Khamis, 10 Februari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Nik Aziz, Anwar dan Kit Siang di Merlimau

Posted: 10 Feb 2011 12:45 AM PST


JASIN, 10 Feb: Setiausaha Jabatan Pilihan raya Negeri Melaka, Bahiki Ismail berkata, tiga orang pemimpin besar Pakatan Rakyat (PR) iaitu Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan melawat Merlimau dan menghadiri beberapa program yang diaturkan oleh Pakatan Rakyat Negeri.

Beliau berkata, Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan merasmikan Markaz Induk PAS PRK Merlimau di Taman Muhibbah Merlimau pada 11 Februari, jam 11.00 pagi.

Katanya, Tuan Guru akan menghadiri program sambutan Tahun Baru Cina di Markaz PAS Merlimau di Pusat Tahfiz As-Solihin pada 8.00 malam pada hari yang sama.

Tambahnya, pada 12 Februari, Tuan Guru akan menyampaikan ceramah bermula jam 9.00 malam di As-Solihin Merlimau bersama-sama dengan Lim Kit Siang.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim pula akan berada di Melaka pada 15 Februari di mana beliau akan berceramah di Permatang Seri iaitu di rumah Ibrahim Abdullah," tambahnya ketika ditemui di Bilik Operasi PRK Merlimau, pagi ini.

Menurut Bahiki kedatangan ketiga-tiga pemimpin besar PR ini dilihat mampu menaikkan semangat petugas PR dan sokongan pengundi kepada PR bagi menghadapi pilihanraya kecil Merlimau yang dijadualkan pada 6 Mac ini.


Sumber: Harakah Daily

Operasi Lalang: Penafian Mahathir, Dedahkan Lebih Banyak Kebenaran

Posted: 10 Feb 2011 12:40 AM PST


KUALA LUMPUR : Pengarah Suara Anak Malaysia (SUARAM), Dr Kua Kia Soong berkata, walau sehebat mana Tun Dr Mahathir Mohamad cuba membersihkan imejnya bersabit Ops Lalang 1987, ia hanya akan mendedahkan banyak lagi kebenaran ketika insiden itu berlaku.

"Setidak-tidaknya satu fakta menonjol. Dr Mahathir sekarang tampaknya malu kerana peranannya dalam Operasi Lalang dan beliau hanya membenarkan tindakan pengecutnya itu selepas dua dekad lamanya," kata Dr Kua dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan Dr Kua itu terbit susulan daripada kenyataan bekas Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Hanif Omar yang mendakwa Dr Mahathir tidak pernah mengarahkan penangkapan pembangkang secara beramai-ramai di bawah Ops Lalang.

"Pertama-tamanya, apa yang kita harapkan dari seorang bekas IGP yang bersara daripada jawatan tertinggi dalam jabatan polis dan menjadi ahli lembaga pengarah syarikat yang berkaitan dengan perjudian seperti Genting Higland.

"Ada dua isu di sini, etika pegawai atasan dalam kerajaan yang menyertai syarikat yang akan memberikan kesan kepada jabatan tempat beliau bertugas sebelum itu, dan yang kedua, sikap hipokrit melarang pekerja Islam bekerja di syarikat yang menyediakan arak namun membolehkan golongan elit Muslim masuk ke tempat perjudian," tulis Dr Kua lagi.

Anehnya ujar Dr Kua, orang seperti Hanif Omar bermati-matian berkata beliau merupakan pemimpin pasukan polis ketika itu dengan penuh tanggungjawab menjalankan tugas dalam Operasi Lalang tanpa menerima sebarang arahan mahupun tekanan politik oleh Mahathir yang ketika itu adalah Menteri Dalam Negeri.
" Tapi adakah (Mahathir) boleh lepas dari tanggungjawab walaupun bekas IGP dengan begitu hebat tampil ke hadapan dan mendapatkan kredit untuk itu?," soal Dr Kua terhadap tindakan Mahathir yang terus-terusan cuba berselindung di sebalik keterlibatannya dalam Ops Lalang.

Malah Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, beliau telah bertemu dengan pembangkang dan menyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditangkap.

Bahkan mendakwa, beliau tidak boleh berbuat apa-apa selain patuh dengan tindakan yang dilakukan oleh polis.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Mahathir sebagai tidak boleh dipercayai.

Mohamad ketika dihubungi Tv Selangor berkata, kuasa penahanan polis hanya untuk tempoh sebelum atau genap 60 hari dan yang selebihnya adalah di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri.

"Dia tidak boleh nafikan sebab selepas 60 hari adalah kuasa Menteri Dalam Negeri sama ada membebaskan, menahan seseorang ataupun diletakkan dalam tahanan daerah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri.

"Lee Kim Sai lari ke Australia, Najib pergi ke Jakarta dan Shahidan Kassim yang berucap supaya orang Melayu membawa mancis api untuk ke Kuala Lumpur dalam perhimpunan Melayu tetapi semuanya tidak ditangkap. Saya yakin senarai polis tidak terlibat sepenuhnya, ahli politik turut terlibat sama," katanya.

Dalam Ops Lalang yang dilancarkan pada 27 Oktober 1987, seramai 106 orang iaitu sebahagian besar ahli politik pembangkang dan beberapa ahli politik dari Umno dan MCA, ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala permit penerbitan akhbar The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan, telah dibatalkan.

Dalam buku terbaru bertajuk, "Doctor M: Operation Malaysia - Conversation with Mahathir Mohamad", Mahathir memberitahu dalam wawancaram dengan wartawan veteran Amerika, Tom Plate bahawa penangkapan tersebut adalah keputusan polis dan tiada apa yang boleh dilakukannya untuk menghalang perkara tersebut.


Sumber: TVSNEWS

Speaker Cabar Permohonan Bekas ADUN Pelabuhan Klan

Posted: 10 Feb 2011 12:35 AM PST


KUALA LUMPUR 10 FEB: Atas dasar mempunyai imuniti sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor(DUN)Datuk Teng Chang Khim memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman ke atas beliau berhubung status kerusi Pelabuhan Klang.

Dalam permohonan itu, Teng juga berkata kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Selangor adalah hak beliau, bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum ini, Badrul Hisham Abdullah yang melompat meninggalkan PKR mendakwa beliau masih lagi ADUN Pelabuhan Kelang walaupun Teng selaku Speaker sudah menistiyhar kerusi itu kosong kerana Badrul gagal hadir tiga kali berturut-turut tanpa alasan kukuh.

Badrul menamakan Teng dan SPR masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua dalam permohonannya yang difailkan bulan lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Saya dilindungi imuniti yang diperuntukkan oleh Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan daripada diambil tindakan oleh plaintif," kata Teng dalam afidavit balas dikemukakannya di mahkamah hari ini.

Katanya, Artikel 77 perlembagaan Selangor juga memberikannya imuniti daripada disaman atas kapasiti sebagai seorang speaker.

Teng berkata, kedua-dua undang-undang persekutuan dan negeri menyokong doktrin pengasingan kuasa antara Dewan Undangan Negeri dan mahkamah.

Oleh itu, keputusannya sebagai Speaker tidak boleh dicabar di mahkamah, kata Teng.

"Selaras dengan itu, saya menyerahkan kepada budi bicara mahkamah," kata.

Beliau sambil menambah, kes dibawa Badrul tiada asas perundangan dan satu bentuk salah guna kuasa.

Oleh itu beliau meminta mahkamah menolak permohonan Badrul.

Teng diwakili oleh peguam Tommy Thomas.

Beliau telah memaklumkan SPR mengenai kekosongan itu dan telah meminta diadakan satu pilihan raya kecil.

Di bawah Artikel 69 Undang-undang Tubuh Negeri, Teng berkata, kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan kerusi terletak pada Speaker, dan bukannya SPR.

Katanya, disebabkan itu dan disokong oleh Artikel 70(5) perlembagaan negeri, SPR tiada pilihan lain kecuali memanggil pilihan raya kecil dalam 60 hari.

Isnin lalu, Badrul mendapat injunksi sementara menghalang SPR daripada membincangkan status kerusi itu berikutan perisytiharan kekosongannya oleh Speaker DUN Selangor pada 19 Januari lalu.

Berikutan keputusan itu, SPR tidak boleh mengadakan sebarang mesyuarat atau membuat keputusan berhubung pilihan raya kecil DUN Pelabuhan Klang sehingga 17 Februari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof membenarkan permohonan injunksi sementara dipohon Badrul Hisham pada 28 Januari lalu, selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said mewakili SPR dan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk Badrul Hisham.

Pada tarikh 17 Februari ini, mahkamah akan mendengar saman pemula terhadap Teng dan SPR yang difailkan Hisham pada 24 Januari lalu.


Sumber: TVSNEWS

Gelombang Merah, Rakyat Kelantan Makin Matang

Posted: 10 Feb 2011 12:30 AM PST


SHAH ALAM, 10 FEB: Rakyat Kelantan kini semakin matang dan tidak akan tertipu berhubung pelancaran gelombang merah oleh Umno Kelantan dalam usaha mendapatkan kepercayaan pengaruh pengundi muda dalam pilihanraya umum akan datang.

Menurut Exco Pembangunan Wanita Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Abdul Patah Mahmood, tindakan Umno mempolitikkan warna merah akan menjadi 'senjata makan tuan' kepada Umno memandangkan merah putih merupakan warna bendera Kelantan.

"Sebenarnya, bagi kita bila Umno mempolitikkan warna bendera dan sebagainya, kita rasa ia akan menjadi 'backfire' kepada diri dia sendiri. Kita harap rakyat Kelantan tidak tertipu dengan pelancaran gelombang merah yang dilancarkan. Bagi kita, negeri Kelantan mempunyai warna bendera merah dan putih," katanya.

Abdul Fatah menambah, tindakan Umno seolah-olah mengambil kesempatan di atas kejayaan pasukan bola sepak negeri itu yang digelar 'The Red Worrior' yang berjaya merangkul Piala Malaysia baru-baru ini.

"The Red Worrior adalah sokongan rakyat Kelantan kepada pasukan bola sepak dan kalau kita lihat yang masuk ke stadium memakai baju merah, yang kita tidak boleh kawal mereka juga membawa bendera bulan. Walaupun saya sudah beritahu jangan membawa bendera parti ke dalam stadium, tetapi sebab mereka terlalu rasa bangga dengan negeri di bawah kepimpinan Tok Guru(Nik Aziz Nik Mat), ini menunjukkan tidak semua penyokong Red Worrior tidak semuanya orang Umno," katanya.

Ujar beliau lagi, tindakan Umno membawa Piala Malaysia ke program parti menimbulkan kemarahan rakyat dan situasi ini ternyata memalukan.

"Sebagaimana yang rakyat Kelantan marah bilamana mereka membawa Piala Malaysia ke program parti, ataupun jelajah Piala Malaysia kepada bahagian-bahagian Umno ternyata ini adalah perkara yang sangat-sangat memalukan," katanya.

Awal minggu ini Umno Kelantan melancarkan kempen Gelombang Merah untuk mendekati dan mendapatkan kepercayaan kira-kira 400,000 pengundi muda di Kelantan untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Gelombang Merah bertemakan "Transformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat" akan dilaksanakan Pergerakan Pemuda Umno negeri Kelantan melalui penganjuran ceramah, kursus, seminar dan gerak kerja.

Sumber: TVSNEWS

Penjawat Awam Dinafi Kenaikkan Gaji, Cuepacs Tuntut Perhatian Kerajaa

Posted: 10 Feb 2011 12:25 AM PST


KUALA LUMPUR 10 FEB: Beratus penjawat awam dinafikan hak apabila Biro Tata Negara(BTN) menghentikan kursus yang menjadi syarat wajib bagi mereka untuk menikmati kenaikkan gaji setelah lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), tahun lalu.

Mengulas perkara ini, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam(Cuepacs), Datuk Omar Osman berharap agar isu ini mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak jabatan dan juga kerajaan.

"Yang mana lulus PTK dalam 2010 sepatutnya dalam 2010 itu kalau berlaku peluang-peluang kenaikan pangkat berasaskan PTK patut diambil kira. Ini pada tahun 2011 ini makna PTK itu tidak lagi digunakan dalam sistem kenaikan pangkat.

"Walau bagaimanapun ini tertakluk pada setiap jabatan sementara menunggu sistem penilaian yang baru, yang akan bermula Julai 2011, PTK yang telah lulus ini, Ceupacs punya pandangan kalau ada berlaku kenaikan pangkat pada tahun 2011 sehingga bulan 6 ini, wajarlah diberi perhatian,"katanya.

Berkenaan tindakan kerajaan yang memansuhkan sistem ini tanpa menggantikan dengan satu sistem yang baru, Omar meluahkan kekecewaannya.

"Pemansuhan PTK yang mana telah diputuskan kerajaan memangnya kita bersetuju, cuma sistem yang baru yang mungkin tertangguh sekarang ini, kita berharap sebelum bulan Jun 2011 sistem baru ini dapat diumumkan agar nanti pada bulan Julai semua penjawat akan dapat kerja dibawah satu sistem penilaian yang baru," jelasnya.

Demi memastikan nasib penjawat awam ini terbela sewajarnya, Ceupacs akan berbincang dengan pihak kerajaan agar satu kaedah penyelesaian dapat diputuskan.

"Kita belum berbincang lagi dengan JPA, jadi kita akan bawa bincang peringkat kita dulu pada mesyuarat minggu hadapan dan kita akan tengok kalau kita ikut dengan jelas dimana PTK dimansuhkan. Cuma sekarang ini permasalahannya yang telah lulus PTK pada tahun 2010, dan ada juga yang telah dapat keputusan pada 2011 ini, ini yang mereka pertikaikan dari segi nasib mereka".

Satu mesyuarat dalam Ceupacs akan dilakukan pada 16 dan 17 Februari ini untuk membincangkan kaedah terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini.


Sumber: TVSNEWS

Ahli Umno Didakwa Kebas Peralatan Dewan Orang Ramai

Posted: 10 Feb 2011 12:20 AM PST


SHAH ALAM 10 FEB: Peralatan dewan orang ramai dan balairaya di Selangor bernilai RM385,000 dilarikan individu yang dikaitkan Umno-Barisan Nasional(BN), kata Exco Kerajaan Negeri, Xavier Jayakumar.

Menurutnya, kerajaan Selangor kesal dengan tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semasa pentadbiran Umno-BN yang lepas kerana tidak mengambil tindakan sewajarnya melindungi harta awam yang disediakan kerajaan negeri untuk kegunaan orang ramai.

"Selepas Piliharaya Umum Mac 2008, beberapa orang individu, ahli Umno-BN setempat yang tidak bertanggungjawab di kampung-kampung berkenaan telah melarikan beberapa peralatan dewan dengan 'pengetahuan' JKKK ketika itu tapi malangnya mereka mengambil sikap tidak peduli ekoran pertukaran pentadbiran kerajaan negeri," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara peralatan yang dilaporkan hilang ialah hampir kesemua kerusi plastik dewan, kerusi Banquet, alat penghawa dingin, kipas angin siling, kipas angin dinding, komputer, meja mesyuarat, meja lipat plastik, sistem bunyi, pembesar suara dinding, papan putih beroda dan lain-lain peralatan.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah mendapatkan input dari 7 buah Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Negeri Selangor tidak termasuk daerah Petaling, Sepang dan Sabak Bernam berhubung kehilangan itu.

Menurut Dr Xavier, mesyuarat Exco dimaklumkan anggaran jumlah keseluruhan kehilangan peralatan tersebut ialah sebanyak RM384,776.00.

"Kehilangan ini merupakan 'tindakan jenayah' terhadap harta awam dan kerajaan negeri bercadang untuk membuat laporan polis di setiap daerah yang terlibat dan berharap polis mengambil tindakan segera terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawap tersebut," tegas beliau.


Sumber: TVSNEWS

"Tabung Suhaimi" kumpul dana tampung kos guaman

Posted: 10 Feb 2011 12:15 AM PST


SHAH ALAM 10 FEB: Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor akan menubuhkan "Tabung Suhaimi" bagi memohon dana menampung kos guaman Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Muda, Suhaimi Shafie yang disabitkan dengan tuduhan mempersoal kuasa Sultan.

Ini merupakan inisiatif kerajaan itu memupuk kesedaran masyarakat Selangor bahawa terdapat usaha menjatuhkan kerajaan pilihan mereka menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya pagi tadi, Khalid berkata pendekatan ini sekaligus memupuk sudut kesedaran politik rakyat Selangor seraya menolak dakwaan kerajaan itu menggunakan duit rakyat untuk membiayai kos peguam Suhaimi.

"Kita (PR) menentang amalan selektif atau pendakwaan terpilih. Ini menunjukkan pendakwaraya (Umno-BN) ada agenda politik. Kita mahu rakyat Selangor sedar bahawa ini serangan ke atas kerajaan pilihan mereka," ujar beliau.

Menurut Khalid, Umno-BN yang menggunakan duit kerajaan untuk membayar khidmat pendakwaraya tanpa segan silu mengamalkan pendekatan dakwaan terpilih untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Tambahnya, perkara yang dilakukan oleh Suhaimi di dalam blognya tidak setanding dengan ucapan "Binatang" yang dicoretkan di atas kain rentang oleh Umno-BN Terengganu membantah keputusan Yang Dipertuan Agong, Sultann Mizan Zainal Abidin melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar Terenggau menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

"Kesalahan Suhaimi tidak penting berbanding apa yang Umno-BN lakukan," jelas Khalid lagi.

Shuhaimi sebelum ini didakwa menghina Sultan Selangor berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Datuk Mohamad Khusrin Munawi di dalam blognya srimuda.blogspotcom pada 30 Disember lepas.

Pejabat Pusat Khidmat Adun Seri Muda di Kota Kemuning turut disimbah cat merah dipercayai mempunyai kaitan dengan perkara tersebut.

Kerajaan Selangor kemudian berpendirian untuk bersama-sama dengan Suhaimi menghadapi tuduhan itu selain menyatakan hasrat untuk membayar kos khidmat guaman beliau.

Walaubagaimanapun tindakan tersebut mendapat tentangan daripada pelbagai pihak terutamanya Umno-BN yang menyifatkan ianya sebagai pembaziran duit rakyat.

Dalam pada itu, kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) pro-Pakatan Rakyat akan menubuhkan Gerakan Anti Pendakwaan Terpilih (GAPET) bertujuan memberi informasi kepada rakyat seluruh negara tentang kuasa pendakwaan terpilih yang dilakukan pihak Umno-BN.

GAPET akan membantu mengedarkan risalah serta menganjurkan ceramah penerangan kepada rakyat di negeri jajahan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.


Sumber: TVSNEWS

Wang haram: Bekas pembantu menteri didakwa

Posted: 10 Feb 2011 12:10 AM PST

Bekas setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yakcop hari ini didakwa dengan pengubahan wang haram, setahun selepas beliau didapati memiliki RM2 juta di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang.

Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Mohd Zairan Aman menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Hasbie, 38 diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan dua orang penjamin.

NONE
Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Anslen Charles Fernandis, memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 kerana kesalahan yang dilakukan sangat serius dan jumlah yang diperoleh adalah tinggi.

Tidak bekerja

Bagaimanapun, Hasbie yang tidak diwakili peguam, memohon agar mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana beliau tidak bekerja dan terpaksa menanggung keluarga.

Beliau meminta mahkamah mempertimbangkan jasanya selama berkhidmat dengan kerajaan yang telah bekerja di bawah kepimpinan tiga orang Perdana Menteri.

"Saya telah setahun tidak bekerja dan saya berhenti kerja tanpa mendapat pencen," katanya

Empat hari selepas ditahan oleh SPRM berhubung penemuan wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta di pangsapurinya itu, pejabat Nor Mohamed mengeluarkan kenyataan yang Hasbie telah meletakkan jawatan.

nor mohamed yakcop
Hasbie, seorang rakyat Sarawak dilantik sebagai setiausaha politik pada tahun 2008 ketika Nor Mohamed adalah menteri kewangan kedua.

Nor Mohamed (kanan), yang berasal dari Pulau Pinang adalah juga ahli parlimen Tasek Gelugor. Beliau dilantik sebagai menteri kewangan kedua dari 2004 hingga 2009.

Sebagai menteri di jabatan perdana menteri, Nor Mohamed kini bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang berkuasa menentukan projek-projek kerajaan.



Sumber: Malaysiakini

Gambar palsu Lim berketayap pula tersebar

Posted: 10 Feb 2011 12:05 AM PST

Jika sebelum ini terdapat gambar palsu yang memaparkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyembelih lembu ketika Aidil Adha, kali ini terdapat risalah yang diedarkan di Balik Pulau menunjukkan setiausaha agung DAP itu memakai ketayap.

NONE
Gambar itu menunjukkan Lim bersama ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan speaker dewan undangan negeri Pulau Pinang, Abdul Halim Hussein di sebuah surau di majlis rasmi di Komtar.

Ketiga-tiga mereka memakai batik dan berketayap.

Adalah dipercayai risalah berkenaan hanya diedarkan di kawasanMelayu di Balik Pulau sejak minggu lalu.

Lim pada sidang media di Komtar, hari ini menunjukkan kepada wartawan gambal asal ketiga-tiga mereka yang dirakamkan pada majlis berkenaan.

leaflet
"Tiada seorang pun daripada kami yang memakai kopiah," katanya.

"Kopiah ini hanya digunakan oleh orang Islam dan saya tidak akan menggunakannya sebagai menghormati masyarkat Melayu," katanya.

Lim berkata jika Anwar mendapati beliau memakai ketayap, sudah pasti ketua pembangkang itu akan menegurnya.

"Lihat betapa jahatnya sesetengah pihak... ini satu lagi contoh fitnah ke atas pemimpin kerajaan negeri," katanya.

Lim menafikan beliau pernah memakai ketayap tetapi mengakui pernah memakai serban Sikh sebelum ini.


Sumber: Malaysiakini

Universiti swasta 'hilang' RM100j geran k'jaan

Posted: 10 Feb 2011 12:00 AM PST

Setelah menerima geran bantuan RM100 juta daripada kerajaan, sebuah universiti swasta 'utama' tidak dapat memenuhi sasaran pendaftaran pelajar dan kini hampir tidak cukup wang untuk bertahan setahun lagi.

NONE
Bahkan, kata ketua pegawai eksekutifnya, Leong Choon Heng,
universiti itu kini tinggal "kurang dari RM10 juta" dan terpaksa mengambil langkah pemotongan kos yang agresif untuk terus bertahan.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab pertanyaan selepasMalaysiakini mendapat maklumat mengenai situasi semasa universiti berkenaan.

Ditubuhkan pada 2001 oleh senator dan bekas menteri kabinet, Datuk Effendi Norwawi, Malaysian University of Science and Technologi (MUST) sepatutnya menjadi sebuah universiti terkemuka dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technologi (MIT).

Universiti tersebut menerima geran tersebut secara ansuran antara Januari 2001 dan 2006, menerusi MUST Ehsan Foundasan. Effendi telah menjadi pemegang amanah yayasan tersebut sejak tahun 2001.

azlan
Tetapi selepas 10 tahun berlalu, universiti tersebut masih jauh untuk
mencapai sasaran tahun 2007 - untuk mendaftar 500 pelajar - dengan hanya memperolehi 207 pelajar.

Begitu pun, sebahagian besar daripada pelajar tersebut merupakan mereka yang didaftarkan untuk meningkatkan jumlah pendaftaran selepas universiti itu hanya mendaftar 10 pelajar pada 2007.

Sewaktu bekas ketua eksekutifnya, Tan Sri Dr Omar Abdul Rahman - yang meletak jawatan pada bulan Mac - dan pernah menjadi penasihat sains dan teknologi kepada perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, universiti tersebut tidak mempunyai banyak aset fizikal.

Universiti itu terletak di lot pejabat di Kelana Square, kerana rancangan awal untuk sebuah kampus melalui MUST Ehsan Development, telah ditangguhkan.

MUST Ehsan Development - anak syarikat tersenarai Kumpulan
Encorp yang dibiayai oleh Effendi - sepatutnya membangunkan kawasan di sekitar tapak untuk kampus universiti tersebut di Shah Alam.

NONE
Pendapatan daripadanya akan digunakan untuk membiayai pembinaan kampus dan aktiviti lain universiti tersebut.

MUST Ehsan Development mempunyai portfolio projek bernilai RM800 juta, termasuk projek pembangunan campuran yang digelar 'the Strand' di Kota Damansara. Bagaimanapun, ia tidak ada apa-apa kaitan dengan Yayasan atau MUST.


Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: