Selasa, 18 Januari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Tolak Alasan Murahan: PKR Terus Cabar Najib Debat Dengan Anwar

Posted: 18 Jan 2011 12:45 AM PST


KELANA JAYA 18 JAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru Datuk Seri Najib Razak tidak berdolak dalih memberikan alasan dan helah murahan seperti mengutus pihak lain berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu sidang media di Ibupejabat PKR, Kelana Jaya pagi tadi, Ketua Penerangannya, Dr Muhamad Nor Manuty berkata keengganan Perdana Menteri untuk debat terbuka mengenai janji reformasi 100 hari Pakatan Rakyat amat mendukacitakan.

Ini berikutan dakwaan Najib baru-baru ini ini bahawa sekiranya janji dalam Buku Jingga itu dilaksanakan, ia boleh menjerumuskan negara menjadi muflis seperti Greece dalam masa dua tahun.

"Kita menuntut beliau segera menerima seruan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar diadakan perbincangan atau debat terbuka seperti yang dicadangkan. Hanya dengan cara ini rakyat Malaysia dapat dimartabatkan ke arah masa depan negara yang lebih cerah di masa hadapan," katanya.

Beliau menjelaskan, memandangkan kenyataan Najib merupakan suatu tuduhan yang serius sedangkan Pakatan Rakyat (PR) pula berkeyakinan tinggi bahawa dasar-dasar yang dibentangkan benar-benar akan dapat dilaksanakan, maka kedua-dua pihak perlu bertanggungjawab menjelaskannya kepada rakyat bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul.

Tambah beliau, debat atau perbincangan terbuka ini amat sesuai dan merupakan satu peluang terbaik untuk kedua-dua pihak bersemuka secara terbuka dan membincangkannya secara serius dalam keadaan sekarang di mana semua pihak bekerja keras mencari jalan keluar daripada kemelut ekonomi negara yang makin meruncing kini demi menyelamatkan rakyat dari tekanan hidup yang berterusan.

Katanya lagi, PKR juga telah berbincang dan memutuskan bahawa satu penyelesaian terbaik bagi situasi ini ialah mengadakan debat terbuka yang sistematik dengan pengibatan semua pihak yang terlibat.

"Keadilan akan terus mendesak supaya Perdana Menteri dapat respons dengan segera terhpadap permintaan Keadilan untuk DSAI berdialog, bincang, berdebat, bukan bertujuan untuk mencari kemenangan, tetapi ialah untuk bertanggungjawab menonjolkan fakta-fakta menjustifikasikan keyakinan kami, PR, bahawa hal ini boleh dilaksanakan," kata beliau.

Katanya lagi, debat atau perbincangan dua pemimpin ini bukan sahaja ditunggu oleh masyarakat tempatan malah juga masyarakat antarabangsa.


Sumber: TVSNEWS

Sultan Perkenan Sidang DUN Selangor

Posted: 18 Jan 2011 12:40 AM PST


SHAH ALAM 18 JAN : Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberikan perkenan baginda untuk persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor diadakan pada 24 Januari ini.

Menurut Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, baginda telah menandatangani perisytiharan pada 14 Januari lalu untuk persidangan itu diadakan selepas mendapat permohonan daripada pihak Dewan Undangan Negeri.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berkata bahawa persidangan itu adalah untuk meminda Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bagi mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

Ketiga-tiga jawatan itu sebelum ini terletak pada kerajaan negeri, ditarik balik berikutan pindaan Perlembagaan pada 1993 oleh Tun Dr Mahathir Mohammad yang menjadi perdana menteri yang turut menyebabkan undang-undang di Selangor dipinda bagi memusatkan kuasa Kerajaan Persekutuan.


Sumber: TVSNEWS

JAIS Perlu Bertanggungjawab, Jangan Salahkan Kerajaan Selangor

Posted: 18 Jan 2011 12:35 AM PST


KELANA JAYA 18 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu mempertimbangkan kesan ekonomi kepada pekerja Islam sebelum menguatkuasakan larangan pekerja Islam bekerja di premis menjual minuman beralkohol.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata larangan sebegitu mungkin tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana JAIS juga tidak mempertimbangkan kebajikan kilang-kilang yang terlibat dalam kategori itu serta para pekerja kilang-kilang tersebut.

Saranan Izzah, JAIS perlu utamakan kebajikan para pekerja dan bukannya melihat kepada impak politik semata-mata.

"Ini sudah pasti dalam tanggungjawab JAIS, mereka tidak boleh katakan ini bukan tanggungjawab mereka kerana mereka patutnya memikirkan dahulu perkara ini. Jangan asyik salahkan kerajaan negeri kerana suka atau tidak, ini merupakan bidang kuasa JAIS," kata beliau dalam sidang media di Ibupejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Kelana Jaya pagi tadi.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata isunya adalah samada terdapat undang-undang ataupun hanya satu garis panduan yang dikeluarkan oleh JAIS.

Kata beliau, impak yang diterima sekiranya ia merupakan satu undang-undang bermaksud sudah ada campurtangan politik kerana pastinya telah melalui proses enakmen di Dewan Undangan Negeri manakala garis panduan pula dikeluarkan berdasarkan pendapat tersendiri individu atau organisasi berkenaan.

"Kita perlu mempersoalkan samada JAIS telahpun berbincang dengan semua pihak terlibat dan samada JAIS telahpun meneliti impak ekonomi kerana kadang kala proses merangka garis panduan bersifat memihak kepada satu pihak sahaja. Dalam isu di mana JAIS terlibat, selalunya itulah yang terjadi," kata beliau.

Beliau seterusnya menjelaskan, kerajaan negeri tidak langsung diajak berbincang oleh JAIS berkenaan perkara ini.

"Pendirian PKR dan kerajaan negeri jelas, kita tidak dipanggil berbincang langsung dalam merangka apa-apa garis panduan. Tetapi jika JAIS tetap mahu keluarkan garis panduan, boleh, ada yang akan mengikutinya dan ada premis yang tidak. Dalam pandangan kerajaan negeri, JAIS tiada kuasa untuk membuat penguatkuasaan," jelas beliau lagi.

Sumber: TVSNEWS

Surat Terbuka Keluarga Teoh: Harapan Makin Menipis

Posted: 18 Jan 2011 12:30 AM PST


SHAH ALAM 18 JAN: Kakak kepada mendiang Teoh Beng Hock, Teoh Lee Lan menghantar surat terbuka kepada Perdana Menteri hari ini menuntut agar satu Suruhanjaya Diraja untuk ditubuhkan untuk meneliti kecederaan leher sebelum mendiang meninggal dunia.

Beng Hock ditemui mati di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Plaza Masalam 16 Julai 2009.

Dalam suratnya kakak mendiang turut mendesak agar Suruhanjaya berkenaan melantik tujuh panel tersohor berhubung perkara hak asasi manusia.

Bercakap kepada wartawan Tv Selangor petang tadi, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendren menyatakan peluang keluarga mendiang Teoh Beng Hock mendapat kebenaran amat tipis selagi kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak bersedia menawarkan keadilan kepada rakyat tertindas.

"Saya tidak mempunyai keyakinan amat sangat keatas Perdana Menteri dan kerajaan untuk memastikan ada kebenaran dalam kes Teoh Beng Hock ini. Dari awal lagi mereka cuba untuk menutup kes ini dan bukan untuk mendedahkan kebenaran. Bukan sahaja kes ini, semua kes lain termasuk Kugan, Aminurashid mereka cuba menutup kes.

"Bukan mendedahkan kebenaran jadi bagaimana kita mahu yakin ke atas Perdana Menteri dan kabinet. Manakala ramai orang mati ditembak oleh polis, mati dalam tahanan, tapi tiada tindakan yang diambil Kementerian Dalam Negeri atau Perdana Menteri," ujar Surendren.

Surendren yang juga peguam berkata, bukti keterangan yang direkodkan oleh majistret dalam perbicaraan kes kematian Teoh Beng Hock sebelum ini tidak lengkap.

Justeru beliau tidak menolak agenda menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan keluarga mendiang dan rakyat.

"Jadi kita lihat bahawa keterangan yang disampaikan kepada majistrate di inkues itu tidak mencukupi ataupun penyiasatan tidak lengkap kerana semua dalam kuasa pihak berkuasa. Dalam kes sebegini, adalah jelas pihak berkuasa cuba menutup kes ini kerana ia merupakan satu politik yang memalukan," jelasnya lagi.

Tambah Surendren, kesulitan terpaksa ditanggung rakyat namun dalam masa yang sama gentar akan penyalahgunaan kuasa yang mampu dilakukan kerajaan.

"Jadi apapun kita boleh tingkatkan tekanan awam ke atas kerajaan untuk memastikan bahawa terdapat keadilan dalam kes ini. Itu sahaja yang kita boleh buat," jelas beliau lagi.


Sumber: TVSNEWS

Debat: Anwar Hantar Jemputan Kepada Najib

Posted: 18 Jan 2011 12:25 AM PST


KUALA LUMPUR 18 JAN : Parti Keadilan Rakyat(PKR) menghantar surat jemputan rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Program 100 Hari Pakatan Rakyat.

Surat jemputan ini disahkan oleh Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Jelasnya, debat itu perlu dibuat berikutan Najib sebelum ini membuat kenyataan tanpa bersandar fakta, kononnya negara bankrap jika Pakatan Rakyat melaksanakan janji yang termaktub dalam Buku Jingga.

"Ini bukan persoalan pertemuan antara dua tokoh atau antara individu tertentu tetapi ia berkaitan kandungan Buku Jingga yang mengandungi pelbagai dasar kebajikan untuk rakyat.

"Isu harga barang naik, bukan isu politik. Ini isu rakyat yang terus terbeban setiap kali harga barang meningkat. Buku Jingga ada cara untuk menurunkan harga barang," katanya.

Ketua Eksekutif, di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu berkata, Pakatan Rakyat akan melaksanakan 10 perkara penting dalam masa 100 hari sebagaimana yang termaktub dalam Buku Jingga.

"Najib dakwa kononnya Malaysia bankrap jika melaksanakan dasar dalam Buku Jingga. Kalau betul bagai didakwa, beranikanlah diri untuk berdebat.

"Anwar sudah bersedia, Najib bagaimana," katanya.


Sumber: TVSNEWS

PM Manipulasi Tanda Aras Golongan Miskin- Azan Ismail

Posted: 18 Jan 2011 12:20 AM PST


SHAH ALAM 18 JAN: Bagi membuktikan kejayaan pentadbirannya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sanggup menurunkan tanda aras kemiskinan rakyat di negara ini.

Bagi Azan Ismail, tindakan ini umpama menafikan hak golongan miskin mendapat bantuan daripada kerajaan.

Tambah Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, Perdana Menteri (PM) yang bangga dengan memanipulasi jumlah palsu taraf kemiskinan bertujuan mengaburi mata masyarakat bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional berjaya mengurangkan golongan miskin dalam masa singkat.

"Kerana mahu menunjukkan kejayaan, dia (PM) sanggup menurunkan garis kemiskinan yang terlalu dahsyat. Mahu suruh nampak kononnya tiada orang miskin, sedangkan kerajaan tidak sedar menurunkan garis kemiskinan, menafikan orang itu perlu bantuan," ujar beliau kepada Tv Selangor.

Azan yang dihubungi petang tadi berkata, ketetapan kadar kemiskinan RM750 sebulan merupakan kadar ukuran yang tidak boleh digunapakai kini, berdasarkan kos sara hidup yang telah pun meningkat.

Tambahnya, jumlah itu tidak menggambarkan sebarang kejayaan membasmi kemiskinan oleh kerajaan selama ini.

"Sekarang patut kita ukur garis kemiskinan baru pada kadar RM1,900. Sebab itu kita perlu ukur balik takrifan kadar kemiskinan. Kita desak gaji minima kepada RM1500 sebab ia dianggap garis kemiskinan. Di bandar RM1500 itu memang miskin tegar. Itu justifikasi yang patut Najib (PM) ambil kira," jelas beliau.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan kerajaan berjaya menurunkan kadar kemiskinan pada 99.74 peratus sehingga 31 Disember 2010 ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di ibu negara semalam.

Azan yang juga Pengerusi Pimpinan Negeri (PPN) Terengganu Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata kerajaan Pakatan Rakyat telahpun menyediakan beberapa dasar yang akan digunapakai untuk membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

Antaranya menurut beliau, definasi kemiskinan diketegorikan mengikut geografi bagi mengenalpasti tahap kemiskinan selain menggunakan kadar kaedah tahunan untuk mendapatkan jumlah tepat kemiskinan tegar di negara ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat dijangka akan mengadakan Konvensyen Ekonomi Pakatan Rakyat Mac nanti menjemput rakyat menilai keberkesanan ekonomi yang akan dicadangkan oleh kerajaan itu.


Sumber: TVSNEWS

HSRS: Perhimpunan Bukti Sokongan Rakyat Kepada K'rjaan Selangor

Posted: 18 Jan 2011 12:15 AM PST


SHAH ALAM 18 JAN : Himpunan gerakan Hormati Suara Rakyat Selangor (HSRS) adalah mesej jelas rakyat negeri ini yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah kini.

Walaupun kerajaan negeri dihentam bertubi-tubi dengan fitnah membuta tuli oleh media arus perdana, namun rakyat di Selangor masih celik minda dan tidak mudah diperkotak-katikkan dengan isu-isu rekaan.

Wakil gerakan itu, Haris Mohamed Ibrahim yang juga Presiden Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia dalam temubual khas bersama Tv Selangor berkata, walaupun kerajaan negeri Pakatan Rakyat ada kelemahannya namun rakyat di Selangor dapat merasakan perubahan dalam pentadbiran yang baru.

Namun malangnya saat seluruh rakyat Selangor mengecapi nikmat pentadbiran yang lebih efisyen berbanding dahulu, ada pihak yang mula 'menabur duri dalam daging' dan 'menjadi api dalam sekam'.

Seraya katanya, "pencerobohan" pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, Datuk Khusrin Munawi menjadi kemuncak kepada kemarahan rakyat Selangor yang sudah jelak dengan permainan politik untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Di sini kami sudah sampai kepada kemuncak, kalau kami tidak bersuara sekarang, kami risau keadaan akan merosot lagi. Sudah sampai masanya untuk rakyat bersuara. Bersuara untuk menyampaikan kepada pihak-pihak berkenaan ketidakpuasan rakyat, jelas Haris.

HSRS yang dianggotai oleh 11 badan bukan kerajaan akan mengadakan satu himpunan di Stadium Kelana jaya untuk menjelaskan kepada rakyat berhubung Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada keesokan harinya(24 Januari).

Persidangan tegempar itu bagi membolehkan pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 dibuat untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Himpunan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada pukul 4 petang (23 Januari) akan menyenaraikan beberapa juru cakap untuk menjelaskan kedudukan sebenar di negeri Selangor.

Menurut Haris, rakyat sudah sekian lama menantikan perubahan dan mereka membuktikannya pada 8 Mac 2008 lalu apabila lebih kurang lapan juta rakyat yang mengundi, separuh daripadanya mengundi untuk perubahan.

Bukan hanya faktor kebajikan rakyat yang tidak terbela, penyelewengan yang semakin berleluasa, kronisme tidak berpenghujung, malah ia hingga melibatkan kematian setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock yang sehingga kini masih menjadi tanda tanya.


Sumber: TVSNEWS

DAP Selangor Sumbang Dana Bantu Pekerja Islam

Posted: 18 Jan 2011 12:10 AM PST


KUALA LUMPUR 18 JAN: Sebagai tanda sokongan kepada cadangan Menteri Besar Selangor untuk membantu pekerja Islam bekerja di tempat kerja halal, DAP Selangor akan menyumbang kepada tabung khas yang ditubuhkan nanti.

Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San sanggup memberikan sebahagian dari bajet untuk kawasan yang diwakilinya ke tabung ini dan mengajak kerajaan Persekutuan juga menyokongnya.

"Saya mahu jadi yang pertama di Malaysia (menyokong tabung ini)," kata Ahli Dewan Undangan Kg Tunku dalam blognya.

Beliau melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan sesetengah media yang membuat laporan negatif dan tidak benar dengan apa yang berlaku dalam kes sekatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

"Kita bukan U Turn. Apa yang dibuat oleh kerajaan bukannya menarik balik peraturan itu tetapi meminta pelaksanaannya ditangguhkan sehinggalah kerajaan mengkajinya," kata Weng San.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya(MPSJ) meluluskan peraturan di bawah undang-undang kecil untuk melarang umat Islam dari bekerja di pusat-pusat hiburan yang menghidangkan arak sesuai dengan Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Namun, memandangkan ianya dibuat tanpa melalui kerajaan negeri, peraturan itu tidak akan dilaksanakan dahulu sehingga ia selesai dikaji dan kerajaan negeri membuat persediaan yang sewajarnya.

Antaranya, kerajaan negeri Selangor mencadangkan agar diadakan satu tabung khas untuk membantu pekerja Islam yang mahu berhenti dari bekerja di tempat sedemikian di samping membantu mereka mencari pekerjaan baru yang halal.


Sumber: TVSNEWS

Isu Azan: Tony Pua Kata Umno-BN Dwi-Standard

Posted: 18 Jan 2011 12:05 AM PST


KUALA LUMPUR 18 JAN: Umno-Barisan Nasional dikritik kerana mengamalkan dwi standard dalam isu azan di Lembah Pantai yang melibatkan seorang ahli MCA, ujar Tony Pua.

Pua dalam satu sidang media hari ini mempersoalkan sama ada BN akan memaafkan perkara itu jika ia berlaku terhadap ahli Pakatan Rakyat.

Aduan berkenaan azan dibuat oleh Ng Kian Nam serta mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat Islam dinegara ini.

"Saya merasakan permohonan maaf itu perlu diterima. Saya tidak fikir perkara itu perlu dibesar-besarkan," kata Setiausaha Publisiti DAP itu.

Tambahnya, pada pihak Pakatan Rakyat soalnya bukan mengenai permohonan maaf dibuat oleh peguam yang membuat aduan tetapi sikap pilih kasih diamalkan Umno.

Katanya, memandangkan ia melibatkan wakil MCA, kes ditutup dengan cepat dan dipastikan agar tidak menjadi satu isu berpanjangan.

Semalam, Ng Kian Nam memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di negara ini atas kesilapannya meminta laungan azan sebuah masjid berhampiran kediamannya di kawasan Bukit Kerinchi di sini diperlahankan.

"Setiap orang mempunyai kelemahan dan saya mahu meminta maaf kepada semua umat Islam di negara ini di atas salah faham yang terjadi. Sebenarnya saya tidak tahu membezakan antara suara azan dan ceramah (kuliah subuh)," katanya pada sidang media.

Dalam satu surat bertarikh 20 Disember 2010 kepada Jabatan Perdana Menteri, Ng, meminta supaya tindakan diambil bagi memperlahankan bunyi azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Bukit Kerinchi itu kerana didakwa mengganggu tidurnya.

Ng berkata beliau tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam di negara ini berhubung isu itu serta berharap isu itu tidak disensasikan lagi.

Bagaimanapun kata Pua, isu azan itu sudah pasti menjadi tajuk muka depan akhbar-akhbar dimiliki Umno khususnya Utusan Malaysia jika membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Katanya, Pakatan Rakyat juga sudah pasti dilabel sebagai tidak sensitif dan dipanggil sebagai rasis.

Sumber: TVSNEWS

Bir Dan Penari Seksi Meriahkan Jamuan 1Malaysia

Posted: 18 Jan 2011 12:00 AM PST


LABIS 18 JAN : Sambutan 1Malaysia di Tenang dihidangkan dengan tarian seksi dan minuman bir percuma.

Majlis anjuran Umno itu dihadiri orang bukan beragama Islam, portal Malaysiakini melaporkan, kira-kira 1,000 orang hadir, rata-rata masyarakat Cina.

Selain itu, peserta yang bernasib baik juga berpeluang memenangi sebuah motosikal 100cc sebagai hadiah utama cabutan bertuah. Pada masa yang sama, jamuan berkenaan juga diselitkan dengan ucapan politik daripada bekas naib presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Dalam ucapannya, Isa mempertikaikan kewibawaan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memperlekehkan janji 100 Hari Pakatan Rakyat.

Ironinya, walaupun Isa memperlekehkan janji 100 Hari Pakatan Rakyat namun ketuanya sendiri tidak sanggup untuk berdebat dengan Anwar dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

Beliau juga, turut menyindir PAS yang didakwa cuba menunjukkan DAP sebagai parti yang mesra dengan Islam serta menerima Islam sebagai agama rasmi negara dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Isa sebelum ini digantung sebagai ahli Umno kerana terbabit dalam rasuah politik dalam pemilihan parti itu.

Baru-baru ini selepas dilantik menjadi Pengerusi FELDA, beliau dalam ucapan sulung kepada kakitangan organisasi itu memberi amaran akan mengambil tindakan tegas jika didapati menyokong Pakatan Rakyat.

Sebelum ini di Galas, Gua Musang Umno menggunakan taktik yang sama dengan menghidangkan minuman keras kepada masyarakat Orang Aslal di kawasan pedalaman Kelantan itu.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: