Ahad, 13 Februari 2011

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Nak rakyat doakan Polis dan Penguatkuasa mati isu kafe siber berleluasa?

Posted: 12 Feb 2011 11:23 PM PST


Kafe siber, bersepah-sepah sekarang. Ada yang dijadikan pusat judi. Yang rugi BANGSA MELAYU REMAJA SEKOLAH LAGI. YANG UNTUNG……. Adakah Pihak Polis dan Pihak Penguatkuasa Berkuasa Tempatan TAK NAMPAK? Jangan sampai rakyat, terutamanya jemaah surau dan masjid doakan sesuatu untuk mereka ini! BANGKITLAH UMAT ISLAM. DOA IALAH SENJATA KITA, TAK PERLU TUNJUK PERASAAN. RAMAI WAKIL RAKYAT YANG DAH MATI SEBAGAI BUKTI.

Kisah sebelum ini Senawang Pusat E Judi, MPS, Jabatan Agama tak kerja ke ? di http://amkns.blogspot.com/2010/11/senawang-pusat-e-judi-mps-jabatan-agama.html

IKAT PERUT KERANA KAFE SIBER
Sinar Harian 13 Feb 2011

SEREMBAN – Kewujudan kafe siber banyak memberi manfaat kepada masyarakat dalam menghambat perkembangan pesat era teknologi maklumat dan komunikasi kini agar tidak ketinggalan dek arus pembangunan.

Namun, ia mengundang gegala serius apabila ada dalam kalangan pelajar yang menghabiskan masa mereka di kafe siber sebaik sahaja pulang dari sekolah.

Malah, ada juga yang sanggup mengikat perut semata-mata mahu ke kafe siber menggunakan wang perbelanjaan sekolah yang diberi ibu bapa akibat ketagihan untuk melayari laman sesawang di Internet seperti permainan video, facebook, youtube dan tidak kurang juga melayari laman web lucah.

Tinjauan Sinar Harian di dua lokasi berbeza di daerah ini mendapati sebaik sahaja tepat jam 1.30 petang, kafe siber yang lokasinya berhampiran sekolah mula menjadi tumpuan pelajar khususnya lelaki yang akan menanggalkan pakaian sekolah mereka terlebih dahulu sebelum memasuki premis berkenaan.

Manakala pada waktu petang, kafe siber berhampiran kawasan perumahan menjadi tumpuan pelajar lingkungan usia 7 tahun hingga 13 tahun untuk bermain permainan video Internet antara dua hingga tiga jam.

Seorang aktivis sosial, Hamidon Abd Samad berkata, kunjungan pelajar ke kafe siber kini dilihat sudah menjadi budaya yang boleh mengundang kepada berlakunya masalah sosial membimbangkan kerana terpengaruh dengan maklumat yang diperoleh menerusi Internet.
Menurutnya, mereka sanggup menghabiskan masa berjam lamanya dengan melayari laman web yang diminati di kafe siber terutamanya ketika cuti sekolah dan selepas tamat musim peperiksaan.

"Kafe siber ini ada pro dan kontranya. Pelajar sekarang perlu tahu menggunakan teknologi maklumat yang tersedia hari ini.

"Apa yang menjadi masalah apabila mereka melayari laman web yang tidak berfaedah dan sanggup menghabiskan duit sebegitu sahaja," katanya.

Menurutnya lagi, dia pernah bertanya kepada pelajar sekolah mengenai apa yang mereka lakukan di kafe siber dan tanpa segan silu mereka menjawab; laman lucah.

"Pada hari ini semakin ramai golongan mudah ketagih dengan kafe siber dan lebih parah lagi apabila mereka menjadikannya sebagai lokasi ketagihan melayari laman lucah yang dilihat bersama rakan," katanya.

Selain itu katanya, peraturan berkaitan dengan pengawalannya, terutamanya ke atas lokasi operasi kafe siber dan penguatkuasaan mesti diperketat dalam memastikan gejala sosial dapat dielakkan.

"Kafe siber tidak seharusnya berada di lokasi yang berdekatan dengan sekolah kerana akan menjadi tempat 'lepak' para pelajar sebelum pulang ke rumah.

"Memanglah jika kafe siber tiada berhampiran sekolah mereka boleh pergi ke tempat lain. Tapi sekurangnya inilah usaha kita untuk mengekang kepada berlakunya masalah sosial yang kadang-kala dil uar jangkaan," katanya.

Seorang pemilik kafe siber, Amer Hanafie mengakui sememangnya rata-rata yang mereka mengunjungi premisnya terdiri daripada golongan muda yang tinggal di kawasan berhampiran.

Menurutnya, kehadiran mereka kebiasaannya mahu bermain permainan video menerusi Internet dalam jangka waktu satu atau dua jam.

"Ada juga yang bermain permainan video ini sehingga empat jam tanpa henti dan ada juga yang sudah pulang tetapi datang kembali kerana masih tidak puas melayari permainan video Internet.

"Walau bagaimanapun, saya tidak membenarkan mereka yang berpakaian sekolah masuk ke sini kerana ia adalah arahan pihak berkuasa yang perlu dipatuhi," katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, Sinar Harian turut bertanya seorang pengunjung remaja yang dilihat leka bermain permainan video Internet.

Pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 16, berkata, dia sanggup tidak makan tengah hari semata-mata mahu menjimatkan wang perbelanjaan sekolah untuk bermain permainan video Internet di kafe siber.

"Saya menghabiskan hampir RM5 sehari untuk melayari Internet selepas waktu persekolahan dan sudah menjadi rutin saya ke sini dengan kawan.

"Sekiranya pulang lewat pulang ke rumah, saya memberitahu ibu bapa adanya kelas tambahan dan aktiviti kokurikulum di sekolah," katanya.

Warga emas, Abd Khalid Mohd, 62, berkata, ibu bapa sepatutnya bersikap lebih prihatin dengan memantau aktiviti anak mereka di kafe siber dan bukannya memberi sepenuh kepercayaan kepada mereka.

Menurutnya, dalam keadaan persekitaran hari ini yang semakin mencabar, pelbagai kemungkinan boleh berlaku yang kadang-kala di luar pemikiran.

"Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya gegala sosial ini dan salah satunya dengan kewujudan Internet tambahan pula kini di mana-mana sahaja kita boleh melayari Internet sama ada di kafe siber, rumah mahupun melalui telefon bimbit.

"Oleh sebab itu ibu bapa berperanan penting untuk mengawal aktiviti anak. Kita tidak boleh mengubah keadaan persekitaran, tetapi kita yang perlu mengubah corak dalam mendidik anak," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8751748.asp

Tolonglah, janganlah doakan wakil rakyat kita mati

Posted: 12 Feb 2011 11:00 PM PST


Najib sepatutnya bukan saja minta wakil rakyatnya jaga kesihatan dan jangan mati. Najib sepatutnya minta rakyat jelata supaya jangan ada sesiapa doakan wakil rakyat di kawasan mereka mati. Tapi macamana rakyat tak nak doa, sebab mereka dah syok, bila wakil rakyat mati, barulah semua media memberi tumpuhan keluhan mereka sejak berpuluh-puluh tahun.

Macam kisah Masjid di Jerantut yang teramat daif, berpuluh tahun mohon dibaiki tapi hampa, macam artikel berikut Jangan tunggu orang Jerantut doakan Wakil Rakyatnya mati di http://amkns.blogspot.com/2011/02/jangan-tunggu-orang-jerantut-doakan.html

Alang-alang ada pilihanraya kecil di Kerdau , Pahang, bongkarkanlah kisah BANYAK PROJEK SAKIT DI PAHANG, PENDEDAHAN KETUA AUDIT NEGARA di http://amkns.blogspot.com/2010/11/banyak-projek-sakit-di-pahang.html

Kisah masjid ini sebelum ini di PAHANG, JUARA MASJID ROBOH pada pautan berikut http://amkns.blogspot.com/2010/12/pahang-juara-masjid-roboh.html

Juga artikel MAKIN RAMAILAH RAKYAT DOAKAN WAKIL RAKYAT MEREKA MATI di http://amkns.blogspot.com/2011/01/makin-ramailah-rakyat-doakan-wakil.html

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK MAHU UMNO SERTA SEMUA SAYAP PARTI MENGADAKAN LEBIH BANYAK PROGRAM BERBENTUK MENDAMPINGI RAKYAT DI KAWASAN-KAWASAN YANG DIKUASAI PEMBANGKANG DAN BUKANNYA DI KAWASAN SELAMAT.- UTUSAN MALAYSIA 17 OKT. 2010

Hishamuddin kenapa Panggilan 999 GAGAL, Jangan sibuk Politik je

Posted: 12 Feb 2011 10:59 PM PST


PANGGILAN 999 GAGAL?
Utusan Malaysia 11 Feb 2011


PANGGILAN kecemasan kepada talian 999 untuk mendapat bantuan polis tidak lagi dapat menolong anda! Inilah kesimpulan yang dapat dibuat oleh sesiapapun apabila membaca penjelasan Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdullah berhubung dengan kelewatan polis tiba di lokasi setelah panggilan dibuat oleh Pengarang Sukan Utusan Malaysia, Meor Harman Shakri semasa keretanya dirompak oleh empat lelaki bersenjata berhampiran Plaza Tol Rawang di awal pagi baru-baru ini. (Utusan Malaysia 9 Januari).

Meor Harman telah membuat panggilan kecemasan 999 sebanyak empat kali sebelum keluar dari keretanya yang dilanggar dari belakang dan dihalang setelah memintasnya. Salah seorang daripada penjenayah memasuki keretanya tetapi sebelum keluar dari kereta Meor telah pun menelefon 999 empat kali.

Polis hanya tiba di lokasi itu sejam kemudian. Memalukan! Di Amerika Syarikat panggilan 911 ialah panggilan kecemasan nasional satu negara.

Penjelasan daripada Ketua Polis Daerah Gombak ialah panggilan kecemasan 999 tidak akan terus disambung kepada polis di kawasan tersebut dan beliau menasihatkan supaya orang ramai hendaklah terus menghubungi bilik gerakan (?) untuk mendapatkan tindakan cepat.

Sesungguhnya ini adalah berita baru kepada orang ramai. Apa yang diketahui selama ini dan sentiasa diuar- uarkan oleh polis ialah nombor 999. Siapalah yang tahu nombor bilik gerakan kecamasan?

Kegagalan polis untuk bertindak segera terhadap panggilan dari seorang wartawan tidak lagi dapat disembunyikan kerana dia adalah "tukang berita" tetapi kita tidak tahu berapa banyak panggilan kecemasan kepada 999 yang mendapat tindakan lewat.

Kelalaian pihak berkuasa dalam suatu hal yang melibatkan nyawa dan kepentingan ramai tidak boleh dimaafkan dengan apa alasan sekalipun. Ini akan menyebabkan orang ramai menjadi sinis terhadap slogan "Rakyat Diutamakan".

Pihak yang terlibat mestilah sensitif terhadap kejadian ini dan hendaklah membuat suatu penjelasan yang meyakinkan. Kenyataan Pegawai Polis Daerah Gombak menimbulkan banyak anggapan yang negatif terhadap pihak polis yang sekarang sedang berkerja keras untuk memperbaiki imejnya di bawah Ketua Polis Negara yang baru.

HAIMI
Putrajaya.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

MESTI PANTAS BILA ADA KECEMASAN
Mingguan Malaysia 13 Feb 2011
Oleh Noraini Abd. Razak

TAKTIK langgar dan samun bukan baru. Pemandu sering diingatkan supaya tidak berhenti jika kereta dilanggar tanpa sebab terutama pada waktu malam. Peringatan tersebut sering ditujukan kepada pemandu wanita.

Maklumlah orang perempuan perlu dilindungi, justeru keprihatinan terhadap wanita memang selalunya lebih. Apa lagi jika wanita yang kerjanya sering pulang lewat malam.

Kejadian langgar dan samun yang menimpa Pengarang Sukan Utusan Malaysia baru-baru ini 'melebarkan' lagi peringatan tersebut. Meor Harman tidak memberhentikan keretanya selepas dilanggar tidak jauh dari tol Rawang. Bagaimanapun ada tanda-tanya di hatinya apabila pemandu yang melanggar keretanya memberi nyalaan lampu seolah-olah mahu memberitahu sesuatu.

Malang sememangnya tidak berbau. Sebaik memberhentikan keretanya, dua daripada empat penjenayah itu keluar dan mendekati beliau. Lantas terjadilah seperti mana selalunya - beliau diacu parang dan keretanya dilarikan.

Malang Meor Harman sememangnya berganda pada malam tersebut. Selepas keretanya dilanggar, beliau menghubungi talian 999 sebanyak dua kali. Panggilannya dijawab dan disambung ke bilik kawalan.

Jawapan yang diberi petugas bilik kawalan berbunyi begini: ''Bantuan akan sampai sebentar lagi, encik jangan ke mana-mana'. Sebelum itu beliau ditanya lokasi kejadian.

Selepas keretanya dilarikan, Meor Harman menghubungi 999 sekali lagi. Panggilannya disambungkan bilik gerakan. Beliau memberitahu: ''Encik saya dah disamun.'' Sekali lagi beliau ditanya lokasi kejadian selain perlu memperkenalkan diri sekali lagi dan diberitahu supaya jangan ke mana-mana.


Lokasi

Hampir sejam selepas panggilan pertama, kelibat kereta peronda polis di jalan bertentangan terlihat. Panggilan ke 999 dibuat sekali lagi untuk memaklumkan bahawa lokasinya adalah di jalan menuju ke Rawang dan bukannya arah ke Kuala Lumpur. Untuk menunggu kereta peronda itu membuat pusingan U mengambil masa menyebabkan dia menumpang motosikal ke tol Rawang. Di situ dia bertemu satu lagi polis peronda yang kemudiannya bertindak pantas menyelesaikan segala masalah.

Isu tersebut telah diulas dan dijawab pihak yang berkenaan. Dalam memberi penjelasan, orang ramai diingatkan supaya tidak bergantung kepada talian 999. Ingat nombor-nombor lain. Ingat nombor bilik gerakan. Tetapi dalam keadaan panik dan gementar, bukankah 999 adalah nombor paling segera melintas di fikiran. Nombor itu paling mudah diingati - sebab itu susunannya begitu. Nombor bilik gerakan mana yang perlu diingat? Jika seseorang tinggal di Rawang, adakah dia perlu mengingati atau menyimpan nombor bilik gerakan Rawang sedangkan malang yang tidak berbau boleh berlaku di mana-mana. Justeru mengapa dicadangkan nombor lain. Bukankah ia memperlekehkan talian kecemasan yang diwujudkan untuk memudahkan orang ramai meminta bantuan sejak berkurun lamanya.

Tentunya dalam hal ini, orang ramai mengharapkan pihak berkuasa memperbaiki sistem sedia ada. Jika talian 999 itu 'melambatkan' proses aduan atau untuk mengambil tindakan disebabkan ada beberapa lapisan, maka kurangkan lapisan itu. Semudah dan secepat mana nombor 999 itu disebut, maka urusannya juga harus mudah dan pantas.

Kita tidak memperkecilkan tugas anggota polis, tidak juga membesarkan kes Pengarang Sukan Utusan Malaysia. Keprihatinan adalah kepada semua mangsa jenayah yang sememangnya panik mencari bantuan ketika kecemasan. Mereka mesti diberitahu bahawa 999 adalah talian yang boleh dihubungi setiap saat dan ketika. Operator 999 akan menjawab panggilan anda. Tindakan segera akan diambil. Selepas itu baru disarankan supaya orang ramai turut menyimpan nombor bilik gerakan. Saranan seumpama itu mesti dimasukkan dalam iklan 999 yang ditayangkan di kaca televisyen. Pendek kata talian 999 mesti diangkat sebagai nombor kecemasan paling cekap bukan sebaliknya. Barulah kepercayaan orang ramai terhadap pasukan polis dapat dipertingkatkan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0213&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive

Tiada ulasan: