PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN |
Pra PRU-13: Mengamati Potensi Kemenangan PR di Johol Posted: 21 Jan 2011 05:05 AM PST Sesuatu yang harus rakyat Negeri Sembilan dan khususnya kepada para penyokong Pakatan Rakyat bahawa kenyataan negeri ini lubuk kekuatan BN adalah silap sama sekali. Memang benar jika perjalanan pilihanraya diimbas sejak PRU pertama pada tahun 1959, seolah-olah Negeri Sembilan ini tidak mungkin ditawan oleh pembangkang. Andainya penilaian dan penelitian dibuat kepada data-data atau maklumat sejarah PRU yang lalu, pasti kita semua akan bersetuju tidak semua kawasan DUN di Negeri Sembilan ini mempunyai cengkaman kuat Umno-BN. Terus kepada penelitian data, sebagai contoh DUN Johol dalam Parlimen Kuala Pilah. Pada PRU 1986, BN hanya menang dengan majoriti 997 undi dengan calonnya, Darus Salim Bulin mendapat 3,076 (59.67%) manakala calon lawannya, Rameli Dahalan (BEBAS) mendapat 2,079 undi (40.33%). Sedia maklum kawasan ini terdiri daripada majoriti 70% pemilih Melayu luar bandar. Kemudian dalam PRU tahun 1991 dan 1994, BN melalui calonnya Darus Salim Bulin mendapat peningkatan undi majoriti melebihi dua ribu undi kerana pembangkang ketika itu Parti Semangat 46 tidak begitu mendapat sokongan padu rakyat. Situasi itu kembali berubah pada PRU tahun 1999, sekali lagi BN meletakkan Darus Salim Bulin bertanding di DUN Johol. Kali ini lawannya adalah Parti Keadilan Nasional (KEADILAN) yang meletakkan Rusli Idris sebagai calonnya. Arus REFORMASI begitu kencang melanda rakyat di Kuala Pilah dan kesannya BN hanya menang dengan majoriti kecil hanya 848 undi. Darus Salim mendapat 3,429 undi (56.96%) manakala Rusli Idris mendapat 2,581 undi (42.87%). Momentum itu tidak berterusan pada PRU seterusnya pada tahun 2004, apabila majoriti BN melalui calonnya Roslan Md Yusof anak jati Kg Johol dengan 2,359 undi. Sekali lagi, Tsunami Politik 2008 telah melanda dan turut memberi kesan kepada majoriti kemenangan BN di Johol. Kali ini YB Roslan Md Yusof hanya mendapat majoriti 1,263 undi, memperlihatkan penurunan ketara. Mengikut maklumat, undi penyelamat BN di Johol datang dari Daerah Mengundi Kepis yang majoriti terdiri daripada penyokong kuat Umno. Sementara kawasan Inas, Pekan Johol dan Air Mawang memberi undi kepada pembangkang. Malah YB Roslan Md Yusof sendiri mengakui kawasan Inas tidak pernah memberi kemenangan kepada calon BN. Apakah kali ini dalam PRU-13 pakatan pembangkang akan berjaya memenangi DUN Johol? Potensi kemenangan terbuka kepada PR merebut Johol daripada BN. Namun, strategi bersama dan kerjasama antara jentera PAS dan PKR akan mampu merebut kawasan tersebut. Mungkinkah PAS Kawasan Kuala Pilah akan meletakkan calon baru untuk bertanding di Johol? Jika itu berlaku, peluang kemenangan lebih terbuka luas. |
Peneroka cabar permohonan injunksi kontraktor Felda Posted: 20 Jan 2011 07:35 PM PST Berita Penuh Seramai 33 peneroka Felda Palong 9, Jempol memfailkan afidavit balas di Mahkamah Tinggi Seremban semalam, untuk mencabar permohonan injunksi kontraktor lantikan Felda untuk menebang dan membeli pokok getah di tanah mereka. Mereka memohon mahkamah menolak permohonan plantif - Evergreen Hevea Resources Sdn Bhd - dengan kos kerana mendakwa syarikat tersebut tidak mempunyai hak ke atas tanah mereka. Afidavit balasan tersebut difailkan oleh salah seorang defenden - Azizan Ahmad - bagi pihaknya dirinya dan kesemua defenden yang lain. Sebelum ini, kontraktor lantikan Felda itu telah memulakan kerja menebang pokok getah yang membabitkan lebih 200 peneroka di Felda Palong 9 untuk tanaman semula. Bagaimanapun 33 peneroka berkenaan mahu melantik kontraktor lain yang menawarkan bayaran yang lebih tinggi untuk menebang dan pembelian pokok getah mereka. Dalam afidavit itu, Azizan mendakwa pihak defenden tidak pernah menerima tawaran dari plaintif untuk kontrak penebangan dan penjualan pkok getah, mahupun menerima sebarang jenis ganjaran untuk pokok-pokok tersebut. Katanya, defenden juga tidak menerima tawaran Felda untuk skim penebangan dan penjualan kayu pokok getah kerana ingin mendapatkan tawaran yang lebih tinggi dari luar. Jika perintah larangan itu diberikan, tambahnya, ia akan menjejaskan hak defenden untuk memperolehi keuntungan yang maksima berdasarkan kepada keperluan pasaran dan ianya akan membantut secara tidak langsung proses penanaman semula. Afidavit juga menyebut bahawa defenden masih boleh menoreh getah secara berterusan dan menyara hidup mereka. Maka, jika perintah larangan dikenakan, ia akan menyebabkan defenden mengalami kesusahan kerana sekatan terhadap hak mereka mencari keuntungan yang berterusan kerana harga getah yang tinggi ketika ini dan jika plaintif cuba menebang pokok berkenaan, tambahnya. Menurutnya lagi, defenden juga akan mengalami kerugian besar jika larangan dikenakan kerana harga yang ditawar oleh plaintif adalah rendah dan akan merugikan defenden. "Defenden akan mengalami kesusahan untuk menjelaskan hutang, menyara hidup keluarga, persekolahan anak-anak akan terjejas dan seterusnya akan meninggikan tekanan hidup," katanya sambil menambah defenden tidak seharusnya menjadi mangsa atau kesilapan pihak lain. Menurut peguam T Kumar yang mewakili 32 peneroka berkenaan, sebutan kes itu didengar dalam kamar dan akan dibicarakan pada 22 Februari ini. Mereka turut diwakili peguam P Raja Sundram. Bercakap kepada media kemudiannya, wakil peneroka, Mohd Salam Yusof mendakwa harga yang ditawarkan oleh kontraktor lantikan Felda bagi kerja menebang dan membeli kayu pokok getah adalah rendah, berbanding tawaran kontraktor yang ingin dilantik peneroka. Menurut peguam T Kumar yang mewakili 32 peneroka tersebut, sebutan kes itu didengar dalam kamar dan ia akan dibicarakan pada 22 Februari ini. Mereka turut diwakili peguam P Raja Sundram. |
You are subscribed to email updates from PARTI KEADILAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan