YES MINISTER! Posted: 13 Feb 2011 08:51 PM PST Salam 2 all. Alhamdulillah teman dimaklumkan tadi bahawa Kerajaan membuat keputusan membatalkan konsert Mohsen Namjoo yang dijadualkan pada hari Jumaat 15 Rabi'ul Awal 1432/ 18 Februari 2011 di Pusat Konvensyen KLCC. Teman difahamkan YB Menteri sendiri akan membuat pengumuman tersebut.
Sebenarnya teman tidak ada masalah dengan program-program kesenian. Tetapi untuk seorang penyanyi yang menghina Al Quran & Islam, bagi teman itu tidak boleh kita bertolak ansur. Teman tau akan ada puak yang akan mengkritik teman tetapi pada teman, sebagaimana yang selalu teman sebut, "aqidah didaulatkan, syariat dimartabatkan". Apa hal pun, Islam mesti didahulukan. Kita tidak mahu dalam suasana kita menyambut Maulidur Rasul esok dicemari dengan konsert golongan saperti Namjoo ini.
Teman juga tidak mahu rakyat dan Kerajaan Iran melihat kita saperti menghina mereka kerana Mahkamah Iran telahpun mensabitkan kesalahan jenayah kerana menghina Al Quran & syariat Islam keatas Namjoo ini dan menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara keatas beliau. Hanya beliau bernasib baik kerana sudah berada di Vienna, Austria maka hukuman itu tidak dapat dilaksanakan.
Kepada YB Datuk Seri Hishamuddin, YB Dato' Seri Jamil, YB Dato' Seri Rais, YBhg Datuk Sheikh Wan Mohamad (Ketua Pengarah JAKIM), Tuan KPD IPD Dang Wangi serta anggotanya , dan teman-teman wartawan yang membuat coverage (hujan ribut dan petir masa tu pun dema datang yop), teman ucapkan terima kasih atas tindakan segera dan berhemah yang diambil untuk menangani isu ini. Moga ALLAH menjadikan usaha ini sebagai suatu 'ibadah kita, dan memberi keampunan dan petunjukNya kepada kita semua.
Cuma teman berharap para pegawai yang diberikan tanggungjawab dalam hal ini, terutamanya Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem & Persembahan Artis Luar Negara (JK Puspal) agar lebih berhati-hati dan menjalankan penyelidikan dengan lebih menyeluruh sebelum memberi sesuatu kelulusan. Teman terkejut dahulu bagaimana artis gay yang terang-terang mengaku menjalani kehidupan homoseksual, Adam Lambert, boleh dibenarkan mengadakan konsert dalam negara ini.
Jagnganlah kerana nila setitik, habis susu sebelanga. Teman tahu ramai pegawai dan kakitangan Kerajaan yang komited dan serius dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka. Janganlah kerana segelintir yang cuai dan gagal menjalankan tugas dan kerja mereka memberikan imej dan persepsi negatif kepada yang lain. Apatah lagi kepada para Menteri yang sudah tentu mengharapkan pegawai yang amanah dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka, kerana kalau apa-apa berlaku, sudah pasti jari akan dituding kepada mereka, apatah lagi dalam keadaan diluar sana ada segelintir serigala politikus yang bersedia menerkam apa sahaja demi survival politik mereka. Just be careful yop!
Apa pun, teman ucapkan tahniah kepada YB Menteri-Menteri dan para pegawai (termasuk KP Jakim) yang terlibat, yang mengambil tindakan yang cepat dan tegas setelah mendapat maklumat yang sewajarnya. Apa yang teman sendiri belajar daripada isu ini ialah, jika cara kita betul, fakta kita kemas, maklumat kita jelas; jangan risau pak Menteri dan para pegawai yang berkenaan akan bersedia mengambil tindakan yang pantas dan tegas.
Wallahua'lam & Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin Isnin 11 Rabi'ul Awal 1432
*Nota: gambar teman selepas membuat lapuran polis di IPD Dang Wangi semalam.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan