Khamis, 16 Disember 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Novel Interlok Sasterawan Negara diHARAMKAN?

Posted: 15 Dec 2010 07:37 PM PST



Novel ini telah memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel 10 Tahun Merdeka pada tahun 1967. Novel ini memaparkan tema integrasi kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang diwakili oleh tiga keluarga yang berusaha menjalani hidup bersama-sama sebagai rakyat negara yang merdeka dan berdaulat.

Abdullah Hussain, Sasterawan Negara yang kelapan, merupakan pengarang dan penterjemah yang banyak menghasilkan karya dalam bidang kesusasteraan. Beliau dilahirkan di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah dalam tahun 1920.

Beliau pernah bekerja sebagai kerani, pedagang dan wartawan. Beliau menulis cerpen, sajak, novel, drama, biografi, esei-esei tentang politik, bahasa, agama, filem dan tokoh-tokoh dunia. Antara novel beliau yang telah diterbitkan ialah Terjebak; Peristiwa; Rantau Selamat; Kuala Lumpur Kita Punya; Imam; dan Dan Malam, Apabila Ia Berlalu."

Edisi Khas Sasterawan Negara : Interlok
Penulis: Abdullah Hussain , Penerbit: DBP
Tahun Terbitan: 2008 , Harga Buku: RM21.00
http://www.dawama.com/index.php?ch=11&pg=381&ac=13059

BUKU TEKS SASTERA DITARIK BALIK

Berita Harian 16 Dis 2010

KUALA LUMPUR: Buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia yang akan digunakan pelajar Tingkatan Lima sekolah menengah tahun depan bakal ditarik balik berikutan dakwaan kandungannya menyentuh sensitiviti kaum, selain mengkritik dan menghina orang Melayu serta India.

Persetujuan menarik balik serta-merta buku teks bertajuk Interlok karya Abdullah Hussain itu dipersetujui Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman, selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah semalam.

Intelok, novel komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia terbitan DBP itu sudah diedarkan kepada semua sekolah menengah baru-baru ini untuk diagihkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaik sesi persekolahan dibuka awal bulan depan. Buku teks berkenaan didapati mempunyai unsur penghinaan kepada orang Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta ada unsur menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan bagi kaum India.

Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA), berkata pihaknya menerima aduan orang ramai dari seluruh negara yang meminta BPA mengambil tindakan sebelum orang ramai membuat tindakan drastik dengan membakar buku berkenaan di hadapan Kementerian Pelajaran.

Katanya, isu itu didedahkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Tamil semalam selepas mendapat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kandungan buku itu.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BukuteksSasteraditarikbalik/Article

Alahai, uzur, bahaya, daif sungguh masjid di Pahang ni

Posted: 15 Dec 2010 06:48 PM PST


Mohon ganti masjid uzur, rosak

DUA orang penduduk menunjukkan siling yang bocor di ruang jemaah Masjid Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling, Jerantut, semalam.
---------------------
Seramai 700 ahli kariah Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling dekat sini meminta kerajaan negeri membina sebuah masjid baru menggantikan masjid kayu yang sudah uzur dan tidak lagi selamat untuk digunakan. Sudah 15 tahun JKKK mengemukakan permohonan masjid baru kepada pihak Pentadbiran Daerah Jerantut dan kerajaan negeri, tetapi tidak diluluskan tanpa alasan sehingga menimbulkan kekesalan kami.

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK MAHU UMNO SERTA SEMUA SAYAP PARTI MENGADAKAN LEBIH BANYAK PROGRAM BERBENTUK MENDAMPINGI RAKYAT DI KAWASAN-KAWASAN YANG DIKUASAI PEMBANGKANG DAN BUKANNYA DI KAWASAN SELAMAT.- UTUSAN MALAYSIA 17 OKT. 2010

Utusan Malaysia 16 Dis 2010

JERANTUT 15 Dis. - Seramai 700 ahli kariah Kampung Kuala Sat, Hulu Tembeling dekat sini meminta kerajaan negeri membina sebuah masjid baru menggantikan masjid kayu yang sudah uzur dan tidak lagi selamat untuk digunakan.

Masjid yang terletak berhampiran dengan tebing Sungai Tembeling itu sudah mengalami kerosakan di bahagian dinding, lantai dimakan anai-anai, tiang reput serta atap dan siling bocor.

Selain itu, ketiadaan ruang memasak, tempat mengambil wuduk dan tandas rosak menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan para jemaah dan musafir yang singgah di situ.

Kedudukan masjid itu juga sesak apabila berdekatan dengan kedai runcit, bangunan tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Asrama Desa Sekolah kebangsaan (SK) Kuala Sat mengundang persekitaran yang kurang ceria.

Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati berlaku kebocoran di ruang jemaah sehingga sukar mendirikan solat ketika musim tengkujuh apabila air hujan menitis menerusi atap dan siling yang bocor.

Selain itu, rumah ibadat itu dikelilingi semak-samun, manakala sistem perparitan dan kumbahan dari bangunan berdekatan tidak diselenggarakan dengan betul sehingga wujud persekitaran yang kotor dan berbau busuk.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan (JKKK) Kuala pernah beberapa kali membuat permohonan supaya kerajaan negeri membina masjid baru, tetapi hasrat mereka tidak kesampaian.

Ketua Kampung Kuala Sat, Sidek Mahusin, 58, berkata, kerajaan negeri sepatutnya tiada masalah untuk menyediakan peruntukan membina masjid baru kerana penduduk di situ sudah mewakafkan tanah seluas dua hektar untuk tapak projek berkenaan.

"Sudah 15 tahun JKKK mengemukakan permohonan masjid baru kepada pihak Pentadbiran Daerah Jerantut dan kerajaan negeri, tetapi tidak diluluskan tanpa alasan sehingga menimbulkan kekesalan kami.

"Kami kecewa apabila permohonan ini tidak diberi perhatian sedangkan di kampung berdekatan sudah dibina sebuah masjid baru pada tahun lepas walhal jumlah penduduknya kecil," katanya di Kampung Kuala Sat dekat sini hari ini.

Sidek menjelaskan pihak berwajib pernah berjanji untuk membantu projek masjid baru tetapi sehingga kini tiada kerja-kerja dilakukan dan menimbulkan pertanyaan kepada penduduk.

Pengerusi masjid berkenaan, Shaharuddin Mat Taha, 42, berkata, struktur masjid lama itu sudah uzur dan ia tidak lagi selamat digunakan dan boleh runtuh pada bila-bila masa.

"Awal bulan ini, sebahagian ruang masjid di sini roboh selepas jemaah menunaikan solat akibat tiang dan rasuk sudah reput dimakan anai-anai.

"Kejadian ini walaupun tidak mengundang kemalangan, tetapi adalah lebih baik jika masalah ini dapat ditangani segera sebelum berlakunya perkara yang tidak diingini," katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Aminah Abdullah Hashim, 51, berkata, penduduk mengharapkan sebuah masjid baru yang selesa untuk melaksanakan ibadah solat dan program dakwah.

"Keadaan tidak selesa apabila kaum ibu memasak untuk sajian berbuka puasa pada bulan Ramadan dan kenduri sambutan perayaan Islam kerana ruang memasak dan tempat makan yang sudah uzur dan terdedah dengan kekotoran," katanya.

Seorang belia Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, 39, berkata, bangunan kayu yang reput sepatutnya diganti dengan binaan konkrit selaras dengan transformasi kerajaan negeri menerusi usaha pembangunan Islamiah.

"Keadaan masjid yang usang juga kurang merangsang belia dan remaja di kampung ini mengimarahkan diri dengan kegiatan keagamaan termasuk sambutan perayaan Islam," katanya.

Seorang warga emas, Mahasan Awang Besar, 90, berkata, masjid berkenaan kerap kali dibaiki menerusi sumbangan kewangan dan kudrat penduduk di situ sejak sebelum merdeka.

"Saya harap kerajaan negeri membina masjid baru di tanah wakaf yang kami sediakan sekurang-kurangnya cucu-cicit lebih selesa beribadat," katanya.

Tambah beliau, masjid yang baru antara landasan menyatukan penduduk berkenaan mengukuhkan perpaduan Islam dan menjamin keselamatan para jemaah setiap kali beribadat di situ.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_03.htm

Saman Ekor pun tak selesai, Tumbangkan Saja BN

Posted: 15 Dec 2010 06:48 PM PST

Didapati bahawa terdapat dua saman tertunggak yang direkodkan pada tahun 2003 dan 2006. Apabila diteliti status saman-saman tersebut seperti tarikh, lokasi dan jumlah kompaun yang perlu dibayar, saya kesal kerana kedua-dua saman tersebut diyakini telah pun dilunaskan sekian lama. Adakah pengiktirafan ISO 9001: 2000 dalam kepala surat Cawangan Trafik PDRM hanya hiasan sahaja.

SAMAN TRAFIK LAMA SUDAH DILANGSAI MASIH PERLU DIBAYAR?

Utusan Malaysia 15 Dis 2010

SEBAGAI rakyat Malaysia, saya sangat berbesar hati dan berterima kasih di atas usaha murni pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman trafik dengan kadar insentif setinggi 50 peratus.

Ini merupakan usaha terpuji dalam meringankan beban rakyat secara amnya. Pasti ramai yang telah mengambil inisiatif untuk segera melangsaikan hutang saman trafik masing-masing yang tertunggak sekian lama demi tidak disenaraihitamkan dalam pelbagai urusan berkaitan lesen, cukai jalan kenderaan dan sebagainya apabila tamat tempoh tawaran pembayaran saman oleh PDRM.

Untuk menyemak status saman, pihak PDRM memberi pilihan semakan melalui SMS, di kaunter Trafik PDRM, atau melalui khidmat online.

Saya turut mengambil peluang ini untuk menyemak apakah saya sendiri ada mempunyai sebarang saman tertunggak. Saya telah menyemak status saman melalui laman sesawang www.rilek.com.my dan www.dapat.com.

Didapati bahawa terdapat dua saman tertunggak yang direkodkan pada tahun 2003 dan 2006. Apabila diteliti status saman-saman tersebut seperti tarikh, lokasi dan jumlah kompaun yang perlu dibayar, saya kesal kerana kedua-dua saman tersebut diyakini telah pun dilunaskan sekian lama.

Keyakinan itu ditambah dengan usaha saya pada awal tahun 2007 untuk menyemak dan melangsaikan saman-saman tertunggak dengan pihak PDRM dan JPJ sebelum saya ke luar negara melanjutkan pengajian pada tahun tersebut.

Saya yakin ramai lagi individu lain yang mengalami masalah yang sama seperti saya dan tercari-cari kembali resit-resit saman yang telah dibayar mungkin selama 10 tahun ke belakang!

Dalam kes saya, malangnya, saya tidak lagi menyimpan resit pembayaran saman-saman tertunggak tersebut, kerana ia telah dilupuskan beberapa tahun lepas. Maka, saya tidak lagi mempunyai bukti pembayaran untuk ditunjukkan kepada pihak PDRM.

Saya akan cuba membuat rayuan bertulis kepada pihak PDRM berkaitan saman-saman tersebut sebelum saya membuat pembayaran. Bukan kerana saya tidak mampu melunaskannya, tetapi lebih kepada usaha untuk tidak 'membayar saman yang sama untuk kali kedua'.

Harapan saya agar pihak PDRM dapat membuat post-mortem dan semakan yang teliti mengapa permasalahan seperti ini berlaku. Mungkin perlu ada mekanisme yang lebih mantap dalam mengemaskinikan sistem komputer yang menyimpan maklumat-maklumat saman trafik.

Dengan cara ini, tidaklah rakyat seperti saya berasa terbeban dan teraniaya.

Robin Hood
Gemereh, Segamat
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm

BAYAR SAMAN ATAS KETIDAKCEKAPAN KOMPUTER PDRM

Utusan Malaysia 16 Dis 2010

BILA membaca luahan Robin Hood Gemereh Segamat dalam ruangan Forum pada 15 Disember 2010 bertajuk Saman trafik lama sudah dilangsai masih perlu dibayar amat meruntun kesayuan, kekecewaan dan kemarahan hati saya.

Ketika menyemak senarai saman untuk dibayar, ekoran tawaran istimewa 50 peratus oleh kerajaan bagi tujuan membaharui cukai jalan minggu lepas, saya berasa amat kecewa.

Bayangkan saman yang telah dilangsaikan tahun 2002 masih terpacak dan terpampang dalam cetakan saman PDRM. Dua kereta yang telah dijual lapan tahun lepas masih menjadi igauan saman.

Saya yakin telah membayar saman tersebut dan diberi resit perakuan bayar berlogo PDRM berwarna biru yang masih segar dalam ingatan. Ia adalah ekoran saya telah disenaraihitamkan untuk membaharui cukai jalan, tambahan pula pada masa itu PDRM telah mengadakan operasi bukan sahaja menyenaraihitam pesalah saman ekor malah operasi menahan pesalah trafik di rumah atau di pejabat.

Apakah barang kali ketidakcerdikan saya tidak menyimpan resit yang berusia hampir lapan tahun atau ketidakkecekapan sistem komputer PDRM yang menyebabkan saya dan ramai lagi menjadi mangsa untuk melangsaikan saman yang telah dibayar.

Adakah pengiktirafan ISO 9001: 2000 dalam kepala surat Cawangan Trafik PDRM hanya hiasan sahaja tanpa memenuhi amalan Prosedur Kerja Wajib, Prosedur Kerja Sokongan dan Prosedur Kerja Operasi menyebabkan kami menjadi mangsa.

Betul undang-undang menyatakan mesti dibuktikan dengan resit pembayaran tetapi ada masanya pertimbangan akal juga penting dalam merasionalkan kebenaran telah membayar saman tersebut.

Contohnya, bagaimana boleh saya membaharui cukai jalan dan lesen sekiranya saya disenaraihitamkan dalam operasi tahun-tahun lepas.

Bebanan untuk membayar saman yang telah dibayar mencecah ribuan ringgit, ditambah pula dengan bebanan persiapan belanja anak-anak ke sekolah dan persiapan perkahwinan anak. Alahai takdir atas ketidakcekapan komputer PDRM.

Kini masih mencari wang untuk bayar saman yang telah dibayar.

PESALAH TRAFIK ANIAYA
Sungai Buloh, Selangor
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm

Tiada lampu jalan

Posted: 15 Dec 2010 06:47 PM PST


Penantian penduduk Kampung Tebing Tinggi tak berakhir

Berita Harian 16 Dis 2010

SELAMA: Kira-kira 700 penduduk Kampung Tebing Tinggi, di sini merayu pihak berkuasa berkaitan menyegerakan pemasangan lampu jalan di kampung berkenaan bagi memudahkan aktiviti harian penduduk pada waktu malam, termasuk untuk solat berjemaah di masjid dan kanak-kanak mengikuti kelas al-Quran.

Selain itu, pemasangan lampu jalan di laluan sepanjang 2.5 kilometer itu juga mampu mengelakkan kejadian tidak diingini kepada orang ramai seperti jenayah ragut, selain kemalangan jalan raya. Seorang penduduk, Abdul Wahid Che Pin, 67, berkata ketiadaan lampu jalan mencetuskan pelbagai masalah kepada penduduk hingga banyak program dan aktiviti yang dijadualkan berlangsung pada waktu malam terpaksa dibatalkan. Katanya, penduduk di sini saban tahun menanti berita gembira usaha penambahbaikan kemudahan infrastruktur di kampung ini, namun semuanya ibarat satu penantian yang tiada kesudahannya.

"2011 nanti, kami harapkan ada sedikit berita yang menggembirakan hati kami. Kami berharap tahun baru nanti kami tidak lagi berdepan masalah kegelapan yang membataskan pergerakan kami pada waktu malam," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau yang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkata, keresahan penduduk semakin ketara selepas berlaku beberapa kemalangan jalan raya membabitkan penduduk kampung dan orang luar yang datang ke kampung itu.

"Kami tidak mahu kemalangan itu berterusan memandangkan kawasan penempatan kami adalah kawasan tumpuan orang ramai. Takkanlah selepas ada kematian, baru lampu jalan dipasang," katanya.
Tinjauan Berita Harian mendapati rungutan penduduk ada asasnya kerana keadaan kampung itu yang terlalu gelap pada waktu malam.

Seorang lagi penduduk, Siti Fatimah Muhammad Khadori, 36, berkata dia terpaksa menangguhkan rancangan menghantar anaknya mengikuti kelas al-Quran pada waktu malam kerana bimbang keselamatan mereka yang perlu menunggang basikal.

"Sepatutnya anak saya mula belajar mengaji al-Quran tahun ini, tetapi saya tak berani nak lepaskan mereka berbasikal pada waktu malam.

"Tambahan pula, sejak kebelakangan ini ada saja kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku di sini. Justeru, saya memohon jasa baik pihak berwajib supaya memandang perkara ini dengan lebih serius demi keselesaan penduduk," katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohammad Shuhaimi Abdullah Sanusi, 45, meminta Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Selama (MDS) memakbulkan impian penduduk kampung itu secepat mungkin kerana beberapa aduan sudah dibuat oleh penduduk.

"Saya dapat tahu permohonan bagi pemasangan lampu jalan di kampung ini sudah diluluskan kerajaan Perak dalam Bajet 2010 lalu dan kira-kira 20 batang tiang lampu dijangka dipasang di sini.

"Namun, setelah menunggu sehingga ke penghujung tahun ini, masih tidak nampak sebatang tiang lampu jalan pun dinaikkan," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tiadalampujalan/Article

Tiada ulasan: