Isnin, 27 Disember 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


AMK Selangor tolak Khusrin

Posted: 27 Dec 2010 12:45 AM PST

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK) dalam satu kenyataan hari ini menolak perlantikan Datuk Khusrin Munawi (gambar) sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru.

Menyifatkan tindakan kerajaan pusat itu sebagai tidak menghormati kerajaan negeri, ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin yakin, perlantikan itu dibuat untuk mencapai kepentingan politik pihak tertentu.

"AMK Selangor menegaskan bahawa kerajaan pusat sewajarnya hormat kepada kerajaan negeri khususnya dalam perlantikan jawatan kanan kerajaan Selangor dan tidak mencampurkan adukkan agenda politik sempit Umno-Barisan Nasional dalam pentadbiran kerajaan.

"Kita juga menggesa kerajaan pusat memahami dan hormat semangat federalisme yang termaktub dalam perlembagaan negara," katanya yang juga timbalan ketua AMK Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pagi tadi bahawa Khusrin dilantik sebagai SUK negeri itu berkuatkuasa 1 Januari.

Selain itu, turut dipertikaikan kredibiliti Khusrin itu sendiri yang boleh dilihat dengan jelas sepanjang menggalas jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurut Khairul Anuar, Khusrin selama ini gagal untuk melaksanakan agenda kerajaan negeri malah lebih cenderung melaksanakan agenda politik Umno-Barisan Nasional.

"AMK Selangor juga memohon ke bawah DYMM Sultan Selangor agar menolak perlantikan Khusrin Munawi dan berharap agar jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor digalas oleh individu yang berkaliber,professional dan dapat melaksanakan dengan baik agenda kerajaan negeri Selangor yang mendapat mandat daripada rakyat pada 8 Mac 2008 lepas," katanya.

Sementara itu, kerajaan Selangor dalam satu kenyataan terbaru mereka memberitahu pelantikan Khusrin sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor perkara itu belum muktamad.

Mereka mendakwa cadangan melantik ketua pengarah JAIS ke jawatan itu tidak pernah dimaklumkan oleh ketua setiausaha negara kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu, Menteri Besar lapor kenyataan itu telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklum bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.

Tans Sri Khalid Ibrahim juga difahamkan turut menghantar tiga nama yang telah diputuskan oleh panel yang ditubuh kerajaan negeri kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Sehubungan itu, menteri besar akan mengadap DYMM Tuanku Sultan pada 29 Disember 2010 (Rabu depan)," kata kenyataan itu.


Sumber: Harakah Daily

Anak: Isa tidak layak terajui Felda

Posted: 27 Dec 2010 12:40 AM PST

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membantah keras pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda yang baru dan mendesak Perdana Menteri menarik semula pelantikan tersebut.

Pengerusinya, Mazlan Aliman yang kecewa dengan pelantikan itu berkata, Isa tidak layak untuk memegang jawatan tersebut kerana latar belakangnya yang pernah terbabit dengan politik wang dalam pemilihan Umno pada 2004.

"Saya mewakili Anak membantah keras pelantikan Tan Sri Isa Samad ini. Berdasarkan salah laku yang pernah dilakukan beliau, sudah cukup jelas beliau bukan pemimpin beramanah yang sepatutnya menjadi pilihan (Datuk Seri) Najib (Razak).

"Sehubungan itu saya mendesak Perdana Menteri menarik balik pelantikan itu," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mazlan yang juga exco lajnah pembangunan tanah dan wilayah PAs Pusat juga menegaskan, sekiranya Najib enggan berbuat demikian pihaknya akan membuat pungutan suara warga Felda yang membantah pelantikan itu.

"Jika kerajaan tidak berbuat demikian saya ingin menyatakan ketegasan kita bahawa Anak akan membuat satu pungutan suara iaitu referendum sejuta tandatangan dan kita akan serah kepada Perdana Menteri supaya menarik balik pelantikan ini.

Tambahnya, Anak juga tidak teragak-agak untuk memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara itu sekiranya bantahan mereka tidak dipedulikan.

"Kalau Perdana Menteri enggan tarik (pelantikan) juga, kita tidak teragak-agak untuk serah memorandum bantahan dan tandatangan ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

In keraja ujarnya, masa depan Felda yang merupakan agensi pembangunan tanah milik orang Melayu tidak harus diperjudikan kepada invidu yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu Mazlan menyifatkan pelantikan itu sebagai tanda Najib tidak mengambil kira perasaan warga Felda yang mengharapkan pemimpin yang lebih baik mengambil alih tanah rancangan itu.

"Saya sangat sedih bila kerajaan bawah pimpinan Najib tak pernah mengambil kira perasaan dua juta warga Felda yang mengharapkan pengganti kepada Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor mestilah orang yang lebih baik.

"Kita harapkan sekurang-kurangnya orang yang mengambil alih felda ini seperti Tan Sri Raja Alias yg menerajui Felda suatu ketika dahulu tetapi nampaknya kita telah turun 360 darjah.

"Dalam keadaan nama baik Felda sedang diperkatakan dengan pelbagai isu sepatutnya kerajaan memilih tokoh yang boleh membersihkan isu-isu tersebut," katanya.

Beliau mempersoal kerajaan yang tidak memilih tokoh-tokoh dari anak Felda sendiri untuk menerajui agensi tersebut sedangkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad maslan sendiri pernah menyatakan statistik tokoh-tokoh dari anak Felda.

"Kita baru didedahkan dengan statistik terbaru jumlah profesional, ahli akedemik yang lahir daripada anak peneroka. Kenapa kita tidak ambil mereka? Kita ada anak peneroka yang berjaya dalam syarikat GLC, menjadi ahli akedemik, pengarah jabatan, adakah mereka ini tidak layak untuk memimpin Felda sehingga mengambil tokoh yang dianggap sudah expired?

"Tokoh kitar semula seperti Isa ini tidak wajar sama sekali diambil semula dalam mana-mana syarikat kerajaan. Saya yakin kalau kita buat tinjauan tidak ada warga Felda yang akan menerima beliau melainkan mereka yang selama ini menjadi pak angguk dan pak turut kepada kerajaan," tegasnya.

Isa yang juga Adun Bagan Pinang hari ini menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas Felda.

Isa meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah dan digantung keahlian Umno selama 6 tahun kerana terlibat dengan politik wang dalam pemilihan Umno 2004.


Sumber: Harakah Daily

Siapakah menteri rogol amahnya?

Posted: 27 Dec 2010 12:35 AM PST

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Soalan siapakah menteri yang terlibat merogol seorang pembantu rumah Indonesianya kini menjadi persoalan paling hangat diperkatakan ekoran pendedahan kembali isu ini oleh WikiLeaks.

Laporan awal Harakahdaily mengenai hal ini telah menjadi berita paling hangat dan paling ramai dibaca oleh pelayar Harakahdaily.

Dalam laporan itu, Harakahdaily melaporkan kembali tulisan pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan dalam blognya mengenai peristiwa seorang menteri merogol pembantu rumahnya pada tahun 2007 lalu.

Namun menteri berkenaan selamat walaupun laporan mengenainya sampai ke Kedutaan Indonesia, Kedutaan Amerika bahkan juga ke pejabat Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Badawi.

Semalam, NGO Tenaganita menyiarkan kembali satu kenyataan akhbar yang pernah dibuat oleh Migrant Care, sebuah badan kebajikan pekerja Indonesia yang mengesahkan kejadian yang berlaku pada tahun 2007 itu.

Kenyataan yang ditandatangani oleh Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director) dibuat pada 1 Ogos 2007.

Dalam kenyataan akhbar itu, Migrant Care berkata, pembantu rumah Indionesia itu bernama Robengah dan ketika itu dia berada di bawah penyeliaan Migrant Care.

Dalam kenyataan itu juga, Migrant Care menamakan RELA sebagai salah satu badan yang sangat dimarahi oleh warga Indonesia walaupun Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan diplomatik yang sangat baik.

Satu blog popular, Tukartiup juga kini memainkan sentimen siapakah perogol bertaraf menteri itu?

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, menteri berkenaan telah bersara namun menurut maklumat terbaru, dia masih berada dalam kebinet kerajaan Malaysia sekarang.

Sementara itu, Country Director Migrant Care, Alex Ong (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengesahkan kejadian itu.

"Beliau dirogol pada 19 Februari 2007 di Kuala Lumpur. Kemudiannya dihantar balik ke Indonesia pada 20 Februari 2007," kata Alex kepada Harakahdaily.

Selepas mendapat maklumat dari orang ramai, kata Alex, Migrant Care telah menjejak mangsa ini ke kampungnya yang terletak di Banjar Negara, Jawa Tengah.

"Dua kakitangan kami telah menemui dan mewawancara beliau pada 23 Julai 2007 di Banjarnegara," kata Alex lagi. Migrant Care kemudiannya telah mengeluarkan kenyataan media pada 1 Ogos 2007.

Ketika ditanya, apa berlaku selepas itu, Alex memberitahu, tindakan susulan tidak boleh diambil kerana wanita berkenaan tidak mahu diganggu kerana tidak mahu malu dan juga akibat dari ketakutan.

"Dia telah diminta bersumpah untuk tidak memecahkan rahsia itu jika tidak akan disumpah tiga keturunan," cerita Alex kepada Harakahdaily.

(Gambar perpustakaan: Alex (tengah) bersama Che Ishak (kanan) dan Taufek ketika berbincang bagi membawa pulang Azreen dari Lombok, Indonesia)

Sebelum ini, Migrant Care pernah membantu Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa dan Adun Paroi, Taufek Abdul Ghani untuk membawa pulang Azreen Che Ishak dari Kampung Hulu Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa lari pemuda Indonesia ke Lombok, Indonesia.

Husam membantu keluarga Che Ishak yang berasal dari Kelantan itu melalui NGO yang dipimpinnya ketika itu, Kijang Care.


Sumber: Harakah Daily

Imbuhan RM500 : Tindakan Muhyiddin Terus Dibidas

Posted: 27 Dec 2010 12:30 AM PST


SHAH ALAM 27 DIS : Tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan pemberian imbuhan RM500 kepada guru- guru di negeri- negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat terus dibidas oleh pimpinan Pakatan Rakyat.

Mereka mempersoalkan Muhyiddin sebagai ahli parlimen veteran yang seolah- olah tidak memahami resolusi 100 hari yang terkandung dalam buku jingga adalah menifesto Pakatan Rakyat sekiranya gagasan itu berjaya menawan pucuk pemerintahan.

Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad menyifatkan Muhyiddin sebagai cepat melatah dan emosi dalam isu pemberian elaun kepada para guru seluruh malaysia.

Selain cepat melatah, Muhyidin mencerminkan wajah sebenar UMNO-BN setelah mengeluarkan kenyataan bahawa pemberian insentif kepada guru-guru akan menyebabkan pembaziran dana.

Tetapi Muhyiddin seolah- olah lupa pada cita-cita umno barisan nasional untuk melaksanakan projek mega yang hanya menguntungkan kroni dan individu berkepentingan sahaja, umpamanya menara warisan merdeka.

"Dia emosi dan melatah. patut dia baca soalan habislah. baca betul-betul,semua untuk rakyat, kalau kita buat dia kata membazir. tapi sampai 5 bilion buat bangunan 100 tingkat tak membazir, untuk kroni tak membazir. untuk manfaat rakyat pula membazir," katanya.

Beliau mengaskan, Pakatan Rakyat sudah meneliti pemberian tersebut akan diberikan kepada guru-guru yang mempunyai peranan besar dalam bidang pendidikan dan akan meneliti sektor awam yang lain untuk tujuan yang sama apabila pakatan berjaya berjaya menerajui negara dan seperti yang diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kalau ikut pemikiran dan tindakan pemimpin umno-bn memang tak mampu nak beri kerana mereka amalkan rasuah dan ketirisan dalam pengurusan. dia (Umno-BN) sengaja cabar kita. Padahal kita cakap 100 hari, kalau kita memerintah di peringkat pusat, macamana Muhyiddin ini jadi Menteri Pelajaran?"

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menyifatkan Umno-BN kini dalam keadaan terdesak malah tertekan dengan pendekatan Pakatan Rakyat merubah sistem pendidikan dengan pemberian insentif untuk golongan pendidik.

"Ini menunjukkan bahawa TPM dan Umno-Bn dalam keadaan terdesak dan tertekan untuk rela dalam perbincangan yang rasional ini dengan ketepikan hujah-hujah perubahan dalam dalam sistem pendidikan"

Tambahnya lagi, pemberian elaun tersebut tidak akan menjejaskan kewangan Kerajaan sekiranya negara mampu menangani rasuah, ketirisan dan penyelewengan dalam semua urusan.

"Kalau negara kita mampu tangani gejala rasuah, ketirisan, dan penyelewengan, kita memang tidak ada masalah kewangan untuk memberi elaun yang baik untuk mereka (guru)," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PKR, Mohd Nor Manuty pula menyifatkan Muhyidin sebagai ketinggalan zaman kerana gagal menerima aspirasi Pakatan Rakyat untuk mengangkat martabat golongan pendidik di Malaysia.

"TPM ketinggalan zaman, Aspirasi Pakatan Rakyat seperti yang tercatat dalam buku jingga pada kovensyen kedua tempoh hari antaranya ialah mengangkat martabat guru dengan meningkatkan elaun RM500 adalah satu janji yang akan ditunaikan sekiranya Pakatan menang dan berkuasa," katanya.


Sumber: TVSNEWS

Pemimpin Umno-BN Takut Rakyat Tahu Rahsia 1 Malaysia Terdedah

Posted: 27 Dec 2010 12:25 AM PST


SHAH ALAM 27 DIS : Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pemimpin Umno-Barisan Nasional yang sebenarnya takut dan gusar dengan 1 Malaysia selepas konsep itu didakwa diciplak daripada One Israel dan didedahkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen.

Ujar Shamsul, Anwar sebagai Ketua Umum PKR merupakan Ahli Parlimen yang telah membuat keputusan atau tindakan mempertikaikan 1 Malaysia yang diciplak daripada 'One Israel' melalui syarikat perunding yang dilantik, Apco Worldwide.

"Anwar sebagai Ketua Umum PKR adalah Ahli Parlimen yang telah membuat keputusan atau tindakan mempertikaikan 1 Malaysia yang ada persamaan yang jelas dengan 'One Israel'.

"Sebab itu, kebanyakkan pimpinan Pakatan Rakyat konsisten dengan pendirian bahawa 1 Malaysia lebih kepada slogan retorik politik semata-mata dan tidak menjuruskan kepada isu pokok dalam pentadbiran atau pun yang dicakapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai slogan negara.

"Ianya lebih kepada pendekatan atau pun slogan politik pimpinan Najib hasil nasihat daripada syarikat perunding, Apco Worldwide yang mempunyai persamaan dengan 'One Israel'.

"Sebab itu kita di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat di peringkat negeri misalnya mengambil keputusan mengharamkan atau pun mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang mempromosikan slogan retorik 1 Malaysia kerana kita merasakan bahawa ianya lebih kepada politik bersifat hipokrasi.

Ujar beliau, kalau dilihat secara objektif pengisian 1 Malaysia sehingga sekarang hanyalah berbentuk kosmetik, berbentuk luaran misalan seperti Klinik 1Malaysia, Yayasan 1 Malaysia dan tidak kepada persoalan membabitkan hubungan antara kaum, kemajmukan budaya, agama dan sebagainya.

"Apabila Anwar mengambil sikap menyerang secara terbuka konsep 1 Malaysia di dalam Parlimen dengan menyatakan ia merupakan ciplakan 1 Israel atas nasihat Apco dan membelanja wang sebanyak RM77 juta, yang merasa bimbang dan gusar dengan 1 Malaysia adalah pemimpin di kalangan Umno-Barisan Nasional itu sendiri.

"Kita yakin, akhirnya yang akan memberikan kemenangan dalam pilihan raya dan keyakinan rakyat bukanlah sekadar slogan tapi pengisian yang cuba dipaparkan oleh pemimpin Umno-BN dalam konsep 1 Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pemuda Dapsy Anthony Loke berkata tidak timbul isu Pakatan Rakyat takut kepada konsep 1 Malaysia yang hanyalah merupakan retorik politik Umno-BN.

"Tidak timbul apa-apa takut kerana ini merupakan satu retorik politik iaitu 'cakap tidak serupa bikin' semata-mata untuk menunjukkan bahawa BN ini 'inclusive' untuk semua kaum tetapi hakikatnya tidak menunjukkan semangat 1 Malaysia.

"Bukan sahaja antara kaum tetapi antara wilayah atau negeri pun tidak menggambarkan 1 Malaysia seperti negeri Pakatan Rakyat yang tidak mendapat layanan daripada kerajaan Persekutuan.

"Ini merupakan satu retorik politik yang rakyat tidak akan tidak terpedaya,"ujar beliau.


Sumber: TVSNEWS

Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Belum Muktamad

Posted: 27 Dec 2010 12:20 AM PST


SHAH ALAM 27 DIS : Perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebenarnya belum muktamad,demikian satu kenyataan media dari Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor.

Ini kerana cadangan perlantikan Datuk Khusrin Munawi oleh Ketua Setiausaha Negara tidak pernah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Justeru, Menteri Besar telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklum bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan proses pemilihan bagi jawatan tersebut dengan menubuhkan sebuah panel temuduga sejajar dengan nota amalan (practice notes). Panel tersebut telah memilih tiga nama yang difikirkan sesuai untuk menjawat jawatan tersebut.

Menteri Besar kemudiannya telah menghantar tiga nama tersebut kepada DYMM Tuanku Sultan untuk mendapat perkenan. Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap DYMM Tuanku Sultan pada 29 Disember 2010.

Bernama hari ini melaporkan tentang perlantikan Mohd Khusrin, 54, sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru bagi menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatanya pada 31 Disember 2010.


Sumber: TVSNEWS

Chegu Bard Tolak Tawaran Timbalan SUA PKR

Posted: 27 Dec 2010 12:15 AM PST


PULAU PINANG 27 DIS : Calon ketua angkatan muda PKR (AMK) Badrul Hisham Shaharin yang tewas dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2010 lalu berkata beliau enggan menerima tawaran untuk dilantik ke jawatan timbalan setiausaha agung yang ditawarkan kepadanya.

Tambahnya, beliau kini masih menunggu tindakan parti itu berhubung aduan yang dibuat berkaitan pemilihan parti yang berakhir bulan lalu.

Badrul Hisham yang popular dengan jolokan Chegubard itu turut mengucapkan terima kasih kepada presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail kerana mengumumkan pelantikan beliau ke jawatan itu pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun, Badrul Hisham berkata beliau memutuskan untuk tidak menerima jawatan tersebut atas dasar prinsip.

Katanya, beliau membuat keputusan itu setelah mendengar pandangan daripada rakan dan ahli keluarganya.

Tambahnya, beliau akan terus berkhidmat walaupun tanpa apa-apa jawatan dan turut menegaskan supaya tindakan diambil terhadap aduan yang timbul berhubung pemilihan tersebut.


Sumber: TVSNEWS

Isa Samad Dilantik Pengerusi FELDA

Posted: 27 Dec 2010 12:10 AM PST


KUALA LUMPUR 27 DIS : Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini pelantikan itu dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Mohd Isa untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang dan efektif lapor Bernama.

Mohd Isa menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang dilantik sebagai Penasihat kepada Menteri yang bertanggungjawab ke atas FELDA. Pelantikan ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2011.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Yusof di atas perkhidmatan beliau menerajui FELDA bermula dari 1 Julai 2001 hingga 31 Dis 2010.

Di bawah kepimpinan Mohd Yusof, FELDA telah mengalami transformasi membanggakan serta menempa pelbagai kejayaan, sekali gus menjadi penyumbang ekonomi negara, menurut kenyataan itu.

Mohd Isa, yang menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari 1982 hingga 2004, merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden Umno.

Beliau merupakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang Negeri Sembilan. Beliau menang besar dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 11 Okt 2009 mengalahkan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi.


Sumber: TVSNEWS

Asri : Masa Depan Melayu Bukan Pada Konsep 'Ketuanan Melayu'

Posted: 27 Dec 2010 12:05 AM PST


KAJANG 27 DIS : Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan masa depan orang Melayu tidak akan terjamin jika sistem pentadbiran negara berlandaskan terus kepada 'Ketuanan Melayu'.

Sebaliknya, beliau menganjurkan agar prinsip Islam yang tidak mengagungkan bangsa dipegang agar memberi keadilan kepada semua.

"Yang boleh selamatkan orang Melayu bukan Ketuanan Melayu, bukan Raja-raja Melayu tetapi adalah Allah s.w.t.Jadi, kita perlu berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam yang mana Islam untuk semua sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.

Beliau menyatakan demikian ketika berhujah dalam Forum Polemik Ketuanan Melayu di Dewan Majlis Perbandaran Kajang di sini malam tadi.

Forum yang anjuran PAS itu adalah bagi membincangkan polemik dan penggunaan politik ketuanan Melayu turut disertai Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad, Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabky Yusof dan Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ezaruddin Abdul Rahman.

Menurut Asri seseorang perlu menjawab apabila dikatakan berjuang dengan istilah Ketuanan Melayu tanpa deifinisi sebenar.

Malah beliau menganjurkan agar istilah 'Ketuanan Melayu' ditukar bagi mengelak salah faham dan timbul rasa mulia di kalangan orang berbangsa Melayu sendiri.

"Jika seseorang itu kata dia berjuang kerana Ketuanan Melayu, dia kena jelaskan perkataan Ketuanan Melayu ini, apa yang dipertahankan dan diperjuangkan melalui istilah ini? Adakah ia bermaksud hak keistimewaan orang Melayu atau ada maksud lain? Adakah hak keistimewaan orang Melayu ini menggunakan istilah ini (Ketuanan Melayu)?."

Istilah Ketuanan Melayu dipercayai mula timbul setelah UMNO mula menggunakannya untuk meraih sokongan orang melayu pada pilihan raya umum yang lalu setelah kehilangan majoriti dua pertiga.

Ketiga-tiga ahli panel lain turut bersetuju bahawa istilah ini sebenarnya kabur dan hanya timbul kerana gegaran politik dan bukannnya wujud pada zaman kemerdekaan.Dr Hassan bagaimanapun menjelaskan betapa tidak tepat definisi ketuanan Melayu sebagai Malay Supremacy kerana ia membawa maksud berlainan.

"Ketuanan Melayu bukan isu, ia bukan sesuatu yang harus diperdebatkan, ia cuma gegaran politik...Ketuanan Melayu ini hanya propaganda yang berlaku selepas pilihan raya 2008 yang mana pola pengundian ketika itu bersifat perkauman.

Sementara itu, Ezaruddin juga berpendapat polemik Ketuanan Melayu juga sekadar 'gegaran politik' yang dimainkan untuk meraih sokongan.

"Ini satu gegaran politik sahaja, ia dimainkan golongan tertentu untuk meraih sokongan..Tiada maksud Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan tetapi ia diguna pakai oleh ahli politik, jadi saya harap tafsiran ini perlu diperjelaskan supaya tiada mazhab yang berbeza-beza," katanya.


Sumber: TVSNEWS

Khusrin SUK Selangor Baru

Posted: 27 Dec 2010 12:00 AM PST


KUALA LUMPUR 27 DIS : Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohd Khusrin Munawi dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, berkuatkuasa 1 Januari.

Menurut laporan Bernama Mohd Khusrin, 54, menggantikan Datuk Ramli Mahmud, 56, yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Dis, demikian diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Sidek, Mohd Khusrin, berkelulusan ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Pengurusan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, pernah menyandang jawatan Yang Dipertua Majlis Daerah Kajang dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat.

Ramli, yang sebelum ini menjadi Datuk Bandar Shah Alam dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 31 tahun.

Tempat Mohd Khusrin di Jabatan Agama Islam Selangor akan diambil alih oleh Pegawai Daerah Sabak Bernam Marzuki Hussin, 56, juga mulai 1 Januari.

Pelantikan Mohd Khusrin dan Marzuki telah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Mohd Sidek.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: