Selasa, 2 November 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Perutusan YB Dr Xavier Jayakumar Sempena Sambutan Deepavali

Posted: 02 Nov 2010 05:00 PM PDT

Pada tarikh 5 November ini, masyarakat yang beragama Hindu akan meraikan sambutan perayaan Deepavali. Bersempena dengan Pesta Cahaya yang penuh warna-warni ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya mereka yang beragama Hindu. Semoga dengan kehadiran Deepavali ini, akan membawa kebahagiaan serta mengukuhkan perhubungan antara kita masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum.

Saya berharap saudara dan saudari akan meraikan hari yang penuh bermakna ini dengan keluarga dan sahabat handai. Bersempena dengan hari yang bahagia ini juga, marilah kita meneruskan amalan kita rakyat Malaysia kunjung-mengunjungi antara satu sama lain. Semoga dengan amalan yang berterusan ini, kesejahteraan dan nilai-nilai murni dapat diteruskan.

Deepavali sebagaimana yang kita tahu, merupakan sambutan meraikan kemenangan unsur-unsur kebaikan mengatasi unsur-unsur kejahatan. Dengan sinar cahaya yang membawa penuh harapan ini, adalah menjadi hasrat saya supaya kita semua akan lebih bersemangat untuk menghadapi segala cabaran akan datang demi mencapai matlamat dan impian yang kita impikan. Semoga dengan semangat dan keyakinan ini akan membuatkan kita lebih prihatin dan sentiasa bantu-membantu antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama.

Saya juga ingin mengingatkan kepada mereka yang akan pulang ke kampung halaman dan membuat perjalanan semoga sentiasa mengamalkan pemanduan yang berhemah serta berhati-hati di jalan raya.

Sekali lagi, saya dan keluarga saya mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu.


YB DR XAVIER JAYAKUMAR
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tiada ulasan: