Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Peguam Anwar: Pakar gagal lapor DNA misteri di rektum, seluar Saiful
- KWSP: Dividen 5.8 peratus tidak memadai
- Portfolio bukan Muslim: Guan Eng selar BN hipokrit
- Tiada bukti Beng Hock melompat keluar
- Penduduk Miskin Menetap Ditanah Kerajaan Bakal Terima Tanah, Exco Kedah
- Faekah: Muhyiddin Hilang Punca Di Sarawak
- Orang Asal Di Selangor Terbela Di Bawah PR
- Menunggu bekalan air, elektrik di negeri 'maju'
- Hata NUJ jual tanah RM1.2 juta untuk akhbar bebas
- AMK umum ketua negeri untuk hadapi p'raya
- NUTP bantah penswastaan sekolah
- Pilihan raya kampus celaru: Gamis desak Khaled undur
- Hadi: BN tindas, rakyat Malaysia boleh bangkit
Peguam Anwar: Pakar gagal lapor DNA misteri di rektum, seluar Saiful Posted: 20 Feb 2011 11:18 PM PST KUALA LUMPUR, 21 Feb — Peguam pembela Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mencetuskan keraguan terhadap laporan profil DNA disediakan pakar kerajaan dengan mendakwa dokumen itu gagal menyertakan dua lagi profil DNA yang tidak dikenali. Peguam Ramkarpal Singh mendakwa Dr Seah Lay Hong telah gagal untuk mematuhi garis panduan antarabangsa berhubung proses pemprofilan DAN dan oleh itu, laporan tersebut adalah bias. Katanya, meskipun bacaan graf menunjukkan dua lagi profil DNA yang tidak dikenali pada bahagian rendah rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan dan pada seluar hitamnya, Dr Seah tidak menyertakan maklumat pada laporannya. Pakar itu setakat ini telah bersetuju bahawa ada tiga profil DNA melibatkan kes ini iaitu lelaki Y, satu profil DNA yang tidak dikenali dan satu lagi milik Saiful. "Ia kelihatan DNA separuh pasukan bola sepak ditemui tetapi anda memilih untuk tidak melaporkannya," kata Ramkarpal di mahkamah hari ini. Ketika ditanya mengapa beliau tidak melaporkannya, Dr Seah berkata beliau tidak menemui bacaan yang signifikan. "Bacaan tidak dilaporkan meskipun ia mempunyai bacaan yang tinggi," kata Ramkarpal. Beliau menggunakan prosiding sebelah pagi tadi untuk memeriksa balas kredibiliti laporan kimia disediakan Dr Seah. Sambil menekankan laporan kimia itu tidak konsisten, peguam itu menambah, Dr Seah telah gagal untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Antarabangsa Forensik Genetik. "Beliau telah gagal mematuhi garis panduan yang penting. Saya menyentuh soal garis panduan di sini. "Saya mengesyorkan kepada beliau beberapa senario yang memberikan satu gambaran berbeza daripada apa yang beliau syorkan," kata Ramkarpal kepada pemberita kemudian. Perbicaraan disambung pukul 2 petang tadi. Jumaat lalu, Dr Seah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Jabatan Kimia mempunyai garis panduannya sendiri untuk menjalankan analisis. Dr Seah berkata walaupun pengeluar dan pembekal perisian memiliki garis panduan masing-masing, namun makmal boleh mengikuti garis panduan sendiri seperti yang disarankan oleh Persatuan Antarabangsa Forensik Genetik. Saksi kelima pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa sebagai anggota persatuan itu, beliau mengikuti perkembangan terkini dan saranannya terutama yang berkaitan pemprofilan DNA. Dr Seah juga berkata beliau menggunakan perisian penganalisis biosistem genetik dan 'DNA view' bagi membantunya mendapatkan keputusan konklusif daripada sampel berkenaan. Ditanya lanjut oleh peguam itu sama ada kedua-dua perisian tersebut selalu dikemas kini, Dr Seah berkata, kali terakhir ialah pada 2007. Beliau memberi keterangan pada perbicaraan kes Anwar, 63, yang didakwa meliwat Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah. Sumber: The Malaysian Insider |
KWSP: Dividen 5.8 peratus tidak memadai Posted: 20 Feb 2011 11:17 PM PST KUALA LUMPUR, 21 Feb: Tindakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memberikan dividen hanya 5.8 peratus tidak wajar kerana pendapatan kasarnya telah meningkat 40 peratus. Sepatutnya, KWSP memberikan dividen yang lebih besar kerana peningkatan bursa saham adalah sebanyak 19.3 peratus sedangkan dividen KWSP hanya naik 2.7 peratus dari 5.65 peratus tahun 2009 ke 5.8 peratus sahaja untuk tahun lepas. Demikian kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga anggota Parlimen Bagan. Semalam, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.8 peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 yang meningkat 15 mata asas, berbanding kadar 5.65 peratus yang dibayar pada 2009. Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, pencapaian itu menggambarkan tahun memberangsangkan yang mana pendapatan pelaburan kasar dana persaraan tersebut mencecah rekod tertinggi dalam sejarah sebanyak RM24.06 bilion. "Ia merupakan peningkatan 39.76 peratus berbanding RM17.22 bilion pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan pada 2009," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam. Kata Lim Guan Eng, seorang akauntan bertauliah, DAP melahirkan rasa terkejutnya dengan pengumuman ini kerana ia tidak selaras dengan kenaikan 40 peratus pendapatan KWSP sebanyak RM24.06 billion berbanding RM17.22 billion pada tahun 2009. Dividen KWSP adalah salah satu sumber pendapatan penting kepada 11 juta pekerja di Malaysia. "DAP berharap KWSP dapat menjelaskan kenapa ia berlaku," kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya. Sumber: Harakah Daily |
Portfolio bukan Muslim: Guan Eng selar BN hipokrit Posted: 20 Feb 2011 11:16 PM PST PENANG, 21 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelar pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang bersifat hipokrit dan bermain api perkauman atas usaha kerajaan negerinya menubuhkan portfolio baru bagi menguruskan hal ehwal agama bukan Islam. Dengan merujuk kepada portfolio yang sama di dalam kerajaan Barisan Nasional di Perak, Guan Eng menyifatkan kebisuan pemimpin Barisan Nasional terhadap kerajaan Perak yang dipimpin Menteri Besar Zambry Abdul Kadir sebagai satu sikap talam dua muka hipokrit. "Negeri Perak wujudkan portfolio bukan Islam yang sama dan diteruskan oleh Menteri Besar Zambry, mengapa Umno tidak mengutuk Zambry? Barisan Nasional talam dua muka bermain dengan api," selar Guan Eng di Twitter. Di Perak, Zambry masih meneruskan portfolio untuk bukan Islam yang diwujudkan oleh bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebelum rampasan kuasa Barisan Nasional pada Februari 2009 dengan memberikan tanggungjawab tersebut kepada Mah Hang Soon dari MCA. Sejak pengumuman penubuhan portfolio bukan Islam, Guan Eng dan kerajaan Pulau Pinang diserang tanpa henti oleh para pemimpin BN, termasuk bekas Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon yang menganggap portfolio baru bagi menguruskan hal ehwal agama bukan Islam hanya untuk mencari publisiti. Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia seperti biasa memainkan peranannya dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dengan mendakwa bahawa portfolio bukan Islam tersebut bakal dijadikan alat oleh DAP untuk mengancam kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara. "Portfolio bukan Islam Penang tidak menyoal kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Barisan Nasional sedang bermain api dengan pembantahan seolah-olah orang bukan Islam tidak mempunyak hak untuk menyelesaikan masalah sendiri," tegas Guan Eng dalam menjawab tuduhan tersebut. Tiada masalah - Mujahid Sementara itu, ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa menyokong penuh kewujudan portfolio itu sambil berkata ia adalah langkah yang wajar diambil oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengelakkan fitnah-fitnah agama yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara. "Bagi saya portfolio ini adalah satu tindakan yang tidak bertentangan dengan pentadbiran negara, yang mana kita ada portfolio menjaga hal ehwal agama Islam, jadi tiada masalah untuk wujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam di Pulau Pinang," kata Mujahid yang dipetik oleh The Malaysian Insider. Dalam pada itu, Perdana Menteri Najib Razak mengingatkan umat Islam negara ini tentang soal pluralisme agama dengan mengatakan bahawa ia adalah bertentangan dengan kepercayaan Islam bahawa semua agama sama di depan Allah. Dalam satu langkah yang disifatkan berbaur politik dari kaca mata penganalisa politik, Tan Sri Koh Tsu Koon telah mengeluarkan satu kenyataan untuk mentafsir kenyataan Najib. "Saya fikir beliau merujuk dari sudut pandang teologi dan apa yang kita (kerajaan) telah lakukan adalah mempromosikan pemahaman yang lebih baik (melalui panel antara agama)," kata Koh di samping menegaskan kerajaan masih komited terhadap fungsi panel antara agama walaupun umum mengetahui sekian lama tidak menampakkan apa-apa hasil. Sumber: Harakah Daily |
Tiada bukti Beng Hock melompat keluar Posted: 20 Feb 2011 11:14 PM PST KUALA LUMPUR, 21 Feb: Penyiasat forensik polis, Mazli Jusoh Che Kob berkata, tiada bukti yang ditemui menunjukkan Teoh Beng Hock melompat dari sebuah tingkap di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menurut beliau, tiada sebarang tanda-tanda di sekitar bingkai tingkap yang menunjukkan seseorang cuba keluar dari tingkap berkenaan. Mazli berkata demikian ketika memberikan keterangan di depan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini. Pejabat SPRM itu terletak di tingkat 14, Plaza Masalam di Shah Alam manakala mayat Teoh dijumpai pada aras 5 di koridor berkenaan pada 16 Jun 2009 selepas disiasat semalaman sebagai saksi. Ekoran itu, satu inkues dioadakan namun hasilnya tidak dapat ditentukan bagaimana cara beliau mati. Ekoran itu, satu sauruhanjaya dibentuk bagi menyiasatnya. Mazli yang disoal oleh wakil Majlis Peguam, Chris Leong, juga bersetuju jika seseorang ingin keluar ikut tingkap, mereka akan memegang bingkai tingkap ataupun duduk di ambangnya - yang kemungkinan besar akan meninggalkan tanda-tanda. Prosiding hari ini diberitahu oleh Cif Inspektor Mazli Jusoh bahawa beliau tidak menemui apa-apa bukti yang dapat menunjukkan Teoh ada memegang bingkai tingkap ataupun duduk pada ruang tingkap plaza berkenaan sebelum ditemui mati di tingkat sembilan. "Anda tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Teoh telah bertindak keluar dari tingkap?" soal peguam Majlis Peguam Christopher Leong pada inkuiri hari ini. "Tidak, tidak ada apa-apa (kesan)," jawab Mazli. Sumber: Harakah Daily |
Penduduk Miskin Menetap Ditanah Kerajaan Bakal Terima Tanah, Exco Kedah Posted: 20 Feb 2011 11:12 PM PST LANGKAWI 21 FEB: Kerajaan negeri Kedah akan menimbang pemberian tanah kepada penduduk miskin yang telah lama menetap di tanah kerajaan untuk memberi keselesaan kepada mereka. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar, Kerja Raya, Bekalan Air dan Tenaga Negeri Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata ketika ini, dua permohonan secara kelompok membabitkan tanah hutan diterima daripada Pejabat Tanah Daerah Langkawi untuk pertimbangan. "Kita akan pertimbang permohonan kelompok yang lama kerana kerajaan simpati kepada penduduk miskin yang tiada tanah," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 11 mangsa kebakaran di Kampung Kelibang di Pejabat Daerah Langkawi semalam. Kerajaan negeri menyumbang RM1,000 kepada setiap mangsa kebakaran 9 Sept lepas, yang memusnahkan 18 rumah kedai. Lapor Bernama, Phahrolrazi berkata pejabat tanah akan memproses permohonan penduduk miskin secara kelompok. Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah Langkawi. Mengenai pencerobohan tanah di pulau lagenda itu, Phahrolrazi mengingatkan orang ramai supaya tidak berbuat demikian kerana kerajaan negeri berusaha mengekalkan kehijauan selaras kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan kawasan tadahan air. "Jika kegiatan pencerobohan berlaku, ia akan menjejaskan keindahan Langkawi dan merugikan penduduk," katanya. Beliau berkata Jabatan Hutan sedang memantau dan mengenal pasti kegiatan pencerobohan di kawasan hutan. Bagi tanah kerajaan, Phahrolrazi meminta Pejabat Tanah meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan ia tidak diceroboh. "Walaupun kegiatan pencerobohan tidak serius, tapi memerlukan pengawasan dan pengawalan serta penguatkuasaan daripada pelbagai agensi yang terbabit,"katanya. Sumber: TVSNEWS |
Faekah: Muhyiddin Hilang Punca Di Sarawak Posted: 20 Feb 2011 11:10 PM PST SHAH ALAM 21 FEB : Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada rakyat Sarawak baru-baru ini menampakkan beliau telah hilang punca akan cara terbaik untuk modal kempen sempena pilihan raya negeri Sarawak dengan menjadikan Selangor sasaran dan modal untuk menakut-nakutkan rakyat Sarawak, kata Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin. Faekah dalam surat terbukanya berkata Muhyiddin sepatutnya lebih mendengar rintihan rakyat Sarawak yang ditekan secara berterusan oleh pemimpin diktator tidak kurang dari 30 tahun lamanya. Muhyiddin sepatutnya cuba meyakinkan rakyat Sarawak bahawa BN di bawah pimpinannya akan mampu menyelesaikan tanah adat yang menjadi isu utama sejak beberapa dekad lalu. "Muhyiddin sepatutnya berusaha supaya rakyat Sarawak percaya yang Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud tidak akan lagi memimpin Sarawak. Sekurang-kurangnya Muhyiddin sepatutnya mampu menunjukkan kepada Taib Mahmud bahawa beliau adalah liabiliti kepada BN Sarawak dan berundur. Di sini kegagalan nyata Muhyiddin. Telah menjadi rahsia umum Taib Mahmud adalah bebanan besar yang perlu ditanggung BN Sarawak yang akan turut merentap kejatuhan Putrajaya. Selaku Timbalan Pengerusi BN pusat, Muhyiddin hilang punca di Sarawak. Demi melindungi kegagalan beliau dan kelemahan pentadbiran pusat menangani isu kekebalan Taib Mahmud, Selangor pula dijadikan sasaran," katanya. "Untuk pengetahuan Muhyiddin ketika beliau sibuk melawat Sarawak; dan cuba memberi gula-gula basi BN, sekumpulan rakyat Miri yang bosan dengan penipuan telah datang ke pejabat KEADILAN di Petaling Jaya dengan membawakan memorandum rakyat Miri berkenaan tanah adat yang telah puluhan tahun dimanipulasi pemerintah Sarawak. Meskipun Timbalan Perdana Menteri berada di Sarawak namun warga Ulu Niah NCR Oil Palm Project telah memilih menemui KEADILAN kerana mereka tahu Muhyidin tidak mampu menyuarakan hasrat mereka di depan Taib Mahmud dan pihak-pihak terlibat, " ujar Faekah lagi. Tambah Faekah, dua kali pilihan raya telah berlalu sejak projek ini bermula, namun nasib mereka tetap sama. Tanah adat seluas 3,800 ekar tidak tahu khabar berita; ditakuti hilang begitu sahaja. Sebaliknya dalam pertemuan dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta beberapa pimpinan KEADILAN telah memberi jaminan bahawa terdapat penyelesaian terbaik untuk masalah tersebut. Jelas Muhyiddin ternyata lemah dan tidak mempunyai kekuatan politik untuk menyelesaikan kemelut pemerintahan Sarawak sekaligus menangani masalah tanah adat di Sarawak. Menjadikan Selangor sebagai sasaran bertujuan menutup kelemahan beliau namun apa yang berlaku adalah sebaliknya; semakin menyerlahkan lagi kegagalan kepemimpinan beliau. "Rakyat Selangor sebaliknya melihat bagaimana kerajaan PR berhempas pulas memperbaiki sistem yang rosak dan harta benda rakyat Selangor yang selama 52 tahun dirobek pemerintahan BN. Puluhan ribu ekar tanah rakyat Selangor dibolot dan diagih sesama mereka dan kroni; akibatnya puluhan ribu rakyat menderita tertipu," kata Faekah. Sumber: TVSNEWS |
Orang Asal Di Selangor Terbela Di Bawah PR Posted: 20 Feb 2011 11:04 PM PST DENGKIL 21 FEB: Membela nasib rakyat sentiasa mendapat keutamaan Pakatan Rakyat tanpa mengambil kira status bangsa dan agama sesuatu masyarakat itu. Layanan sama rata yang diberikan terhadap semua bangsa termasuk kepada masyarakat Orang Asal menjadi bukti ketelusan dan keprihatinan kerajaan negeri Selangor kes Bukit Tampoi yang berlarutan kira-kira 15 tahun berjaya diselesaikan. Semalam Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim bagi pihak kerajaan negeri memberi pampasan sebanyak RM 6.5 juta kepada masyarakat Orang Asal dalam Majlis Jasamu Dikenang Sempena Kes Bukit Tampoi di sini semalam. Dalam ucapan perasmiannya Khalid berkata, kerajaan negeri Pakatan tidak pernah mengamalkan dasar perbezaan kaum, agama mahupun fahaman politik. Jelasnya, kerajaan pimpinan Pakatan akan melayan dan memberikan hak yang sama kepada semua bangsa termasuk kepada masyarakat Orang Asal yang diakui sudah lama mendiami bumi Selangor. "Kerajaan negeri akan menyokong usaha ini dan mahu saudara terlibat dalam tiap-tiap keputusan yang kita buat," katanya. Tambahnya, masyarakat Orang Asal pasti akan mendapat pembelaan apabila ketua kampung mereka kini turut serta dalam Jawatankuasa Kemajuan Kampung atau JKKK di negeri Selangor. "Kerajaan negeri sekarang telah menyatakan bahawa ketua-ketua kampung Orang Asal adalah sebahagian dari struktur pentadbiran negeri Selangor," katanya. Turut hadir, Exco Selangor, Elizabeth Wong dan Pengerusi JKKK Kampung Bukit Tampoi, Ilam Senin. Sebelum Pakatan menerajui kerajaan negeri, katanya, keadaan ini adalah berbeza di mana ketua kampung Orang Asal tidak termasuk dalam JKKK. Jelasnya, kerajaan negeri Pakatan komited terhadap nasib dan masa depan rakyat di negeri ini dan akan terus berusaha mejayakan pelbagai rancangan serta program yang diatur menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES. Kes Bukit Tampoi atau lebih dikenali sebagai Sagong Tasi bersempena nama seorang penduduk adalah kes mengenai tanah seluas 38.47 ekar milik masyarakat Orang Asal di kampung itu yang telah diguna bagi pembinaan laluan lebuhraya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Bermula pada 1995 Sagong Tasi ketika itu 65 tahun mengetuai sekumpulan orang kampung menuntut hak mereka ke atas tanah yang diceroboh bagi pembinaan lebuhraya tersebut di Mahkamah Tinggi. Kes tersebut berlarutan sekian lama dan sering tertangguh. Bagaimanapun pertukaran kerajaan negeri sejak Mac 2008 menyaksikan satu perubahan di mana kes tersebut mendapat pembelaan dan diperjuangkan hingga kemenangan berpihak kepada masyarakat Orang Asal di Kampung Bukit Tampoi di sini. Sumber: TVSNEWS |
Menunggu bekalan air, elektrik di negeri 'maju' Posted: 20 Feb 2011 11:01 PM PST Beberapa bulan lalu, Melaka diisytiharkan sebagai 'negeri maju' oleh ketua menterinya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Bagaiamanapun, C Ragunathan tidak bersetuju. Rumahnya yang berusia lebih 25 tahun terletak di atas sebidang tanah milik swasta di sebuah estet kelapa sawit di Kampung Paya Yoki, kira-kira 6km dari pekan Merlimau dan kira-kira 500 meter dari kawasan kejiranan yang paling hampir. Hanya lima tahun lalu Ragunathan mendapat sambungan bekalan elektrik ke rumahnya, itupun bukan melalui cara yang sepatutnya. Selepas bertahun-tahun permohonannya asyik ditolak, beliau membayar RM30,000 kepada seorang juruteknik bagi membuat penyambungan 'haram' bagi mendapatkan bekalan elektrik. Ini dilakukan dengan pemasangan tiang ke rumahnya dari grid tenaga yang terletak kira-kira 2km jaraknya. Namun, bagi rumahnya yang didiami oleh lebih 10 orang itu, mereka masih tidak menikmati bekalan air bersih. Ragunathan, ayah kepada tiga anak itu berkata, bekalan air harian kini diperolehi menerusi sebuah kolam di belakang rumah mereka. Bagi air minuman, bekalan diperolehi dari sebuah perigi. "Saya masih bertanya kepada pihak berkuasa bila boleh dapat bekalan air paip. Malah, sehingga hari ini, saya terus telefon mereka," katanya ketika ditemui. "Mereka (pihak berkuasa) kata tidak dapat bekalkan keperluan itu kerana tidak ada orang tinggal di kawasan ini tetapi, bukankah kita juga orang?" Terdapat lebih kurang 20 pemilik tanah yang masih tinggal di kawasan yang sama. Ada yang telah berpindah kerana terlalu sukar bagi meneruskan kehidupan tanpa keperluan asas. Menjelang pilihan raya kecil ini, Ragunathan berharap masalahnya dapat diselesaikan. Awal bulan ini, pembantu ketua menteri Melaka melawat kawasan itu bersama pegawai Tenaga Nasional Bhd, dan berjanji masalah mereka akan diselesaikan sebelum pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau pada 6 Mac ini. "Saya telah undi dacing (logo BN) sejak beberapa pilihan raya lalu, dan ini kali pertama ada orang yang bertanyakan mengenai kehidupan kami. "Keluarga saya ada 12 undi… kita akan lihat apa yang berlaku pada pilihan raya kecil nanti," kata Ragunathan, yang juga mendakwa dirinya sebagai penyokong MIC. Sumber: Malaysiakini |
Hata NUJ jual tanah RM1.2 juta untuk akhbar bebas Posted: 20 Feb 2011 10:55 PM PST Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari yang sedang bergelut dengan siasatan dalaman oleh majikannya Utusan Melayu (M) Berhad, kini berazam untuk menubuhkan akhbar sendiri yang benar-benar bebas, beretika dan profesional. Untuk tujuan itu, beliau malah menjual tanah bernilai RM1.2 juta milik keluarganya di Mentakab, Pahang yang kini merupakan ladang ternakan lembu. "Ini bukan akhbar politik. Kita mahu tunjukkan sebuah akhbar sebenar yang bebas, beretika dan profesional serta tidak memihak kepada mana-mana pihak," katanya yang menjadikan kebebasan media sebagai agenda utamanya di NUJ. Hata sebelum ini dilaporkan membentangkan kertas kerja pada forum forum tertutup bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bagi membincangkan hasrat menerbitkan akhbar khusus untuk orang Melayu yang dinamakan Utusan Rakyat untuk menyaingi Utusan Malaysia. Cadangan PKR untuk menerbitkan akbar itu - Utusan Rakyat - dilaporkan dipercayai mempunyai kaitan dengan kajian mengenai tahap sokongan rakyat kepada parti itu, yang turut dibentangkan, yang mana kira-kira 40 peratus daripadanya membaca akhbar arus perdana. Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hata menegaskan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik sebaliknya tujuan pembentangannya cuma bagi mendapatkan jaminan tidak dihalang menghadapi acara parti. Malah, tambahnya, permohonan yang sama dibuat kepada pihak Umno melalui sepucuk surat kepada ketua penerangan parti Melayu itu Datuk Ahmad Maslan. "Bagaimanapun, Ahmad Maslan belum memberikan jawapan. Itu yang saya jumpa Nurul Izzah dulu," katanya sambil memberitahu sudah berjumpa dengan beberapa pelabur yang menunjukkan minat. Tambahnya, akhbar bersaiz tabloid 14 halaman yang memfokuskan isu sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak itu dijangka berada dalam pasaran pada Mac depan dengan harga RM1.20 untuk edisi cetak dan RM10 sebulan untuk muat turun daripada internet. Buat permulaan, kata Hata, beliau akan dibantu oleh beberapa anggota keluarga terdekatnya yang menolong secara sukarela. Ditanya sama ada beliau akan berhenti daripada Utusan utuk mengepalai pasukan editorial akhbar baru itu, Hata berkata perkara itu tidak mungkin kerana beliau masih wartawan di akhbar Umno itu. "Saya hanya membantu daripada aspek pengurusan. Untuk saya jadi wartawan, tak boleh. Saya kan masih wartawan utusan," kata wartawanan kanan yang terkenal dengan kelantangannya itu. Sumber: Malaysiakini |
AMK umum ketua negeri untuk hadapi p'raya Posted: 20 Feb 2011 10:53 PM PST Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengumumkan barisan kepimpinan AMK di peringkat negeri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang. Pengumuman mengenai pelantikan ketua-ketua AMK negeri itu dibuat melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua penerangannya, Lee Khai Loon hari ini. Menurutnya, ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin membuat pelantikan tersebut selepas memberi pertimbangan serta perbincangan menyeluruh dengan ahli dan pimpinan Cabang di setiap negeri. "Kesemua ketua-ketua AMK negeri yang dilantik telah diberi amanah untuk memimpin AMK negeri. "Semua ketua AMK negeri perlu melaksanakan gerak kerja parti di peringkat negeri serta mempersiap sedia untuk pilihanraya umum ke-13 yang akan datang," katanya. Menurutnya lagi, AMK merupakan tunggak parti dalam menarik lebih ramai orang muda untuk menyertai serta mendokong perjuangannya. "Dengan adanya ketua-ketua AMK negeri, usaha untuk mempertingkatkan kesedaran politik orang muda yang berjalan dengan lebih lancar," tambah Lee. Berikut adalah senarai ketua AMK negeri: Perlis: Tg Putra Aelmi Sham Tengku Amiruddin Kedah: Azman Nasrudin Pulau Pinang: Aminr Md Ghazali Perak: Meor Ahmad Isharra Ishak Selangor: Irwan Ismail Wilayah Persekutuan: Mohammad Hamidi Mohd Said Negeri Sembilan: Mohd Nazree Mohd Yunus Melaka: Law Bing Haw Johor: Mohamad Nazri Ismail Pahang: Ahmad Sani Abd Ghani Terengganu: Muzafeq Affyulzaifuzan Mamat Kelantan: Mohammd Azihan Che Seman Sabah: Jafery Jomion Sarawak: Ahmad Nazib Johari Sumber: Malaysiakini |
NUTP bantah penswastaan sekolah Posted: 20 Feb 2011 10:49 PM PST Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini berkata kesatuan itu membantah sebarang langkah untuk menswastakan sekolah kerajaan. Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata dasar baru kerajaan berhubung kerjasama awam dan swasta dalam pendidikan perlu hanya terhad kepada penambahbaikan dalam infrastruktur serta peralatan dan tidak seharusnya menyentuh aspek akademik. Beliau berkata penswastaan bidang lain akan 'melonjakkan kos dan menjadikan persekolahan terlalu mahal dan di luar jangkaan golongan miskin.' Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, di Limbang minggu lepas bahawa kerajaan menimbangkan untuk menswastakan sekolah tertentu atau membenarkan pihak swasta untuk menguruskan pembaikan dan penyelenggaraan. Lok berkata bantuan sektor pendidikan seharusnya merangkumi pembiayaan dalam bentuk biasiswa dan bantuan kewangan kepada golongan miskin. Bagaimanapun, kesatuan itu mahu pentadbiran, sukatan pelajaran dan pengajaran diselia oleh Kementerian Pelajaran tanpa sebarang campur tangan daripada rakan daripada sektor swasta. Terdapat 9,943 sekolah di seluruh negara, dengan 5.4 juta pelajar. - Bernama |
Pilihan raya kampus celaru: Gamis desak Khaled undur Posted: 20 Feb 2011 10:45 PM PST Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini mendesak Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meletakkan jawatan kerana kegagalannya menangani masalah demokrasi kampus yang semakin kritikal berkaitan perjalanan pilihan raya kampus. Pengerusi Majlis Politik Nasional Gamis, Ahmad Syukri Ab Razab dalam satu kenyataan berkata Khaled juga gagal menyahut cabaran mahasiswa untuk berdialog secara terbuka mengenai isu-isu mahasiswa. "Bagi saya, beliau tidak mengambil pengajaran daripada situasi negara luar yang sedang bergelora dengan revolusi rakyat," katanya. Gamis sebaliknya mahu Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk SaifuddinAbdullah menggantikan Khaled mengetuai kementerian berkenaan kerana dilihat lebih bersifat terbuka terhadap suara mahasiswa. "Keprihatinan Timbalan Menteri ini jelas kelihatan apabila beliau sangat rapat dengan mahasiswa bukan sahaja melalui saluran formal bahkan melalui jaringan tidak formal. "Ini dapat dilihat apabila beliau sangat sensitif dalam isu kemahasiswaan biarpun respon beliau kadangkala bercanggah dengan pendirian di peringkat kementerian," katanya. Ahmad Syukri berkata Saifuddin antara individu penting yang memperjuangkan pindaan terbaru Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sehingga sudut pidato dirasmikan semula di kampus-kampus. "Biarpun perlantikan Datuk Saifuddin belum menjanjikan perubahan terhadap suasana demokrasi kampus yang lebih baik, namun sekurang-kurangnya ada jaminan bahawa beliau akan memberi ruang yang lebih luas untuk mahasiswa bersuara berdasarkan prestasi semasa beliau sebagai timbalan menteri KPT," katanya. Tidak dilayan Menurut Ahmad Syukri, Gamis juga mengambil serius kegagalan Khaled berhadapan dengan tuntutan mahasiswa sebelum ini. Memorandum Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) berhubung salah guna kuasa pihak universiti dalam pilihan raya kampus pada Januari tahun lalu tidak dilayan. "Bukan sekadar tidak memberi respons positif, bahkan menteri tidak langsung memberi respons terhadap semua tuntutan yang dibuat." Katanya lagi, pada tahun 2011 keadaan yang sama berulang apabila memorandum yang hampir sama tidak juga dilayan. Selain itu, Khaled juga tidak menjawab surat jemputan Pro-M untuk berdialog pada 9 Februari lalu. "Namun malangnya surat tersebut hanya dibalas dengan sms pada keesokan harinya yang menyatakan bahawa menteri KPT tidak mempunyai kelapangan untuk memenuhi undangan tersebut. "Kami di pihak mahasiswa boleh menerima alasan yang diberi, namun dengan sekadar alasan seperti itu, kami merasakan sememangnya tidak ada kesungguhan di peringkat Menteri untuk menanggapi tuntutan mahasiswa secara serius," katanya. Sumber: Malaysiakini |
Hadi: BN tindas, rakyat Malaysia boleh bangkit Posted: 20 Feb 2011 10:42 PM PST PAS mengingatkan Umno agar mengambil iktibar dengan kejatuhan pemerintah Tunisia dan Mesir akibat kebangkitan rakyat yang ditindas pemerintah, lapor Harkahdaily. Dengan nada memberi amaran, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rakyat Malaysia juga boleh bangkit sedemikian jika pemimpin Umno BN terus menindas rakyat. "Rakyat ni macam spring, bukan mati hidup, tapi ada perasaan. "Kalau orang tekan spring ni, bila lama dia pedih tangan dia lepas, spring naik kemuka dia. Ha ingat-ingat..," katanya. Beliau berkata demikian ketika berceramah di hadapan lebih 30 ribu rakyat di perkarangan Kompleks PAS, Kota Sarang Semut di Alor Setar, malam semalam. Turut serta pada malam kemuncak himpunan 30 ribuanjuran dewan pemuda PAS itu adalah timbalannya, Nasharuddin Mat Isa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak dan timbalan ketua dewan pemuda PAS, Azman Shapawi Abdul Rani. Sehubungan itu kata Hadi, sebelum Umno BN dimalukan dengan kejatuhan sebegitu, mereka perlu memberikan padang sama rata kepada parti-parti politiklain dalam pilihan raya, agar kejatuhan mereka lebih bermaruah. "Kita minta pemimpin Umno ni jaga maruah, jangan tipu (pada) pilihan raya. "Jangan guna media untuk sebelah pihak sahaja," katanya lagi. PAS ganti Umno Dalam pada itu, beliau turut mengulangi pendirian bahawa PAS perlu menggantikan Umno. Katanya, Umno telah terbukti tidak mampu membawa keadilan Islam untuk rakyat semua kaum dengan sistem penjajah yang diwarisi mereka, apatah lagi sistem sekular itu sendiri merosakkan Islam. Sebagai bukti katanya, umat Islam negara ini masih lemah walaupun dipimpin orang Islam sendiri dari Umno BN sejak negara merdeka. "Kenapa lemah? Kerana kepimpinan Malaysia ini mewarisi pemikiran penjajah barat, pemimpin negara tidak berperangai Islam, tak boleh tolong orang Islam, tak boleh tunjuk contoh baik kepada orang bukan Islam. "Maaflah orang bukan Islam, pemimpin negara ini nama sahaja Islam tapi amalan pemerintahan dia, rasuah boleh, tipu rakyat boleh," katanya lagi. Keadaan itu berlaku katanya kerana Islam dikurung di pejabat agama sahaja. Skop Islam juga disempitkan hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, perkahwinan dan zakat sahaja. Selain turut menghakis Bahasa Melayu, Umno BN juga didakwa gagal mengurus ekonomi negara sehingga berlaku kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat. Kekayaan negara katanya, hanya berpusing di kalangan pemimpin atasan mereka sahaja dan tauke-tauke yang berkepentingan. "Orang Melayu kena sedar, bila pilihan raya, tauke-tauke besar bagi duit kepada Umno. "Bila habis pilihan raya, harga barang dinaikan sebab nak tolong tauke dia yang tolong dalam pilihan raya," tambahnya. Sehubungan itu beliau mahu rakyat khususnya ahli PAS bekerja kuat untuk memastikan Pakatan Rakyat menggantikan Umno pada pilihan raya umum nanti. "Pertahankan Kedah ini, kalau Kedah kamu tak perkuat, nak pergi Putrajaya macam mana. "Jangan cakap sahaja nak Putrajaya, kerja malas, daftar pengundi tak buat, ceramah datang berbatu-batu, tapi nama bila nak mengundi tak ade," tegasnya. Sumber: Malaysiakini |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan