Suara Sri Andalas |
- Sumbangan Kerusi Roda Kepada Pesakit Dialisis
- Pemberian Limau Sempena Tahun Baru Cina di Taman Sentosa
- Hentikan Tekanan Terhadap Pegawai-Pegawai (P.A) Kepada Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor
Sumbangan Kerusi Roda Kepada Pesakit Dialisis Posted: 28 Jan 2011 03:00 AM PST Sumbangan kerusi roda telah disampaikan kepada seorang pesakit yang menjalani rawatan dialisis. Sumbangan tersebut telah dibuat di pejabat DUN Seri Andalas oleh Puan Sheila yang mewakili YB Dr Xavier Jayakumar. Menurut Puan Sheila, pihak DUN Seri Andalas telah membuat lawatan ke rumah pesakit sebelum ini, namun pesakit serta keluarganya tiada di rumah dan menyebabkan sumbangan tersebut tidak dapat diserahkan. Kerusi roda tersebut kemudiannya diserahkan kepada isteri pesakit yang datang ke pejabat DUN Seri Andalas. Dalam menjalankan kewajipan dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat, DUN Seri Andalas dibawah kepimpinan YB Dr Xavier Jayakumar menyampaikan sumbangan dan bantuan Kerajaan Negeri setiap bulan. Antara bantuan dan sumbangan yang diberikan adalah hamper yang merangkumi keperluan harian, lampin pakai buang, kerusi roda, basikal dan bantuan yuran bas sekolah. Bagi rakyat di DUN Seri Andalas yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan disarankan datang atau hubungi pejabat DUN Seri Andalas bagi mendapatkan bantuan. |
Pemberian Limau Sempena Tahun Baru Cina di Taman Sentosa Posted: 28 Jan 2011 02:00 AM PST Pada 24 Januari 2011 yang lepas, YB Dr Xavier Jayakumar telah mengadakan satu program pemberian buah limau di Taman Sentosa Klang. Program pemberian limau kepada orang ramai tersebut adalah bersempena dengan Tahun Baru Cina yang akan diraikan pada 3 dan 4 Februari ini. Turut membantu YB Dr Xavier dalam mengagihkan buah-buah limau tersebut adalah kakitangan dari pejabat DUN Seri Andalas serta para sukarelawan. Seperti tahun-tahun lepas, program ini disambut baik oleh orang ramai. Akhbar-akhbar dari tiga bahasa mengenai berita semasa Kerajaan Negeri Selangor dan pamplet mengenai skim TAWAS (Tabung Warisan Anak Selangor) dan MUES (Skim Mesra Usia Emas Selangor) turut diedarkan kepada orang ramai. Satu lagi program pemberian buah limau akan diadakan hari Sabtu ini di pasar pagi, Taman Klang Jaya. |
Hentikan Tekanan Terhadap Pegawai-Pegawai (P.A) Kepada Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor Posted: 28 Jan 2011 01:00 AM PST Kenyataan Akhbar (Khamis 27 Januari 2011) Persatuan Pegawai-pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor (SELPROA) Selproa merakamkan rasa kesal terhadap tindakan tidak professional Polis yang seringkali meminta Saudara Mohamad Azmin Bin Abdul Karim, Pegawai Khas kepada YB Shuhaimi Shafiei, Adun Sri Muda untuk hadir memberikan keterangan kepada pihak Polis di Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam, Seksyen 11, Shah Alam. Setakat ini beliau telah diambil keterangan sebanyak LIMA (5) KALI termasuk keterangan yang diambil hari ini ( Khamis 27 Januari 2011) di IPD Shah Alam. Untuk pengetahuan, Saudara Mohamad Azmin adalah salah seorang ahli Selproa. Selproa beranggapan tindakan Polis ini lebih merupakan satu bentuk tekanan / gangguan psikologi (psychological harassment) terhadap pegawai-pegawai yang berkhidmat dengan Adun-adun / Ahli parlimen Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Selproa juga percaya ia juga merupakan satu bentuk tekanan terhadap YB Shuhaimi Adun Sri Muda yang sedang dikritik hebat oleh gerombolan dan kuncu-kuncu UMNO / Barisan Nasional ekoran tulisan beliau dalam blognya yang kononnya "dikatakan" menghina Istana berkaitan isu perlantikan SUK Selangor. Selproa ingin menegaskan disini agar pihak Polis tidak 'diperalatkan' oleh pemimpin UMNO dan isu perlantikan SUK tersebut. Pihak Polis sepatutnya tidak mengamalkan 'pilih kasih' dalam menjalankan siasatannya kerana dilihat tidak mengambil sebarang tindakan terhadap lebih 30 laporan Polis yang dibuat oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) terhadap beberapa editor akhbar Utusan Malaysia dan beberapa orang individu lagi yang boleh disabitkan kesalahan jenayah di bawah Akta Hasutan yang juga boleh diklasifikasikan mengancam keharmonian awam dalam isu perlantikan SUK tersebut. Presiden Selproa telah turut hadir di IPD Shah Alam, Seksyen 11, Shah Alam bersama-sama YB Shuhaimi dan beberapa pemimpin Keadilan Cabang Kota Raja menemani Saudara Azmin untuk diambil keterangan buat kali ke 5, pada pukul 4.00 petang tadi. Selproa bertegas agar pihak Polis atau mana-mana pihak Penguatkuasa Undang-undang mengambil iktibar dari peristiwa kematian Teoh Beng Hock dan Selproa tidak mahu ahli-ahli Selproa dijadikan 'kambing hitam' dalam usaha pihak berkenaan cuba 'mengenakan' wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat Negeri Selangor ABDUL RAZAK BIN ISMAIL (012-3966744) Presiden Selproa Tarikh : 27 Januari 2011 |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan