Rabu, 21 Julai 2010

N37 Batu Maung

N37 Batu Maung


Pulau Pinang Mahu Kementerian Pertahanan Robohkan Sekolah Tentera Udara Yang Tiada Kelulusan MPPP

Posted: 21 Jul 2010 07:16 AM PDT

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu Kementerian Pertahanan merobohkan bangunan bertingkat sekolah tentera udara yang sedang dibina di Tanjung Bungah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, notis mengenainya telahpun dikeluarkan kerana kementerian itu menjalankan projek Sekolah Iktisas Tentera Udara (SITU) tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

"Pada Disember tahun lalu, beberapa penduduk membuat aduan mengenai kerja memasang cerucuk besi yang dilakukan di kawasan itu dan majlis perbandaran telah mengeluarkan notis amaran.

"Kemudian Mac lalu, majlis perbandaran sekali lagi menerima aduan bahawa kerja memasang cerucuk besi itu masih diteruskan termasuk pada cuti umum dan menghantar semula surat ke kementerian itu, memberitahu mereka mengenai keperluan untuk memohon kebenaran pembinaan.

"Kes itu turut dirujuk kepada penasihat undang-undang negeri (Datuk Faiza Zulkifli)," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Kata Guan Eng, Yang Dipertua MPPP, Patahiyah Ismail sudah memaklumkan kepada kementerian itu termasuk Ketua Setiausaha, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah pada 31 Mac lalu bahawa tindakan akan diambil jika pembinaan itu tidak dihentikan.

Beliau berkata majlis perbandaran telah menghantar notis kepada kementerian itu pada 6 Jun lalu mengikut seksyen 70 (1) Akta Jalan, Saliran dan Bangunan 1974 supaya pembinaan itu dirobohkan dalam tempoh 30 hari.

Pemeriksaan mendapati kerja pembinaan itu sudah mencecah empat tingkat. Ketinggian bangunan itu tidak diketahui memandangkan pelan tidak dihantar kepada majlis perbandaran.

Guan Eng menyalahkan Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Nik Yunus kerana gagal berbuat sesuatu walaupun berulang kali dimaklumkan mengenai masalah itu.

"Memandangkan Nik Ali tidak melakukan tugasnya iaitu memantau projek itu, kami terpaksa menghubungi kementerian kerana ia melibatkan tanah persekutuan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Trafik, Chow Kon Yeow menggesa kementerian itu untuk patuh kepada prosedur negeri mengikut perintah Kabinet.

"Kami berharap mereka akan melakukan perkara sewajarnya jadi kami boleh mengelakkan bangunan itu daripada dirobohkan. Kami boleh membantu jika mereka menyerahkan dokumen yang sepatutnya. Jika tidak, kami terpaksa membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

Kon Yeow berkata, ini bukan kali pertama kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai projek persekutuan.

Katanya, dua kem Khidmat Negara di Balik Pulau beroperasi tanpa sijil layak menduduki.

"Kami hanya membenarkan mereka meneruskan operasi kerana mereka sanggup bertanggungjawab terhadap keselamatan semua pelatih," katanya

Tiada ulasan: