Isnin, 6 Disember 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Dr Xavier: Rekod Buktikan Pembiayaan Pendidikan Masyarakat India Meningkat

Posted: 06 Dec 2010 01:00 AM PST

SHAH ALAM 6 DIS : Exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar mendakwa adanya usaha menjatuhkan reputasi kerajaan negeri dengan mendakwa kerajaan pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak telus dalam pengagihan biasiswa mahupun pinjaman pendidikan pelajar India di negeri ini.

Menurut Dr Xavier, Pemuda MIC seharusnya membuat kajian terlebih dahulu berhubung jumlah permohonan dan pengagihan biasiswa yang diberikan Yayasan Selangor kepada masyarakat India sebelum membuat sebaran tindakan.

"Ini semua amalan kurang baik untuk menarik media oleh pihak tertentu dalam usaha memburukkan pentadbiran Kerajaan Negeri di mata rakyat," demikian kata Dr Xavier.

Kira-kira jam 11.00 pagi tadi, Pergerakan Pemuda MIC yang dipimpin oleh Setiausahanya Sivaraajh menghantar memorandum membantah diskrimisnasi terhadap pinjaman dan biasiswa terhadap pelajar India oleh Kerajaan Negeri.

Memorandum tersebut mendakwa hanya tiga orang pelajar India sahaja menerima pinjaman pendidikan oleh kerajaan negeri pada tahun ini menerusi Yayasan Selangor selain mendakwa pimpinan Pakatan Rakyat mengamalkan sikap pilih kasih.

Namun menurut Dr Xavier, tindakan tersebut tidak ubah untuk mencari publisiti semata-mata. Bahkan katanya, rekod membuktikan ketika zaman pemerintahan MIC dahulu, nasib anak-anak kaum India lebih dipinggirkan berbanding kini. 

"Ini semua satu cara untuk mendapat publisiti disurat khabar dan sebagainya."

"Tetapi kalau kita melihat kepada sejarah, berapa pelajar yang mendapat bantuan biasiswa semasa zaman pemerintahan MIC dahulu? Ketika itu pelajar India ramai yang tidak dapat, di Universiti pun pelajar India tidak mendapat tempat, sekarang sahaja sudah meningkat," tambah Dr Xavier lagi.

Dr Xavier yang juga Adun Sri Andalas ketika dihubungi Tv Selangor memberitahu kenyataan ini adalah satu tuduhan semata-mata kerana kerajaan negeri menerusi Yayasan  Selangor katanya, sentiasa prihatin dalam pelakasanaan pemberian pinjaman dan biasiswa kepada anak Selangor yang mahu meneruskan pelajaran.

"Semua yang terpilih kita serahkan kepada yayasan selangor untuk menguruskan bantuan."

"Kita memang telah menyemak isu ini, pemohon yang tertinggi adalah dari kaum Melayu, diikuti kaum India dan Cina," tambah beliau lagi.

Berikut data pembahagian pembiayaan pendidikan oleh Yayasa Selangor ;


Bangsa        Jumlah Pemohonan           Jumlah penerimaan

Melayu                > 1000                                    505
India                       53                                        28
Cina                       12                                        12

Justeru, Dr Xavier menyeru pihak Yayasan Selangor supaya menghebahkan laporan sebenar untuk maklumat semua pihak termasuk rakyat agar tidak berlaku salah faham sehingga dimanipulasi untuk menjatuhkan imej kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Apa yang Yayasan Selangor perlu buat ialah mendedahkan kepada media tentang laporan sebenar biasiswa yang telah diberi supaya semua pihak tahu," tambah beliau lagi.

Yayasan Selangor ditubuhkan 40 tahun lalu oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menyediakan peluang pendidikan kepada para pelajar miskin menerusi Rancangan Khas Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Namun semasa pemerintahan kerajaan BN, ia tidak pernah diaudit selama lima tahun bermula dari tahun 2005. 

Tiada ulasan: