Khamis, 17 Februari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Merlimau: Umno BN mula peralat Jabatan Pelajaran

Posted: 16 Feb 2011 12:45 AM PST

KUALA LUMPUR, 16 Feb: Umno BN seperti mahu mengulangi episod memalukan seperti di pilihan raya kecil (PRK) Tenang apabila sekali lagi memperalatkan Jabatan Pelajaran Negeri Melaka dan Pejabat Pelajaran Daerah Jasin untuk memenuhi agenda politik sempit mereka.

Menurut laman http://pencacai-semalaysia.blogspot.com, jika di PRK Tenang, Pengarah JPN Johor secara terang-terang dan terbuka berkempen dengan menggunakan nama rasmi program JPN dengan meminta guru-guru dalam PRK Tenang supaya mengundi dan menyokong calon Umno/BN.

Di PRK Merlimau, episod menjadikan guru sebagai kuda tunggangan iaitu alat kempen Umno/BN seperti di PRK Tenang berulang. Atas nama program Jabatan guru-guru di Merlimau telah dikerah dan dipaksa untuk hadir dalam program kononnya majlis perasmian Bangunan Tambahan SKJ (C) Merlimau.

Menurut guru yang hadir dalam majlis yang dihadiri oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada langsung agenda perasmian bangunan tambahan seperti dalam surat jemputan. Sebaliknya 'backdrop' majlis pada malam itu terpampang 'Majlis Makan Malam Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri'.

Ramai guru yang hadir pada malam itu kesal dan berasa tertipu kerana terang-terang ia adalah majlis kempen supaya guru-guru menyokong Umno/BN. Lebih menghairankan mereka surat jemputan ke program dibuat pada sebelah malam. Menurut seorang guru yang hadir yang enggan dikenali memberitahu, mana ada orang rasmi bangunan sekolah pada sebelah malam.

Apa yang berlaku menunjukkan Umno/BN benar-benar terdesak dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kerusi N.27 Merlimau yang dimenangi sebelum ini. Apa yang dilakukan oleh JPN ternyata bercanggah dengan etika dan tanggungjawab seorang penjawat awam.

Kita tunggu dan lihat apakah reaksi sekiranya terdapat guru dan juga kakitangan kerajaan memihak dan bertugas bersama jentera PAS atau Pakatan Rakyat dalam PRK Merlimau.


Sumber: Harakah Daily

MB: Melayu sokong k'jaan Pakatan Rakyat Selangor

Posted: 16 Feb 2011 12:40 AM PST

Meskipun kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang mengakui sokongan Melayu mula terhakis, namun bagi Tan Sri Khalid Ibrahim, tiada kejadian seumpama itu di Selangor.

"Saya tak percaya orang Melayu tidak menyokong kerajaan sekarang ini," kata Khalid pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco mingguan di Shah Alam, hari ini.

NONE
Katanya, masyarkat Melayu yang merupakan kira-kira 50 peratus daripada penduduk di Selangor menerima baik program dan inisiatif kerajaan negeri.

"Apa yang penting adalah kita memerintah negeri ini untuk semua (kaum)," kata menteri besar itu.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang mendakwa sokongan masyarakat Melayu di negeri itu mula terhakis kerana propaganda Umno melalui media arus perdana.

Namun, Pakatan Rakyat berkeyakinan di sebalik kemerosotan sokongan Melayu, mereka mampu mempertahankan Pulau Pinang daripada tumbang di tangan Umno. Mereka kini mempergiatkan inisiatif bagi memperbetulkan persepi di kalangan orang Melayu.

Khalid juga menepis soalan berhubung kemungkinan rombakan dibuat ke atas barisan exco sambil menambah tidak ada perkara seumpama itu dan media akan dimaklumkan jika ada rombakan exco.

Pada sidang media itu, Khalid juga menggesa kerajaan persekutuan membantu pelajar, terutama dari Selangor yang dibawa pulang dari Mesir yang ingin kembali ke negara Asia Barat itu bagi menyambung semula pengajian mereka.

Tambahnya, menjadi kewajipan kerajaan bagi memastikan mereka yang dibawa pulang boleh kembali ke universiti masing-masing dan kerajaan seharusnya menubuhkan dana bagi tujuan berkenaan.

"Namun, jika kerajaan persekutuan berpendapat negeri juga harus tanggung bersama kos itu, kita bersedia," kata Khalid.


Sumber: Malaysiakini

Calon DUN Kerdau: PAS Pahang cadang tujuh nama

Posted: 16 Feb 2011 12:35 AM PST

PAS Pahang telah menyenaraikan tujuh nama untuk dicalonkan bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kerdau.

azlan
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal berkata mereka yang tersenarai itu dilihat berpotensi untuk menang, selain muda dan berkarisma untuk menjadi calon dan wakil rakyat di kawasan berkenaan.

"Nama-nama berkenaan telah diputuskan pada mesyuarat khas PAS Kawasan Kerdau pada Isnin lepas, senarai itu akan dihantar kepada pucuk pimpinan parti," katanya di Temerloh, hari ini.

Beliau berkata, PAS tidak mempunyai masalah dalam memilih calon kerana ramai yang berkelayakan dan berkelulusan tinggi.

"Berdasarkan perkembanganpolitik semasa serta penambahan pengundi baru, PAS yakin akan dapat memenangi pilihan raya kecil itu nanti sekalipun kerusi DUN Kerdau merupakan kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN)," katanya.

NONE
Kerusi DUN kawasan Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63 akibat serangan jantung pada Sabtu lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun masih belum memutuskan tarikh pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

- Bernama

Kerajaan Negeri Sedia Tanggung Teoh Beng Hock

Posted: 16 Feb 2011 12:30 AM PST


SHAH ALAM 16 FEB: Kerajaan Negeri Selangor bersedia menanggung perbelanjaan pakar Patologi tersohor dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand bagi membolehkan beliau mengikuti prosiding mendiang Teoh Beng Hock.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Dr Pornthip sebelum ini tidak tersenarai sebagai seorang saksi dalam kes Siasatan Suruhanjaya Diraja kematian mendiang Teoh Beng Hock, bagaimanapun kerajaan negeri berpendapat beliau berhak dipanggil semula dalam memberikan pandangan beliau untuk membantu menyelesaikan kes tersebut.

"Kerajaan Negeri bersedia untuk membiayai tambang dan juga urusan Dr Pornthip untuk mengikuti Suruhanjaya Diraja mendiang Teoh Beng Hock," katanya.

Difahamkan senarai nama saksi dalam Suruhanjaya itu ditentukan Jabatan Peguam Negara.

Jabatan Peguam Negara membuang nama Dr Pornthip sebagai salah seorang saksi dalam inkues Beng Hock daripada senarai saksi yang disediakan untuk kegunaan Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Beng Hock.

Suruhanjaya tersebut akan menyiasat kematian Beng Hock serta keadaan yang membawa kepada kematiannya.

Suruhanjaya itu ditubuh berikutan bantahan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan pengahkiaman terbuka oleh Inkues Beng Hock yang memutuskan pembantu politik itu tidak membunuh diri mahupun dibunuh.

Teoh Beng Hock, 30, Setiausaha politik anggota Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu antara lain akan menyiasat sama ada terdapat sebarang ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Beng Hock berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya selain mengesyorkan sebarang tindakan yang sesuai, jika perlu.


Sumber: TVSNEWS

Dedah Penyelewengan Kerajaan Melaka- Shamsul

Posted: 16 Feb 2011 12:25 AM PST


BANDAR MELAKA 16 FEB: Pakatan Rakyat akan mendedahkan segala penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku sepanjang pentadbiran Umno- Barisan Nasional(BN) sekiranya berjaya menawan negeri Melaka pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan Umno- BN yang diterajui Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai Ketua Menteri yang selama ini banyak melakukan tindakan membelakangkan kepentingan rakyat.

Shamsul berkata demikian jetika berucap di majlis Tahun Baru Cina di sini malam tadi.

Selama ini, katanya segala laporan yang dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM terhadap salah guna kuasa dan rasuah melibatkan Mohd Ali tidak pernah diendahkan pihak berkuasa itu.

"Saya buat berapa kali laporan rasuah SPRM ada ambil tindakan…tak ada.Saya buat laporan rasuah pada Ali Rustam………satu pun badan pencegah rasuah tidak ambil tindakan pada Ali Rustam.

"Saya janji malam ini kalau kerajaan Pakatan Rakyat menang….fail Ali Rustam dan dakwa dia," katanya.

Turut hadir, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PKR, Tian Chua, Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat Melaka dalam majlis menghimpunkan lebih dua ribu tetamu itu.

Shamsul Iskandar yang juga Ketua Angkatan Muda PKR berasa yakin negeri Melaka bakal ditawan Pakatan Rakyat dengan sokongan rakyat bermula dengan kejayaan merampas kerusi Dewan Undangan Negeri Merlimau daripada Umno-BN dalam pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Katanya, hanya dengan kuasa rakyat negeri Melaka dapat ditawan dan hak rakyat dapat dikembalikan kepada rakyat.

Sumber: TVSNEWS

Pertambahan Luar Biasa 500 Peratus Penduduk Sabah Perlu Disiasat :UPKO

Posted: 16 Feb 2011 12:20 AM PST


KOTA KINABALU 16 FEB: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) meminta kerajaan pusat supaya menyiasat "pertumbuhan luar biasa" penduduk Sabah yang meningkat secara mendadak sebanyak 500 peratus.

Ketuanya Arthur Sen berkata berdasarkan banci penduduk 1970, jumlah penduduk di Sabah adalah 636,431 orang tetapi meningkat dengan ketara ke angka 3.3 juta pada tahun 2005.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pertumbuhan luar biasa itu membimbangkan penduduk tempatan yang merasa keselamatan mereka terancam akibat kemasukan "warga negara segera" dan pelarian ke Sabah.

"Orang tempatan juga risau suatu hari nanti golongan pendatang ini akan mengatasi jumlah penduduk asal Sabah," kata Seb.

Beliau meminta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya menyiasat pertambahan luar biasa itu termasuk meneliti sama ada terdapat kaitan dengan pemberian kad pengenalan melalui "pintu belakang".-BERNAMA

Isu Tanah Di Sabah Pada Peringkat Serius, Kata Suhakam

Posted: 16 Feb 2011 12:15 AM PST


KOTA KINABALU 16 FEB : Pelbagai isu tanah yang dihadapi oleh penduduk tempatan kini pada peringkat serius yang memerlukan penyelesaian segera, menurut Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Jannie Lasimbang.

Beliau berkata berdasarkan statistik Suhakam dari tahun 2005 hingga tahun lepas, Sabah mencatatkan jumlah aduan paling banyak mengenai isu tanah di negara ini dengan 977 kes, diikuti Semenanjung Malaysia, 654 kes dan Sarawak 251 kes.

"Ia adalah isu yang serius kerana ia membabitkan semua masyarakat di Sabah. Penyelesaian terlalu lambat dan mengambil masa...

"Sebagai contoh tahun lepas saja, daripada 92 aduan kita terima di Sabah, kita hanya mampu menyelesaikan dua kes...memang ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan semua aduan," katanya selepas menghadiri perbincangan awal mengenai cadangan inkuiri nasional mengenai isu tanah di sini hari ini.

Menurutnya antara isu utama tanah yang dibangkitkan penduduk luar bandar kepada Suhakam ialah percanggahan kepentingan yang membabitkan pembinaan empangan, perladangan dan nasib penduduk yang ditempatkan semula setelah didapati menduduki hutan simpanan buat sekian lama.

Dalam hubungan ini, beliau berkata telah tiba masanya untuk anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) membahaskan isu tanah, khasnya aduan yang diterima
Suhakam, dengan harapan untuk mencari penyelesaian yang berkekalan.

Beliau berkata Suhakam akan mengutarakan isu tanah pada inkuiri nasional yang dijangka diadakan pada akhir tahun ini, dan pada masa yang sama, suruhanjaya itu akan menyedarkan orang ramai mengenai tindakan positif kerajaan negeri untuk menangani isu tanah.

Lasimbang berkata ini termasuk tindakan Sabah Parks memperuntukkan sebahagian daripada kawasan tanahnya untuk zon komuniti dan memberikan hak milik berkelompok masyarakat.- BERNAMA

Kecewa.. Keluarga Beng Hock Keluar Dari Prosiding Suruhanjaya Diraja

Posted: 16 Feb 2011 12:10 AM PST


KUALA LUMPUR 16 FEB : Keluarga mendiang Teoh Beng Hock hari ini memberi tamparan hebat kepada Suruhanjaya Diraja apabila bertindak keluar dari prosiding siasatan kerana keputusan Suruhanjaya yang enggan mengundur diri dari mengendalikan siasatan berkenaan.

Keluarga itu memutuskan demikian selepas panel diraja itu memutuskan pengerusinya Tan Sri James Foong tidak perlu menarik diri walaupun masih merupakan hakim Mahkamah Persekutuan

Suruhanjaya Diraja sebulat suara memutuskan bahawa tiada asas kukuh untuk pengendali mengundurkan diri.

Malah panel Diraja juga tidak akan ditangguhkan untuk menunggu semakan kehakiman yang difailkan Peguam Negara.

Mereka kemudiannya meninggalkan kamar mahkamah bersama-sama peguam Gobind Singh Deo, Karpal dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Karpal diawal prosing hari ini memohon pengendali Suruhanjaya Diraja (RCI) mengundurkan diri kerana beliau merupakan hakim Mahkamah Persekutuan.

Pendapat itu turut disuarakan oleh Malik Imtiaz yang berhujah, sekiranya kes itu nanti dibawa ke Mahkamah Persekutuan, ia akan mengakibatkan berlakunya keadaan berat sebelah.

Sementara itu, salah seorang daripada dua Timbalan Pendakwaraya (DPP) yang diminta untuk tidak diserapkan dalam Suruhanjaya Diraja oleh keluarga mendiang Teoh Beng Hock, Amarjeet Singh berkata, RCI sudah memutuskan penglibatan mereka bertiga dan meminta supaya keputusan itu dihormati.

Namun Gobind Singh Deo bertegas akan tetap memfailkan permohonan itu.

Gobind meminta lebih masa untuk berbuat demikian memandangkan berlakunya masalah bekalan elektrik di Kompleks Mahkamah Jalan Duta kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sebelum ini RCI menetapkan supaya prosiding diteruskan walaupun semakan inkues yang difailkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada awal ini masih belum diputuskan dan menolak permohonan keluarga si mati supaya menyingkirkan DPP yang mengendalikan prosiding tersebut.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang mempengerusikan suruhanjaya tersebut.

Sumber: TVSNEWS

Azmin : PKR Senarai Pendek Calon Menjelang PRU-13

Posted: 16 Feb 2011 12:05 AM PST


KUALA LUMPUR 16 FEB : Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memberitahu bahawa kepimpinan negeri parti berkenaan kini sedang menghimpunkan nama-nama yang disyorkan untuk penelitian biro politik sebelum mengadakan perbincangan dengan PAS dan DAP.

"Persefahaman ialah setiap parti akan mengekalkan kerusi yang dimenangi tetapi kami boleh berunding berhubung kerusi-kerusi yang kami kalah dalam 2008," ujar Azmin, lapor portal The Malaysian Insider.

Menurut Azmin, ada kemungkinan pertukaran kerusi ditandingi memandangkan PAS juga juga mahu memberi tumpuan di kawasan-kawasan yang mempunyai pengundi campuran.

Kerusi-kerusi terbabit selama ini ditandingi PKR, yang dilihat sebagai parti kawasan bandar.

Justeru itu, parti itu memutuskan menyenarai pendek kesemua calonnya yang berpotensi menjelang 20 Mac ini untuk memulakan perundingan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Memahami bahawa ketiga-tiga gabungan ini punya kekuatan dan kelemahan masing-masing di kawasan-kawasan yang ditandingi sebelum ini, maka ujar Azmin, adalah penting untuk berbincang mengenainya.

PKR dijangka berhadapan dengan persaingan tiga penjuru memandangkan Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) dan parti Kita pimpinan Datuk Zaid Ibrahim juga akan memfokus kerusi-kerusi ditandingi parti itu.

Semalam, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin mengesyorkan satu perikatan yang lebih kolektif membabitkan Pakatan Rakyat dan gerakan
prorakyat bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

MCLM mahu menawarkan senarai 30 calon untuk pertimbangan Pakatan Rakyat khususnya PKR.

Spekulasi menyebut bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum pada suku kedua atau keempat tahun ini meskipun mandat Barisan Nasional (BN) hanya akan berakhir 2013.

Bagaimanapun sumber-sumber BN memberitahu portal itu mendakwa, pilihan raya negeri Sarawak, yang mandat kerajaan negeri akan berakhir Julai ini, akan diadakan April ini sebelum pilihan raya umum ke-13.

Kali terakhir pilihan raya negeri Sarawak diadakan adalah pada 2006.


Sumber: TVSNEWS

PKR Sabah Bentuk Jawatankuasa Perkukuh Parti

Posted: 16 Feb 2011 12:00 AM PST


KOTA KINABALU 16 FEB : Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata pembentukan jawatankuasa dalam kepimpinan PKR negeri itu sebagai langkah memperkukuhkan parti berkenaan.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh beliau sendiri, turut melantik 11 pemimpin utama negeri untuk mengangotai majlis berkenaan.

"Ia adalah langkah pertama untuk membina asas kepimpinan yang lebih kukuh di Sabah dengan memberi penekanan kepada pendekatan konsensus dalam isu-isu utama," kata Wan Azizah.

Menurutnya, setiap jawatankuasa ditugaskan menghasilkan kerangka dasar utama PKR Sabah dalam bidang pentadbiran masing-masing.

"Pimpinan PKR Sabah melalui Majlis Presiden akan memperhebatkan usaha dalam masa terdekat untuk membawa suara rakyat Sabah mengenai isu-isu yang dekat dengan Sabah di peringkat negeri dan pusat," katanya.

Mereka yang dilantik untuk mengangotai jawatankuasa itu ialah :

1. Kewangan, Keselamatan dan Imigrasi – Ahmad Thamrin Jaini
2. Pembangunan Luar Bandar – Datuk James Ghani
3. Pembangunan Infrastruktur – Christina Liew
4. Kerajaan Tempatan dan Perumahan – Saidil Simoi
5. Pembangunan Perindustrian dan Perhutanan – Awang Tengah Awang Amin
6. Pembangunan dan Pengurusan Tanah – Datuk Kong Hong Ming
7. Kesihatan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna – Stephen Sandor
8. Belia dan Sukan – Jafery Jomion
9. Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar – Lukiah Indan
10. Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia dan Kemajuan Teknologi Maklumat – Datuk Hallik Zaman
11. Pertanian dan Industri Makanan – Datu Mustapha Hj Tambuyong


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: