Khamis, 20 Januari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


ADUN Merlimau Meninggal Dunia, Satu Lagi PRK Bakal Diadakan

Posted: 20 Jan 2011 12:41 AM PST


MERLIMAU 20 Jan - Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau daripada Barisan Nasional Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia pada pukul 3.00 petang tadi akibat serangan jantung semalam.

Kematian ADUN tersebut telah disahkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd Yusof.

‘Derhaka kalau tak sokong pindaan perlembagaan’

Posted: 19 Jan 2011 11:46 PM PST


KAJANG: Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata Selangor yakin pindaan perlembagaan yang akan dibentang pada 24 Januari ini akan diluluskan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Rakyat bertajuk "Pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) dan Pindaan Perlembagaan" di Dewan Majlis Perbandaran Kajang baru-baru ini didepan 150 hadirin.

"Jika mereka hadir dalam sidang dewan dan tidak mengundi menyokong pindaan tersebut atau jika mereka boikot sidang dewan tersebut bererti mereka derhaka kepada Tuanku Sultan," kata beliau ketika ditemui FMT.

Ini kerana Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah pun memberikan perkenan untuk mengadakan sidang dewan tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Mohd Satim Diman dilaporkan dalam media sebagai berkata akan memboikot sidang dewan tersebut.

Faekah menjelaskan bahawa pindaan perlembagaan akan mengembalikan kuasa raja sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan sebelum tahun 1993.

Sementara itu, beliau menafikan hubungan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Sultan Selangor mengalami keretakan dengan mendedahkan ucapan baginda ketika majlis angkat sumpah kesetiaan SUK baru, Mohammed Khusrin Munawi.

Beta dan memanda (Khalid) sangat rapat
Faekah memetik baginda sebagai berkata: "Beta dan memanda (Khalid) sangat rapat. Kita berjumpa sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk berbincang dan menasihati."

Beliau turut memetik Sultan menasihati Khusrin agar bekerjasama dengan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat.

"Beta juga berharap Khusrin akan bekerjasama dan melaksanakan polisi kerajaan yang memerintah hari ini."

Dalam pada itu, Faekah turut mendedahkan usaha Umno-Barisan Nasional yang menganjurkan program untuk menggambarkan bahawa Pakatan Rakyat derhaka kepada Sultan Selangor.

Walau bagaimanapun, dalam program yang diadakan bulan lepas, Faekah menjelaskan bahawa Umno-BNlah yang telah mencemar dan menghakis institusi kesultanan Melayu dalam tahun 1993.

Sementara itu, dalam isu pelantikan SUK pula, Faekah berkata bahawa pelantikan tersebut menjadi isu bukan kerana calon Khusrin sebaliknya yang dipertikaikan adalah kegagalan dalam mengikut prosedur yang disifatkannya sebagai biadab.


Sumber: FreeMalaysiaToday

Umno akui kejayaan PAS

Posted: 19 Jan 2011 11:42 PM PST


KOTA BHARU, 20 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur kerana Tan Sri Isa Samad sedar, DAP sudah boleh menerima Islam sejak berkawan dengan PAS.

Tuan Guru berkata, walaupun kenyataan Isa berupa sindiran, namun sebenarnya penerimaan masyarakat bukan Islam terhadap konsep Islam telah berlaku dan membuktikan PAS telah berjaya membawa kebenaran agama itu pada golongan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, yang mendakwa DAP sudah boleh menerima Islam sejak berkawan dengan PAS.

Isa dengan kenyataan menyindirnya juga berkata, sedangkan 'kita' (Umno) yang sudah muslim, kadang kala tidak berapa faham, sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah portal semalam.

Isa berkata demikian pada satu majlis makan malam 1 Malaysia yang sebahagian besarnya dihadiri oleh kaum Cina.

Kata Tuan Guru lagi, perkembangan itu membuktikan kejayaan PAS sendiri dalam membentuk hubungan setia kawan dengan anggota parti lain.

"Tak semestinya masuk Islam, terima konsep atau dasarnya pun sudah cukup, tapi kalau nak menerima Islam lagi baik. Apa lagi Islam sampai di negara China lebih awal di Tanah Melayu," ujarnya.

Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata, sekiranya perkataan yang dikeluarkan dari mulut Isa Samad lahir dari hatinya yang tulus iaitu 'orang muslim tak faham Islam', memang wajar sekali dengan apa yang berlaku sekarang di mana orang Melayu Islam menerima perjuangan sekular BN.

"Sudah terang lagi bersuluh, kenyataan Tan Sri Isa itu membuktikan orang Melayu hanya beragama Islam pada adat, tetapi tidak tahu untuk menjadi orang muslim yang sebenar," ujarnya.

Tambahnya, kerana tidak faham itu menyebabkan kecelaruan sering berlaku dalam masyarakat.

Katanya lagi, kerana menyedari umat Islam tidak memahami tanggungjawab mereka sebagai muslim, menyebabkan PAS sentiasa bersedia untuk memberi penerangan kepada mereka.

"Yang jadi masaalahnya Umno ni buat masjid tahu, tetapi untuk menerima penceramah di situ kena tapis, kena pohon kebenaran," ujarnya.


Sumber: Harakah Daily

Blogger Umno mula fitnah calon PAS

Posted: 19 Jan 2011 11:36 PM PST


KUALA LUMPUR, 20 Jan: Tarmizi Mohd Jam dengan blognya di sanggahtoksago.blogspot hari ini di dalam satu kenyataan media telah membuat seruan kepada ahli-ahli PAS, dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang beragama Islam supaya mengadakan solat hajat bagi dijauhkan daripada sebarang fitnah jahat para blogger yang didakwanya sebagai pemfitnah atau pro-Umno/BN yang bergentayangan di alam siber.

KLToday.com melaporkan Tarmizi yang juga penyelaras majlis makan malam bersama kerajaan negeri Kelantan di sebuah hotel di ibu negara mendedahkan satu blog pro-BN iaitu Papagomo dikhabarkan sedang ligat memutarkan fitnah yang mendakwa pertemuan blogger bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat pada Sabtu lalu yang kononnya setiap blogger yang hadir diberikan wang tunai sebanyak RM500, sebuah komputer riba laptop, kemudahan percuma talian broadband dan sebuah telefon mudah alih jenama Blackberry.

Sementara itu juga, seorang pemunya laman Facebook, "Suara Dari Bumi" pula di dalam mesej facebooknya pula membuat fitnah yang mendakwa calon PAS di Tenang, Normala Sudirman (gambar bawah sebelah kanan) meninggalkan suaminya, tohmahan mempunyai skandal luar dan malah menyeru pembacanya jika ingat perkataan zina kenalah ingat PAS.

Tarmizi mendakwa taktik-taktik jahat ini adalah sama dengan yang dilakukan ke atas semua calon dari PR sebelum ini. Contohnya calon PAS di PRK Galas sebelum ini yang didakwa berzina dengan ibunya sendiri dan calon PKR semasa di Hulu Selangor dahulunya, Datuk Zaid Ibrahim dikaitkan dengan isu arak dan judi lumba kuda.

Mengulas lanjut, Tarmizi yang juga Setiausaha Jawatankuasa Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat berkata, semua blogger pro-PR adalah diseru melancarkan kempen alam siber mendedahkan laman dan blogger-blogger 'pemfitnah' pro-Umno secara besar-besaran dan berterusan setiap hari. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kekeliruan persepsi dan minda di kalangan pembaca blog dan pengunjung alam siber.

Beliau bagaimanapun, menghormati pandangan yang berbeza dengan para blogger Umno yang tulen, berhujah dengan fakta dan bukti, serta menghormati hak demokrasi di negara ini. Tetapi, blogger-blogger yang memilih cara fitnah yang saban hari mengada-ngadakan cerita patut dibanteras, dihukum dan dinyahkan dari alam siber.

Tarmizi juga menyeru semua cawangan PAS, dewan-dewan, kawasan menganjurkan solat hajat ini, kerana ia adalah lanjutan Solat Hajat Perdana di Stadium Melawati Shah Alam yang diadakan baru-baru ini agar negara diselamatkan dari kekacauan dan fitnah dahsyat para blogger pemfitnah pro-Umno ini.

Pada 15 Januari lalu, Kerajaan Kelantan telah menganjurkan majlis ramah-mesra dengan para blogger dan facebooker di Kuala Lumpur (gambar atas). Lebih 200 blogger pro-PR dan pro-rakyat hadir dan mereka benar-benar berpuashati dengan keraian yang ditunjukkan oleh kepimpinan kerajaan negeri. Hampir semua Exco hadir termasuklah Timbalan Menteri Besar dan Speaker DUN Kelantan.


Sumber: Harakah Daily

Anwar Tegas Terus Debat Dengan Najib, Minta Bernama Tarik Balik Laporan

Posted: 19 Jan 2011 11:34 PM PST


KUALA LUMPUR 20 JAN : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berganjak daripada hasratnya meneruskan debat terbuka dengan Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat dan kedudukan ekonomi negara.

"Saya memandang serius laporan Bernama bahawa saya tidak mahu berbahas secara terbuka dengan Datuk Seri Najib.

"Laporan tersebut kononnya memetik kenyataan saya di Alor Setar ketika Majlis Wacana Maqasid Syariah di Kolej Insaniah Alor Setar petang tadi (semalam).

"Saya tegaskan di sini, saya sedikitpun tidak berganjak dari kenyataan sebelumnya serta hasrat yang terkandung dalam surat rasmi berniat mempelawa Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi.

Sehubungan itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat berharap Bernama akan menarik balik dan membetulkan laporannya semalam di bawah tajuk "Saya tidak ajak Perdana Menteri berdebat, hanya berbincang - Anwar".

Laporan itu antara lain menyebut, Anwar tidak pernah mengajak Najib untuk berdebat mengenai Program 100 Hari Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya mahu berbincang.

Katanya, ia adalah perbincangan terbuka secara baik melibatkan pihak Perdana Menteri dan pihaknya yang mewakili Pakatan Rakyat.

"Ia perbincangan secara baik... kita tengahkan pandangan kita, mereka jawab dan kemukakan pandangan mereka. Tapi mereka tak setuju. Sebelum ini kita ajak menerusi media. Semalam surat menyusul. Respons tak begitu baik," katanya di Alor Setar.

Anwar juga dipetik berkata, menerusi perbincangan itu pihak beliau dan pihak Najib akan mengemukakan alasan masing-masing untuk rakyat menilainya.

Katanya, beliau memilih untuk berbincang dengan Najib kerana Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada ekonomi.

"Sewaktu perbincangan dia boleh kemukakan program ekonominya seperti ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan yang lain-lain," katanya.

Beliau berkata ia bukanlah sesuatu yang membuang masa kerana ia bertujuan memberi penjelasan kepada rakyat tentang program ekonomi.

Dalam kenyataan dikeluarkan kelmarin, Anwar membuat pelawaan kedua kepada Najib agar berdebat dengan beliau berhubung kedudukan ekonomi negara dan juga mengenai Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Ketua Umum PKR membuat pelawaan kedua itu menerusi surat rasmi kelmarin susulan yang pertama 11 Januari lalu.

Anwar berkata beliau membuat pelawaan kedua itu selepas tiadanya respons daripada Najib.

Salinan surat itu juga diedarkan kepada media ketika secara kebetulan Najib membuat kenyataan di Tenang, Labis agar Anwar jangan membuat cabaran berdebat supaya tidak "demam".

Najib berkata, Anwar sewajarnya jangan terlalu mendesak untuk berdebat kerana beliau mempunyai pelbagai maklumat yang boleh menyebabkan ketua pembangkang itu "demam" kelak jika dibongkarkan ketika berdebat.

Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau sebenarnya tidak gentar untuk berdebat dengan Anwar tetapi menyifatkan tindakan berdebat itu hanya akan membuang masa kerana pembohongan ketua pembangkang itu dan kegagalannya menunaikan janji.

Sementara itu dalam kenyataanya, Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata pihaknya mahu Najib menerima pelawaan Anwar untuk berdebat.

Katanya, debat ini penting bagi melihat hujah dan fakta yang dilontarkan antara Perdana Menteri mewakili kerajaan Malaysia dengan Anwar selaku ketua pembangkang di Parlimen.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah merasakan rakyat berhak mengetahui apakah kandungan yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga benar-benar realistik ataupun retorik semata-mata.

"Perdana Menteri pula boleh mengemukakan hujah balas dengan mengemukakan apakah sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh kerajaan selama ini terhadap rakyat," kata beliau.

Malah kata beliau, debat antara kedua-dua tokoh negara ini bakal menjadi mercu tanda negara yang mengamalkan demokrasi sihat.

"Ia bakal memahat sejarah tersendiri apabila seorang Perdana Menteri mampu berhadapan dengan sesiapa sahaja demi kepentingan rakyat dan negaranya.

"Rakyat pula akan mengenang dan menghormati Perdana Menteri Malaysia sebagai PM yang paling 'gentleman', berjiwa rakyat, tidak beretorik, dan berjiwa besar sekiranya penerima pelawaan debat ini," katanya lagi.


Sumber: TVSNEWS

Lapan Ditahan Demo Di Program Thaipusam

Posted: 19 Jan 2011 11:32 PM PST


BATU CAVES 20 JAN : Lapan anggota Parti Hak Asasi Manusia (HRP) ditahan dalam satu demonstrasi yang bertukar liar di tapak sambutan Thaipusam di sini, hari ini.

Manakala enam daripadanya pula mengalami kecederaan dalam pergelutan itu.

Sambutan Thaipusam hari ini dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Lebih 20 orang anggota polis mula bertindak ke atas kumpulan berkenaan yang mengadakan demonstrasi itu bagi memprotes buku teks sastera Interlok.

Tindakan itu dilakukan ketika ketua penerangan HRP S Jayathas yang mengetuai kumpulan itu sedang membacakan satu kenyataan.

Pada masa yang sama, Najib sedang menyampaikan ucapan di dalam kompleks kuil berkenaan.

Pergelutan kecil turut berlaku apabila kira-kira 15 orang anggota HRP cuba membolosi kawalan polis berhampiran pintu pagar kuil.

Peserta demonstrasi berkenaan turut dilihat membawa poster antaranya dengan slogan "mansuhkan Interlok", "Pemuda Tamil tidak sokong BN" dan "Kami mahu keadilan."


Sumber: TVSNEWS

Utusan Digesa Tarik Tuduhan Terhadap Hata- Pertubuhan Wartawan P. Pinang

Posted: 19 Jan 2011 11:31 PM PST


GEORGE TOWN 20 JAN: Pertubuhan Wartawan dan Jurugambar Akhbar Cina Pulau Pinang (Pewaju) dan Persatuan Wartawan-wartawan Seberang Prai menyeru Utusan Malaysia supaya menarik balik tuduhan terhadap Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari dan membatalkan tindakan penggantungan kerja dengan serta-merta.

"Organisasi media tidak patut menafikan hak wartawan untuk menyertai kesatuan, mahupun menggantungkan kerjanya tanpa alasan munasabah. Jika tidak, ini akan jadi contoh yang terburuk bagi media yang sepatutnya berperanan sebagai the fourth estate," kata Pengerusi Pewaju Ong Ghee Tien.

Kedua-dua organisasi media ini amat runsing terhadap nasib Hata yang semata-mata bersuara tentang isu profesionalisme wartawan dan kebebasan akhbar, namun diambil tindakan disiplin oleh Utusan Malaysia atas sebab memburukkan imej majikan.

Dengan penangguhan sesi prosiding, Hata seolah-olahnya dijatuhkan hukuman sebelum dibuktikan bersalah.

"Kami berpandangan bahawa, tindakan yang diambil terhadap Hata merupakan penindasan hak asasi manusia dan wartawan, dan pasti mengancam kebebasan akhbar di negara ini," kata kenyataan itu lagi.

Lagipun, NUJ merupakan sebuah kesatuan yang mewakili seluruh warga pemberita dalam membela kebajikan dan hak mereka. Sebarang tindakan untuk menyekat kesatuan dan laungan bagi mempertahankan keprofesionalan, seumpama musuh umum kepada wartawan dan pembaca seluruh negara.

Pandangan dan kritikan terbuka Hata sebenarnya menyentuh tentang isu kebebasan dan kualiti akhbar. Walaupun beliau telah melempar kritikan terhadap pihak parti pemerintah dan pembangkang, tapi semua ini adalah di atas pendirian membela kebebasan akhbar dan kepentingan ahli kesatuan, termasuk mempertahankan media yang dilarang membuat liputan oleh kerajaan BN, mahupun Pakatan.

"Kami ingin menyeru sesiapa yang menyokong kebebasan akhbar untuk menyokong Hata dan juga segala kempen yang bakal dilancarkan oleh NUJ,"katanya.

Selain itu, kami juga memberi perhatian kepada pemecatan Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad yang sekarang kesnya dirujuk ke Makhamah Perusahaan.

Akhir sekali, kami menyeru agar wartawan dari organisasi media (termasuk media online) yang tidak berkesatuan menubuhkan kesatuan masing-masing, untuk membela nasib dan kebajikan wartawan.


Sumber: TVSNEWS

Ugutan Bunuh MP Serdang Dikutuk Keras

Posted: 19 Jan 2011 11:29 PM PST


SHAH ALAM 20 JAN: Ugutan bunuh yang diterima oleh Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Cheng semalam dikutuk sekeras-kerasnya kerana tindakan itu jelas hasil pemikiran yang begitu tertutup.

Dalam sidang media, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata demikian mengulas insiden di mana satu papan tanda dengan tulisan berunsur ugutan bunuh serta bangkai ayam dijumpai digantung di pintu masuk pejabat Nie Cheng.

"Inilah satu sikap yang hasil daripada pemikiran yang begitu tertutup dan 'bigoted' dalam Umno-Barisan Naional(BN). Saya pun tak faham kenapa boleh sampai begitu sekali dan kita mengutuk sekeras-kerasnya sikap yang seperti ini," kata beliau.

Beliau berkata, selama ini kesemua parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) iaitu Parti Tindakan Demokrat (DAP), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya melaksanakan program-progran yang mendekatkan lagi kaum Melayu dengan bukan Melayu.

"Saya rasa apa yang diusahakan oleh DAP selama ini adalah untuk mendampingi masyarakat Islam khususnya dan usaha yang seperti ini sepatutnya dialu-alukan, bukan dikecam atau diserang oleh Umno-BN," kata beliau lagi.

Beliau seterusnya meminta kerajaan BN agar mengambil sikap tegas terhadap perbuatan ini dan mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab.

Katanya lagi, ini mungkin tindakan terdesak pihak tertentu yang berasa diancam dengan keharmonian antara kaum di Malaysia.

"Kerana saya rasa apa yang nak diwujudkan oleh mereka ialah tembok pemisah yang mereka telah bina dulu antara umat Islam dan bukan Islam, Melayu dan bukan Melayu, dan mereka nak kekalkan tembok ini," tegas beliau lagi.


Sumber: TVSNEWS

24 Jan Ditetap Pertemuan PR Dan SPR Bincang Isu Pilihanraya

Posted: 19 Jan 2011 11:24 PM PST


KUALA LUMPUR 20 JAN : Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 24 Januari ini untuk membincangkan beberapa isu pilihan raya seperti undi proksi , undi pos, pendaftaran secara automatik dan kedudukan persempadanan semula.

"Pertemuan itu akan diadakan di ibu pejabat SPR di Putrajaya selepas kami mengemukakan permohonan pada 17 Disember lalu dan dipersetujui SPR," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali kepada para pemberita dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di sini petang semalam.

Menurut Mustafa, dalam pertemuan itu, PAS akan diwakili Pengarah Pilihan Rayanya Datuk Halim Abdul Rahman serta dirinya sendiri manakala PKR akan diwakili Naib Presidennya Fuziah Salleh serta Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.

Sementara DAP pula diwakili Ketua Pemudanya Anthony Loke Siew Fook serta Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong."Bagi pihak SPR, ahli jawatankuasa tertinggi termasuk pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan turut serta dalam pertemuan itu," katanya.

Mengenai undi proksi, Mustafa berkata PR sepakat menolak kaedah ini kerana jelas bertentangan dengan konsep demokrasi memandangkan individu yang menjadi wakil itu akan dikhuatiri akan menyalahgunakan hak pengundi sekaligus menghapuskan hak kerahsiaan seseorang pengundi berdaftar.'

"Kita bimbang bukan orang sebenar yang akan melakukannya tetapi orang upahan yang akan mengundi. Ini semacam hendak 'menghalalkan' undi hantu. Sudah nampak ada niat sesuatu di situ walaupun SPR menegaskan undi proksi hanya satu cadangan," katanya.

Selain itu, Mustafa berkata dalam pertemuan itu PR juga mahu mendapat penjelasan tentang isu pengundi pos terutamanya wujud cadangan yang mahu mewujudkan kem tentera di setiap kawasan parlimen seperti yang pernah dinyatakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata jika benar kem tentera wujud di setiap kawasan parlimen, pihaknya bimbang Barisan Nasional (BN) akan memanipulasinya memandangkan undi pos dijadikan BN sebagai 'deposit tetap' setiap kali pilihan raya berlaku.

"Ada bukti soal undi ini pernah dimanipulasi dan perlu diberi perhatian oleh SPR. Adakah dengan kewujudan kem tentera ini akan jadi pengundi pos atau undi biasa kita tidak tahu. SPR perlu menggariskan isu ini dengan jelas," katanya.

Dalam masa yang sama, Mustafa berkata pihaknya juga akan membangkitkan tentang kedudukan persempadanan semula yang sudah habis lapan tahun tempohnya sejak kali terakhir diadakan pada tahun 2003.

"Kita mahu tahu sama ada persempadanan semula ini akan ada pertambahan atau pengurangan kerusi (Dun dan Parlimen) bagi setiap negeri. Jika ada pertambahan kerusi, maka perkara ini harus dibawa ke Parlimen untuk mendapat sokongan dua pertiga majoriti undi," katanya.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: