Isnin, 27 Disember 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Mengapa Melayu Berpolitik Mengikut Sentimen?

Posted: 27 Dec 2010 05:42 PM PST

Dari Sabahdaily.com

Tendensi pengundi Melayu memberi undi untuk mengangkat sesebuah kerajaan berpandukan sentimen adalah satu percaturan yang silap. Kesilapan berlaku apabila mereka malas mengangkat darjat akal. Akal yang menjadi aset paling berharga dalam diri manusia dipenyek oleh nafsu sehingga nafsu mendapat ruang udara yang begitu selesa untuk membuat percaturan bagi pihak tuannya. Nafsulah yang mencipta sentimen dan melenyapkan kewarasan budi..

Mana mungkin seseorang itu dapat mencipta keputusan yang bijak dengan berpandukan sentimen?

Mengundi ialah kerja politik yang amat penting dalam sistem demokrasi. Sebelum mengundi, masing-masing sudah memahat simbol parti yang akan dipangkah. Simbol itu bukan dipahat sebaik Parlimen atau DUN dibubarkan. Malah bagi sesetengah orang pahatan itu telah berpuluh tahun usianya. Kalaulah pahatan itu besi, maka sudah berkarat besi itu.

Ada pengundi Saluran 1 berkata, "Pakcik dah pangkah dacing sejak kapal layar lagi." Kapal layar itu merujuk kepada Parti Perikatan sebelum tertubuhnya Barisan Nasional. Seolah-olahnya sejak merdeka hingga alaf baru ini, dunia tidak pernah berubah. Bagi mereka UMNO sentiasa moleh sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Mereka tidak dapat membezakan kepimpinan Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn dengan kepimpinan Tun. Dr. Mahathir, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib. Apalagi untuk mereka sedari bahawa UMNO sebenar telah lama berkubur. Yang ada sekarang ialah UMNO Baru yang dibuang perkataan 'Baru'nya.

Sejak dasar penswastaan yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir, UMNO bukan lagi berjuang untuk rakyat. Mereka juga tidak layak dipanggil wakil rakyat. Sebahagian besar ADUN atau AP-nya adalah wakil perut dan kroni. Mereka mengaut keberuntungan ekonomi yang tidak pernah berkecukupan. Mereka mencari sekawah lauk konon untuk dijamu bersama rakyat. Namun senduk mereka cukup besar untuk mengaut segala isi yang lazat-lazat maka ditinggalkanlah untuk rakyat yang mengundinya kuah agar dapat dihirup beramai-ramai. JKKK-lah yang menjadi tukang membahagikan kuah itu. Sempat juga JKKK merasai seketul dua daging yang ditinggalkan oleh wakil-wakil mereka.

Sikap politik masyarakat Melayu lebih berpaksikan sentimen terutamanya golongan tua dan golongan pengundi luar bandar. Mereka menyokong UMNO/BN macam golongan muda dan golongan bandar menyokong pasukan bolasepak. Menjadi satu fenomena bagi golongan ini memuja pasukan Manchester United (MU), Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Pasukan bolasepak gergasi ini tiada kena-mengena pun dengan harta dan jatidiri rakyat Malaysia. Namun mereka yang gila bola boleh saja bersengkang mata kerana menunggu perlawanan yang melibatkan pasukan pujaan mereka. Mereka rela berhabis duit mengumpul jersey, mafla dan logo kebanggaaan EPL itu. Apabila pasukan pujaan mereka menang, mereka tidak mendapat apa-apa pun. Seduit pun tidak dihulurkan oleh juara EPL kepada mereka. Hendak dibanggakan pun tak layak dan dketawakan orang. Bila pula mereka membuat MOU dengan pasukan itu?

Inilah analogi sikap pengundi yang meletakkan sentimen sebagai asas sokongan mereka. Mereka buat parti politik bagaikan pasukan bolasepak. Mereka bertindak dalam pilihanraya seperti tindakan penyokong fanatik bolasepak. Mana mungkin begini? Di manakah letaknya akal yang waras? Mengapa diperbodohkan diri sendiri?

Menyokong dan memilih pasukan bolasepak tidak melibatkan dosa dan pahala. Siapa-siapa pun secara peribadi boleh meminati pasukan itu dan ini walaupun tanpa sebab yang konkrit. Itu diharuskan sahaja selagi pasukan yang disokong itu tidak membawa imej yang bercanggah dengan Islam. Malah kini telah pun heboh isu simbol syaitan dan minum keras yang terpapar pada jersey pasukan-pasukan berkenaan. Ini bermakna dalam hal sukan pun kita kena teliti agar tidak syirik atau rosak akidah sedangkan sukan pada dasarnya diharuskan oleh syarak.

Apalagi dalam hal politik dan memilih pemimpin. Semestinya melibatkan dosa pahala dan nasib diri serta generasi. Penulis tertarik dengan perbahasan pemuda kampung dalam isu hudud. PAS memperjuangkan hudud manakala UMNO menolak hudud dengan pelbagai alasan.

Kata pemuda itu sebagai konklusi perbahasannya, " Agama saya kata orang mencuri mesti dipotong tangannya". Dia berkata demikian kerana oponennya berkeras menolak hukum hudud. Pemuda yang mempertahankan hudud itu menggunakan 'agama saya' tidak 'agama Islam'. Ini yang menarik bagi penulis. Apabila oponennya bertanya, " Apa agamamu?" Pemuda itu menjawab, "Islamlah." Lalu oponennya yang mendokong perjuangan UMNO berkata," habis, kau seorang saja Islam?" Maksudnya, aku juga Islam macam kamu. Lalu pemuda itu berkata lagi, "Agama aku kata pencuri perlu dipotong tangan. Agamamu kata pencuri sesuai dipenjara. Mana sama agama kita? Kalaulah agama kita sama tentulah hukumnya juga sama."

Demikianlah satu misalan yang jelas bahawa politik PAS dan UMNO melibatkan hukum dosa dan pahala. Apalagi dalam memilih pemimpin. Tentulah perlu dipilih pemimpin yang jujur, tidak rasuah, boleh memimpin demi kebahagiaan dunia sampai ke akhirat yang kekal abadi. Mana boleh pilih pemimpin kaki rasuah, kaki perempuan, kaki botol, kaki tipu dan kaki sapu.

Kesimpulannya, masyarakat mestilah memilih parti dan mengundi bertolak dari keimanan di dada ( meskipun sedikit) dan disinari oleh akal yang bermaruah lagi bijaksana. Kita akan ditanya di akhirat kelak tentang amalan dan tindakan kita. Sebelum sampai di sana, di dunia ini pun kita inginkan kesejahteraan dan kemakmuran untuk diri dan terutamanya anak-anak kecil kita yang sedang membesar. Kesilapan kita memilih pemimpin bererti kita meletakkan nasib anak-anak kita dalam bahaya, gejala sosial yang menakutkan dan kesesatan hidup yang nyata. Janganlah berpegang kepada dakyah UMNO bahawa hidup hanya sekali sedangkan Islam mengajar kita bahawa hidup dua kali iaitu, sekali di dunia sekadar 60 tahun dan sekali lagi di akhirat yang kekal abadi. Ya, ingat-ingat sesungguhnya hidup ini dua kali, bukan sekali.

Imbuhan RM500 : Tindakan Muhyiddin Terus Dibidas

Posted: 27 Dec 2010 05:32 PM PST

Dari TV Selangor

Tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan pemberian imbuhan RM500 kepada guru- guru di negeri- negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat terus dibidas oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Mereka mempersoalkan Muhyiddin sebagai ahli parlimen veteran yang seolah- olah tidak memahami resolusi 100 hari yang terkandung dalam buku jingga adalah menifesto Pakatan Rakyat sekiranya gagasan itu berjaya menawan pucuk pemerintahan.

Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad menyifatkan Muhyiddin sebagai cepat melatah dan emosi dalam isu pemberian elaun kepada para guru seluruh malaysia.

Selain cepat melatah, Muhyidin mencerminkan wajah sebenar UMNO-BN setelah mengeluarkan kenyataan bahawa pemberian insentif kepada guru-guru akan menyebabkan pembaziran dana.

Tetapi Muhyiddin seolah- olah lupa pada cita-cita umno barisan nasional untuk melaksanakan projek mega yang hanya menguntungkan kroni dan individu berkepentingan sahaja, umpamanya menara warisan merdeka.

“Dia emosi dan melatah. patut dia baca soalan habislah. baca betul-betul,semua untuk rakyat, kalau kita buat dia kata membazir. tapi sampai 5 bilion buat bangunan 100 tingkat tak membazir, untuk kroni tak membazir. untuk manfaat rakyat pula membazir,” katanya.

Beliau mengaskan, Pakatan Rakyat sudah meneliti pemberian tersebut akan diberikan kepada guru-guru yang mempunyai peranan besar dalam bidang pendidikan dan akan meneliti sektor awam yang lain untuk tujuan yang sama apabila pakatan berjaya berjaya menerajui negara dan seperti yang diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau ikut pemikiran dan tindakan pemimpin umno-bn memang tak mampu nak beri kerana mereka amalkan rasuah dan ketirisan dalam pengurusan. dia (Umno-BN) sengaja cabar kita. Padahal kita cakap 100 hari, kalau kita memerintah di peringkat pusat, macamana Muhyiddin ini jadi Menteri Pelajaran?”

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menyifatkan Umno-BN kini dalam keadaan terdesak malah tertekan dengan pendekatan Pakatan Rakyat merubah sistem pendidikan dengan pemberian insentif untuk golongan pendidik.

“Ini menunjukkan bahawa TPM dan Umno-Bn dalam keadaan terdesak dan tertekan untuk rela dalam perbincangan yang rasional ini dengan ketepikan hujah-hujah perubahan dalam dalam sistem pendidikan”

Tambahnya lagi, pemberian elaun tersebut tidak akan menjejaskan kewangan Kerajaan sekiranya negara mampu menangani rasuah, ketirisan dan penyelewengan dalam semua urusan.

“Kalau negara kita mampu tangani gejala rasuah, ketirisan, dan penyelewengan, kita memang tidak ada masalah kewangan untuk memberi elaun yang baik untuk mereka (guru),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PKR, Mohd Nor Manuty pula menyifatkan Muhyidin sebagai ketinggalan zaman kerana gagal menerima aspirasi Pakatan Rakyat untuk mengangkat martabat golongan pendidik di Malaysia.

“TPM ketinggalan zaman, Aspirasi Pakatan Rakyat seperti yang tercatat dalam buku jingga pada kovensyen kedua tempoh hari antaranya ialah mengangkat martabat guru dengan meningkatkan elaun RM500 adalah satu janji yang akan ditunaikan sekiranya Pakatan menang dan berkuasa,” katanya.

Pelabur Kurang: Najib Hanya Sibuk Pertahan Kuasa

Posted: 27 Dec 2010 05:26 PM PST

Dari Harakah

Ketika para pelabur diingatkan supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula sibuk dengan kepentingan sendiri untuk mempertahan kuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

“Syarikat pengurusan dan penasihat kewangan tersohor, Bank of America Merrill Lynch baru-baru ini mengingatkan supaya dikurangkan pelaburan ke negara ini, suatu tanda yang jelas bahawa Najib tidak diyakini sebagai pengurus ekonomi yang boleh diharapkan yang sekaligus menjadi ancaman kepada ekonomi negara.

“Tetapi, tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan kerajaan Najib berusaha menangani perkara itu sebaliknya beliau hanya sibuk untuk mempropagandakan konsep 1Malaysia yang dilihat sebagai peniruan konsep One Israel termasuk membawa pemain import ke ke Jabatan Perdana Menteri, antaranya (ketua stesen televisyen Media Prima Berhad milik Umno, Datuk Seri Ahmad) Farid Ridzuan,” kata beliau.

Najib, kata Mahfuz, ternyata lebih berminat mempertahankan kuasanya dengan memberi tumpuan kepada mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu setelah konsep itu gagal menarik perhatian rakyat.

“Sama seperti pelbagai hingar-bingar dan kebisingan Najib dalam bidang ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang gagal menarik minat pakar-pakar ekonomi dan para pelabur dan menyebabkan mereka diingatkan supaya mengurangkan pelaburan, apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu juga gagal menarik perhatian rakyat.

“Tindakan mengambil pemain import seperti Farid ke JPM amat jelas membuktikan Najib menggelabah dan Apco Worldwide pula gagal menjalankan kerjanya untuk mempromosikan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu walaupun lebih dari RM70 juta wang rakyat dibazirkan kepada firma milik Yahudi Zionis itu,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz bagaimanapun yakin Ahmad Farid tidak akan mampu mencapai keinginan Najib untuk mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu.

Konsep tersebut diharapkan oleh Najib dapat membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“1Malaysia yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu bukan TV hiburan yang penuh dengan pelbagai cerita menarik dan persembahan nyanyian yang mudah mengasyikkan orang ramai.

“Berapa banyak program yang sudah basi seperti Jom Heboh yang mahu dibuat oleh Ahmad Farid? Adakah setiap malam menjelang pilihan raya akan diisi dengan program Jom 1Malaysia pula?

“Benda-benda mengasyikkan seperti itu mungkin menarik minat muda mudi Melayu seperti yang berlaku dalam program-program Jom Heboh. Tetapi kaum lain yang semakin kecewa dengan api perkauman Umno tidak berminat pun dengan hiburan-hiburan seperti itu,” katanya.

Ketika ditanya tentang desas-desus bahawa pihaknya sedang mempersiapkan pelbagai program untuk menghadapi “kempen cara Ahmad Farid” termasuk menggunakan kepakaran mereka yang pernah berkerja dengan orang kuat TV3 itu, Mahfuz enggan mengulas.

SUK : Menteri Besar Tidak Dimaklum Perlantikan Khusrin

Posted: 27 Dec 2010 12:21 AM PST

Dari TV Selangor

Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin berkata perlantikan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri masih belum muktamad.

Sebelum ini menurut laporan Bernama,Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan Mohd Khusrin, 54, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Disember.

Justeru menurut Faekah yang dihubungi TV Selangor berkata Kerajaan Negeri turut kesal dengan pengumuman tersebut disebabkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dimaklumkan berhubung perlantikan tersebut.

“Perlantikan Datuk Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri belum muktamad.

“Kita tidak dimaklumkan hasrat atau niat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ataupun KSN untuk meletak Khusrin…kita tidak tahu dan tidak di’consult’, dipanggil bicara dan dimaklum.

“Kerajaan Negeri telah menghantar surat kepada Tuanku untuk menyatakan kekesalan kita di mana Menteri Besar tidak dimaklumkan.

“Kita juga telah mendapat perkenan Tuanku untuk mengadap hari Rabu ini. Saya percaya mungkin untuk membincangkan perkara tersebut.

“Belum muktamad kerana kita mempunyai nama lain dan kita telah melakukan proses pemilihan yang telus dengan menubuhkan jawatankuasa pemilihan,” ujar Faekah.

Kerajaan Negeri juga katanya turut mengusulkan nama lain bagi jawatan tersebut dan telah melalui proses pemilihan calon yang telus melalui jawatankuasa pemilihan yang ditubuhkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad tidak menolak kemungkinan perlantikkan tersebut berbaur politik di mana Khusrin dilihat pendekatan memihak dan kecenderungannya kepada Umno-Barisan Nasional.

“Tindakan dia melalui pengalaman saya dengan dia, saya rasa jelas beliau bertindak mengikut kepentingan Umno dan dia mempunyai hubungan yang jauh lebih rapat dengan pimpinan Umno di peringkat negeri dan Pusat yang saya sendiri saksikan

“Semasa tauliah saya ditarik pun, saya rasa yakin ianya adalah atas permintaan Nawawi dan beliau bertindak mengikut kepentingan Umno-BN dan tidak prosesional dari segi itu.

“Ini merupakan sebab mengapa beliau dipilih oleh kerajaan persekutuan…ini juga menunjukkan kerajaan persekutuan tidak menghormati kehendak rakyat Selangor yang telah memilih Pakatan Rakyat,” ujar beliau.

Tambah Khalid, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memberikan keutamaan kepada calon yang dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor.

Tiada ulasan: