|  Umno-BN Takut Kuasa Mahasiswa Tahan Tiga Pemimpin Pelajar   Posted: 10 Dec 2010 12:05 AM PST  PUTRAJAYA  10 Dis - Tidak mampu berdepan dengan desakan golongan mahasiswa yang  membantah kenaikan harga minyak, gas dan gula, kerajaan Umno-BN  bertindak menangkap tiga daripada kira-kira 100 pelajar universiti yang  berhimpun di depan Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan memorandum  kepada Datuk Seri Najib Razak tengahari tadi. 
 Setiausaha  Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohd Ridzuan Othman, pemimpin  Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Shukri Abdul Razak,  serta pelajar Universiti Malaya, Mohd Shahruldeen Ahmad Rosli ditahan  selepas mereka menyertai perhimpunan di luar Masjid Putrajaya menuju ke  Jabatan Perdana Menteri (JPM).
 
 Sambil memakai pakaian serba hitam  kumpulan pelajat tersebut melaungkan slogan "Kuasa Mahasiswa" ketika  berkumpul di hadapan masjid di Putrajaya itu.
 
 Pihak polis bagaimanapun memberi amaran supaya mereka bersurai atau mengambil risiko ditangkap.
 
 Bagaimanapun setelah berunding pihak polis membenarkan lima wakil pelajar menuju ke JPM untuk menyerahkan memorandum mereka.
 
 Golongan  mahasiswa membantah serta merasa kesal terhadap tindakan kerajaan  Umno-BN yang menaikkan harga 4 dalam 1 barangan keperluan rakyat minggu  lalu.
 
 Mereka mendesak gaji menteri disemak semula dan dikurangkan  bagi mengurangkan kos pengurusan dan perkhidmatan awam serta menuntut  dikembalikan semula subsidi barangan yang telah dipotong termasuk  penurunan harga barangan asas.
 
 Memorandum diserahkan oleh presiden Gamis Ahmad Syazwan Hassan kepada wakil JPM Datuk Abdul Moin Omar.
 
 Kenaikan  itu melibatkan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 5 sen menjadi  RM1.90, diesel naik 5 sen menjadi RM1.80 sen, gas pula naik 5 sen  menjadi RM1.90 sen sekilogram dan gula juga naik 20 sen menjadi RM2.10  sen.
 
 Ridzuan ditahan ketika meminta kebenaran berucap setelah menyerahkan memorandum tersebut pada kira-kira pukul 2.15 petang.
 
 Ridzuan dan Shukri di bawa ke ibu pejabat polis (IPD) Putrajaya sementara Mohd Shahruldeen ditahan di hadapan IPD Putrajaya.
 
 Sumber: Suara Keadilan
 | 
  |  Pemilihan 'Satu Anggota Satu Undi' Hasilkan Pimpinan Berkaliber, Kurangkan Politik Wang   Posted: 10 Dec 2010 12:00 AM PST  PETALING  JAYA 10 Dis - Keputusan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk  melaksanakan sistem 'satu anggota satu undi' dalam Pemilihan 2010 adalah  langkah yang tepat yang telah menghasilkan barisan pimpinan yang  berkualiti serta mengurangkan risiko berleluasanya buadaya politik wang  seperti parti politik lain di negara ini. 
 Demi membuktikan  KEADILAN sebagai sebuah parti masa depan sisten tersebut diteruskan  walaupun  berdepan dengan persaingan yang berpanjangan untuk merebut  pelbagai jawatan dalam parti.
 
 Pengarah Komunikasi KEADILAN Nik  Nazmi Nik Ahmad berkata parti mengambil risiko ini sekarang meskipun  wujud kemungkinan persepsi negatif pengundi selepas kempen serangan  Umno-BN untuk memanipulasi pemilihan.
 
 "Sebelum in, KEADILAN telah  membuat satu lagi keputusan berani. Pada tahun 1999, konsep parti  pelbagai kaum yang benar-benar mewakili semua rakyat Malaysia dilihat  berisiko, namun KEADILAN tetap istiqamah dan pendekatan ini menyumbang  kepada kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan pembentukan Pakatan  Rakyat.
 
 "Keputusan melalui proses pemilihan langsung telah  terbukti keputusan yang baik apabila lebih ramai pimpinan wanita dan  muda mendapat tempat di peringkat nasional dan cabang seluruh negara.
 
 "Kami  yakin dengan kematangan rakyat dan KEADILAN mempunyai kebolehan untuk  bertindak berdasarkan kematangan ini," kata Nik Nazmi dalam kenyataannya  hari ini.
 
 Beliau berkata demikian sebagai respons kepada  soalselidik yang baru dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan  Raya UM yang menyatakan terdapat kesan negatif hasil daripada proses  pemilihan parti yang berlangsung baru-baru ini.
 
 "Sebenarnya hasil  kajian soalselidik itu yang dijalankan menjelang pemilihan parti telah  dibentangkan kepada pimpinan KEADILAN beberapa minggu sebelum  disampaikan kepada media.
 
 "KEADILAN merupakan parti yang memimpin budaya politik baru di Malaysia.
 
 "Kekuatan  KEADILAN datangnya daripada rakyat dan kami akan terus berusaha untuk  terus memantapkan KEADILAN agar rakyat Malaysia mendapat parti politik  yang terbaik. Justeru kami mengalu-alukan sebarang kritikan membina dan  pandangan dengan hati yang terbuka.
 
 "KEADILAN akan memulakan  siri kempen di peringkat nasional untuk kembali menengahkan keadilan  sosial dan permasalahan rakyat dalam wacana politik Malaysia," jelas  beliau lagi.
 
 Sumber: Suara Keadilan
 | 
 
  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan