Ahad, 12 Disember 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Raja Petra namakan peguam Malik calon sulung PRU13 ‘Third force’

Posted: 12 Dec 2010 09:49 PM PST

Raja Petra Kamarudin mengumumkan pemilihan Malik Imtiaz Sarwar sebagai bakal calon sulung gerakan 'third force' untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
KUALA LUMPUR, 13 Dis — Editor kontroversial Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang baru-baru ini membantu mewujudkan barisan 'third force' menjelang pilihan raya umum ke-13 untuk membetulkan sistem politik, yang menurutnya "sudah rosak", semalam mengumumkan bakal 'calon' sulungnya.

Raja Petra yang berada di luar negara, dalam apa yang dikatakan sebagai keputusan pembuangan negara kendiri, malam tadi menamakan aktivis hak asasi manusia terkenal Malik Imtiaz Sarwar sebagai calon pertama Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM) untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Beliau mengumumkan pemilihan Malik menerusi siaran Internet yang dibawa dari London.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Malik juga mengesahkan perkara itu.

"Ya, saya dipilih. Saya terima. (Saya) akan menjelaskan dalam satu dua hari ini," kata beliau menerusi respons SMS kepada The Malaysian Insider sejurus selepas pengumuman oleh Raja Petra.

Malik terkenal dalam kes Lina Joy, yang memutuskan untuk keluar Islam dan kembali sebagai penganut Kristian.

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) ini juga mewakili Raja Petra yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua tahun lalu.

Kes itu membawa Malik memenangi anugerah Bindmans Law Award bagi tahun 2009, yang diberikan oleh majalah hak asasi manusia berpejabat di Britain.

Malik juga bergiat aktif dalam pertubuhan-pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan untuk mendesak agar ISA dikaji balik dan undang-undang itu dimansuhkan lalu digantikan dengan undang-undang yang lebih baik.

Beliau juga bertindak bagi pihak kerajaan negeri Selangor dalam inkues kematian Teoh Beng Hock.

Isu barisan 'third force' juga menjadi perhatian ketika Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan lalu.

PKR merupakan salah satu komponen gabungan Pakatan Rakyat yang dibentuk April 2008.

Raja Petra juga berkata, calon-calon susulan MCLM akan diumumkan di Kuala Lumpur pada 19 Disember ini.

Pakatan Rakyat juga akan mengadakan konvensyen mereka yang kedua di Pulau Pinang pada tarikh tersebut.

Dalam program dua jam yang menarik 180 pengunjung atas talian, Raja Petra yang lazimnya melahirkan pendirian tegas dan lantang terhadap parti pemerintah berkata, gerakan 'third force' bukan satu inisiatif untuk bersaing dengan parti-parti politik yang ada sekarang, tetapi mahu menyediakan mereka calon-calon yang profesional dan beretika untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau percaya bahawa langkah itu akan membantu memperbaharui proses penggubalan undang-undang kelak.

"Matlamat kami bukan untuk memenangi pilihan raya semata-mata, tetapi melakukan pembaharuan ke atas sistem politik," kata beliau yang turut melahirkan kekecewaannya ke atas anggota perundangan semasa yang telah lupa peranan mereka sebagai wakil rakyat, sebaliknya lebih fokus untuk terlibat dalam permainan politik.

"Agenda kami ialah mahu melihat kemunculan sistem dua parti, di mana kedua-dua parti boleh bersaing (berpadan) antara satu sama lain," katanya lagi.

Raja Petra juga mendakwa bekas menteri kerajaan pusat Tan Sri Sanusi Junid juga ada memberitahunya bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai idea yang sama untuk meletakkan calon-calon Bebas daripada kalangan profesional badan-badan masyarakat madani.

Raja Petra juga mendedahkan rancangan MCLM mahu mengeluarkan akhbar bahasa Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif calon Bebas untuk mendampingi pengundi-pengundi kawasan luar bandar.

Bagaimanapun beliau tidak memberikan butirannya.

Beliau juga membidas akhbar Harakah, Rocket dan Suara Keadilan hanya bertindak sebagai risalah parti politik.

Sehubungan itu katanya, di beberapa kawasan di Selangor, sesetengah orang masih beranggapan bahawa Datuk Seri Dr Khir Toyo menyandang jawatan Menteri Besar walaupun negeri itu sudah diambil alih oleh Pakatan Rakyat pada 2008.

MCLM ditubuhkan Oktober lalu oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang tinggal di London.

Raja Petra merupakan pengerusinya manakala peguam dan juga blogger, Haris Ibrahim pula presidennya yang mengendalikan operasi dari sebelah Malaysia.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperoleh dengan akses laman web http://mclm.org.uk.


Sumber: The Malaysian Insider

BN naik harga barang untuk dana PRU

Posted: 12 Dec 2010 09:39 PM PST


KUALA LUMPUR, 13 Dis: Dewan Pemuda PAS Pusat mendakwa keputusan kerajaan menaikkan harga empat barangan keperluan baru-baru ini adalah bertujuan mengutip dana pilihan raya untuk Umno BN.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, Umno kini terdesak apabila beberapa negeri yang sebelum ini menjadi 'lubuk emas' mereka, kini diteraju Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Mac 2008 lalu.

"Apa yang kita bimbang, kerajaan Umno BN menggunakan peluang ini untuk mengumpul dana pilihan raya.

"Apakah dengan kehilangan empat buah negeri pada PRU lalu, mereka hilang punca pendapatan sehingga terpaksa naikkan harga barang secara melulu, biarpun berdepan kemarahan rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian terhadap tindakan kerajaan menaikkan harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG) dan gula baru-baru ini.

Katanya, rakyat tidak boleh menerima kenaikan mendadak tersebut apatah lagi Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dunia dan sewajarnya rakyat negara ini tidak dibebankan dengan kenaikan tersebut.

Lebih malang, rakyat katanya seperti dihukum akibat sikap boros kerajaan termasuk membelanjakan wang yang besar untuk projek mega yang tiada kesan langsung kepada rakyat.

"Negara sepatutnya mempunyai dana tampungan, agar rakyat tidak dibebankan.

"Kenaikkan ini akan menjejaskan potensi rakyat untuk hidup selesa," katanya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS akan mengadakan kempen kesedaran kepada rakyat, jam 5 petang, 18 Disember ini di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Selain bertemu masyarakat, mereka juga akan mengedarkan risalah berhubung isu itu.

Akibat kenaikkan terbaru itu, petrol RON95, kini menjadikan RM1.90 seliter berbanding RM1.85 sebelum ini.

Harga diesel juga naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.

Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.


Sumber: Harakah Daily

Kes Anwar: Pendedahan WikiLeaks 'Sub judice', Kata Peguambela

Posted: 12 Dec 2010 09:38 PM PST


KUALA LUMPUR 13 DIS : Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran pendedahan Kabel diplomatik Amerika Syarikat berkenaan kes fitnah 2 boleh dianggap 'sub judice'.

Lapor portal The Malaysian Insider , Peguam Sankara Nair berkata, beliau dan peguam utama pasukan pembela Karpal Singh telah mengadakan perbincangan awal berhubung pendedahan WikiLeaks berhubung maklumat ejen-ejen risikan yang mempercayai bahawa kejadian melibatkan Anwar adalah sesuatu yang "diperangkap", tetapi Ketua Pembangkang itu telah "memasuki" perangkap tersebut.

"Saya telah mengadakan perbincangan dengan rakan saya Karpal Singh berhubung perkara ini. Satu perkara, kami merasakan bahawa sebenarnya adalah 'sub judice' jika membawa berita-berita (seperti) ini kerana ia boleh memberi kesan ke atas integriti perbicaraan.

"Jika anda melihat dengan betul-betul, berita itu diterbitkan menerusi pihak ketiga. Dalam bidang perundangan, ia hanya cakap-cakap melainkan ia dibuktikan sebaliknya," kata beliau.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Kes itu sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan disambung bulan depan.

Tuduhan kali pertama dikenakan sedekad yang lalu, selepas beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Sankara berkata, beliau perlu berunding dengan Anwar terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Pagi semalam, sebaik sahaja berita mengenainya disiarkan, Anwar menggunakan Twitter untuk mengetepikan pendedahan WikiLeaks bahawa perisikan Australia percaya beliau terlibat dalam kes liwat keduanya, dengan mengatakan sumbernya sudah pasti Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia.

Ketua Pembangkang ini tidak membalas panggilan telefon The Malaysian Insider untuk mengulas laporan akhbar Australia, The Sun-Herald tetapi memberikan respons menerusi akaun Twitter apabila ditanya oleh beberapa pengikutnya.

"Sumber? Polis SB Malaysia. Bukti tak ada," kata Anwar.

Dalam respons terdahulu, bekas timbalan perdana menteri itu berkata, "sumber? SB Malaysia ha ha."

Pendedahan WikiLeaks mendominasi aliran mesej Twitter di Malaysia hari ini dengan ahli-ahli politik dari Barisan Nasional (BN) dan pengikutnya memberikan respons ke atas pendedahan terbaru ini.

Sankara juga berkata, kenyataan Anwar itu bukan sesuatu yang tidak standard kerana laporan risikan tidak boleh digunakan sebagai asas berita atau maklumat, malah fakta-fakta dalam laporan ini lazimnya boleh mengelirukan atau tidak benar sama sekali.

"Saya sebahagian daripada (pernah berada dalam) cawangan itu (khas polis), saya tahu mengenainya. Perkara terakhir anda lakukan ialah percaya pada laporan risikan, anda tidak boleh membuat dakwaan begitu sahaja, melakukan sedemikian satu tindakan meneka dan cakap-cakap sahaja," kata Sankara.

"Seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah," tambah Sankara.

Peguam itu berkata, hakim perbicaraan kes liwat kedua ini Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah mempunyai kuasa untuk memanggil pertubuhan berita tempatan yang melaporkan pendedahan itu dan memberikan mereka surat tunjuk sebab.

"Hakim boleh memanggil akhbar-akhbar (media terbabit) dan boleh meminta mereka menjelaskan mengapa mereka menulis berita itu, dan di mana buktinya. "Situasti di sini sama seperti kes Utusan di peringkat perbicaraan," kata beliau.

"Kami mahu mengelakkan perkara-perkara tidak berasas terhadap anak guaman kami ketika perbicaraan ini. Ia menjejaskan isu," kata Sankara.

Lewat petang semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata pihaknya memandang serius cubaan memanipulasikan maklumat didedahkan WikiLeaks mengenai komen-komen bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew and agensi perisikan negara tersebut berkenaan kes liwat Anwar.

Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya.

"WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai.

"Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan antara ahli-ahli diplomat.

"Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee dan agensi perisikan negara itu," katanya.

The Sun-Herald dalam laporannya kelmarin berkata, pendedahan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat menunujukkan pegawai-pegawai risikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa Anwar terlibat dalam perbuatan yang dikenakan tuduhan itu - tindakan yang beliau menafikan sama sekali.

"Jabatan Risikan Kebangsaan Australia juga mengatakan bahawa kelakuan itu adalah akibat perangkap oleh musuh-musuh Dr Anwar," lapor akhbar itu, yang merupakan sebahagian daripada produk kumpulan Sydney Morning Herald.

Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.

Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.

Menurut akhbar itu, kabel melibatkan kedudukan Anwar merupakan salah satu daripada beberapa kandungan yang mendedahkan pandangan mengejutkan pegawai-pegawai kanan Singapura termasuk dakwaan bahawa "Malaysia berada dalam keadaan terkeliru dan bahasa ekoran ahli-ahli politik yang tidak kompeten."

Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.

Ia menyebut, "Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau didakwa sekarang."

Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.

"ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat," kata kabel itu.


Sumber: Suara Keadilan

Nik Aziz Kini Dirawat Di HUSM Akibat Masalah Pinggang

Posted: 12 Dec 2010 09:35 PM PST


KOTA BAHARU 13 DIS : Menteri Besar Kelantan Datuk Nik AbdulAziz Nik Mat kini menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana masalah pinggang.

Anaknya Nik Omar berkata Murysidul Am PAS itu dirawat di hospital itu sejak Jumaat lepas setelah dinasihatkan pakar perubatan pada Rabu.

"Ayah saya telah menjalani pemeriksaan untuk pinggangnya dan atas nasihat doktor dia menjalankan pemeriksaan terperinci.

"Saya tidak tahu bila ayah akan dibenarkan keluar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Nik Omar berkata masalah pinggang itu dihidapi ayahnya sejak sekian lama selepas terjatuh dari kuda. Menteri Besar Kelantan berusia 79 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan baik.

BERNAMA

Fitnah Liwat Terhadap Anwar, Pendapat Peribadi Pemimpin Singapura Yang Disensasikan

Posted: 12 Dec 2010 09:32 PM PST


PETALING JAYA 13 DIS Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius cubaan memanipulasikan maklumat yang didedahkan oleh laman web Wikileaks mengenai komen-komen bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew dan agensi perisikan negara tersebut berkenaan fitnah sodomi yang dilemparkan terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya yang dikeluarkan malam tadi berkata pertamanya, rakyat perlu memahami kaedah operasi dan fungsi Wikileaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterimapakai.

"Wikileaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai. Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan di antara ahli-ahli diplomat.

"Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee Kuan Yew and agensi perisikan negara itu.

"Laporan The Sydney Morning Herald ditulis berdasarkan catatan pendapat peribadi ahli diplomat Singapura mengenai jiran serantau di dalam ASEAN, Jepun, China dan India," jelas beliau.

Saifuddin menjelaskan untuk memahami dengan lebih dekat bahawa catatan tersebut adalah pendapat peribadi mereka yang disensasikan, rakyat perlu juga meneliti secara keseluruhan maklumat-maklumat lain yang turut didedahkan oleh Wikileaks yang terkandung di dalam kabel yang sama merakamkan pandangan peribadi pegawai-pegawai diplomatik Singapura:

Bilahari Kausikan

Menurut satu kabel yang merakamkan satu mesyuarat pada September 2008, Kausikan memberitahu Timbalan Setiausaha Pertahanan AS David Sedney bahawa "ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia" yang akan menyebabkan orang Cina "meninggalkan" Malaysia dan "menyusahkan" Singapura.

Mengenai kepimpinan Barisan Nasional pula, kata beliau: "Masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa. Najib Razak perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa", secara jelas mengaitkan Perdana Menteri dengan skandal pembunuhan perempuan Mongolia Altantuya Sharibu. Dia mengulangi pendapatnya bahawa "Najib Razak terancam disebabkan kes pembunuhan itu".

"Dia juga memanggil bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra seorang yang mengamalkan "rasuah", "sama seperti yang lain termasuklah pembangkang di Thailand". Ujarnya dalam kabel itu lagi, Thaksin "membuat kesilapan berbuat baik dengan Putera Mahkota Thailand apabila Thaksin membayar hutang judi putera itu". Katanya , putera itu "tidak keruan dan sangat mudah dipengaruhi".

"Komen-komen yang lain termasuklah kenyataan beliau "lebih selesa dengan Korea Utara sebagai kuasa nuklear berbanding jika Iran mempunyai senjata nuklear". Beliau juga mengkritik Russia, yang menurutnya "berekonomi dunia ketiga dan sistem kesihatan Russia pula kucar-kacir"," ujar beliau.

Saifuddin juga mengungkap:

Peter Ho

Dalam Mac 2008, En Ho mengutuk mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad kerana "membaling batu" kepada penggantinya, Tun Abdullah Badawi. Komennya terhadap Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin adalah lebih kasar.

Menurutnya, "Khairy Jamaludin akan ditikam di dalam Umno kerana tiada orang yang sukakannya (Khairy) kerana Khairy naik dalam politik akibat pertalian keluarga".

Seperti juga rakan sekerjanya, En Ho mengulangi tuduhan yang mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan Altantuya Sharibu. Katanya, "Najib adalah seorang yang suka mengambil kesempatan. Walaupun setakat ini dia masih belum mengkritik Singapura, dia tidak teragak-agak sekiranya tindakan itu menguntungkannya. Masa depan politik Najib akan terus dihantui oleh skandal pembunuhan (Altantuya)".

En Tommy Koh

Seorang lagi diplomat kanan Singapura yang dipetik oleh kabel yang didedahkan oleh Wikileaks itu mengkritik negara-negara lain yang ada pengaruh di rantau ini, dalam catatan mesyuarat dalam bulan September 2009.

Dia menggelarkan Jepun sebagai "orang gemuk yang kalah dan merajuk" apabila membandingkan hubungan China dan ASEAN yang makin rancak. Dia juga menyalahkan keadaan itu kepada "kepimpinan Jepun yang bodoh, lemah dan tidak ada wawasan".

"Pandangannya terhadap India juga buruk, melalui gambarannya bahawa "kawan India yang bodoh dan teragak-agak untuk berkecimpung dengan ASEAN".

"Justeru, kabel sulit yang mengandungi pandangan peribadi Lee Kuan Yew dan perisikan Singapura mengenai fitnah terhadap YB Dato' Seri Anwar Ibrahim perlu dilihat di dalam konteks yang sama dan sebetulnya, iaitu komen-komen peribadi yang menghina semua pihak di Malaysia tanpa mengira parti dan latar belakang.

"PKR mengulangi pendirian parti bahawa pandangan-pandangan tersebut, walaupun terkandung di dalam kabel sulit diplomatik yang dibocorkan oleh Wikileaks, adalah pandangan peribadi individu-individu tersebut yang tidak disokong oleh fakta. Untuk berlaku adil kepada semua pihak, komen-komen itu perlu dianggap sebagai cakap-cakap kosong dan pendapat peribadi mereka.

"Jika tidak, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak sendiri yang perlu berhempas pulas menjawab dakwaan demi dakwaan yang terkandung di dalam kabel sulit yang sama; yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Saifuddin berkata rakyat perlu kembali kepada perkara pokok yang meruntun negara dan rakyat iaitu integriti sistem kehakiman yang dinodai sehingga menidakkan keadilan.

Ini dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya Anwar diberikan ruang sepenuhnya membela diri tanpa manipulasi atau campur tangan politik; agar beliau mendapat perbicaraan yang adil dan telus.

"Fitnah terhadap beliau dan keluarga telah mengheret seluruh negara ini diselubungi igauan sejak tahun 1998 lagi. Igauan tersebut boleh dihentikan sekiranya integriti dan kredibiliti institusi kehakiman dipulihkan.

"Makanya, PKR akan mengalu-alukan mana-mana maklumat (sulit atau tidak) dari mana-mana pihak yang boleh menegakkan kebenaran, asalkan maklumat itu adalah tepat dan berasaskan fakta. Malangnya, komen-komen yang terkandung di dalam kabel sulit yang dibocorkan itu tidak lebih dari maki hamun terhadap semua perkara yang bukan Singapura, bertepatan dengan rekod hubungan diplomat," tegas Saifuddin lagi.

Saifuddin menjawab laporan akhbar mingguan Australia, Sun-Herald semalam bahawa badan perisikan Singapura mendedahkan kepada pihak inteligen Australia bahawa Anwar terlibat dalam perbuatan yang dikenakan tuduhan itu yang telah dinafikan sekeras-kerasnya oleh beliau.


Sumber: TVSNEWS

Tun Razak BUKAN Pengasas Felda

Posted: 12 Dec 2010 09:31 PM PST

feldaKUALA LUMPUR 13 Dis - 29 juta rakyat Malaysia khususnya 22,000 kakitangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara dan 3 juta ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno Baru) tentunya akan merasa amat terkejut dan sukar menerima fakta ini - Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Tun Abdul Razak Hussein BUKAN pengasas Felda.

Selama lebih 50 tahun, Umno telah menipu rakyat negara ini dengan menyelewengkan sejarah sebenar penubuhan Felda dengan mengatakan agensi tersebut telah ditubuhkan oleh Abdul Razak, Bapa Pembangunan Malaysia dan juga ayah kepada Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Mohd Najib dan dengan hujah kaitan itu maka Umnolah yang berperanan besar menubuhkannya.

Malah Najib menggunakan alasan ini untuk meletakkan Felda di bawah jagaannya setelah beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2004.

Najib juga pernah menyatakan seolah-olah beliau mewarisi tanggungjawab untuk membela peneroka Felda dari ayahnya.

Semalam semasa merasmikan majlis penutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010 di Putrajaya, Najib melabelkan pihak yang mendakwa Felda bankrap sebagai pengkhianat bangsa.

Sebelum ini lidah rasmi Parti Keadilan Rayat, Suara Keadilan di saman sebanyak RN200 juta oleh Felda berhubung artikel 'Felda Bankrap' yang disiarkan dalam akhbar itu Mei lalu.

Susulan itu juga Kementerian Dalam Negeri enggan memperbaharui permit penerbitannbya apabila ia tamat tempoh pada 30 Jun lepas.

Penyelidikan Suara Keadilan membongkarkan idea asal penubuhan Felda sebenarnya datangnya daripada penjajah Inggeris di Malaya ketika itu.

Menurut pakar perlembagaan, Dr Samarudin Md Rejab, Felda diwujudkan oleh penjajah Inggeris sebagai satu strategi untuk mengekang pengaruh fahaman komunis dikalangan masyarakat Melayu sebagaimana skim kampung baru (new village) dilaksanakan bagi mengawal ketat anasir komunis daripada menyusup masuk ke dalam masyarakat Cina.DRS

"Dasar awal berkaitan dengan idea perlaksanaan skim penempatan lebih menjurus kepada isu pemberontakan dan pengawalan. Ia digunakan sebagai satu instrumen melawan pemberontakan melalui kewujudan kampung baru dan lain-lain tanah rancangan yang sama. skim tanah rancangan tidak ada bezanya dengan kerangka asas ini, malah ia menjadi idea untuk meluaskan penempatan di kawasan hutan yang belum diterokai atas tema pembangunan ekonomi dan tanah.

"Sejak mula dasar ini diterimapakai, sebahagian besar daripada peranan membangunkan tanah dan penempatan semula populasi dimonopoli oleh
FLDA," kata Dr Samarudin.

Perkara ini didedahkan dalam artikel penyelidikan beliau bertajuk "Evolution Of Policies Affecting Land Settlement Schemes In Malaysia" yang disiarkan dalam jurnal Akademika, Bil. 12 keluaran Januari 1978.

Artikel tersebut menjadi sebahagian daripada tesis sarjana beliau ketika Dr Samarudin bertugas sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel itu menyebut susulan daripada laporan "International Bank for Reconstruction and Development Mission" pada 1954, kerajaan kolonial Inggeris telah menggubal Rancangan Malaya Pertama (RMP) (1956-1960) yang telah dilaksanakan selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Didalam RMP telah dinyatakan cadangan berhubung mewujudkan skim tanah rancangan.

"Satu altenatif yang kita fikirkan ialah mengadaptasi skim penanaman kapas Gezira di Sudan...sebuah skim dirancangkan seperti ini menjamin kelebihan pengurusan penanaman secara efisien dan pemasaran secara besar-besaran dan pada masa yang sama mengelakkan terjerumus dalam kelemahan sistem perladangan. Adalah jelas modifikasi terhadap skim penanaman kapas di Sudan adalah perlu untuk disesuaikan dengan penanaman padi dan lain-lain skim di Malaya. 'Mission' bagaimanapun yakin bahawa skim rancangan seperti ini wajar untuk dipertimbangkan," menurut laporan bank tersebut.

Selepas beberapa siri perbincangan mendalam, Ordinan Persekutuan (Federal Ordinance) telah digubal pada julai 1956 untuk menggerak skim tanah rancangan sebagai satu dasar kerajaan.

Satu jawatankuasa (Working Party) telah ditubuhkan untuk mengalas tanggungjawab ini dengan mengambil kira antara lain keperluan bantuan daripada kerajaan bagi membangunkan tanah rancangan di negeri-negeri serta mengkaji aspek kewangan dan pentadbiran orginasasi yang paling sesuai untuk melaksanakannya.

"Kajian jawatankuasa tersebut mendapati keperluan yang mendesak dan oleh itu ia mencadangkan penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FLDA) sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk membuka tanah rancangan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956.

"Objektif utama FLDA ialah memudahkan pembangunan dan rancangan kawasan baru, menyediakan pengurusan dan pemantauan komuniti baru di tanah rancangan, menyediakan kemudahan asas dan memastikan pembangunan lestari tanah rancangan," kata Dr Samarudin dalam artikelnya.

Hasilnya, projek tanah rancangan Lembah Bilut di Pahang menjadi realiti pada 1958.

RMP mensasarkan sebanyak 36 tanah rancangan yang meliputi kawasan penanaman getah seluas 150,000 ekar dengan 14,000 keluarga namun FLDA hanya mampu melaksanakan 25 tanah rancangan yang menempatkan 1,694 keluarga di atas tanah seluas 19,600 ekar.

Ketika dihubungi Dr Samarudin berkata berdasarkan kajian beliau 32 tahun dahulu, Najib mahupun Umno tidak lagi boleh membuat klaim bahawa Felda diasaskan oleh ayahnya atau pun Umno sebagai pencipta idea penubuhan agensi itu.

"Kita mesti ingat ketika idea Felda dicetuskan negara masih di bawah penjajahan Inggeris. Tun Razak ketika itu pun bukan Menteri yang menjaga hal ehwal Felda," jelas Dr Samarudin.

Abdul Razak bertanding dalam pilihan raya pertama negara pada 1955 dan kemudian dilantik sebagai Menteri Pelajaran.Tun_Razak_

Selepas pilihan raya 1959 barulah beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar, tiga tahun setelah idea penubuhan Felda diilhamkan oleh Rancangan Malaya Pertama dan hampir dua tahun setelah perlaksanaan skim tanah rancangan Lembah Bilut.

Bagaimana pun beliau memainkan peranan penting dalam mengembangkan skim rancangan Felda keseluruh negara sehingga beliau meninggal dunia pada 14 Januari 1976 pada usia 53 tahun.

Felda mengalami penurunan rizab tunai sebanyak RM2.37 semenjak agensi itu diletakkan di bawah pengawasan Najib dari tahun 2004 hingga 2009.

Sumber: Suara Keadilan

Hormati Perjanjian 1963, Pakatan Rakyat Janji Autonomi Penuh Kepada Sarawak

Posted: 12 Dec 2010 09:30 PM PST

aa_swakKUALA LUMPUR 13 Dis - Timbalan Presiden parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Azmin Ali berjanji Sarawak akan diberikan kuasa autonomi sepenuh sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Berucap di hadapan lebih 300 penyokong Pakatan Rakyat pada majlis makan malam di Bintulu semalam, Azmin berkata ini berdasarkan kepada perjanjian 18 perkara yang ditandatangani oleh Sabah dan Sarawak pada 1963 ketika bersetuju menganggotai gagasan Persekutuan Malaysia.

"Sabah and Sarawak tidak menyertai Malaysia. Sabah dan Sarawak yang menwujudkan Malaysia bersama-sama negeri-negeri bersekutu Malaya," kata Ahli Parlimen Gombak itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sarawak, Baru Bian hari ini.

Azmin juga membidas kepimpinan Barisan Nasional Sarawak yang didakwa bergelumang dengan budaya rasuah dan kronisme.

Beliau mencabar Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud agar membubarkan Dewan Undangan Negeri dengan serta merta jika BN yakin rakyat menyokongnya pada pilihan raya negeri nanti.

"Saya, Azmin, akan mempertahankan Sarawak dan akan berjuang untuk rakyat Sarawak. Agi idup agi ngelaban! (Selagi hidup, selagi itu berharap!)" said Azmin.

Baru Bian berkata kenyataan Azmin menghantar mesej jelas kepada rakyat Sarawak mengenai komitmen KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

"Ini satu janji yang komited daripada KEADILAN untuk memperbetulkan segala kepincangan yang dilakukan oleh serta mengembalikan kehormatan dan maruah yang dipersetujui oleh pejuang kemerdekaan Sarawak 47 tahun dulu.

"Selama ini parti tempatan Sarawak mendabik dada mampu memenuhi kehendak dan keperluan rakyat Sarawak.

"Komitmen yang diberikan Azmin dengan jelas menunjukkan KEADILAN pada peringkat pusat memahami isu negeri dan mengambil langkah untuk memenuhi hasrat terbesar rakyat Sarawak iaitu autonomi penuh," kata beliau dalam kenyataanya.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: