Rabu, 21 Julai 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Jangan terperangkap mainan media

Posted: 21 Jul 2010 03:53 AM PDT

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (gambar) mengajak pemimpin dan ahli PAS di semua peringkat tidak terjerumus dalam mainan media Umno berhubung isu kerjasama Umno-PAS.

Peringatan itu dilontarkan bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan rakyat berhubung kenyataan balas pemimpin yang sering diputar belit media arus perdana.

"Saya selaku Timbalan Presiden PAS ingin menegaskan bahawa semua ahli dan pimpinan PAS supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media arus perdana.

"Kebelakangan ini, isu kerjasama antara PAS dan Umno kembali dipaparkan oleh media-media arus perdana sehingga mengelirukan sebahagian ahli PAS dan masyarakat Malaysia umumnya.

"Malah, pihak media telah mendapatkan beberapa pandangan daripada pemimpin-pemimpin PAS di peringkat pusat, negeri dan kawasan berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.

PAS, katanya sangat percaya media-media pro-Umno ini akan menimbulkan persepsi baru sehingga boleh merapuhkan wehdah atau kesatuan dalaman PAS sendiri.

"PAS masih lagi berpegang dengan ketetapan yang telah dibuat dalam muktamar-muktamar yang lalu.

"PAS akan terus memfokuskan kepada gerak kerja mendepani Pilihanraya Umum Ke-13 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli agar dapat melipatgandakan usaha untuk memantapkan organisasi terutama diperingkat cawangan dan kawasan serta menambahkan keahlian baru PAS semaksimum mungkin.

Isu kerjasama PAS-Umno terus dimainkan Umno dan juga media pro mereka dalam usaha memancing PAS dan mahu melihat PAS berpecah.

Terbaru, akhbar Utusan Malaysia hari ini sekali lagi memutarbelitkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan sehingga menggambarkan beliau pro-kerjasama PAS-Umno.

Akhbar itu kononnya memetik tulisan dari blog Nasrudin namun secara jelas beberapa perkataan diubah bagi kepentingan politik Umno-BN.

Nasruddin ketika mengulas perkara itu berkata, beliau kesal dengan sikap akhbar tersebut yang cuba memesongkan maksud sebenar tulisannya dalam blog http://episodeperjuangan.blogspot.com.

"Tulisan saya diambil secara tidak beramanah dan Utusan telah menjatuhkan etika kewartawanan.

"Saya memberi peringatan kepada pihak akhbar tersebut dan minta supaya membuat permohonan maaf secara terbuka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai khususnya ahli dan penyokong PAS merujuk senduri tulisan asal di blog beliau dan tidak mudah menerima bulat-bulat laporan Utusan yang juga alat propaganda Umno BN.

Sumber: Harakah Daily

Saham: Lagi Umno hapus kuota Melayu

Posted: 21 Jul 2010 03:52 AM PDT

KUALA LUMPUR, 21 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) amat kesal dengan tindakan kerajaan yang kononnya memperjuangkan nasib orang Melayu tetapi menghapuskan kuota 30 peratus saham Bumiputera.

Ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar) berkata, dengan tindakan itu jelas yang Umno BN hanya beretorik sahaja dalam kata-kata mereka tetapi tindak tanduk mereka jelas 'tidak serupa bikin'.

"Dan mengapa hanya akhbar berbahasa Cina sahaja yang mengeluarkan kenyataan ini. Mengapa tidak Utusan Malaysia, TV3 mengeluarkan artikel ini?" soalnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam satu wawancara eksklusif bersama Nanyang Siang Pau, yang disiarkan semalam.

Dalam wawancara tersebut, menteri yang menerajui Unit Perancang Ekonomi (UPE) dan Unit Kerjasama Awam dan Swasta itu menegaskan bahawa kerajaan telah membuat penyelarasan, untuk melihat kuota 30% saham Bumiputera dari perspektif makro.

Kerajaan berharap Bumiputera yang mencakupi 60% populasi Malaysia, mampu menguasai sekurang-kurangnya 30% saham dalam ekonomi secara keseluruhannya, dan bukannya tertakluk kepada setiap syarikat, tambahnya.

Sehubungan itu, tegas Nasrudin, DPPP mendesak agar kerajaan mewujudkan semula kuota untuk Bumiputera kerana ia adalah hak orang Melayu.

"Jangan kerana perkiraan politik yang dangkal, kerajaan Umno BN menggadaikan hak orang Melayu. Kalau ini dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR), pasti Umno BN akan menuduh PR khianat orang Melayu tetapi yang ini bagaimana?" soalnya.

Katanya, setelah kenaikan harga minyak, pemansuhan bantuan biasiswa kepada pelajar Melayu, tanah rezab Melayu digadaikan, kali ini Umno BN menghapuskan pula kuota yang khas untuk orang Melayu.

Ini, katanya bererti bahawa tidak perlu ada saham Bumiputera dalam sesebuah syarikat yang mana akan membuka pintu seluas-luasnya kepada rakyat asing untuk memiliki sesebuah syarikat.

"Bukankah ini menutup ruang usahawan Melayu untuk bersaing?" tanya beliau lagi.

Sebelum ini, kata beliau sekurang-kurangnya kuota itu membolehkan usahawan Melayu mempunyai tempat dalam memastikan mereka dapat terus berdiri sama tinggi dengan syarikat luar.

Sumber: Harakah Daily

Isu pasir: Noh didakwa sasar Khir, bukan Khalid

Posted: 21 Jul 2010 02:01 AM PDT

Tindakan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar menjuarai isu pasir dengan melawat beberapa tempat di negeri itu didakwa bertujuan untuk memalukan 'pesaingnya' Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Ini kerana, lubang besar daripada kesan kecurian pasir - yang dilawati di Batang Berjuntai dan Kuala Langat - merupakan kesan yang ditinggalkan oleh pentadbiran Dr Mohd Khir sebelum ini, dakwa ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei.

"Zaman Khir Toyo menjadi menteri besarlah kawasan yang di lawati Noh Omar di Batang Berjuntai dan Kuala Langat menjadi 'lubang seperti di bom'," kata ADUN PKR itu.

Shuhaimi mendakwa, tindakan Noh itu ekoran keadaan "berlengan populariti" antara kedua-dua tokoh Umno negeri itu bagi membuktikan siapa lebih berpengaruh bagi menerajui parti itu dalam pilihan raya akan datang.

"Sidang akhbar berasingan oleh kedua-dua mereka, hasil ciptaan isu yang sama membuktikan wujud 'perang pengaruh' di antara mereka," kata Shuhaimi.

"K
edua duanya sedang menunjuk 'silat politik' agar tidak terlepas peluang menjadi menteri besar jika dalam pilihan raya umum ke-13 pengundi kembali memilih Barisan BN - istilah saya dalam hal ini ialah sekadar angan-angan Mat Jenin."

Selepas kekalahan BN di Selangor dalam pilihan raya umum lalu, Dr Mohd Khir kini hanya bertindak sebagai ketua pembangkang dan ketua pemikir Umno.

Manakala Noh pula diberikan jawatan penting sebagai orang nombor dua dalam perhubungan Umno negeri bagi membantu tugas Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusinya.

Ketika serangan bertubi-tubi kepada kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada Pakatan Rakyat sejak minggu lalu, kedua-dua tokoh Umno itu bagaimanapun menyusun tindakan secara berasingan, sekali gus mencetuskan spekulasi berhubung persaingan sesama mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shuhaimi berkata tindakan Noh melawat dua kawasan tersebut sebagai reaksi kepada tindakan Dr Mohd Khir menunjukkan kawasan Dengkil - kawasan ADUN Marsum Paing yang didakwa penyokong kuat Noh.

"Cara mereka bertindak membuktikan (isu) pasir di Selangor hanyalah 'batu loncatan mencari pengaruh' dan tidak lebih dari itu," kata Shuhaimi.

"Isu pasir Selangor adalah ciptaan UMNO Selangor menyukat pengaruh masing masing, tidak lebih dari itu."

Sumber: Malaysiakini

Ahmad Masih Belum Jawab Keputusan Dialog Isu Felda

Posted: 21 Jul 2010 01:55 AM PDT


KUALA LUMPUR 21 Julai - Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata beliau masih menunggu maklum balas dari Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkenaan jemputan berdialog yang telah dicadangkan oleh Ahmad kepadanya 8 Julai lalu di parlimen.

Beliau telah pun menjawap surat jemputan dialog tersebut setelah menolak pelawaan Mazlan untuk mengadakan debat bagi membincangkan pelbagai isu yang berlaku di dalam pengurusan Felda.

"Susulan daripada cadangan debat yang saya kemukakan kepada Ahmad Maslan dan surat berkenaan itu telah saya hantarkan pada 8 Julai lalu tetapi pada waktu itu beliau tidak bersedia untuk berdebat tetapi mencadangkan untuk berdialog atas isu-isu Felda.

"Saya telah mengadakan perbincangan dibeberapa peringkat jawatankuasa di dalam Anak, dan kita bersetuju untuk berdialog tetapi dengan syarat ia dilakukan secara terbuka agar semua yang hadir dapat mengetahui apa sebenarnya berlaku.

"Kita cadangkan ia diadakan di ibu pejabat Felda di Jalan Semarak Kuala Lumpur pada 9 Ogos nanti, surat jawapan telah kita hantar dan juga faks ke pejabat Ahmad Maslan," jelas Mazlan pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Beliau menjelaskan keengganan Ahmad untuk berdebat mengambarkan ada sesuatu yang mereka cuba selindungi kerana sekiranya berdialog maka pendedahan kepincangan di dalam Felda dapat dielakkan.

"Saya sangat kesal dengan keengganan timbalan menteri untuk berdebat, apa yang menjadi tanda tanya adakah mereka cuba melindungi sesuatu.

Beliau sepatutnya mempunyai tanggungjawab untuk memperjelaskan segala isu yang telah ditimbulkan bukannya mengelak, menjawab secara profesional bukan hanya membuat penafian.

"Kita membuat pendedahan dengan merujuk kepada data serta bukti kenapa timbalan menteri tidak menjelaskan atau menafikan data serta bukti tersebut. Tujuan kita ingin berdebat adalah untuk menyelesaikan kemelut di dalam Felda bukannya untuk kepentingan politik, kita berjuang demi peneroka-peneroka yang telah lama berbakti untuk kemajuan Felda dan juga negara ini," kata Mazlan lagi.

Beliau berharap Ahmad akan menerima cadangannya untuk mengadakan dialog secara terbuka.

"Kita menerima cadangannya untuk berdialog dan harap cadangan kita berdialog secara terbuka akan diterima olehnya. Jangan cuba hendak membuat pelbagai alasan, kalau apa yang kita dedahkan tidak benar buktikan," tambahnya.

Mazlan juga berkata Anak telah mencetak risalah 'Felda Bankrap?' yang mengandungi pelbagai maklumat serta kepincangam pentadbiran Felda dan beliau akan mengedarkan risalah tersebut secara percuma di seluruh negara dengan tujuan agar rakyat serta peneroka tahu keadaan sebenar yang berlaku.

Sumber: Suara Keadilan

Umno-BN Putar Belit Isu Pasir, Jahil Undang-undang

Posted: 21 Jul 2010 01:54 AM PDT


SHAH ALAM 21 Julai - Kerajaan Negeri Selangor menyesali tindakan Kerajaan Persekutuan kerana mengambil sikap 'cuci tangan' dalam menangani jenayah curi pasir di negeri itu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata kerajaan negeri juga kecewa dengan sikap pemimpin Umno-Barisan Nasional yang terus memutar belit serta memberikan kenyataan salah berkaitan aktiviti perlombongan dan kecurian pasir.

"Tohmahan melulu, silap fakta dan buta undang-undang jelas menggambarkan niat sebenar mereka bukannya untuk menyelesaikan masalah kecurian pasir tetapi hanya mahu menonjolkan diri sebagai jaguh politik kampung," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil yang mengecam Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana meminta Kerajaan Persekutuan campur tangan dalam membantu Selangor membanteras pencurian pasir adalah gambaran sebenar perilaku pemimpin Umno-BN.

"Kita maklum sememangnya budaya politik Umno sentiasa mengikut rentak pimpinan meskipun kenyataan yang diberikan menyimpang dari fakta sebenar dan di luar peruntukan undang-undang.

"Namun kenyataan ADUN Sementa itu menunjukkan betapa ceteknya pengetahuan beliau mengenai undang-undang negara ini.

"Beliau seolah-olah tidak tahu bahawa kuasa pendakwaan terletak di tangan Kerajaan Persekutuan dan arahan penguatkuasaan hanya boleh dikeluarkan oleh pihak berkuasa persekutuan tanpa perlu merujuk kepada kerajaan negeri," kata Faekah.

Tambah beliau, perlembagaan persekutuan dengan jelas memperuntukkan tanggungjawab ke atas kerajaan pusat untuk menjaga keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang pihak berkuasa di negeri-negeri.

"Kita juga kesal dengan sikap Kerajaan Persekutuan yang cuba cuci tangan dalam isu jenayah curi pasir kerana ini jelas bertentangan dengan konsep federalisme.

"Kami yakin kritikan yang tidak berasas ini hanyalah untuk mengalih tumpuan rakyat daripada kejayaan kerajaan negeri mengendalikan perlombongan pasir melalui Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB)."

Faekah berkata, kerajaan negeri telah menunjukkan data bahawa melalui KSSB, operasi perlombongan pasir di Selangor dilakukan secara lebih sistematik dengan adanya kawalan pengeluaran pasir serta memastikan pelombong pasir mematuhi peraturan alam sekitar.

Menurut beliau, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan Selangor, hasil pengeluaran pasir tersebut meningkat berkali ganda sehingga RM15.3 juta sehingga pertengahan tahun ini berbanding kerajaan terdahulu yang hanya mencatatkan keuntungan hanya RM4.29 juta pada 2007.

Beliau berkata, keuntungan tersebut dimanfaatkan kerajaan negeri untuk membiayai program kebajikan merangkumi Tabung Warisan Anak Selangor, Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mesra Usia Emas dan Tabung Anak Pekerja Ladang.

"Sebelum ini rakyat tidak pernah merasai hasil sumber alam ketika BN memerintah Selangor selama lebih 50 tahun.

"Kami juga yakin rakyat menyokong usaha-usaha kerajaan negeri ini kerana ia lebih baik berbanding BN dan kerana Umno cuba memutar belitkan isu pasir ini bagi memperbodohkan rakyat," katanya.

Sumber: Suara Keadilan

Polis Masuk Ibu Pejabat KEADILAN Cari Komputer Riba CheGuBard

Posted: 21 Jul 2010 01:53 AM PDT


SHAH ALAM 21 Julai - Polis hari ini memasuki ibu pejabat KEADILAN di Merchant Square, Tropicana di sini untuk mencari komputer riba dan bukti terhadap Ahli Majlis Pimpinan KEASILAN Pusat Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard berhubung dakwaan hasutan berikutan artikel yang diterbitkan dalam blog beliau baru-baru ini.

Bagaimanapun Pengarah Komunikasi KEADILAN Pusat, Jonson Chong mempertikaikan waran yang dikemukakan oleh pihak polis untuk mendapatkan bahan bukti dan bukan sebaliknya untuk menggelidah.

"Kita telah salinan menerima waran geledah daripada pihak polis, tetapi apa yang tertera di dalam waran tersebut bercanggahan dengan tuduhan yang didakwa mereka. Waran tersebut membenarkan untuk polis mendapatkan bahan bukti," kata Jonson kepada pemberita di perkarangan ibu pejabat KEADILAN.

Kira-kira 15 orang anggota polis yang diketuai oleh ketua pegawai penyiasat, Inspektor Affendy Suliaman dari ibu pejabat polis daerah Seremban 2 tiba ibu pejabat parti pada pukul 11.30 pagi.

Turut bersama mereka ialah dua orang anggota Unit Forensik dari ibu pejabat kontinjen Negeri Sembilan.

Mereka kelihatan memasuki bangunan tersebut pada jam 12.30 tengah hari dengan ditemani oleh Pengarah Jonson dan Setiausaha Pengelola KEADILAN, Raden Shamsul Kamal.

Hanya dua orang pegawai polis yang dibenarkan masuk.

Pihak media juga tidak dibenarkan masuk dan hanya menunggu di luar pejabat.

Anggota polis tersebut kemudian meninggalkan pejabat tersebut kira-kira 30 minit kemudian.

Jonson menjelaskan waran tersebut adalah cacat kerana seksyen kesalahan yang disebut di dalam waran tersebut adalah berlainan dengan kesalahan yang didakwa.

Beliau menjelaskan waran yang diberi itu memberi kuasa kepada majistret untuk mengarah pihak polis bagi membuat penggelidahan untuk mencari bukti, tetapi bukti yang dicari itu sebenarnya adalah artikel yang telah pun diterbitkan, malahan boleh dibaca secara terus di internet.

"Badrul Hisham mengaku, memang dia yang terbitkan artikel itu, dan tiada apa yang hendak diselindungkan. Jadi secara teknikalnya tindakan substabtif adalah tidak perlu. Saya rasa lebih baik polis jangan buat salah. Polis kata nak senang (kerja). Kita pun nak senang kerja," tambah Jonson

Dalam pada itu, Jonson memberitahu media, pihaknya tidak dimaklumkan tentang tarikh, sekiranya pihak polis akan datang untuk membuat susulan.

Beliau kemudiannya memaklumkan pihak polis turut mengambil keterangan peribadinya dan juga Raden Shamsul Kamal.

Ketika ditanya mengenai lokasi di mana CheGuBard berada, Jonson berkata yang beliau tidak mengetahuinya.

"Saya rasa pihak polis lebih tahu, kerana mereka minum teh bersama CheGuBard di Seremban malam tadi," katanya.

Sumber: Suara Keadilan

Pek Integriti Satu Lagi Langkah Berani Pakatan Rakyat Selangor Banteras Rasuah Dalam PBT

Posted: 21 Jul 2010 01:52 AM PDT


SHAH ALAM 21 Julai - Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor bakal melaksanakan Pek Integriti ke atas pentadbiran Kerajaan Tempatan dalam usaha membendung gejala rasuah dan penyelewengan kuasa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelaksanaan Pek Integriti ini dijangka bermula dalam tempoh dua bulan akan datang selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2011.

Menurut beliau, Pek Integriti sebelum ini telah diperkenalkan di Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi memastikan anak syarikat kerajaan negeri itu dan kontraktor perlombongan pasir berlesen akur kepada perjanjian bagi mengelakkan urus niaga tidak bermoral.

"Jika salah satu pihak melakukan penyelewengan, maka sebelah pihak lain pula berhak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya, ini adalah kontrak perjanjian, kita bakal melaksanakannya dengan beberapa fasa supaya semua pihak faham tanggungjawab mereka.

"Saya ingin mencadangkan agar Pek Integriti ini juga dilaksanakan oleh Kerajaan Tempatan berkuat-kuasa seberapa segera yang boleh.

"Kontrak-kontrak baru mesti memenuhi Pek Integriti yang ditandatangani oleh Kerajaan Tempatan dan syarikat-syarikat yang bersaing untuk mendapatkan kontrak tersebut di mana perjanjian meliputi persoalan penolakan terhadap penerimaan dan pemberian rasuah", katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Persidangan dan Penyerahan Watikah Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Penggal 2010-2011 di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Abdul Khalid berkata, Pek Integriti yang diurus tadbir oleh Transparency Interntional ini sudah pun dipraktikkan dengan meluas dalam Kerajaan Tempatan di luar negara seperti Itali, Indonesia dan Korea Selatan.

"Kita sangat berharap Pek Integriti ini akan membantu kita memerangi musuh nombor satu negara kini iaitu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Pek Integriti ini dapat mewujudkan padang sama rata (level playing field) kepada semua pembida (bidder) serta membolehkan Kerajaan Negeri Selangor mengurangkan kos untuk memenuhi matlamat sosial, ekonomi dan pembangunan negeri," jelas beliau.

Bagi tujuan itu, Khalid berharap pelantikan Ahli Majlis PBT Selangor bagi penggal 2010-2011 ini dapat memantap dan melicinkan pentadbiran kerajaan tempatan pada masa akan datang.

"Kerajaan negeri sudah bersetuju untuk menetapkan tempoh pelantikan ahli-ahli majlis pada penggal ini selama satu tahun setengah iaitu mulai 7 Julai 2010 sehingga 31 Disember 2011," ujar Abdul Khalid.

Katanya, tujuan penetapan tempoh ini dibuat untuk memberi lebih peluang kepada ahli-ahli majlis memperkembangkan idea-idea baharu dan menyumbang tenaga secara berkesan.

Pelantikan seramai 288 Ahli Majlis bagi 12 PBT di Selangor bagi penggal 2010-2011 menampilkan hampir 33 peratus muka-muka baharu termasuklah penglibatan orang kurang upaya buat pertama kalinya.

Pemilihan mereka adalah berdasarkan kriteria 4C iaitu capability (kemampuan), capacity (keupayaan), character (keperibadian) dan cooperation (bekerjasama).

Sumber: Suara Keadilan

Pak Turut: Gambaran Hodoh Prestasi Kakitangan Awam?

Posted: 21 Jul 2010 01:51 AM PDT


Tidak sampai lima belas bulan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dengan azam untuk dikenali sebagai seorang reformis, sekurang-kurangnya satu perubahan sudah hampir pasti terjadi – mutu perkhidmatan awam semakin merosot.

Perihal ini amat membimbangkan.

Betapa tidaknya, dengan secara terbuka ahli-ahli politik yang dipimpin oleh Najib kini tidak segan silu menempelak kakitangan perkhidmatan awam kerana cuai dan tidak cekap.

Ambil sahaja contoh permit akhbar parti-parti kerabat Pakatan Rakyat di mana rakyat dapat melihat betapa tidak cekapnya kakitangan kanan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan tugas mereka.

Dalam kes DAP misalnya, permohonan yang dikemukakan oleh parti itu untuk mendapat permit akhbar berbahasa Malaysia setahun lalu masih belum ada keputusan daripada Kementerian berkenaan.

Sementara Parti Keadilan Rakyat dan juga PAS juga mendapati mereka berurusan dengan kakitangan kementerian yang tidak cekap.

KEADILAN mengemukakan permohonan untuk memperbaharui permit penerbitan akhbar Suara Keadilannya pada Mac tahun ini. Permit itu luput pada 30 Jun lalu.

Namun pada 2 Julai, pihak kementerian tanpa rasa bersalah memberitahu KEADILAN, pembaharuan permit yang dimohon masih belum dipertimbangkan oleh Panel 13nya.

PAS mengalami nasib yang sama. Maka jika diukur dari kacamata prestasi apa yang dilaungkan Najib untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kakitangan kerajaan sudah jelas tidak kesampaian.

Sementara itu, seorang menteri dengan bangganya bahawa kerajaan akan membina sebuah bangunan parlimen baru bernilai RM800 juta di Putrajaya. Ini kerana bangunan parlimen sedia ada sudah kurang sesuai kerana banyak kerja penyenggaraan yang perlu dibuat hingga menelan bajet beratus juta.

Keputusan ini dikritik hebat oleh pelbagai pihak kerana ia jelas satu pembaziran dan kerja penyenggaraan yang dikatakan sebenarnya membayangkan ketidakcekapan tahap tinggi di pihak Jabatan Kerja Raya.

Bagaimana apabila disergah kemarahan rakyat, kerajaan menarik balik kenyataan hendak bina bangunan parlimen baru.

Menteri Kerja Raya berkata ia hanya satu cadangan sahaja. Malah menteri yang ghairah mahu bangunan baru pun meminta maaf dan menjelaskan beliau mendapat maklumat kurang tepat daripada kakitangan awam.

Sebelum itu, apabila Majlis Tertinggi Umno memutuskan kerajaan BN mesti menghentikan cita-cita hendak menghalalkan judi sukan kerana pertimbangan agama dan politik, Presiden Umno merangkap perdana menteri pula memberi jawapan di parlimen jika kerajaan memutuskan hendak menghalalkan judi sukan, lesen akan diberi kepada Ascot Sports.

Gegak gempita reaksi rakyat. Sudahlah Umno secara unilateral membuat keputusan mengharamkan judi sukan dengan membelakangkan komponen BN lain, kini ada cita-cita untuk menghalalkannya kembali.

Apabila rasa tersudut dengan isu itu, kenyataan pun dikeluarkan bahawa jawapan perdana menteri itu adalah satu kesilapan kakitangan perkhidmatan awam menyediakan jawapan di parlimen.

Hodoh benar gambaran prestasi kakitangan awam. Ini belum lagi mengambilkira cara mereka mengurus hal ehwal rakyat yang lain seperti mengatasi masalah kekurangan bekalan gula.

Wajarkah apabila tidak dapat memastikan bekalan barang kawalan itu kepada rakyat cukup, tindakan yang diambil ialah menempah iklan di radio dan televisyen dan berkempen bahawa gula tidak baik untuk kesihatan?

Rakyat tahu itu kerja Kementerian Kesihatan dan bukan kementerian yang memantau perdagangan dalam negeri! Tugas hakiki mereka ialah memastikan bekalan gula mencukupi. Sekali lagi itu menunjukkan ketidakcekapan pegawai kerajaan.

Yang menjadi persoalannya ialah, apakah jenis latihan yang perlu diberikan kepada kakitangan kerajaan agar prestasi mereka meningkat dan mutu khidmat lebih cekap?

Namun demi berlaku adil, persoalan yang lebih penting lagi dinilai ialah, adakah contoh-contoh itu gambaran sebenar berhubung mutu perkhidmatan dan kecekapan kakitangan awam?

Pihak penjawat awam pasti tidak bersetuju. Ada banyak sebab mengapa keadaan jadi begitu. Yang paling utama sekali ialah latihan dan didikan yang mereka terima sebelum disahkan dalam jawatan ialah memahami dan menghayati piagam "kami yang menurut perintah".

Apa yang mereka lakukan meskipun kelihatan hodoh, bodoh dan seakan berseloroh adalah kerana mereka hanya "menurut perintah". Perihal ini yang membimbangkan.

Meskipun akur yang natijah tindakan mereka yang "bermati-matian" menurut perintah mungkin tidak baik terhadap imej dan prestasi mereka, perintah dangkal tetap dilaksanakan juga!

Di satu segi mereka diperintah supaya belajar dan mengamalkan budaya Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT). Maka kita lihat hasilnya perkhidmatan lebih pantas dan memuaskan di Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan.

Namun oleh kerana "menurut perintah" amalan ICT tidak boleh pula dilaksanakan dalam kerja pendaftaran automatik rakyat yang menggenapi umur 21 tahun sebagai pengundi!

Lantas, soal budaya "menurut perintah" inilah yang sering memberi gambaran serong terhadap mutu perkhidmatan kakitangan kerajaan. Jika perintah itu bodoh dan hodoh, maka hodoh dan bodohlah kakitangan kerajaan.

Soalan bodoh: siapakah yang sering mengeluarkan perintah hodoh dan bodoh ini? Rasanya kakitangan kanan Kementerian Dalam Negeri adalah cukup berpengalaman dan tahu bila hendak bermesyuarat dan membuat keputusan.

Namun dalam kes permit akhbar Pakatan Rakyat adakah kelemahan yang ketara akhir-akhir ini ditunjukkan oleh pegawai-pegawai berkenaan adalah kerana mereka menerima dan perlu melaksanakan perintah bodoh?

Begitu juga pegawai dan kakitangan kerajaan lain dalam isu bangunan parlimen baru dan lesen judi sukan; adakah mereka kelihatan bodoh dan hodoh kerana perintah yang diterima datang daripada pihak yang dangkal dan muflis fikiran?

Tidakkah boleh dikira sampai masanya piagam "menurut perintah" ini dikaji semula.

Atau, sememangnya ia sudah terlalu sebati dengan kakitangan kerajaan?

Atau, mungkinkah kakitangan awam terlalu takut untuk berubah kerana bimbang akan kehilangan keistimewaan dan juga sumber rezeki seumur hidup jika cuba berubah?

Atau, kakitangan kerajaan memang hanya Pak Turut?

Sumber: Suara Keadilan

Human Rights Foundation: Umno-BN Tindas Rakyat Untuk Terus Berkuasa

Posted: 21 Jul 2010 01:50 AM PDT


SHAH ALAM 21 Julai - Badan hak asasi manusia antarabangsa, Human Rights Foundation (HRF) yang berpengkalan di New York, Amerika Syarikat menyifatkan perbicaraan Fitnah II Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu perbicaraan sandiwara dan tidak lain daripada usaha kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk terus berkuasa.

Dalam satu artikel terbitan The Huffington Post bertajuk 'Malaysia's Bridge Is Falling Down', presiden HRF, Thor Halvorssen dan ketua pegawai operasinya, Alex Gladstein, berkata pendakwaan yang dikenakan terhadap Anwar hanyalah salah satu usaha Umno, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib

Abdul Razak untuk menghapuskan Anwar serta menghancurkan parti KEADILAN pimpinannya.Halvorssen dan Gladstein, yang juga pengasas kepada Forum Kebebasan Oslo antara lain menyebut, Najib antara lain menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan juga menyekat hak kebebasan media sebagai alat untuk melenyapkan suara lantang pembangkang yang memperjuangkan pembaharuan serta demokrasi.

Menurut mereka, dengan menenggelamkan suara pembangkang, membeli undi serta mengubah sempadan kawasan pilihan raya, kerajaan BN pimpinan Umno boleh mengekalkan kuasa disebalik menguar-uarkan bahawa Malaysia adalah negara yang berdemokrasi.

"Najib juga secara berterusan berusaha untuk mengekang suara generasi muda dengan menggunakan Akta Kolej dan Universiti (AUKU) dengan melarang mereka daripada membabitkan diri dalam arena politik.

"Paling menyusahkan adalah, Akta Percetakan memberikan kuasa mutlak kepada Najib untuk menghalang media tempatan melaporkan sebarang berita berkaitan ISA dan juga sistem kehakiman negara yang berada di bawah telunjuk Umno," tulis mereka lagi dalam artikel tersebut.

Menurut dua tokoh hak asasi manusia itu, hampir kesemua media tempatan 'diikat' oleh Umno dan permit akhbar milk ketiga-tiga parti pembangkang juga telah ditarik balik sejak 1 Julai lalu.

Artikel terbabit juga menyentuh tindakan kerajaan Umno-BN menindas rakyat dan juga pembangkang di negara ini dengan menggunakan undang-undang yang lapuk serta menghalang kebebasan bersuara adalah salah satu bukti pencabulan hak asasi manusia di Malaysia.

Ketrampilan yang dicerminkan oleh kerajaan ini dengan mendakwa mereka mendokong kebebasan bersuara serta demokrasi adalah satu sandiwara kerana kebanyakan bukti dan fakta tentang pencabulan hak asasi yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan Najib telah disembunyikan.

Kerana itu, tulis mereka lagi tidak hairanlah Najib menggunakan perkhidmatan Apco yang berpengkalan di Washington untuk menaikkan imejnya dan memburuk-burukkan Anwar.

"Anwar, yang telah mendapat liputan dalam majalah antarabangsa seperti TIME, New Yorker dan Newsweek dilihat sebagai ikon seorang pemimpin Islam yang berpotensi kini menjadi sasaran Apco, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammed yang cuba melabelkannya sebagai rakan Yahudi," tulis artikel berkenaan lagi.

Halvorssen dan Gladstein juga menulis mereka telah berkesempatan bertemu dengan Anwar yang merumuskan bahawa selagi dunia antarabangsa mengutarakan isu penapisan serta penahanan tanpa perbicaraan, Malaysia tidak mungkin akan menjadi jambatan antara Barat dan Timur.

Malangnya, tulis mereka lagi, rekod buruk hak asasi manusia negara ini akan terus terbenam disebalik timbunan kenyataan media Apco.

Sumber: Suara Keadilan

Mungkinkah Najib Menjadi Saksi Di Mahkamah Peranchis?

Posted: 21 Jul 2010 01:48 AM PDT


Barangkali ramai orang sudah mempercayai keupayaan Perdana Menteri Najib Razak menerajui kepimpinan negara. Sebutan 'Satu Malaysia' sering kedengaran di sana sini terutama melalui corong-corong radio dan televisyen. Tidak cukup dengan itu, apa jua dasar baru yang diperkenalkan, masih juga menyematkan perkataan '1Malaysia' seperti 'Klinik 1Malaysia' dan sebagainya.

Tetapi, adakah kita pasti Najib sekarang tidur lena? Mungkin agak keterlaluan apabila kita mengatakan dia sekarang mampu untuk tidur lena di tilam empuk di puncak Putrajaya.

Cerita-cerita tentang pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sudah tentu masih muncul dalam mimpi-mimpinya. Manakan tidak? Sekiranya kita tidak bersubahat pun, igauan-igauan yang timbul apabila terkenangkan sesuatu pembunuhan itu juga sudah cukup membawa kegerunan kepada kita semua – sudah tentu kepada aku sendiri.

Ada segelintir pihak yang cuba menyangkal penyelidikan prestasi Najib melalui satu tinjauan Merdeka Center yang memberangsangkan tidak lama dahulu.

Cerita demi cerita, pembongkaran demi pembongkaran.

Malah, kisah ini juga cuba dilukiskan secara sinis dalam majalah-majalah kartun yang kemudiannya diharamkan oleh pihak kerajaan (sebut Kementerian Dalam Negeri).

Penyunting kepada portal berita Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin kini berganding bahu dengan salah seorang ahli politik berwibawa dan peguam Zaid Ibrahim dalam mendedahkan kebobrokan Najib.

Melalui pendedahan-pendedahan yang dijalankan, orang ramai mula bertanya-tanya dan menimbulkan ratusan lagi persoalan. Menjurus dari situ, surat akuan sumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam memperkuatkan dakwaan yang dilemparkan. Malahan peguam kanan Manjeet Singh Dhillon – yang membawa jawapan dalam bentuk akuan bersumpah (SD) Bala bersamanya apabila pulang daripada London untuk diserahkan kepada SPRM – telah dicerobohi rumah kediamannya dan komputer ribanya dicuri.

Zaid Ibrahim telah menuduh Najib yang takut kepada Raja Petra dan Bala kerana apa yang mereka tidak mengetahui mengenai pembunuhan Altantuya ialah sebenarnya itulah yang perlu diketahui umum.

Kenapa SPRM berdolak-dalih?

Jadi, adakah kita terkejut sekiranya tidak ada usaha dijalankan untuk menyiasat Bala di London?

Ya, mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dipersoalkan mengenai fungsi kebebasan yang konon diakui itu.

Dolak-dalih SPRM di dalam kes ini jelas menjelekkan mata dunia. Pihak polis cawangan khas dikatakan sudah pun memulakan siasatan mereka. Jadi, adakah bermakna SPRM sudah lepas dari tanggungjawab untuk memberi keadilan? Bagaimana SPRM boleh memperbaiki kredibilitinya sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk membenteras kegiatan rasuah dengan dolak-dalih yang diberikan seperti ini?

Bagi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula, lebih baik berdiam sahaja dari mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan.

Khairy Jamaluddin pula dengan 'semangat Melayu' berkobar-kobar menyelar pihak polis yang melengah-lengahkan usaha menangkap Raja Petra. Di antara Khairy, Najib dan Raja Petra sudah tentu tiada cinta antara mereka. Masing-masing dengan agenda masing-masing. Sekiranya kesemuanya itu dicantumkan dengan fakta yang ada pada Bala, sudah tentu semuanya akan selesai.

Sekarang, pihak berkuasa Peranchis sudah pun memulakan siasatan terhadap kes ini. Bala sudah mengatakan bahawa beliau akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan dia kotakan apa yang dikatakan.

Melalui kenyataan medianya, Bala memberitahu bahawa dia menceritakan segala apa yang diketahuinya berkenaan dengan pembunuhan Altantuya, pembelian perkakas ketenteraan melalui broker Abdul Razak Baginda dan pertaliannya mereka semua dengan Najib.

Bala juga mendedahkan kepada pihak berkuasa Peranchis mengenai bagaimana beliau diugut dan disogokkan dengan wang oleh adik Najib Nazim dan penjual permaidani Deepak Jaikishan.

Pertemuan Bala di Paris bersama pendakwaraya Peranchis M Ryckewaert pada Julai 12 lalu dijalankan selama tiga jam.

Menurut Bala, apa yang menarik minat pihak berkuasa Peranchis ialah berkaitan dengan pembelian kapal selam Scorpene pada tahun 2002 ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan. Mereka mahu menyiasat sama ada DCNS, sebuah syarikat pertahanan yang berpengkalan di Peranchis ada memberi komisyen di dalam pembelian tersebut. Bagi Peranchis, transaksi sedemikian merupakan satu jenayah.

Di dalam kenyataan medianya, Bala telah menceritakan mengenai syarikat Malaysia, Perimekar yang dimiliki isteri Abdul Razak Baginda dibayar RM570 juta untuk menyelaraskan dan menyediakan perkhidmatan sokongan terhadap Scorpene.

Apakah pilihan yang ada pada Najib kini? Walau apa pun terjadi, Najib perlu mempersiapkan dirinya dengan berhadapan dengan mahkamah – tidak di negara ini, di negara asing. Beliau perlu mengemukakan seberapa banyak bukti untuk menyingkirkan pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan, bukannya cuba menutup mulut atau menghalang pendakwaan.

Melalui mahkamah sahajalah Najib boleh menyingkirkan syak wasangka kenapa inspektor Azilah Hadri dan korporal Sirul Azhar Umar yang bertugas dengan pejabatnya boleh terbabit dalam perbuatan meletupkan si mangsa dengan bahan letupan C4.

Tetapi, adakah Najib berupaya lakukan sebegitu?

Bayangkan Najib dan Rosmah berarak memasuki mahkamah sebagai saksi ke kamar keadilan? Hancur-lulurlah Rosmah jika mana beliau tidak pula berpeluang untuk membeli-belah sakan di Paris – pusat fesyen dunia.

Sumber: Suara Keadilan

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


ISU CURI PASIR SELANGOR

Posted: 21 Jul 2010 06:56 PM PDT

"KEBANYAKAN tanah persendirian di Selangor telah disapu bersih oleh kroni pemimpin BN/ UMNO ... Yang tinggal kepada Kerajaan Pakatan Rakyat adalah lubang-lubang (pasir) yang telah dikorek zaman BN-UMNO memerintah" -- RAJA KAMARUDIN RAJA AB WAHID, Pengerusi Badan Bertindak Pengusaha dan Pembeli Pasir Selangor.
petikan dari Harakah 23-25 Julai 2010

Jadi Teras Politik Melayu - PAS SEDIA GANTI UMNO

Posted: 21 Jul 2010 06:44 PM PDT

*Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan PAS untuk menjadi teras politik Melayu menggantikan UMNO.
*Selagi UMNO tidak berubah, PAS akan menjadi penyelamat kepada orang Melayu dan Islam.
*PAS berjaya mengubah minda fanatik perkauman orang Melayu kepada Islam yang bersifat sejagat dengan mengambil kira hubungan baik dan adil dengan masyarakat majmuk di negarta ini.
*Semua kaum yang ada di negara ini menerima orang Melayu sebagai teras poloitik dan kuasa politik orang Melayu masih lagi berada di tangan mereka (bangsa Melayu).
*PAKATAN Rakyat menerima Islam sebagai Agama Persekutuan, menerima hak istimewa orang Melayu dengan tidak menzalimi kaum lain dan menerima bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.
*Masanya sudah tiba bagi UMNO-BN "berehat" untuk membina parti parti dan membentuk dirinnya semula sebagaimana yang berlaku dalam amalan sistem demokrasi di negara-negara lain.
Petikan dari Harakah keluaran 23-25 Julai 2010.

Haniza Talha - Landscaping New Politics

Haniza Talha - Landscaping New Politics


Jom Ke Masjid

Posted: 20 Jul 2010 11:43 PM PDT

Karnival Jom Ke Masjid telah diadakan di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan pada 2, 3, dan 4 Julai 2010. Pelbagai aktiviti telah diadakan antaranya gerai jualan, forum, sukan, dan konsert nasyid.

Saya telah memberi ucapan alu-aluan sebelum forum diadakan. Saya kira ini adalah program yang baik, secara tidak langsung masyarakat setempat dan golongan muda akan mula mendekati masjid. Program seumpama in harus terus dianjurkan kelak. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Masjid Nurul Ehsan di atas kejayaan penganjuran program ini.

Jemputan berarak masuk ke laman masjid

Di pentas sebelum menyampaikan ucapan aluan

Persembahan nasyid


Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Peguam Bala Serah Afidavit Petang Ini

Posted: 21 Jul 2010 06:39 PM PDT

Dari TV Selangor

Detektif persendirian P. Balasubramaniam akan menyerahkan afidavit, menjawab 52 soalan berkaitan maklumat terbaru kes pembunuhan wanita Mongolia, menerusi dua peguamnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), petang ini.

The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua peguam Balasubramaniam (gambar), Americk Sidhu dan Manjeet Singh Dhillon akan menyerahkan afidavit itu bagi pihak anak guamnya.

"Kami secara peribadi akan menyerahkan jawapan ini kepada SPRM pada pukul 2.30 petang ini," kata Americk kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Difahamkan Manjeet kembali ke ibu negara bersama afidavit itu semalam.

Siasatan SPRM ini berkisar pada elemen rasuah berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia ini.

Minggu lalu Americk memberitahu The Malaysian Insider bahawa afidavit detektif persendirian itu yang mengandungi respons kepada 52 soalan berhubung maklumat terbaru kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu akan diserahkan kepada SPRM minggu ini.

"Jawapan sudah disediakan… (seorang lagi peguam Balasubramaniam) Manjeet akan membawanya ke Kuala Lumpur minggu depan (ini)," kata Americk.

The Malaysian Insider difahamkan sebelum ini SPRM memberikan tempoh kira-kira sebulan kepada Balasubramaniam untuk menjawab jawapan secara bertulis.

Difahamkan juga soalan-soalan itu berkaitan dengan elemen rasuah berhubung kes pembunuhan Altantuya dan akan membolehkan SPRM melengkapkan siasatan mereka berhubung aduan dibuat Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin ekoran pendedahan Balasubramaniam menerusi temu bualnnya di Singapura akhir tahun lalu.

Balasubramaniam awalnya mahu mengadakan pertemuan bersemuka dengan pegawai-pegawai kanan SPRM di London pada 5 Julai lalu tetapi rancangan itu dibatalkan oleh suruhanjaya tersebut kira-kira enam hari sebelum itu.

Tindakan mengambil keterangan secara akuan bersumpah atau afidavit itu diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010.

SPRM membatalkan rancangannya untuk bertemu Balasubramaniam di London atas alasan implikasi undang-undang terhadap proses merakamkan percakapan saksi di luar negara.

Ketika ditemui Ahad lalu, Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali berkata pihaknya akan menemui saksi-saksi susulan jika wujud keperluan selepas meneliti afidavit Balasubramaniam berhubung maklumat terbaru kes pembunuhan model wanita Mongolia.

"Kalau ada keperluan lagi, kami akan memanggil mereka yang diperlukan… kalau ada keperluan," kata beliau.

Sehubungan itu beliau enggan mengatakan sama ada siasatan terbaru ini akan selesai sebaik sahaja SPRM menerima afidavit daripada Balasubramaniam.

Mustafar juga mengakui bahawa Balasubramaniam adalah saksi penting yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan ini.-

Report Says Malaysia is Increasingly Intolerant of Dissidents

Posted: 21 Jul 2010 06:08 PM PDT

From Ntd TV

An influential and independent human rights group says Malaysia arrested nearly 1,000 anti-government protesters in 2009, signaling what it's calling a “heightened intolerance.”

Political tensions rose in this Southeast Asian nation following record losses in the polls by the government now led by Prime Minister, Najib Razak.

Tensions are still high and could rise further with the sodomy trial of opposition leader, Anwar Ibrahim, resuming next month.

[John Liu, Voice of the Malaysian People]:
“We find several regressive trends which were observed in 2009, number one, increasingly serious and repeated human rights violations, for example death in custody, death by police shooting and torture; number two, the culture of impunity, the heightened intolerance towards dissent which was manifested in the arrest of close to a thousand people for protests against the government and the government’s resistance to change.”

Prime Minister, Najib, took office in April last year, pledging political and economic reforms to revive his coalition and woo foreign investments to Malaysia.

But since taking office, Najib has released most of the detainees held under the Internal Security Act that allows for detention without trial.

But in Voice of the Malaysian People's annual report, released on Wednesday, it says that despite the pledge, 167 people were arrested in May last year for protesting a violent attempt to overthrow the government… that unseated the opposition from the northern state of Perak where it had ruled.

N37 Batu Maung

N37 Batu Maung


Pulau Pinang Mahu Kementerian Pertahanan Robohkan Sekolah Tentera Udara Yang Tiada Kelulusan MPPP

Posted: 21 Jul 2010 07:16 AM PDT

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu Kementerian Pertahanan merobohkan bangunan bertingkat sekolah tentera udara yang sedang dibina di Tanjung Bungah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, notis mengenainya telahpun dikeluarkan kerana kementerian itu menjalankan projek Sekolah Iktisas Tentera Udara (SITU) tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Pada Disember tahun lalu, beberapa penduduk membuat aduan mengenai kerja memasang cerucuk besi yang dilakukan di kawasan itu dan majlis perbandaran telah mengeluarkan notis amaran.

"Kemudian Mac lalu, majlis perbandaran sekali lagi menerima aduan bahawa kerja memasang cerucuk besi itu masih diteruskan termasuk pada cuti umum dan menghantar semula surat ke kementerian itu, memberitahu mereka mengenai keperluan untuk memohon kebenaran pembinaan.

"Kes itu turut dirujuk kepada penasihat undang-undang negeri (Datuk Faiza Zulkifli)," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Kata Guan Eng, Yang Dipertua MPPP, Patahiyah Ismail sudah memaklumkan kepada kementerian itu termasuk Ketua Setiausaha, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah pada 31 Mac lalu bahawa tindakan akan diambil jika pembinaan itu tidak dihentikan.

Beliau berkata majlis perbandaran telah menghantar notis kepada kementerian itu pada 6 Jun lalu mengikut seksyen 70 (1) Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974 supaya pembinaan itu dirobohkan dalam tempoh 30 hari.

Pemeriksaan mendapati kerja pembinaan itu sudah mencecah empat tingkat. Ketinggian bangunan itu tidak diketahui memandangkan pelan tidak dihantar kepada majlis perbandaran.

Guan Eng menyalahkan Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Nik Yunus kerana gagal berbuat sesuatu walaupun berulang kali dimaklumkan mengenai masalah itu.

"Memandangkan Nik Ali tidak melakukan tugasnya iaitu memantau projek itu, kami terpaksa menghubungi kementerian kerana ia melibatkan tanah persekutuan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow menggesa kementerian itu untuk patuh kepada prosedur negeri mengikut perintah Kabinet.

"Kami berharap mereka akan melakukan perkara sewajarnya jadi kami boleh mengelakkan bangunan itu daripada dirobohkan. Kami boleh membantu jika mereka menyerahkan dokumen yang sepatutnya. Jika tidak, kami terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

Kon Yeow berkata, ini bukan kali pertama kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai projek persekutuan.

Katanya, dua kem Khidmat Negara di Balik Pulau beroperasi tanpa sijil layak menduduki.

"Kami hanya membenarkan mereka meneruskan operasi kerana mereka sanggup bertanggungjawab terhadap keselamatan semua pelatih," katanya

Angkatan Muda Keadilan Melaka

Angkatan Muda Keadilan Melaka


Hasmuzair Dalam Kenangan..Al-Fatihah

Posted: 20 Jul 2010 10:14 PM PDT

AMK Shah Alam

AMK Shah Alam


Mat Monggol Sengaja Tempah Maut

Posted: 20 Jul 2010 06:16 PM PDT

PKR DUN 19 Kepayan P174 Penampang, Sabah.

PKR DUN 19 Kepayan P174 Penampang, Sabah.


18 Julai 2010 - Kempen Derma Darah –PKR Penampang –Anjuran Ranting Kepayan Rumah Murah

Posted: 21 Jul 2010 04:03 AM PDT

BDKepayanmurah-a 

PKR Penampang – Ranting tajaan-Kepayan Rumah Murah telah mengadakan Kempen Menderma Darah bersama –sama dengan Persatuan Penderma Darah Sabah di perkarangan komersial Kepayan Rumah Murah dari jam 9am ke 4pm , 18 Julai 2010.

Turut menghadiri dan menjayakan kempen tersebut ialah Ketua Cabang Penampang- Dr Roland Chia, Penaja Ketua Ranting Kepayan Rumah Murah- Sdr Mickey Jingki , pemimpin –pemimpin dari PKR Penampang – Sdr Joseph Alex Chang, Sdr Smith Kodot, SdrPatrick Chia & Sdr Henry Liew.

BDKepayanmurah-b

PKR Penampang berterima-kasih kepada Sdr Taufik Runschi atas kerjasama beliau dengan Persatuan Perderma Darah Sabah.