Isnin, 8 November 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Bajet Selangor: RM34.84 Juta Untuk Pendidikan

Posted: 08 Nov 2010 01:30 AM PST

SHAH ALAM, 8 Nov - Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) berhasrat mewujudkan jaringan intelektual yang ampuh bagi menggalakkan percambahan idea dan ilmu yang boleh memacu kemajuan negeri Selangor.

Selangor Kini difahamkan, Selangor menjadi lokasi pilihan 87 kolej swasta, 13 kolej universiti, 4 universiti awam dan 17 universiti swasta.

Bagi menjayakan cita-cita pendidikan ini, sebanyak R34.84 juta ringgit diperuntukkan bagi tahun 2011.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, peruntukan ini bakal digunakan untuk mempertingkat kualiti pembelajaran dan prasarana pendidikan di seluruh Selangor.

Sebanyak RM500,000 disediakan kepada Universiti Industri Selangor (Unisel) untuk penyelidikan berkaitan teknologi hijau dan jumlah ini tambahan kepada RM500,000 yang diperuntukkan tahun lalu bagi mengiatkan penyelidikan teknologi-bio.

Universiti milik kerajaan negeri ini kini dalam proses rundingan dengan tiga universiti terkemuka dunia untuk melatih tenaga pengajar Unisel.

Tiga universiti terbabit, Universiti Cambridge, Universiti Manchester dan Kolej Imperial London, juga telah memeterai perjanjian persefahaman bagi membolehkan pengajian pascasiswazah kepada graduan lulusan UNISEL.

"Tidak sekadar itu, Unisel menjalin kerjasama dengan Universiti Al-Azhar dalam program pembangunan penyelidikan berkaitan peralatan saintifik untuk produk halal," tambah Khalid.

Tidak ketinggalan, pendidikan rendah dan menengah turut mendapat perhatian kerajaan negeri.

Tan Sri Khalid berkata, bantuan sebanyak RM6 juta akan disalurkan kepada pembangunan dan penambahbaikan prasarana sekolah-sekolah agama rakyat.

Siasatan kerajaan negeri mendapati sekurang-kurangnya 50,000 pelajar Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Selangor diusahakan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan individu prihatin dalam suasana pembelajaran yang amat daif.

Tan Sri Khalid berkata, ketidakpedulian pentadbiran lampau kepada pemerkasaan pendidikan sekolah-sekolah agama rakyat antara faktor kegelinciran modal insan hari ini.

"Mengapa selama 52 tahun kebajikan mereka tidak mendapat perhatian kerajaan sedangkan kita sentiasa merintih masalah kejatuhan moral anak-anak muda," kata Khalid.

"Kerajaan hari ini bersedia melabur RM6 juta dalam pembangunan siasah anak-anak Selangor daripada menanggung kos menyelenggara anak-anak rosak akhlah di pusat-pusat serenti dengan kos berlipat ganda pada sepuluh tahun akan datang," tambah beliau.

Sekolah aliran Tamil dan sekolah aliran Cina, masing-masing disediakan dengan peruntukan RM4 juta dan RM6 juta.

"Ini sejajar dengan janji kita untuk mengembangkan dan memajukan penggunaan bahasa ibunda, Jawi dan bahasa Arab," jelas Khalid.

Sebagai langkah susulan, sebanyak RM3.45 juta diperuntukkan untuk memperkasakan program Pusat Tusyen Rakyat yang menawarkan khidmat tusyen percuma kepada golongan pendapatan RM1,500 ke bawah.

Penyelenggaraan, pembinaan dan penambahan koleksi perpustakaan komuniti dan desa juga diberi perhatian dengan peruntukkan sebanyak RM13.84 juta, bagi memuaskan dahaga ilmu anak-anak muda.

Sebagai insentif kepada para pelajar, kerajaan negeri memperuntukkan RM7.7 juta lagi untuk program Hadiah Anak Masuk Universiti, yang memberi RM1,000 kepada anak-anak Selangor yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri melahirkan rasa prihatin dengan peratusan tinggi para pelajar yang tidak berpeluang mendapatkan pendidikan tinggi.

Bagi membantu golongan ini, kerajaan negeri mengarahkan Pusat Latihan Vokasional INPENS, menyediakan latihan kemahiran tanpa mengira latar belakang.

"Setakat ini, hampir 600 orang pelajar berjaya mengikuti program ini dengan jumlah RM2 juta diperlukan bagi melatih 200 pelajar pada satu-satu masa selama 6 bulan," jelas Khalid.

Bajet Selangor: Program MES Diperluaskan

Posted: 08 Nov 2010 12:30 AM PST

SHAH ALAM, 8 Nov - Sekurang-kurangnya RM130.1 juta diperuntukkan tahun hadapan bagi menggiatkan lagi keberkesanan dan capaian Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Di pembentangan Belanjawan 2011 Selangor hari ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, peruntukan ini meliputi program-program fasa pertama dan kedua MES yang dilancarkan tahun lalu.

Fasa pertama dan kedua meliputi 7 program induk, iaitu Tabung Warisan Anak Kelahiran Selangor (Tawas), Bekalan Air Percuma 20 meter padu, Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) bagi membanteras keganasan domestik, Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang, Kemudahan Cuti Bersalin 90 hari, Kemudahan Cuti 14 Hari Untuk Suami Yang Isterinya Bersalin dan Cuti Kematian Suami 30 Hari.

Menteri Besar juga memaklumkan Dewan Negeri Selangor (DNS) bahawa program MES bakal memasuki fasa ketiga, dengan penumpuan kepada Skim Kredit Mikro, Skim Kesihatan Wanita, dan Takaful Orang Kelainan Upaya (OKU).

Tan Sri Khalid dalam pemerinciannya berkata, sebanyak RM34.5 juta diperuntukkan bagi tahun hadapan untuk menampung skim air percuma 20 meter padu bagi rakyat Selangor yang menggunakan meter air individu.

Berita baik untuk penghuni rumah bertingkat, kerajaan negeri memperuntukkan RM8 juta lagi bagi menampung skim air percuma bagi meter-meter pukal.

"Jumlah ini lebih kecil daripada RM100 juta yang diperuntukkan sepanjang tahun 2009 dan 2010 kerana kita menjangkan rundingan penstrukturan semula industri air Selangor selesai hujung tahun ini," kata Khalid.

Manakala bagi skim Tawas, sebanyak RM7.5 diperuntukkan tahun hadapan. Kira-kira RM7.7 juta diperuntukkan untuk skim Hadiah Anak Masuk Universiti, RM21.4 juta untuk SMUE, RM50 ribu untuk OSCC, dan RM1 juta untuk Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang.

"Keseluruhan program ini bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Selangor," tegas Khalid, dan menambah Kerajaan Negeri Selangor sedar betapa amanah yang ada harus mencerminkan kerajaan daripada rakyat kepada rakyat, dan bukan jenis kerajaan yang memaksa dan membeli rakyat.

Bagi Fasa ketiga MES, Tan Sri Khalid berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta untuk Skim Kredit Mikro SKIMSEL yang bakal memberi fokus kepada kumpulan-kumpulan sasaran di luar bandar.

Bagi menangani kemiskinan bandar pula, Skim Kredit Mikro Miskin Bandar atau MIMBAS bakal dibentuk dan dan beroperasi dengan peruntukan RM20 juta.

"Peruntukan RM70 juta ini disalurkan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) hasil daripada penyelesaian hutang Syarikat Kumpulan Talam," jelas Tan Sri Khalid.

Menyedari pentingnya kaum Hawa kepada perkembangan ekonomi dan insan Selangor, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk membantu kaum wanita menjalani pemeriksaan kanser payudara percuma.

Manakala Skim Takaful OKU bakal dimasukkan bersama Skim Mesra Usia Emas, bagi memperluaskan lagi capaian skim ini.

Bajet Selangor: KDNK Meningkat

Posted: 08 Nov 2010 12:00 AM PST

SHAH ALAM, 8 Nov - Ekonomi Selangor kembali berdaya apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang ke paras 6.1 peratus setakat Ogos tahun ini.

Pencapaian ini mengaburi penguncupan 1.2 peratus tahun lalu, dan unjuran mencatatkan pertumbuhan tahun atas tahun mencapai 9.6 peratus menjelang suku ke empat 2010.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sektor perkhidmatan menyumbang 60.5 peratus kepada perkembangan KDNK semasa, diikuti sektor pembuatan 32.4 peratus dan pembinaan 5.5 peratus.

"Pengembangan sektor pembuatan dan perkhidmatan berjaya membolehkan Selangor tumbuh lebih baik berbanding prestasi negara antara tahun 2007 hingga 2009," kata Khalid di pembentangan Belanjawan 2011 Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Kerajaan Negeri menjangkakan sektor perkhidmatan akan terus mencatatkan pertumbuhan 5.0 peratus bagi tahun 2011.

Sektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan merupakan penyumbang terbesar daripada segi nilai ditambah (added value), dengan anggaran pertumbuhan nilai sebanyak 4.2 peratus.

Sementara itu, sektor kecil perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran dijangka terus kukuh dengan pertumbuhan 6.5 peratus.

Bagi sektor perindustrian pula, sektor ini dijangka mengalami peningkatan nilai ditambah sebanyak 7.0 peratus ekoran pertumbuhan nilai ditambah yang kencang (7.1 peratus) di sektor pembuatan.

Sektor pembinaan pula diunjurkan bakal mengalami pertumbuhan positif 6.1 peratus, hampir menyamai pertumbuhan sektor pembinaan negara bagi suku tahun pertama 2010, iaitu 8.7 peratus dan 4.1 peratus bagi suku kedua tahun yang sama.

"Keaktifan sektor ini dijangka disumbangkan oleh pembinaan rumah kediaman, kawasan rekreasi, kompleks, dan bangunan perdagangan serta kerja-kerja baik pulih," katanya.

Tiada ulasan: