Ahad, 6 Februari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Hasutan: Shuhaimi tidak mengaku salah

Posted: 06 Feb 2011 10:41 PM PST

SHAH ALAM, 7 Feb: Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pagi ini tidak mengaku bersalah atas dakwaan menghasut di Mahkamah Sesyen Shah Alam ekoran tulisan dalam blog peribadinya.

Beliau didakwa ekoran tulisannya pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".

Shuhaimi yang tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi diiringi para pengikutnya serta tujuh peguam yang membela beliau.

(Gambar: Shuhaimi dikerumuni wartawan selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan menghasut di Mahkamah Sesyen Shah Alam pagi tadii)

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Shuhaimi dituduh mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan kerana didakwa menulis pendapatnya mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru pada 31 Disember lalu.

Shuhaimi menulis tentang pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi yang disifatkan oleh musuh politiknya sebagai menghasut membenci Sultan Selangor.

Jika sabit kesalahan ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000, atu penjara sehingga tiga tahun bagi kesalahan pertama.

Hakim Latifah Mohd Tahar membenarkan beliau diikatjamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Shuhaimi diwakili tujuh peguam, diketuai peguam hak asasi yang juga Exco Majlis Peguam, Edmund Bon.

Peguam lain, termasuk Lateefa Koya, Yusmaidi Yusoff, N Surendran, Amer Hamzah, Fahri Azzat dan Nizam Bashir.

Manakala pihak pendakwaan pula dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusof.

Mahkamah menetapkan kes itu akan disebut pada 28 Mac ini.

(Gambar: N Surendran meminta kerajaan membuat pembaharuan terhadap Akta Hasutan)

Turut hadir pada prosiding di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Timbalan Presiden Keadilan, Azmin Ali, Exco Dr Haji Yaakob Sapari, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Kapar, Manickavsagam dan Exco, Teresa Kok serta Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Hapus Akta Hasutan

Kerajaan Malaysia didesak memperbaharui sistem perundangan negara dengan menghapuskan Akta Hasutan peninggalan penjajah kerana ternyata tidak memberikan keadilan kepada rakyat negara ini.

Salah seorang peguam yang dilantik mewakili Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, peguam N Surendran berkata, sudah sampai masanya undang-undang negara ini digubal semula untuk menjamin hak setiap rakyat untuk bersuara.
Surendran berkata demikian sebaik sahaja keluar dari ruang bicara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dekat sini pagi tadi selepas Shuhaimi didakwa di bawah Akta Hasutan mengikut Seksyen 4 (1) berikutan siaran pandangan peribadinya di blog beliau pada 31 Disember lepas.

Dalam pada itu, Shuhaimi dalam kenyataan kepada Harakahdaily ketika menanti wang jaminan disiapkan menyatakan, rupanya akta ciptaan penjajah British masih 'mulia' walaupun negara merdeka sudah 53 tahun.


Sumber: Harakah Daily

Kaedah Umno di Perak tak berjaya di Selangor

Posted: 06 Feb 2011 10:36 PM PST

KUALA LUMPUR, 7 Feb: "Apakah tindakan ini merupakan fasa kedua dalam usaha BN merampas balik Negeri Selangor?" tanya Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

"Kita tahu bahawa semenjak Najib menjadi Pengerusi Umno Selangor, maka tindakan-tindakan biadap membelakangkan kerajaan negeri dan Sultan sendiri semakin menjadi-jadi," tulis Khalid di dalam blognya.

Katanya, perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri diusahakan dengan begitu bersungguh-sungguh dan semestinya ada perancangan durjana di sebaliknya.

Menurutnya, bukan sekadar untuk menempelak kerajaan negeri dan Sultan, tetapi semestinya ada perancangan yang lebih dari itu.

Tambahnya, tindakan terbaru ekoran krisis perlembagaan melihat bagaimana Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie pula diarah melapor diri ke balai polis pada hari Khamis untuk terus didakwa pada hari ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, ianya satu tindakan yang begitu laju dan cepat tidak seperti kebiasaan di Malaysia.

Katanya, pertuduhan yang bakal dikenakan ke atas Shuhaimi adalah tuduhan menghasut yang sekiranya didapati bersalah boleh membawa hukuman penjara dan/atau denda yang memungkinkan kerusinya terpaksa dikosongkan.

Ianya, kata beliau bermula dari tulisan Shuhaimi di blognya yang mana, sekiranya dibaca, jauh lebih 'kecil' isunya dibandingkan dengan apa yang pernah dinyatakan dan dilakukan oleh Umno terhadap institusi Sultan Melayu di beberapa negeri sebelum ini.

"Tidak perlu saya ulangi tindakan pemimpin Umno yang telah menjadi pengetahuan umum semenjak sidang Dun Selangor yang lalu.

"Namun apa yang ingin saya timbulkan ialah persoalan perancangan jahat pihak Umno BN yang sentiasa berusaha untuk menafikan hak rakyat untuk memilih kerajaan selain dari mereka," ujarnya.

Mereka, ujarnya menggunakan segala agensi kerajaan untuk menggagalkan kerajaan PR pilihan rakyat seperti pernah mereka lakukan di Perak.

Dewasa ini, katanya seolah-olah perkara yang sama sedang mereka lakukan di Selangor dan melalui kaedah yang seakan-akan serupa.

"Persoalannya, adakah perancangan jahat yang sama sedang diaturkan oleh Umno BN untuk Negeri Selangor?" soalnya.

Setelah menghalang pengembalian kuasa dan peranan Sultan dan Menteri Besar dan seterusnya melantik SUK pilihan mereka, maka soalnya lagi adakah ini merupakan fasa kedua perancangan jahat BN untuk menjatuhkan kerajaan PR di Selangor.

"Kita yakin, insya Allah bahawa kaedah yang digunakan mereka di Perak tidak akan berjaya di Selangor," tegasnya.

Malahan, katanya tindakan itu akan menyebabkan rakyat Selangor semakin menolak Umno dan BN kerana mereka menyedari kejahatan tindakan Umno dan BN dalam peristiwa seperti ini.

"Kita juga yakin bahawa YB-YB kita di Selangor tidak akan dapat dibeli atau ditipu semudah itu, lebih-lebih lagi apabila mereka semua menyedari betapa rakyat telah berkorban untuk mempertahankan kemenangan PR di Selangor," ujarnya lagi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, Shuhaimi didakwa mempersoalkan kuasa Sultan Selangor dalam blognya pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana didakwa menulis pendapatnya mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru pada 31 Disember lalu.

Jika didapati bersalah, beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun.


Sumber: Harakah Daily

Pemuda Melaka tekad tawan Merlimau

Posted: 06 Feb 2011 10:32 PM PST

JASIN, 7 Feb: Pimpinan dan ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka bertekad untuk menawan Merlimau pada pilihan raya kecil (PRK) Dun itu yang dijadualkan pada 6 Mac ini.

Hasrat itu dinyatakan sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Kamaruddin Sidek pada Himpunan Pemuda PAS Melaka sempena PRK Dun Merlimau yang berlangsung di Madrasah As-Solihin, Merlimau di sini semalam.

"Pemuda Negeri Melaka akan berjuang habis-habisan bagi menggempur BN dan menerangkan kepada rakyat akan kepentingan mereka mengundi calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil ini, insya Allah.

"Sudah sampai masanya PAS menjadi penasihat yang baik kepada kerajaan negeri Melaka pimpinan Umno yang nyata gagal mentadbir dan menjaga kepentingan umat Islam di Melaka," ujarnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman dalam ucapannya menggesa pemuda supaya bekerja kuat bagi memenangkan calon Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil ini.

"Pemuda mesti turun ke segenap ceruk berjumpa dengan pengundi agar risalah Islam ini dapat disampaikan kepada mereka.

"Umat Islam Melaka mesti diselamatkan dari cengkaman dan kezaliman Umno yang bermaharajalela sejak lebih 50 tahun di Melaka ini.

"Insya Allah, PAS mesti menang supaya suara kita dapat berkemundang di Dun Melaka bagi memberi peringatan dan nasihat kepada Umno," tambahnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shafawi Abdul Rani.

Dalam ucapannya Azman mengingatkan ahli pemuda PAS Melaka supaya berjuang dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana cabaran amat getir kepada PAS dan Pakatan Rakyat di kubu kuat BN.

"Pemuda Pusat seperti biasa akan mengarahkan seluruh jentera pemuda seluruh negara bagi membantu calon PAS di Merlimau, kita tidak akan undur dan akan terus mara walau apapun dugaan yang datang," kata Azman penuh semangat.

Azman diberi penghormatan menyampaikan bendera PAS kepada semua Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan sebagai simbolik bermulanya gerak kerja pemuda di Dun Merlimau.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, seluruh pimpinan PAS negeri dan pemuda negeri.

Program tersebut turut diserikan dengan lagu-lagu nasyid penuh semangat daripada Azhan Atan.



Sumber: Harakah Daily

Kenapa Najib Terpaksa Guna Khidmat APCO Worldwide

Posted: 06 Feb 2011 10:31 PM PST


KOMENTAR : Najib Razak mungkin telah melakukan kesilapan besar. Jika beliau tidak menggunakan khidmat APCO Worldwide untuk menaikkan imej beliau dan partinya, mungkin polemik beliau menggunakan khidmat perunding yang ada hubungkait dengan Zionisme itu tidak timbul. Beliau juga pasti dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya RM77 juta wang rakyat mengalir keluar Negara.

Itu akibatnya jika tidak berfikir semasak-masaknya sebelum bertindak. Jika Najib berusaha untuk menilai keupayaan tenaga komunikasi profesional tempatan mungkin beliau akan akur bahawa APCO tidak sehebat mana. Malah APCO ternyata menjadi liabiliti kepada beliau dan parti pimpinannya.

Jika Najib perhatikan kemampuan sumber dalam negara, mungkin beliau akan dapat menyandarkan bukan sahaja strategi menjaga imej beliau dan partinya, malah akan dapat nasihat pakar perunding strategi politik yang ampuh dan faham keunikan politik Malaysia. Namun ini semua tidak berlaku kerana Najib mungkin masih mengkagumi kepandaian orang asing. Maklumlah beliau lebih banyak habiskan masa belajar di luar negara.

Dalam Negara pun banyak bakat yang boleh memberi input politik pada Najib. Cuma mungkin Najib tidak rajin membaca akhbar tempatan. Jika tidak, tentu beliau sudah temui pakar perunding yang sudah berabad lama digunakan oleh pemimpin-pemimpin Melayu sebelumnya. Jika dia meneliti saranan politik dibuat oleh akhbar Utusan yang diwarnai oleh penulis yang menggunakan nama samaran Awang Selamat, tentu Najib tidak gusar hadapi pilihanraya umum ke-13 nanti.

Tulisan Awang dalam Mingguan Malaysia, membentangkan strategi komprehensif bukan sahaja untuk mengisi kepentingan Umno-BN dan Najib, malah ia boleh menjadi pelan induk untuk gerakan parti pembangkang - Pakatan Rakyat sekaligus.

Betapa hebatnya Awang Selamat boleh dinilai daripada tulisan 6 Februari lalu. Cuma dengan satu tulisan, Awang dapat menghuraikan masalah yang dihadapi oleh Pakatan Rakyat. Beliau mencadangkan supaya Anwar Ibrahim beralih ke tepi dan beri laluan kepada Hadi Awang untuk memimpin Pakatan Rakyat. Kata Awang, sokongan kepada Pakatan Rakyat sekarang semakin merosot sekarang kerana Anwar dan Nik Aziz. Setiap kali kedua-dua pemimpin ini buka mulut, lebih ramai orang akan menarik sokongan mereka untuk Pakatan Rakyat.

Begitu yakin Awang dengan pendiriannya hingga berani menyimpulkan, orang Melayu akan sokong Pakatan jika Haji Hadi yang memimpin. Mengkagumkan!

Kalau Najib sejak awal menjadi Perdana Menteri lagi sudah merujuk kepada Awang Selamat untuk merungkai cabaran politik yang beliau hadapi, tentu mudah baginya menyahut cabaran Pakatan Rakyat.

Betapa tidaknya, Awang mempunyai formula bagaimana hendak menyatupadukan orang Melayu, khususnya. Awang yakin Melayu cuma boleh bersatu jika Umno dan PAS bekerjasama dalam politik. Tidak kiralah jika ia dinamakan kerajaan campuran atau apapun.

Namun Awang mengesan usaha ini tidak mungkin berhasil jika masih ada penentang dari dalam dan luar PAS terhadap usaha ini. Maka dinamakannyalah Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas dan Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat sebagai penentang idea Melayu bersatu itu.

Hujjah Awang, jika Hadi yang memimpin Pakatan Rakyat, undi Melayu pasti akan mengalir sama ada kepada Umno atau pun PAS. Dan, jika Umno dan PAS bekerjasama, undi Melayu akan utuh dalam dua jemaah yang mempunyai tujuan yang sama - perpaduan Melayu. Selagi ada Anwar dan Nik Aziz, kerjasama itu tidak mungkin jadi kenyataan.

Memang bijak Awang. Dia ada strategi politik tersendiri. Malah ini adalah lebih baik daripada strategi Dr Mahathir yang mahu pencinta perpaduan Melayu "ketuk sahaja kepala Anwar dan Nik Aziz" kerana jadi penghalang perpaduan Melayu. Beza pendekatan Awang dengan Dr Mahathir ialah mantan presiden Umno ini kurang sabar; beliau mahu guna cara kekerasan. Awang lebih sopan - ketepikan Anwar dan Nik Aziz dalam Pakatan Rakyat, orang Melayu akan bersatu.

Mungkin ini bukan pertama kali Najib mendengar syor seperti ini. Mungkin juga itulah sebabnya Najib terpaksa menggunakan khidmat APCO sebab idea Awang ini kurang cerdik . ini kerana idea itu cuma boleh digerakkan oleh Pakatan Rakyat sendiri. Soalnya, tidak mungkin DAP dan pemimpin-pemimpin PAS dan PKR begitu dangkal hendak mendengar dan melaksanakan idea Awang. Ini kerana mereka insaf bahawa pakatan itu wujud kerana pengaruh dan kepemimpinan Anwar dan Nik Aziz.

Mungkin Najib merumuskan jika Awang dan akhbar Utusannya gagal meyakinkan pembacanya akan kebijaksanaan barisan editor dan penulis seperti Awang dengan dalil jualan akhbar berkenaan semakin merosot, bagaimana beliau boleh percaya kepada idea usang Awang itu?

Tambahan pula, idea Awang ini salin tak tumpah dengan idea Dr Mahathir. Apapun Najib yakin dia adalah perdana menteri bukan Dr Mahathir lagi. Oleh itu, mengapa perlu ia mendengar cakap Awang atau Dr Mahathir? Lebih baik dengar cakap APCO; jika ideanya kurang bernas pun, ia adalah syarikat perunding antarabangsa berbanding Utusan akhbar kampungan yang semakin merosot pengaruhnya.


Sumber: TVSNEWS

Panel pita Lingam 'dibenar cabar' keputusan

Posted: 06 Feb 2011 10:30 PM PST

Mahkamah Persekutuan hari ini meluluskan permohonan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan, tahun lalu yang membenarkan dua bekas hakim negara dan peguam Datuk VK Lingam mencabar penemuan suruhanjaya berkenaan berhubung isu video kontroversi yang mengaitkan peguam kanan itu dengan pelantikan hakim-hakim.

vk lingam ahmad fairuz chief justice video sequence
Panel tiga anggota yang diketuai oleh Presiden Mahkamah rayuan, Tan Sri Alauddin Md Sheriff membenarkan permohonan yang dibuat oleh suruhanjaya berkenaan yang diwakili oleh pendakwaraya kanan persekutuan, Azizah Nawawi.

Anggota lain adalah hakim Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Ketiga-tiga halim itu bersetuju membenarkan persoalan: 'Sama ada penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan mengikut Seksyen 3, Akta Suruhanjaya Inkuiri 1950 boleh disemak mengikut Peraturan 53, Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980...'

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan dua lawan satu, memutuskan Lingam mempunyai hak untuk mencabar penemuan suruhanjaya berkenaan.

Hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud dan Datuk Zaharah Ibrahim membenarkan rayuan yang dibuat oleh Lingam dan dua bekas ketua hakim negara - Tun Eusoff Chin dan Tun Sheikh Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim. Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus membantah.

Pada 12 Dis, 2008, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keputusan suruhanjaya tidak boleh disemak atas dicabar kerana ia bukan satu keputusan dan ia tidak memberi kesan terhadap hak individu atau obligasi mereka yang terbabit.

azlan
Dalam laporan siasatan mereka, lima anggota panel itu, mendapati bahawa video klip menunjukkan Lingam dalam satu perbualan telefon dengan Ahmad Fairuz berhubung pelantikan hakim, adalah tulen.

Suruhanjaya itu memperakukan agar tindakan yang sesuai perlu diambil terhadap enam individu iaitu Lingam, Ahmad Fairuz, Mohd Eusoff, jutawan Tan Sri Vincent Tan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas perdana menteri Tun Dr MahathirMohamad kerana salah laku.

Suruhanjaya itu mendapati ada bukti yang cukup bagi menyiasat keenam-enam individu mengikut Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Kanun Keseksaan dan AktaProfesion Undang-undang 1976.

vk lingam scandal mahathir eusoff chin adnan fairuz vincent lingam
Kecuali Dr Mahathir, kelima-lima mereka mengemukakan permohonan agar mahkamah mengadakan semakan semula bagi membatalkan hasil siasatan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, Tan dan Tengku Adnan menarik balik rayuan mereka awal tahun ini.

Suruhanjaya itu, yang dipengerusikan Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Amar Steve Shim Lip Kiong, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas peguam cara Puan Sri Zaitun
Zawiyah Puteh dan Professor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim bersidang selama 17 hari untuk menyiasat klip video 14 minit itu dan menyelesaikan siasatan pada 15 Feb 2008.


Sumber: Malaysiakini

Demo anti-Mubarak: Polis kunjungi rumah SU PSM

Posted: 06 Feb 2011 10:27 PM PST

Ekoran penyertaannya dalam perhimpunan antipresiden Mesir Hosni Mubarak di pada 4 Februari lalu, polis mengunjungi rumah setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan di Kajang bagi merakamkan keterangannya.

NONE
Bagaimanapun, kunjungan empat anggota polis daripada ibu pejabat daerah (IPD) Cheras itu tidak disenangi Arutchelvan yang kemudiannya membuat laporan polis mendakwa tindakan itu sebagai satu bentuk gangguan, salah guna kuasa dan mala-fide.

"Arutchelvan (kanan, berbaju merah)) menolak memberikan sebarang kenyataan kepada polis kerana Notis 111 Kanun Acara Jenayah tidak menetapkan tarikh dan masa beliau perlu melakukannya.

"Beliau (Arutchelvam) mengabaikan notis yang tidak sempurna itu dan menyifatkannya sebagai gangguan dan ugutan kepada pihak yang terlibat menjayakan demonstasi pada hari tersebut," demikian menurut kenyataan daripada ibu pejabat PSM di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu lagi, polis turut mengugut akan mendapatkan waran tangkap sekiranya Arutchelvan enggan memberikan kenyataan semalam.

Arutchelvan membuat aduannya pada jam 9 malam tadi di balai polis Kajang berhubung perkara itu.

protest against hosni mubarak us embassy kuala lumpur crowd women children 1
Mengulas kunjungan ke rumah Arutchelvan itu, PSM juga mendakwa, kelihatannya Malaysia bimbang dengan penyertaan ramai orang dalam perhimpunan bagi menunjukkan sokongan kepada rakyat Mesir walaupun dianjurkan pada hari cuti.

"Nampak seperti mereka sekarang mahu membangkitkan rasa takut dan cuba menghentikan mobilisasi dalam isu ini," kata kenyataan itu lagi.

"Perdana menteri memperingatkan rakyat Malaysia untuk belajar daripada Mesir berhubung berlakunya kekacauan jika terjadinya demonstrasi, tetapi belum menyatakan sokongan terhadap desakan supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan."


Sumber: Malaysiakini

Debat dengan Nik Aziz: PAS minta Umno kumpul ulama

Posted: 06 Feb 2011 10:25 PM PST

PAS berharap cadangan dialog antara mursyidul amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan boleh menjadi kenyataan, bahkan disiarkan secara langsung supaya orang ramai boleh menghakimi dan menilainya.

Ketua penerangannya Idris Ahmad berkata, kesediaan Nik Aziz itu menepati amalam dalam sejarah peradaban Islam untuk mencari kebenaran.

idris ahmad pas information chief
"Sebenarnya tindakan Tuan Guru Nik Aziz merupakan ulangan yang berkali-kali diajak oleh pemimpin PAS bagi menyelesaikan kemelut yang ada di negara ini dengan cara ilmiah. Pihak Umno sering menuding jari kepada PAS dengan tuduhan, PAS membawa ajaran yang sesat, parti anti perpaduan, menafsir Islam yang salah, parti yang menyekat kemajuan.

"Malangnya segala tuduhan terhadap PAS hanya disiarkan sebelah pihak melalui media BN. Segala tuduhan ini tidak diberikan peluang untuk PAS menjawab balik," kata Idris Ahmad (kiri).

Dalam satu kenyataan semalam, Idris juga menyindir parti lawannya Umno supaya "mengumpul ulama yang ada dalam parti Umno untuk turut serta".

Beliau berharap, selepas ini tidak berbangkit lagi tuduhan yang sering dilemparkan kepada PAS.


Sumber: Malaysiakini

PAS: Kenapa perlu serah Kelantan ke mulut naga

Posted: 06 Feb 2011 10:23 PM PST

PAS menyifatkan kempen Gelombang Merah yang digerakkan Umno Kelantan untuk menarik sokongan 400,000 orang muda hanyalah angan-angan Mat Jenin kerana golongan itu adalah "generasi yang sedar dan bermaklumat."

idris ahmad information chief pas muktamar in kota bharu
"Orang muda Kelantan tidak boleh terima slogan Umno hendak membela Kelantan, sedangkan Umno perlu membela rakyat negeri lain yang berada di bawah pemerintahan Umno yang tertinggal jauh dari segi kuasa membeli dan memiliki hartanah," kata ketua penerangannya Idris Ahmad (kiri).

Kelmarin Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kempen bertemakan "Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat" akan dilaksanakan Pemuda Umno negeri melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Kempen itu antara lain berobjektif untuk menawan negeri itu daripada kepimpinan PAS yang telah memerintah Kelantan selama 21 tahun, pada pilihan raya umum akan datang.

Berikut kenyataan penuh Idris:

PAS berpandangan harapan Datuk Seri Mustafa Mohamed yang hendak memikat 400,000 orang muda hanya angan-angan mat jenin sahaja. Orang muda Kelantan adalah generasi yang sedar dan bermaklumat. Mereka antipenindasan, diskriminasi dan penyelewengan.

Orang muda Kelantan tidak boleh terima slogan Umno hendak membela Kelantan, sedangkan Umno perlu membela rakyat negeri lain yang berada bawah pemerintahan Umno yang tertinggal jauh dari segi kuasa membeli dan memiliki hartanah.

Seramai 400,000 orang muda Kelantan bukan hidup di dalam gua yang tidak tahu perkembangan dunia. Orang muda Kelantan yang terkenal sebagai golongan terpelajar dan memenuhi kerusi di pusat pengajian tinggi di dalam atau luar negeri.

Mereka menguasai ketua jabatan di Putrajaya. Ini petanda rakyat Kelantan, cerdik dan berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.

Mereka tidak dapat menerima pengkhianatan kerajaan pusat yang tidak iktiraf kerajaan rakyat di Kelantan. Tindakan kerajaan pusat yang menyekat 118 projek sejak Rancangan Malaysia Keenam 1991, merampas hak royalti minyak satu lagi bukti penyelewengan konsep federalisme.

Kenapa pemimpin Umno Kelantan yang berada di peringkat pusat telah mengkhianat rakyat Kelantan sehingga sanggup menyalurkan minyak ke Songkla Thailand, pada hal lebih ekonomik ia mendarat di Kelantan.

Kesemua sikap ini tidak boleh diterima oleh orang muda Kelantan untuk menerima umno memerintah semula di Kelantan, kenapa mereka hendak menyerahkan diri mereka ke mulut naga untuk merosakkan sistem yang sudah dibina selama 20 tahun.

PAS hendak menasihat Datuk Seri Mustafa Mohamed, lebih baik beliau ambil perhatian negeri-negeri di bawah BN dahulu seperti Sabah dan Sarawak.

Pulihlah ekonomi negara yang menghadapi kadar inflasi yang semakin tinggi, semuanya gara-gara kegagalan kerajaan BN. Kelantan sudah selesa di bawah kepimpinan PAS yang boleh bersaing dengan negeri-negeri di bawah pemerintahan BN.

Umno janganlah jadi tikus membaiki labu.


Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: