"
Ayer Merbau mempunyai jumlah teramai pengundi Cina di antara tujuh daerah pengundi, dan tempat terletakkan bilik operasi PKR bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

10:39am: Di pusat pengundian Ayer Merbau - SRJK (C) Merlimau - penyokong BN mengusik penyokong PAS, yang sebahagian besarnya adalah wanita.
"Ni semua nak mati dah!" kedengaran seseorang melaung ke arah seorang penyokong PAS yang sudah berusia.

10.35am: Sehingga jam 10 pagi, 30 peratus atau 3,175 orang sudah mengundi.

10:05am: Konvoi motosikal BN berlegar di sekitar pekan Merlimau. Mereka memakai baju biru BN dan mengebarkan bendera BN.

9:56am: Perniagaan laris di gerai keropok lekor di seberang jalan pusat pengundian. Pemilik, Mohd Zaid - penduduk tempatan Chinchin - berkata dia membuka gerai sejak jam 7 pagi. Dia dan isterinya mengundi sebaik sahaja pusat pengundian dibuka pada jam 8 pagi

9.42am: Yang paling vokal di Chinchin adalah NGO Skuad Teraju Elit Pemuda Selangor (Steps), yang sebelum ini dilihat menyertai demonstrasi anti-kerajaan negeri di Selangor.

9.35am: Penyokong PAS mengadu bahawa polis tidak bersikap adil kerana melarang penyokong PAS daripada melintasi garisan yang dipasang di pusat mengundi, sedangkan penyokong BN dibenarkan berbuat demikian.
Anggota Unit Amal PAS, Md Razi Jamaludin, 38, tidak puas hati terhadap perkara tersebut. Dia juga menafikan semangat anggota parti itu rendah kerana parti itu dijangka tewas di Merlimau.
Sebaliknya, katanya, semangat mereka adalah tinggi serta optimis untuk menang, tetapi mereka terpaksa berpecah antara dua pilihan raya kecil - Merlimau dan Kerdau, dan sebahagianya dihantar untuk mengiringi calon parti itu Yuhaizad.

9.25am: Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sehingga jam 9 pagi, 15 peratus atau 1,500 orang sudah mengundi.

9.16am: Penyokong PAS pula membalas dengan melaungkan ke arah Puteri Umno, "mengandung, mengandung". Mereka kemudiannya diarah oleh pemimpin mereka supaya berhenti berbuat demikian.

9.05am: Calon BN, Roslan Ahmad serta isterinya beredar dari tempat mengundi dan tempat kira-kira 350 penyokong BN di situ. Beberapa penyokong BN sudahpun kedengaran mengucap tahniah atas "kemenangannya".
Puteri Umno dan Wanita Umno mengebar bendera parti dan menyanyi lagu 'Inilah Barisan Kita".

9.01am: Calon PAS, Yuhaizad mengetuai bacaan doa di markas PAS bersama kira-kira 100 penyokong.
Kira-kira 76 peratus pengundi di stesen mengundi Chinchin adalah Melayu. Ini merupaka kampung halaman Yuhaizad. PAS mendapat satu perempat daripada undi di situ pada 2008.

8.40am: Roslan beratur di salah satu saluran mengundi tetapi kemudiannya mendapati dia masuk bilik yang salah untuk hendak mengundi.
Ini mencetuskan sedikit kekecohan di kalangan jurugambar kerana mereka terpaksa bergegas ke bilik lain.
Secara kebetulan, isteri Roslan juga melakukan kesilapan yang sama dengan masuk ke bilik yang salah ketika hendak mengundi.

8.10am: Di daerah pengundian Merlimau Pasir, dua wartawan TV dari Aljazeera diarah keluar oleh anggota polis dari kawasan sekolah ketika mereka mahu mewawancara pengundi.
Polis melarang wartawan stesen TV untuk berbuat demikian dalam kawasan sekolah.
Pengundi mula tiba di SK Merlimau untuk mengundi. Daerah mengundi tersebut mempunyai 2,180 pengundi. BN menang dengan majoriti 393 undi - dengan memperolehi sejumlah 985 undi dalam pilihanraya umum lalu.
Calon BN, Roslan Ahmad akan mengundi di sini.

8.00am: Merlimau - Pusat pengundian dibuka secara rasmi bagi kawasan pilihan raya ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya meramalkan jumlah keluar mengundi mencapai kadar 80 peratus, namun pengundi dinasihatkan supaya keluar awal kerana ribut petir dijangka berlaku di sebelah petang.


Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: