Khamis, 20 Januari 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Thaipusam Disambut Meriah: MB Umum Bantuan Untuk Masyarakat India

Posted: 20 Jan 2011 12:40 AM PST

BATU CAVES 19 JAN : Perayaan Thaipusam tahun ini membawa berita gembira kepada Jawatankuasa Kuil Sri Mariammann, Batu Caves apabila menerima kunjungan Menteri Besar, Exco Negeri serta Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang akan membantu meningkatkan infrastruktur dan kemudahan di kuil tersebut.

Tan Sri Khalid Ibrahim mengiktiraf tarikan Batu Caves dan akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Jawatankuasa Kuil yang diketuai oleh Datuk R Nadarajah bagi memastikan Batu Caves terus menjadi tumpuan pelancong dan penganut agama Hindu dari seluruh dunia.

"Selepas Tahun Baru Cina, saya akan menjemput Datuk Nadarajah bersama jawatankuasa dan saya akan bawa bersama pemimpin dari Selayang, Pihak Berkuasa Selayang dan ahli Exco negeri untuk kita adakan perbincangan dua hala. Saya anggap peranan yang dimainkan Pengerusi dan Jawatankuasa Sri Mariamman ini penting bukan saja untuk negeri Selangor tapi juga untuk negara Malaysia," katanya.


Beliau berucap di hadapan puluhan ribu penganut agama Hindu dan pelancong dari dalam dan luar negara yang turut serta meraikan dan merasai sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves ini.

Turut bersama Menteri Besar ialah Exco Selangor, Ronnie Liu dan Dr Xavier Jeyakumar, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Ahli Parlimen Gombak Azmin ALi, Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam, Ahli Parlimen Selayang William Leong serta Naib Presiden PKR, N. Surendren

Sambutan tahun ini tidak kurang meriahnya dan menunjukkan betapa masyarakat Hindu bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing dan hidup makmur bersama rakyat Selangor yang lain.

Menteri Besar Selangor itu turut menyeru agar rakyat Selangor dapat terus menunjukkan persefahaman dan kehidupan yang harmoni ini.

Menurut Khalid, Kerajaan Pakatan Rakyat telah melakukan pelbagai program bagi menjamin kebebasan dan keselesaan beribadat bagi penganut Hindu.

Sebagai contoh, Khalid menerangkan, Jawatankuasa Rumah Ibadat Selangor di bawah Dr Xavier Jeyakumar telah meluluskan 103 permohonan rumah ibadat, dan 56 daripadanya ialah kuil-kuil hindu.

"Kerajaan Negeri Selangor memang prihatin dan bersikap adil memberi bantuan kepada rakyat berbilang kaum dan agama. Kita membantu membangunkan kuil di negeri Selangor. Tahun 2010 sahaja, kita dah belanja RM 3 juta untuk pembaikan rumah-rumah ibadat. Kebanyakan peruntukan itu diperuntukkan untuk pembaikan dan pembinaan kuil-kuil Hindu," jelasnya.

Kemuncak acara semalam, Kerajaan Selangor juga menghulurkan bantuan sebanyak RM300 ribu kepada Kuil Sri Mariamman, RM 470 ribu kepada pembangunan tadika India di kawasan Majlis Bandaraya Petaling Jaya bantuan RM 3 juta bagi pembaikan dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Midlands Seksyen 7 Shah Alam yang sebelum ini terbengkalai.

Khalid mengucapkan terima kasih kepada masyarakat India kerana memilih Pakatan Rakyat untuk menerajui pemerintahan Negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum lalu.


Sumber: TVSNEWS

TAWAS : Enggan Kerjasama, Kesal Sikap Hospital Kerajaan

Posted: 19 Jan 2011 02:00 AM PST

SHAH ALAM, 19 Jan – Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Xavier  Jayakumar melahirkan rasa kesal terhadap hospital kerajaan ekoran kengganan memberi kerjasama dengan kerajaan negeri dalam program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Dr Xavier yang juga Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor  berkata, dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan negeri membantu rakyat yang memerlukan, tetapi usaha ini dipandang dingin oleh pihak hospital kerajaan kerana enggan memberi kerjasama dan mengedarkan borang pendaftaran TAWAS.

"Pihak hospital tidak membenarkan pihak kami menyimpan borang-borang tersebut disana, jadi perkara ini menyebabkan tidak ramai rakyat tahu dan dapat program TAWAS.

Walaupun pihak hospital kerajaan tidak memberi kerjasama tidak mengapa, tapi kenapa mereka tidak mahu memberi kerjasama, borang ini untuk bantuan rakyat, kita (Pakatan Rakyat) hanya ingin menolong rakyat," katanya.


TAWAS, merupakan antara projek penting dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor atau MES yang dilancarkan secara rasmi sejak awal pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor, 30 Ogos 2008.

Kerajaan Negeri Selangor menerusi TAWAS akan menghadiahkan tabung simpanan sebanyak RM 100.00 bagi setiap pendaftaran TAWAS yang berjaya.Menjelang usia 18 tahun, anak-anak selangor yang berdaftar ini, berpeluang menerima RM 1,500 seorang hasil daripada pelaburan dalam TAWAS.

Dr Xavier yang juga ADUN Sri Andalas berkata, sebagai usaha berterusan membawa manfaat TAWAS kepada rakyat Negeri Selangor, kini kempen penyebaran maklumat dan pendaftaran peserta di setiap kawasan wakil rakyat di seluruh Selangor dipergiatkan.

"Jadi kita kena memperhebat program promosi TAWAS dengan lebih luas dan hebat di negeri Selangor,"  katanya.

Dr Xavier berkata demikian ketika merasmikan majlis Penyerahan Rumah Prihatin dan Penyampaian Sumbangan Bencana kepada penduduk Semenyih semalam.

Tambahnya lagi, risalah dan borang pendaftaran TAWAS juga diedarkan di semua Jabatan/Agensi Negeri, termasuk semua Pejabat Daerah dan Tanah dan semua Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor.

Kini pihak TAWAS menyediakan pendaftaran secara 'On-Line' bagi mempercepatkan dan mempertingkatkan lagi usaha untuk memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

Jumlah pendaftaran sejak ogos 2008 sehingga ke hari ini ialah 37,285 ahli dengan purata pemohonan setiap bulan ialah 2,000 pemohonan dan tahun ini TAWAS mensasarkan 25,000 lagi pendaftaran.

Speaker Isytihar Kerusi DUN Pelabuhan Klang Kosong

Posted: 19 Jan 2011 01:00 AM PST

Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi dewan undangan negeri Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun.

Pengumuman itu dibuat petang tadi di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri. Tiada peruntukan rayuan ditetapkan.

"Badrul mengakui tidak hadir dalam sepucuk surat yang tiba di pejabat saya bertarikh 10 Disember. Dia memohon cuti bagi mendapatkan rawatan perubatan tradisional di Pahang," kata Teng.

Ketika ditanya, Teng kemudiannya mengemukakan rekod menunjukkan Badrul Hisham tidak menandatangani borang kedatangan pada 8 November lalu.

"Dalam suratnya itu, Badrul juga mengakui beliau tidak hadir pada semua hari semasa dewan bersidang pada November," katanya.

Sebelum ini, khabar angin mengenai kekosongan kerusi itu bertiup kencang apabila Badrul Hisham Abdullah didakwa telah gagal menghadiri sidang DUN sejak Julai tahun lalu.

Mengikut Artikel 69 perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.

ADUN kontroversi itu meninggalkan PKR pada tahun Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.


Sebelum itu, beliau juga 'menghilangkan diri' buat seketika dan muncul semula dengan berita bahawa beliau akan berpaling tadah.

Badrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi.

Beliau mendapat 12,397 undi berbanding calon BN yang diwakili oleh Roselinda Abd Jamil (Umno) yang mendapat 7,990 undi dan calon Bebas Nazir Mansor pula mendapat 580 undi.

Sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, negara telah menyaksikan 14 pilihan raya kecil.

Sultan Selangor Perkenan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Negeri

Posted: 18 Jan 2011 10:00 PM PST

Kerajaan Negeri menyembah ucapan terima kasih kepada DYMM Sultan Selangor kerana telah memberi perkenan untuk  diadakan sidang Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari ini bagi membentangkan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri.

Kami menghargai keprihatinan DYMM Sultan kepada usaha Kerajaan untuk mengembalikan kuasa Negeri dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio iaitu:  Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dalam perjumpaan mingguan saya dengan DYMM Sultan pagi tadi, saya telah mempersembahkan Rang Undang-Undang yang boleh mengembalikan kuasa pelantikan kepada Sultan dan Menteri Besar.

Pindaan yang kita akan cadangkan ialah Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal berikut:


"Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dengan Syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula."

Pindaan ini jelas bertujuan mengembalikan prosedur untuk pelantikan tiga pegawai tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri sebelum ianya dipinda pada 1993.

Rang undang-undang ini kita hebahkan kepada orang ramai supaya ianya dapat dibincang dan dikupas secara sihat dan professional sebelum ia dibawa ke Dewan Negeri Selangor untuk dibentangkan. Ini selaras dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban (transparency and accountability) Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.


TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: