Sabtu, 19 Februari 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Aina di Jeti Temerloh

Posted: 19 Feb 2011 09:30 PM PST






Sempat juga saya pergi ke Pekan Sehari Temerloh tadi membawa Aina dan Annuar. Annuar didokong ibunya, tapi Aina turun ke Jeti Temerloh.
Jeti Temerloh terletak di lokasi yang indah dan cukup menawan. Aina berjalan diatas Jeti memandang ke Sg Pahang dan Sg Semantan. Dari Jeti kelihatan jambatan gantung yang menghubungkan Pekan Sehari ke Restoran Patin merentasi Sg Semantan.
Lokasi Jeti ini adalah tempat terletaknya rumah-rumah rakit sejak tahun 1950-an. Keluarga saya tinggal di rumah rakit pada tahun 50-an kerana kami tidak boleh tinggal di Kampong Lubok Kawah. Kampong itu diisytiharkan sebagai kawasan HITAM oleh Inggeris kerana dari kampong itulah berkumpulnya golongan pejuang-pejuang nasionalis menuntut kemerdekaan.
Di Lubok Kawah terdapat Markas Angkatan Pemudia Insaf dan Angkatan Wanita Sedar.
Kami hanya boleh pulang ke Kampong Lubok Kawah menjelang Kemerdekaan Negara dan penduduknya ramai berada didalam tahanan Inggeris, dan yang tua-tua serta kanak-kanak berpindah dari kampong itu ke Chatin, Penak, Kg Tebal, Kg Batu Papan, Kg Berhala Gantang dan lain-lain kampong. Hanya semasa menghampiri MERDEKA barulah kami dapat berpindah semula ke kampong kami.
Di Kampong Lubok Kawah sekarang ini tidak ada lagi penduduk asalnya. Kebanyakan mereka sudah berpindah ke Kg Paya Pulai dan sudah meninggal dunia.
Kini Kampong Lubok Kawah didiami oleh generasi baru dan berlaku penghijrahan beramai-ramai oleh penduduk Negeri Kelantan dan kini mereka mempunyai tanah kampong, tanah ladang dan rumah mereka sendiri di Kg Bukit Tingkat yang terletak lebih kurang 1/2 batu dari Lubok Kawah.
Di lokasi Jeti Temerloh itu, ramai penduduk-penduduk mendiami rumah-rumah rakit didalam tahun 50-an dan sehinggalah ke tahun-tahun 70-an dan 80-an.
Kini hanya ada sedikit sahaja lagi rumah-rumah rakit itu.
Kalau dulunya di tebing Sg Semantan di Lokasi Rumah-Rumah Rakit itu terdapat beberapa buah kedai dan rumah-rumah diatas tanah Kerajaan. Di kawasan tapak tingginya terdapat sederet kedai-kedai dan diatas kawasan bukit yang lebih tinggi darinya terletak sebuah Masjid iaitu di tapak Masjid Abu Bakar yang ada sekarang ini.
Di sebelah hilirnya adalah Rumah Pasung (nama dulu untuk Balai Polis). Ayah saya pernah ditahan semasa ditangkap di akhir tahun 40-an kerana beliau adalah seorang pejuang kemerdekaan yang menganggotai Angkatan Pemuda Insaf.
Ramai ahli keluarga saya yang ditangkap oleh British, bahkan semua saudara mara saya yang dewasa hampir kesemuanya ditahan oleh British kerana mereka adalah pejuang-pejuang kemerdekaaan menganggotai API dibawah pimpinan Ahmad Boestamam.
Di sebelah hulunya terdapat sebuah sekolah Cina bersebelahan dengan Rest House, dan tapak Sekolah Cina itu adalah Sekolah Kee Chee yang ada sekarang, sebuah sekolah yang terbesar di Temerloh pada hari ini. Dan di sekolah itu terdapat ramai juga anak-anak Melayu bersekolah disana.
Anak-anak saudara saya ramai yang belajar di Sekolah itu dan kini sudah melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.
Banyak kenangan lama yang boleh saya ukirkan di Jeti Temerloh ini.
Walaupun saya berterima kasih dengan pembinaan Jeti ini, tetapi saya juga mahu limparkan teguran kepada Majlis Perbandaran Temerloh bahawa Jeti ini tidak diberikan penjagaan yang baik.
Ianya kotor. Kesan-kesan banjir yang lepas tidak dibersihkan. Lantai di kawasan "walk" di tebing sungai itu penuh dengan tanah dan sembal, dan tidak terurus dengan kekotorannya.
Saya ingin cadangkan kepada Majlis Perbandaran Temerloh supaya menaik tarafkan Jeti ini supaya menjadi mercu pelancungan di Daerah ini untuk pelancung-pelancung dalam dan luar Negeri.
Aina cukup minat dengan Jeti ini. Masa 2 jam dia disana tidak mencukupi, dan saya janjikan bahawa dalam minggu ini, Insya Allah saya akan bawa dia lagi kesana.


Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal terima tanggungjawab untuk DUN Kerdau

Posted: 19 Feb 2011 04:47 AM PST

Sdr Othman Sentol dari Felda Lui Selatan 2 menyerahkan kepada Dato Fauzi Abdul Rahman borang keanggotaan Parti Keadilan Rakyat secara simbolik mewakili rakan-rakannya yang kini bersedia menubuhkan sebuah Ranting PKR di Felda Lui Selatan 2, N. Sembilan, di sebelah kirinya Sdr Rebin Birham, Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat.

Sdr Fauzi Abdul Rahman sedang berbincang dengan Sdr Jamaludin Sharif daripada Pekan Felda Chini untuk penubuhan sebuah ranting PKR di Chini selepas PRK DUN Kerdau.

==
Seramai 87 orang Jentera dari Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Parti Keadilan Rakyat telah diberikan taklimat khas oleh Dato Fauzi Abdul Rahman, Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang di Rumah Rehat Temerloh pada petang tadi 19hb Februari 2011.
Disamping kagum dengan tindakan Biro yang tidak henti-henti menjalankan kegiatannya di seluruh Negara, Dato Fauzi juga kagum dengan kehadiran Jentera Biro itu yang berkumpul dan berbincang strategi-strategi memperkukuhkan gerakan PKR didalam rancangan-rancangan Felda.
Sejak setahun yang lepas, PKR Pahang melalui Biro Felda telah berjaya menubuhkan ranting-rantingnya didalam rancangan Felda diseluruh Negeri Pahang dan Biro itu juga berjaya mengadakan pelbagai kegiatannya dirancangan-rancangan Felda.
Dato Fauzi mengajak semua Cabang di Negeri Pahang menumpukan kegiatannya bagi menubuhkan ranting-ranting baru di rancangan-rancangan Felda serta di perkampongan orang Asal yang masih belum menubuhkan ranting-ranting. Beliau memberikan pujian kepada Cabang Paya Besar yang telah berjaya menubuhkan ranting Parti di semua rancangan Felda di kawasan Parlimen Paya Besar dengan keanggotaan yang semakin membesar.
Beliau juga memberikan pujian kepada Cabang Kuala Krau yang berjaya menubuhkan ranting-rantingnya di kesemua perkampongan Orang Asal didalam DUN Jenderak.
"Tidak ada jalan pintas, jika kita mahu menang kita kena kerja keras dan kerja smart." kata Dato Fauzi.
Dato Fauzi turut menyentuh senario politik Negara dan beliau menyatakan bahawa Malaysia mesti diselamatkan. Beliau memetik kata-kata daripada N.H. Chan, bekas Hakim Mahkamah Rayuan yang membandingkan senario di Mesir dengan Malaysia.
Hakim Chan menyatakan bahawa regime yang memerintah Mesir adalah terlalu lama dan wujud kesamaan dengan Malaysia bahawa UMNO/BN telah memerintah Malaysia selama lebih 50 tahun; di Mesir berlaku rasuah yang melampau dan keadaan ini dikongsi juga oleh Malaysia dan di Mesir wujud undang-undang yang mencetuskan ketidak-adilan dan keadaan ini juga berlaku di Malaysia.
Kemiskinan di Mesir adalah sama dengan Malaysia dimana pemerintahnya kaya raya dan rakyatnya berada didalam keadaan kemiskinan.
Perbezaaan diantara Mesir dengan Malaysia hanyalah dari sudut keberanian rakyatnya yang sanggup keluar ke jalan-jalan raya mengadakan rebolusi aman dan mendesak pemerintah yang zalim meletakkan jawatan.
Di Malaysia keberanian itu belum wujud, tetapi dengan senario yang hampir sama diantara Mesi dan Malaysia, keadaan itu keberanian itu lambat laung akan tercetus juga di Malaysia jika pemerintah yang ada ini tidak berubah.
Pakatan Rakyat, kata Dato Fauzi, memperjuangkan "3L":
(a) Lapar - PR berjuang untuk menghapuskan kelaparan, iaitu kita mahu mengadakan makanan kepada setiap warga negara dan tidak ada lagi warga negara yang lapar. L pertama itu adalah "Food";
(b) Lampin - PR berjuang untuk keselesaan rakyat agar tidak ada rakyat yang kekurangan pakaian. L kedua ini adalah "Clothing" (Pakaian); dan
(c) Lindung - PR berjuang supaya setiap rakyat Malaysia memperolehi perlindungan secukupnya dalam erti setiap rakyat mempunyai rumah untuk berlindung. L ketiga ini adalah "Housing"
Food, Clothing dan Housing adalah keperluan asasi rakyat dan itu adalah perjuangan utama PR.
Dato Fauzi menyatakan bahawa memenangi Pilihanraya untuk Negeri Pahang bukanlah sesuatu perkara yang mustahil, dan proses itu bermula dengan kerja kuat dan kerja smart setiap anggota parti yang perlu dibimbing dan dipimpin oleh Jawatankuasa khususnya Ketua-Ketua Cabang.
Di hujung majlis taklimat itu, telah dilancarkan pungutan derma dan jumlah yang dapat dikutip adalah RM857.00 dan jumlah ini akan digunakan untuk memulakan bilik gerakan di Felda Jengka 22 untuk PRK DUN Kerdau.
Mesyuarat Biro terdahulu darinya telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu PKR untuk PRK DUN Kerdau dan menyusun aktiviti untuk kerja rumah ke rumah di Felda Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25.
Mana-mana tenaga daripada mana-mana Negeri yang terdiri daripada anggota PKR dari kalangan Peneroka-Peneroka dan Generasi Muda PKR hendaklah melaporkan diri di Bilik Gerakan PKR di No. 20 Felda Jengka 22.

Tiada ulasan: