Ahad, 6 Februari 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


ADUN Sri Muda Mengaku Tidak Bersalah

Posted: 06 Feb 2011 11:18 PM PST

SHAH ALAM, 7 Feb: Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pagi ini tidak mengaku bersalah atas dakwaan menghasut di Mahkamah Sesyen Shah Alam ekoran tulisan dalam blog peribadinya.

Beliau didakwa ekoran tulisannya pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".

Shuhaimi yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi diiringi para pengikutnya serta tujuh peguam yang membela beliau.

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Shuhaimi dituduh mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana didakwa menulis pendapatnya mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru pada 31 Disember lalu.


Shuhaimi menulis tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi yang disifatkan oleh musuh politiknya sebagai menghasut membenci Sultan Selangor.

Jika sabit kesalahan ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atu penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama.

Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan beliau diikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Shuhaimi diwakili tujuh peguam, diketuai peguam hak asasi yang juga Exco Majlis Peguam,  Edmund Bon.

Peguam lain, termasuk Lateefa Koya, Yusmaidi Yusoff, N Surendran, Amer Hamzah, Fahri Azzat dan Nizam Bashir.

Manakala pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.

Mahkamah menetapkan kes itu akan disebut pada 28 Mac ini.

Turut hadir pada prosiding di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali, Exco Dr Haji Yaakob Sapari, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Kapar, Manickavsagam dan Exco, Teresa Kok serta Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.


Hapus Akta Hasutan

Kerajaan Malaysia didesak memperbaharui sistem perundangan negara dengan menghapuskan Akta Hasutan peninggalan penjajah kerana ternyata tidak memberikan keadilan kepada rakyat negara ini.

Salah seorang peguam yang dilantik mewakili Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, peguam N Surendran berkata, sudah sampai masanya undang-undang negara ini digubal semula untuk menjamin hak setiap rakyat untuk bersuara.

Surendran berkata demikian sebaik sahaja keluar dari ruang bicara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini pagi tadi selepas Shuhaimi didakwa di bawah Akta Hasutan mengikut Seksyen 4 (1) berikutan siaran pandangan peribadinya di blog beliau pada 31 Disember lepas.


Kaedah Umno di Perak Tak Berjaya di Selangor

"Apakah tindakan ini merupakan fasa kedua dalam usaha BN merampas balik Negeri Selangor?" tanya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.


"Kita tahu bahawa semenjak Najib menjadi Pengerusi Umno Selangor, maka tindakan-tindakan biadap membelakangkan kerajaan negeri dan Sultan sendiri semakin menjadi-jadi," tulis Khalid di dalam blognya.

Katanya, perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri diusahakan dengan begitu bersungguh-sungguh dan semestinya ada perancangan durjana di sebaliknya.

Menurutnya, bukan sekadar untuk menempelak kerajaan negeri dan Sultan, tetapi semestinya ada perancangan yang lebih dari itu.

Tambahnya, tindakan terbaru ekoran krisis perlembagaan melihat bagaimana Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie pula diarah melapor diri ke balai polis pada hari Khamis untuk terus didakwa pada hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, ianya satu tindakan yang begitu laju dan cepat tidak seperti kebiasaan di Malaysia.

Katanya, pertuduhan yang bakal dikenakan ke atas Shuhaimi adalah tuduhan menghasut yang sekiranya didapati bersalah boleh membawa hukuman penjara dan/atau denda yang memungkinkan kerusinya terpaksa dikosongkan.

Ianya, kata beliau bermula dari tulisan Shuhaimi di blognya yang mana, sekiranya dibaca, jauh lebih 'kecil' isunya dibandingkan dengan apa yang pernah dinyatakan dan dilakukan oleh Umno terhadap institusi Sultan Melayu di beberapa negeri sebelum ini.

"Tidak perlu saya ulangi tindakan pemimpin Umno yang telah menjadi pengetahuan umum semenjak sidang Dun Selangor yang lalu.

"Namun apa yang ingin saya timbulkan ialah persoalan perancangan jahat pihak Umno BN yang sentiasa berusaha untuk menafikan hak rakyat untuk memilih kerajaan selain dari mereka," ujarnya.

Mereka, ujarnya menggunakan segala agensi kerajaan untuk menggagalkan kerajaan PR pilihan rakyat seperti pernah mereka lakukan di Perak.

Dewasa ini, katanya seolah-olah perkara yang sama sedang mereka lakukan di Selangor dan melalui kaedah yang seakan-akan serupa.

"Persoalannya, adakah perancangan jahat yang sama sedang diaturkan oleh Umno BN untuk Negeri Selangor?" soalnya.

Setelah menghalang pengembalian kuasa dan peranan Sultan dan Menteri Besar dan seterusnya melantik SUK pilihan mereka, maka soalnya lagi adakah ini merupakan fasa kedua perancangan jahat BN untuk menjatuhkan kerajaan PR di Selangor.

"Kita yakin, insya Allah bahawa kaedah yang digunakan mereka di Perak tidak akan berjaya di Selangor," tegasnya.

Malahan, katanya tindakan itu akan menyebabkan rakyat Selangor semakin menolak Umno dan BN kerana mereka menyedari kejahatan tindakan Umno dan BN dalam peristiwa seperti ini.

"Kita juga yakin bahawa YB-YB kita di Selangor tidak akan dapat dibeli atau ditipu semudah itu, lebih-lebih lagi apabila mereka semua menyedari betapa rakyat telah berkorban untuk mempertahankan kemenangan PR di Selangor," ujarnya lagi.



Sumber: Harakah Daily

Pemindahan SJK (T) Seaport Selesai

Posted: 06 Feb 2011 10:57 PM PST

PETALING JAYA 7 FEB: Isu pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Seaport yang sebelum ini mendapat bantahan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan penduduk berikutan isu keluasan tapak telahpun selesai. 

ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili penduduk berharap agar Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dapat memulakan segera pembinaan sekolah tersebut.

"Sebelum ini, pemindahan tersebut tertangguh pada 2008 apabila PIBG dan penduduk membantah tapak 1 ekar yang diberikan Kerajaan Barisan Nasional dahulu," jelas Nik Nazmi dalam sidang media di Dewan MBPJ, Kg. Lindungan pagi tadi.

Katanya, selepas rundingan antara PIBG, penduduk dan Kerajaan Negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada November 2010 telah memutuskan agar tapak SJKT Seaport di Kg. Lindungan ditetapkan pada 1.5 ekar.


Berikutan keputusan tersebut, Pegawai Daerah Petaling, Datuk Zulkepli Ahmad telah memanggil semua agensi kerajaan yang berkaitan untuk membincangkan isu ini pada Januari 2011. Nik Nazmi bersama Dr Xavier Jayakumar turut hadir ketika itu.

"Dalam mesyuarat tersebut, kami dimaklumkan bahawa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telahpun menyerahkan cek sebanyak RM1.2 juta pada 2008 sebagai sumbangan kepada pembinaan sekolah tersebut.

"Pihak JKR turut memaklumkan bahawa pelan pembinaan sekolah tersebut dengan 18 buah kelas berbanding rancangan 10 buah kelas dahulu," jelasnya lagi. 

Kerajaan negeri amat berharap agar pembinaan SJKT Seaport ini dapat dimulakan segera bagi memberikan kemudahan yang lebih selesa untuk pelajar-pelajar SJKT Seaport serta membolehkan penduduk sekitar Kg. Lindungan, Desa Mentari, Desaria dan Datuk Hormat mendapat kemudahan pendidikan yang lebih sesuai untuk anak-anak mereka.


Sumber: TVSNEWS

Pakatan Tetap Pinda Perlembagaan Selangor Jika Cukup Majoriti

Posted: 06 Feb 2011 01:00 AM PST

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Pakatan Rakyat (PR) akan meminda perlembagaan Selangor untuk mengembalikan kuasa dalam urusan pelantikan perkhidmatan awam negeri itu jika ia memperoleh majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum kelak, kata seorang pegawai kanannya.

Setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata janji untuk memulihkan kuasa pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan negeri kini dijadikan sebahagian daripada kempen PR Selangor menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Bagi saya, Umno sudah hilang momentum mereka," kata Faekah kepada The Malaysian Insider dalam satu temu bual eksklusif.

Tegas beliau, Umno dan Barisan Nasional (BN) telah diberi satu peluang untuk membuktikan mereka benar-benar sokong institusi diraja.


"Tetapi mereka enggan," kata Faekah lagi.

Ketika membentangkan usul pindaan perlembagaan 24 Januari lalu, Khalid melabelkan BN sebenarnya penderhaka kepada institusi raja-raja.

Sambil merujuk kepada krisis Perlembagaan 1993, Khalid mendakwa kerajaan persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu telah melakukan pindaan yang telah menghakis kuasa-kuasa institusi raja-raja.

"Derhakakah kami jika kami mahu mengembalikan kedaulatan negeri dan baginda Sultan (Selangor) yang memerintah negeri yang berdaulat ini?

"Derhakakah mereka (Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dari BN) jika mereka menolak atau lari daripada menerima usul pindaan ini?, katanya ketika membentangkan cadangan pindaan Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 pada sidang khas Dewan Undangan Negeri akhir bulan lalu.

Pindaan itu bagi mengembalikan kuasa Sultan dan menteri besar dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang negeri yang kini di bawah kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkaitan iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Kata Khalid, pindaan itu dicadangkan kerana jika pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan Negeri tidak dilakukan dengan telus, ia boleh diputarbelitkan oleh banyak pihak.

Pelantikan itu boleh diputarbelitkan sama ada oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kerajaan di Istana dan di Pejabat Menteri Besar atau perkhidmatan awam, katanya.

Khalid berkata tindakan kerajaan persekutuan menerusi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan melantik Pegawai Eksekutif Ex-Officio dengan membelakangkan menteri besar yang dipilih rakyat lantas berselindung pula di sebalik Istana yang ditaati rakyat adalah amalan salah, menghina kebijaksanaan dan kedaulatan negeri.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas oleh BN Selangor yang mendakwa PR sebenarnya yang menderhaka.

Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi oleh SPA mendapat bantahan kerajaan negeri Selangor yang memberi alasan ia dibuat tanpa merujuk kepada Khalid.

Khalid akan mengadakan pertemuan dengan Khusrin esok berhubung kedudukannya.

Faekah juga mendakwa Umno, selaku parti teras BN telah merompak kuasa pelantikan tiga pegawai kanan terbabit daripada Sultan Selangor pada 1993.

"Artikel 52(1) dipinda pada 1993. Tiada sebab untuk meminda ketika itu memandangkan isu ketika itu adalah imuniti Raja-raja Melayu," kata Faekah yang lulusan jurusan undang-undang.

"Jadi, kami akan memulihkan (perkara itu). Ia peluang bagi kami kembali kepada rakyat," kata Faekah.

Selepas sidang khas bulan lalu, Khalid mengumumkan bahawa kempen PR akan mendedahkan hipokrasi Umno dan ia akan diadakan di seluruh negara.

Timbalan pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar sebelum ini memberitahu pihaknya akan mendedahkan kepada rakyat bahawa PKR yang tidak menghormati Sultan dan berniat untuk merampas kuasa raja.

Bagaimanapun Faekah menegaskan, keputusan Umno untuk tidak memberi undi sokongan kepada usul tempoh hari dengan sendirinya telah mengetepikan hak mereka untuk menyokong institusi diraja.

Setiausaha politik berusia 46 tahun ini yakin kempen PR akan menarik sokongan kelak.

"Rakyat mahukan negeri ini diurus secara profesional. Rakyat masa sekarang bijak," kata Faekah.

Beliau juga menekankan, PR tidak berhasrat mahu mengembalikan kuasa mutlak pelantikan kepada negeri.

"Tujuan utama ialah untuk menekankan soal (keperluan) perundingan antara tiga pihak: JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), Sultan dan menteri besar," kata Faekah.

"Tidak harus ada mana-mana pihak bertindak secara veto (dalam hal ini)," kata beliau.


Sumber: The Malaysian Insider

YB Shuhaimi: Polis Tiada Hak Halang Perhimpunan Aman

Posted: 05 Feb 2011 01:00 AM PST

SHAH ALAM, 5 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafiei menjelaskan polis tidak  seharusnya memberi amaran dan menghalang orang ramai memberi sokongan kepadanya Isnin ini.

Ini kerana  perhimpunan yang bakal diadakan itu dibuat secara aman jika tiada gangguan dari pihak tertentu.

Shuhaimi berkata demikian ketika dihubungi Selangor Kini hari ini berhubung kenyataan  polis yang memberi amaran dan meminta orang ramai tidak mengadakan perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada Shuhaimi.

ADUN Sri Muda itu menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen tersebut ekoran kenyataan yang dibuat dalam blognya yang didakwa menghina Sultan Selangor.

"Tugas utama dia membanteras jenayah jadi tumpukan dan fokus kepada perkara-perkara yang boleh memberi keselesaan kepada rakyat…orang nak berkumpul ini mengikut perlembagaan persekutuan perkara sepuluh kurungan satu benda ini menjadi hak rakyat," katanya.


Shuhaimi seterusnya berkata polis seharusnya bertindak adil dan tidak menyebelahi pihak tertentu yang mempunyai kepentingan politik.

"Kalau polis nak larang benda tu…kenapa pada 24 haribulan waktu GAPS, Perkasa orang Umno berkumpul di Dataran Shah Alam  tu siap mereka iring lagi sampai ke SUK, kenapa ada double standard…sudah-sudahlah," jelasnya.

Shuhaimi berkata, polis diminta tidak menimbulkan kebencian rakyat terhadap pihak berkuasa itu berikutan tindakan pilih bulu mereka.

Dalam laporan akhbar hari ini, polis menyatakan akan bertindak terhadap pihak yang cuba mencetuskan ketegangan dan terbabit dalam perhimpunan haram di hadapan Mahkamah Sesyen.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata semua pihak diharap menghormati undang-undang dengan tidak menyertai perhimpuan tersebut.

Pihaknya memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas dan tidak teragak-agak untuk bertindak jika berrlaku keadaan kacau bilau di mahkamah nanti.


Sumber: Selangorkini

Tiada ulasan: