Khamis, 2 Disember 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Surat Khabar Versi Tamil Bakal Terbit

Posted: 02 Dec 2010 01:00 AM PST

SHAH ALAM, 2 Dis - Sejajar dengan hasrat kerajaan negeri merakyatkan informasi kepada segenap lapisan rakyat di Selangor, surat khabar dalam bahasa Tamil bakal diterbitkan menjelang 2011.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, setelah hampir setahun naskah Selangor Kini memuatkan perjalanan program kerajaan negeri dalam bahasa Melayu, kini tiba masanya surat khabar bahasa Tamil dijadikan alat penyebar maklumat bagi masyarakat kaum India pula.

"Exco bersetuju untuk mengeluarkan majalah dalam bahasa Tamil tahun depan dan kita akan pastikan setiap bulan diterbitkan satu naskhah," katanya ketika berucap sempena sambutan Deepavali untuk kakitangan SUK hari ini.

Tambahnya lagi, naskah lapan halaman itu diberikan secara percuma oleh Pejabat Menteri Besar dan akan menampilkan berita, agenda dan program untuk rakyat Selangor.

"Lapan muka surat akan kita muatkan tetang berita-berita negeri Selangor dan diberi percuma kepada seluruh masyarakat India di Selangor," katanya.

Dalam pada itu, Dr Xavier turut meminta kerjasama daripada ketua-ketua komuniti untuk menjalankan kerja-kerja penyebaran naskhah bulanan tersebut.

"Saya akan minta kerjasama, terutamnya daripada ketua-ketua komuniti kaum India untuk menyebarkan surat khabar ini kepada penduduk di kawasan masing-masing," jelasnya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Setiausaha Politik Kerajaan Negeri, Faekah Husin.

Sambutan Perayaan Eratkan Hubungan Sesama Kakitangan dan Kaum

Posted: 02 Dec 2010 12:30 AM PST

SHAH ALAM, 2 Dis – Majlis sambutan Deepavali bukan sekadar meraikan perayaan kaum semata-mata, sebaliknya landasan bagi merapatkan hubungan dengan mewujudkan kemesraan di kalangan kakitangan SUK yang pelbagai kaum.

"Saya rasa sambutan sebegini amat penting untuk kita jalinkan rasa kemesraan sesama kaum, bagi tujuan perpaduan, selain sama-sama membangunkan negeri Selangor, di samping dapat menikmati segala kebaikan daripada pembangunan tersebut," kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pada majlis makan tengah hari sempena sambutan Deepavali, di ruang legar Bangunan SUK, Shah Alam, tengah hari ini.

Tambahnya lagi, sambutan ini adalah julung-julung kalinya dianjurkan untuk kakitangan SUK dan ini jelas membezakan antara pentadbiran kerajaan terdahulu dengan yang ada sekarang, khususnya di negeri Selangor.

"Julung-julung kalinya pernah diraikan perayaan Deepavali di Pejabat SUK dan ini adalah satu daripada perbezaan, khususnya di Selangor dengan negara lain di dunia kerana di Malaysia kita mampu menyambut lebih lima perayaan bersama," katanya lagi.

Khalid beramah mesra dengan para tetamu sambil di temani Dr Xavier

Turut hadir pada majlis tersebut, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Xavier Jayakumar, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Exco Pelancongan,Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dan Setiausaha Politik Kerajaan Negeri, Faekah Husin.

Selain itu, Ahli Majlis dan Ketua Komuniti masyarakat India turut sama hadir memeriahkan majlis tersebut.

Kerajaan PR Selangor Laksana Pelan Tindakan Bantu Rakyat Tidak Mampu Lunas Tunggakan Bil Air

Posted: 01 Dec 2010 01:00 AM PST

SHAH ALAM 1 DIS: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan melaksanakan pelan tindakan untuk membantu rakyat Selangor yang tidak berkemampuan untuk melunaskan tunggakan bil air, sebaik sahaja ia diberikan kelulusan oleh kerajaan persekutuan untuk mengambil alih pengurusan air negeri ini daripada Syarikat Bekalan Air Selangor atau Syabas dan tiga syarikat konsesi lain.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa kesal atas tindakan terbaru Syabas yang menghukum lebih 800 penghuni pangsapuri Desa Pandan selepas beberapa penduduk terbabit tidak mampu membayar tunggakan mereka.

Tan Sri Khalid menjelaskan rancangan pengambil-alihan aset-aset milik konsesi air digerakkan kerana Kerajaan Negeri menyedari pengusaha air hanya memikirkan keuntungan semata-mata.Bantuan untuk golongan yang tidak mampu menjelaskan tunggakan bil air mereka akan disalur menerusi tabung yang membiayai skim pemberian air percuma 20 meter padu.

"Apabila pemilikan pengurusan air dalam kerajaan, kerajaan mempunyai dana kebajikan, dimana ianya boleh dilakukan (untuk membantu rakyat yang tidak mampu membayar tunggakan bil air)," kata beliau di satu sidang akhbar di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Tan Sri Khalid melahirkan rasa dukacita dengan tindakan Syabas menghukum kesemua penghuni blok pangsapuri yang terjejas, walhal isu ini boleh diselesaikan secara matang dan bertimbang-rasa.

"Syabas mendapati ia akan mengurangkan keuntungan mereka. Oleh sebab itu Syabas tidak teragak-agak memotongnya sebab dia takut dia tidak mendapat keuntungan," komen beliau.

Tan Sri Khalid berharap Kerajaan Persekutuan dan pengusaha konsesi air dapat berkerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memecahkan kebuntuan rundingan pengambil-alihan aset air.

"Itulah sebabnya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri pada 2006 bersetuju pengurusan air diberikan kepada kerajaan negeri. Ini bukan di Selangor sahaja, di Negeri Sembilan sudah dilakukan dan di Melaka pun sudah dilakukan.Tapi boleh jadi sebab Selangor di bawah Pakatan Rakyat, Kerajaan Persekutuan enggan melakukannya," tegas Khalid.

MB Ajak Rakyat Bangkit Pertahankan Hak Mendapat Harga Air Lebih Murah

Posted: 30 Nov 2010 01:00 AM PST

SHAH ALAM, 30 Nov - Rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan usia perlu bangkit untuk mempertahankan hak mereka  daripada terus dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mendapat keuntungan melampau hasil dasar penswastaan perkhidmatan air yang tidak menguntungkan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata  rakyat perlu melakukan anjakan paradigma dengan menolak apa saja tindakan atau keputusan yang merugikan mereka.

Tan Sri Abdul Khalid menyampaikan taklimat kepada nazir dan AJK masjid seluruh Selangor

Sehubungan itu, Menteri Besar mengajak rakyat Selangor dan Lembah Klang tanpa mengira ideologi politik yang mahu mempertahankan hak mereka untuk mendapat air lebih murah dan perkhidmatan cekap  supaya bersama-sama menyertai Kerajaan Negeri menghantar memorandum kepada Yang  di-Pertuan Agong pada 5 Disember ini.

"Kita perlu berubah dan bijak membuat penilaian jika tindakan yang dibuat Kerajaan pemerintah hanya menguntungkan kronik dan membebankan rakyat biasa.

"Rakyat perlu menyokong usaha kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air dari Syarikat Bekalan Air Selangor  Sdn Bhd (Syabas) supaya kebajikan serta kepentingan rakyat terus terpelihara dan tidak teraniaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat mengenai usaha kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air dari Syabas kepada kira-kira 500 Nazir dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid seluruh Selangor di sini, hari ini.

Turut menyampaikan taklimat, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Ahli Panel Penilai Air, Dr Dzulkefli Ahmad dan Pengarah Penerangan Negeri, Dr Badrulamin Bahrom.

Kerajaan negeri menganjurkan Kempen Kembalikan Air Kepada Rakyat untuk menyedarkan rakyat Selangor dan Lembah Klang terhadap usaha-usaha Kerajaan Negeri mengambil alih industri air dari syarikat konsesi supaya perkhidmatan bekalan air lebih efisien dan tarif air lebih rendah.

Kemuncak kepada kempen ini ialah perhimpunan beramai-ramai di Masjid Negara sehingga ke Istana Negara  pada Ahad, 5 Disember  2010 untuk menyerahkan memorandum.

Resolusi Shah Alam Utamakan Kerjasama Negeri Pakatan

Posted: 29 Nov 2010 02:00 AM PST

Pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat hari ini sepakat mengumumkan satu resolusi bagi mewujudkan penyelarasan daripada segi pelaksanaan, perkongsian pengalaman serta jawatankuasa bersama.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Resolusi Persidangan Shah Alam itu dicapai setelah mengambil persetujuan semua ketua negeri yang dikuasai Pakatan -- Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dalam satu persidangan di Shah Alam hari ini.

khalid ibrahimSetiap ketua menteri dan menteri besar dari negeri berkenaan masing-masing membuat pembentangan kertas kerja meliputi aspek ekonomi, sosial, politik dan pentadbiran dalam persidangan berkenaan.

"Kami percaya dengan memiliki kepemimpinan yang baik dari segi visi dan arah tuju dalam mentadbir negeri, maka kami bersepakat untuk mewujudkan penyelarasan pelaksanaan dan perkongsian pengalaman," kata Khalid yang membacakan resolusi berkenaan.

Resolusi berkenaan menggariskan lima janji penting – antaranya untuk membentuk satu "pakatan ekonomi" di antara kerajaan negeri-negeri di bawah Pakatan dan mengurangkan amalan birokrasi dalam pentadbirannya.

Kerjasama exco negeri Pakatan

Dokumen itu antara lainnya turut menyentuh usaha memperkukuhkan permuafakatan antara pemimpin Pakatan serta mengkaji usahasama yang boleh dijalankan antara anggota exco kerajaannya.

Resolusi berkenaan juga menetapkan janji untuk memastikan persefahaman dan kelunakan hubungan antara pemimpin politiknya dengan pentadbiran negeri, kata Khalid lagi dalam persidangan di kompleks perumahan kerajaan, Seksyen 7, Shah Alam, lewat malam semalam.

NONE"Justeru siri forum berkala melibatkan exco dan pegawai masing-masing negeri akan dilaksanakan bagi meningkatkan komitmen ke arah meneruskan cita-cita Pakatan Rakyat, demi memenuhi keperluan, keinginan dan harapan rakyat," katanya lagi dalam ucapan perasmiannya itu.

Persidangan berkenaan merupakan yang kedua seumpamanya yang diadakan melibatkan ketua-ketua kerajaan Pakatan. Persidangan pertama telah diadakan di Mentalun Kedah pada 18 Januari tahun lalu.

Dr Xavier Ikrar Menyokong Penuh Kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim

Posted: 19 Nov 2010 11:00 PM PST

Shah Alam, 19 November 2010 - Rapat umum yang bertemakan 'Anwar Pengemudi Zaman' mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Bertempat di Auditorium MBSA, para pimpinan PKR terutamanya dari Selangor memenuhi auditorium tersebut yang boleh menempatkan lebih 1500 orang. Majlis berlangsung dari pukul 8 hingga 11 malam.

Penerangan tentang proses pemilihan dan isu berkaitan diberikan oleh Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution. Dalam penerangan tersebut, beliau menegaskan bahawa pemilihan telah dijalankan sebaik mungkin dan 'kekecohan' yang berlaku semasa pemilihan telah diperbesar-besarkan oleh media pro kerajaan. Beliau juga menyatakan Jawatankuasa Pemilihan Pusat tidak berpihak kepada mana-mana calon seperti yang digembar-gemburkan.

Senator Dr Syed Husin Ali yang merupakan Timbalan Presiden pula menyatakan bahawa pemimpin yang tidak lagi sehaluan dengan matlamat parti yang mengutamakan rakyat boleh keluar jika itu yang mereka mahukan dan parti tidak akan menghalang mereka.


Azmin Ali yang menyatakan sokongan penuh beliau kepada kepimpinan Dato' Seri Anwar meminta supaya setelah proses pemilihan berakhir supaya 'trojan horse' dibersihkan daripada parti dan kesemua ahli parti bersatu semula dalam membawa aspirasi rakyat.

Pada malam ini juga, Azmin Ali telah menyatakan bahawa beliau akan memberi sokongan penuh kepada Tan Sri Dato Seri Khalid Ibrahim bagi mempertahankan negeri Selangor. Sokongan beliau kepada Dato' Menteri Besar secara terang terangan ini merupakan jawapan bagi wayang yang dimainkan oleh media pro kerajaan selama ini yang kononnya terdapat pertelingkahan oleh Azmin Ali dengan Tan Sri Khalid.
Tan Sri Khalid dalam ucapan beliau menekankan aspek setiakawan yang perlu diterapkan oleh semua ahli PKR.

Ucapan yang ditunggu-tunggu kemudiannya diberikan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau menyatakan rasa kekecewaannya kepada pemimpin parti yang menggunakan media pihak lawan untuk mengkritik parti.

Dato' Seri Anwar turut menyatakan bahawa parti ini wujud bukan kerana beliau semata-mata tetapi adalah kerana kebangkitan rakyat melawan kezaliman kerajaan yang dipimpini Barisan Nasional. Paling penting diutamakan adalah rakyat dan bukannya kepentingan peribadi individu tertentu.


Majlis berakhir dengan ikrar menyokong penuh kepimpinan Dato' Seri Anwar oleh barisan kepimpinan serta semua yang hadir.

Tiada ulasan: