Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Umno-BN Manipulasi 500 Kad Pengenalan: Ku Li Dalang Menyogok Undi
- Kase terus desak hapus saman ekor
- MITP: Kerajaan bakal rugi RM83.45 juta
- Melaka Maju: Ali Rustam tipu rakyat?
- Tidak Ada Alternatif Kepada Barisan Nasional Selain Pakatan Rakyat
- Ansari: Saya Janji Pindah Ke Batu Sapi Kalau Pakatan Rakyat Menang
- Harga Petrol Dinaikkan Lagi
Umno-BN Manipulasi 500 Kad Pengenalan: Ku Li Dalang Menyogok Undi Posted: 02 Nov 2010 01:27 AM PDT GALAS 2 NOV: PAS mendakwa Umno-Barisan Nasional (BN) menggunakan senjata terakhir jentera parti itu dua hari menjelang Pilihan Raya Kecil(PRK) Dun Galas dengan memanipulasi 500 kad pengenalan individu yang tidak keluar mengundi. Dakwaan itu diutarakan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pada sidang media menyifatkan taktik keji Umno-BN untuk menambah undi di saat akhir sekiranya majoriti memihak kepada calon PAS. Justeru beliau berkata, PAS mengambil serius perkara ini dan akan menempatkan pasukan keselamatan di seluruh kawasan Galas bagi melakukan pemantauan menjelang pilihan raya nanti. "Ada usaha-usaha dibuat pihak tertentu untuk membuat 500 kad pengenalan bagi menggantikan pengundi bagi pihak orang tidak keluar mengundi dan dipungut kad pengenalan mereka. Ini kita ambil perhatian yang berat dan pasukan keselamatan kita akan terus memantau 24 jam," jelas Abdul Halim di Markas Induk PAS pagi tadi. Tambah beliau lagi, jentera PAS turut akan mengedarkan poster 'AWAS Pengundi' di sekitar Galas memaklumkan kepada umum serangan terdesak Umno-BN. Abdul Halim juga menjangkakan jentera Umno-BN mula bergerak memperhebatkan taktik bertemu calon-calon pengundi menawarkan wang saguhati memenuhi hasrat kemenangan seperti yang berlaku di Manik Urai. Beliau menyatakan jentera PAS telah merangka strategi menangkis serangan agresif bertubi-tubi Umno-BN dengan menempatkan kamera pemantau selain mendakwa Tengku Razaleigh Hamzah(Ku Li) sebagai dalang menyogok pengundi menjadikan pengundi atas pagar dan penyokong PAS sebagai sasaran. Tambahnya Ku Li berusaha keras untuk membuktikan kepada Umno-BN bahawa beliau masih mampu mengalas tugas memimpin parti itu di daerah jajahan Gua Musang walaupun telah 30 tahun menjadi wakil rakyat parti itu. "Saya yakin Ku Li akan mempertahankan maruah beliau justeru menunjukkan kepada Umno bahawa beliau masih mempunyai kekuatan di Gua musang dan akan disokong oleh TPM walaupun tidak dengan ceramah tapi dengan barangan dan kewangan untuk membantu Ku Li bagi mencapai matlamat mereka. Kita sudah ada cara bagaimana untuk menyekat strategi ini," jelas beliau lagi. Ditanya media sejauh mana keyakinan PAS menjelang pilihan raya kecil, Abdul Halim berkata sehingga ke hari ini beliau optimis dan berharap taktik kotor parti lawan akan menemui kegagalan. "Nampak mood itu optimis. Kita pergi mana-mana, orang Cina, Melayu, India dan orang Asli tahu sekiranya calon BN menang mereka tidak boleh buat apa-apa. Tapi yang boleh hanya calon PAS yang menjadi ejen menyelesaikan masalah mereka," tegas beliau lagi. Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pengumuman kenaikan harga minyak RON97 sebanyak 5 sen oleh kerajaan malam tadi adalah tanda-tanda kerajaan Umno-BN akan ditolak pengundi menjelang pilihan raya kecil di Galas dan Batu Sapi. Menyifatkan ianya sebagai waktu yang salah untuk menaikkan harga minyak, beliau mempersoal kebijaksanaan kerajaan dalam waktu kritikal sebegini. "Bagi kita pihak pakatan pembangkang saya rasa salah 'timing' untuk pilihanraya Galas dan Batu Sapi. Jadi sepatutnya naik selepas ini. Jadi ini akan menjadi satu isu dan kesannya akan berlaku. Saya tidak tahu kebijaksanaan itu," ujarnya sinis. Sumber: TVSnews |
Kase terus desak hapus saman ekor Posted: 02 Nov 2010 01:06 AM PDT KUALA LUMPUR, 2 Nov: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) hari ini terus mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghapuskan segera saman ekor yang masih direkodkan berjumlah RM1.8 bilion dan memutihkan semua nama pemilik kenderaan sama ada individu, syarikat atau pertubuhan. Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, desakan itu dibuat berikutan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 2010 jelas membuktikan desakan Kase selama ini adalah benar dan berasas. "Pembentangan Rang Undang-Undang ini sudah jelas menunjukkan bahawa tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan saman ekor selama ini adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang. "Malah tindakan JPJ yang turut terlibat menyenarai hitam pemilik kenderaan kerana dikatakan mempunyai saman ekor tertunggak juga menyalahi undang-undang dan peraturan yang terpakai," kata beliau dalam sidang media di lobi Parlimen tengah hari tadi. Turut bersama dalam sidang media tersebut Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat). Pada 18 Oktober lalu, Kementerian Pengangkutan membentangkan untuk bacaan kali pertama RUU berkenaan. Pembentangan ini adalah untuk kali kedua apabila pembentangan pertama pada Mac tahun ini ditarik balik kerana terdapat bantahan daripada pelbagai pihak. Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS memberitahu, saman ekor yang dirujuk oleh Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan juga PDRM bermaksud notis kepada pemilik kenderaan di bawah seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987). Saman ekor ini juga hanya dikeluarkan oleh PDRM ke atas kesalahan memandu melebihi had laju sahaja. "Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 2010 yang baru dibentangkan telah memasukkan dan memperkenalkan beberapa peruntukan baru yang jelas menunjukkan bahawa tindakan PDRM dan JPJ sebelum ini adalah tidak wajar dan menyalahi peruntukan undang-undang negara yang sedia ada," katanya lagi. Pindaan ini menurut Mahfuz, telah memasukkan tiga peruntukan iaitu takrif imej yang dirakamkan, takrif kesalahan yang berjadual dan takrif kesalahan yang dirakamkan melalui kamera. Justeru, kemasukan takrifan baru itu sekaligus menunjukkan bahawa tindakan PDRM sebelum ini menggunakan alat pengesan had laju dan mengeluarkan saman ekor berdasarkan bukti alat pengesan tersebut adalah tidak sah. Katanya, imej yang dirakamkan yang digunakan selama ini sebenarnya tidak boleh diguna pakai bagi membuktikan kesalahan yang disyaki telah dilakukan. Ini, ujarnya menunjukkan bahawa tindakan PDRM mengeluarkan saman ekor dan tindakan JPJ menyenarai hitam kenderaan kerana saman ekor tertunggak jelas bertentangan dengan undang-undang seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuching dalam kes Leonard Lim Yew Chang lawan Director of JPJ Negeri Sarawak. "RUU ini turut memperkenalkan kesalahan yang dirakamkan melalui kamera yang memperuntukkan tiga jenis kesalahan iaitu memandu kenderaan selain bas di lorong bas, memandu melebihi had laju yang ditetapkan dan tidak mematuhi lampu isyarat," ujarnya. Tambahnya, salah satu kesalahan yang termasuk dalam kesalahan yang dirakamkan melalui kamera adalah memandu melebihi had laju yang ditetapkan yang merupakan kesalahan yang dikeluarkan saman ekor sebelum ini. "Jika kesalahan ini hanya baru dimasukkan ke dalam pindaan RUU yang dicadangkan ini, bagaimana PDRM boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan saman ekor kepada pengguna jalan raya yang disyaki melakukan kesalahan tersebut?" soalnya. Sepatutnya, kata beliau pengguna jalan raya yang dikatakan telah melakukan kesalahan memandu melebihi had laju itudisaman secara kendiri iaitu melalui seksyen 53 APJ 1987, bukannya melalui saman ekor. Sumber: Harakah Daily |
MITP: Kerajaan bakal rugi RM83.45 juta Posted: 02 Nov 2010 01:04 AM PDT KUALA LUMPUR, 2 Nov: Kerajaan bakal menanggung kerugian RM83.45 juta dan tanah seluas 20 ekar dalam skandal terbaru PKFZ 'dalam pembikinan'. Ianya merujuk kepada projek usahasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan Bindforce Sdn Bhd, bagi menubuhkan Malaysian International Tuna Port Sdn Bhd (MITP) yang bernilai RM243.38 juta. Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad pada sidang media di parlimen hari ini merujuk kepada laporan Ketua Audit Negara. "Saya bangkitkan perkara ini kerana inilah projek yang dikatakan projek usahasama swasta, tetapi kerajaan menggung kerugian akibat 'etter of undertaking," katanya yang juga AJK PAS Pusat. Bindforce memegang ekuiti 60 peratus bernilai RM29.05 juta manakala LKIM memegang 40 peratus dengan nilai RM11.62 juta. Ianya akan dibangunkan atas tanah seluas 20 ekar yang diberi sewa oleh LKIM dengan perjanjian konsesi swasta secara Bina Operasi Pindah (BOT) selama 30 tahun yang dibuat pada 16 September 2004. Kos pembinaan dibiayai oleh MITP melalui pinjaman RM240 juta dalam bentuk bon dari OSK Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pula didakwa mengeluarkan surat sokongan kepada OSK Trustee Berhad pada 15 September. OSK Trustee pada 6 Januari 2010 kemudiannya didakwa mengisytiharkan 'event of defefault' terhadap MITP. LKIM sebelum itu mengeluarkan Letter of Undertaking menyatakan perjanjian akan dikuatkuasa jika terdapat event of default di pihak MITP. Sehubungan itu, OSK juga turut menuntut sejumlah RM208.62 juta termasuk faedah. Dengan milikan 40 peratus ekuiti, kerajaan terpaksa menanggung RM83.45 juta dari tuntutan OSK tersebut. "Tanggungan pinjaman bon RM83.45 juta, surat sokongan merupakan liabiliti kepada kerajaan pusat, dan tanah 20 ekar LKIM tidak dapat dituntut semula kerana dicagar MITP dan kini MITP tidak aktif," katanya. Tindakan tersebut juga jelasnya menjadi off balance sheet bajet kerajaan dan dalam masa sama melebarkan lagi defisit fizikal negara. "Berapa banyak projek ETP dan RMK serta Bajet 2011 yang akan diberi jaminan undertaking oleh kerajaan pusat atas nama inisiatif Public Private Partnership?" soalnya. Sumber: Harakah Daily |
Melaka Maju: Ali Rustam tipu rakyat? Posted: 02 Nov 2010 12:57 AM PDT BUKIT KATIL, 2 Nov: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam diminta membuat penjelasan tentang kenyataan Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD) yang menafikan badan tersebut mengiktiraf Melaka sebagai negeri maju. Sebelum ini, kerajaan negeri menjaja nama OECD sebagai badan bebas yang memberikan pengiktirafan bahawa Melaka telah mencapai status negeri maju pada 20 Oktober lalu. Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS negeri, Yusof Wahab (gambar) berkata perkara itu adalah serius melibatkan imej kerajaan negeri dan maruah rakyat negeri Melaka. "Mana mungkin kerajaan negeri mengisytiharkan Melaka negeri maju tanpa black and white dari badan bebas itu, ini dah kira masuk bakul angkat sendiri," katanya. Katanya, rakyat negeri Melaka berasa tertipu dengan penafian OECD itu dan kerajaan negeri mesti membuat penjelasan mengenainya. "Malah pengisytiharannya pula dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, apakah kerajaan negeri ingin permainkan dan perbodohkan Perdana Menteri," kata Yusof semasa ditemui di Pusat Aduan Rakyat Dun Bukit Baru, di sini pagi ini. Yusof juga mencadangkan isu ini dibawa di dalam sidang Dun yang sedang berlangsung sekarang. "Saya cadangkan satu usul tergempar di bawa ke sidang Dun untuk dibincangkan di kalangan Ahli Dewan dan satu ketetapan mesti diambil oleh Dun untuk mengembalikan maruah dan integriti kerajaan negeri serta rakyat negeri ini. "Ini bukan isu kecil dan main-main, ia melibatkan maruah dan imej kerajaan serta rakyat," ujar Yusof yang juga merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil dan Penyelia Dun Bukit Baru. OECD hari ini mengesahkan bahawa badan tersebut tidak mengiktiraf Melaka sebagai negeri maju sebagaimana yang disiarkan di laman web The Malaysianinsider. Dalam laporan itu, wakil OECD Jon Hall menjelaskan kepada portal Malaysiainsider melalui email bahawa media mungkin salah faham tentang pengisytiharan status negeri maju. Beliau menerangkan bahawa OECD tidak mempunyai kuasa atau tidak berautoriti untuk membuat pengisytiharan tersebut. "OECD tidak pernah memberi pengiktirafan terhadap deklarasi Melaka maju, disebabkan kami tidak landasan yang betul untuk berbuat demikian. "Sebagaimana saya cuba jelaskan dalam ucapan saya pada Rabu (20 Oktober), di mana tidak definisi rasmi ke atas sebuah negeri maju, jadi OECD tidak berada di kedudukan yang betul untuk menggariskan kriteria negeri maju," katanya. Hall, yang menguruskan OECD dalam projek global bagi mengukur pembangunan masyarakat menghadiri sambutan pengisytiharan Melaka negeri maju pada 20 Oktober lepas di Stadium Hang Jebat. Dalam program tersebut Perdana Menteri telah mengisytiharkan Melaka sebagai negeri maju melalui teleconference. Sumber: Harakah Daily |
Tidak Ada Alternatif Kepada Barisan Nasional Selain Pakatan Rakyat Posted: 02 Nov 2010 12:55 AM PDT Boleh Datuk terangkan sebab-sebab mengapa keluar Umno? Saya pengasas Umno di Sabah, Ketua Penerangan Umno Sabah, saya juga dilantik Senator mewakili Umno serta pernah menjadi Naib Presiden Usno. Apa yang dijanjikan kepada kami ketika menyertai Umno. Pada 1976 Usno kalah, 1981 tinggal tiga kerusi, 1985 16 kerusi, 1986 pula 12 kerusi, jadi ciri-ciri ini tidak membolehkan Usno berkuasa lagi. Jadi sayakan kita hanya berboleh berkuasa melalui Umno dengan meresapkan Usno ke dalam Umno dan saya janji kepada Usno ketika itu dua perkara melalui Umno iaitu berkuasa dan dijaga. Sebelum itu selepas pilihan raya 1985 kita ada persetujuan dengan PBS (Parti Bersatu Sabah) untuk menumbangkan Berjaya tetapi apabila Berjaya tumbang, PBS khianat kepada Usno tidak menunaikan janji. Pada 1990 pula PBS khianat kepada Barisan Nasional dan dalam 1994 apabila Usno sudah berkumpul di dalam Umno dan lawan PBS, 'kapal' PBS pecah. Pairin dan kawan-kawannya berada dalam air hampir nak mati tapi Umno pergi 'kahwin' dengan PBS dan letakkan balik Pairin dan kawan-kawan di kapal besar BN sementara kami di suruh duduk di hujung 'dapur'. Oleh sebab saya pengasas Umno di Sabah, apa yang boleh saya katakan, seperti kita kahwin orang jalang, apa yang diberitahu ibu bapa kita. Takkan nak beritahu suami saya, isteri saya orang jalang, sudah tentu akan dipuji hingga ke langit. Tetapi kalau benar suami atau isteri kita jalang, tidak pelihara kita, tidak tunai janji akhirnya akan meletup juga. Bila meletup bercerai, itulah 18 Oktober saya umumkan saya keluar dari Umno. Yang pasti saya sudah bercerai dengan Umno, pada saat saya buat pengumuman itu ramai bekas ahli-ahli Usno hubungi saya dan lantik saya sebagai penasihat, mereka mahu hidupkan semula Usno. Parti Keadilan Rakyat pun ajak saya sertai mereka, Sapp (Parti Maju Sabah) pun begitu, jadi tindakan saya keluar Umno memberi kesan begitu besar di Sabah tanpa mengira bangsa, agama kerana saya hanya perjuangkan apa yang sepatutnya kepunyaan Sabah. Minyak kami hanya dapat lima persen, itu harta kami tapi saya katakan beri kami 20 persen. Apa pandangan Datuk terhadap prinsip perjuangan Pakatan Rakyat yang juga menjanjikan royalti minyak 20 persen kepada Sabah dan Sarawak? Itulah saya katakan tadi, buah itu berduri, cium bau durian, rasanya pun rasa durian, perlukah akhirnya saya cakap ini durian, tidak perlu. Orang semua tahu. Kalau saya minta minyak naik daripada 5 persen kepada 20 persen, kalau saya minta siapa yang memerintah (kerajaan pusat) hari ini, besok turunkan harga minyak, saya minta otonomi, saya minta Usno dihidupkan semula, kalau Pakatan Rakyat kata daripada 28 permintaan saya itu, mereka bagi 10 saya ikut. Permintaan saya ini tidak mungkin Barisan Nasional bagi, itu antara sebab saya keluar. Kalau dia (BN) nak bagi hidup (semula Usno) tenntu dia sudah beri hidup, kalau dia nak beri minyak, sudah berpuluh tahun (kami menunggu). Jadi sebab saya keluar dari BN - untuk perubahan. Kenapa Datuk ambil masa yang panjang untuk keluar Umno? Saya orang tua, 'start' lambat tetapi sekali dah 'start' tak berhenti (ketawa). Sudah dekat 20 tahun, bukan tempoh yang lama dalam politik. Orang Usno minta saya buat kajian apa terjadi kepada orang-orang, pemimpin Usno setelah masuk Umno. Saya buat kajian dan kesimpulannya orang-orang Sabah tidak mahu Umno dan kedua minta dihidupkan semula Usno. Saya tanya mengapa mahu hidupkan semula Usno sebab kalau sudah sokong Umno tidak perlu lagi Usno. Mereka kata mahu hidupkan Usno kerana tidak mahu Umno. Mereka kata kepada saya, "Datuk yang 'responsible bawa Umno ke Sabah". Janjinya dulu dua perkara - kami berkuasa dan kepentingan kami dijaga tetapi apabila kami berkuasa kami disuruh duduk di dapur. Pairin, Kurup, Dompok semuanya di letakkan di tempat yang mana kami pejuang-pejuang, kalau kamu duduk ditempat tinggi berilah kami duduk diatas bangku tapi tidak begitu, diketepikan sahaja. Jadi apabila kesimpulannya begitu, rupa-rupanya saya yang dilihat bertanggungjawab bawa Umno masuk dan janji kepada kami tidak dikotakan hampir 20 tahun. Semua pejuang-pejuang dan pemimpin Usno disingkir dan dipinggir oleh Umno. Jadi pendam rasa hampir 20 tahun tapi selepas 18 Oktober saya dengar CNN pun laporkan berita saya keluar Umno, YB Anwar (Ibrahim) pun bangkitkan dalam Parlimen, jadi seluruh Malaysia keributan kerana pengasas, penaja, ketua penerangan Umno sabah keluar parti. Saya masih Pengerusi Nippon Paint, jadi kalau saya keluar sudah tentu saya kena 'potong'. Kalau 'potong' saya orang Melayu kenapa tidak pecat Timbalan Ketua Menteri orang Cian, dia juga keluar dari LDP dan jadi bebas. Bekas anggota Usno kata kalau saya bertanggungjawab bawa Umno masuk sabah saya juga bertanggungjawab hantar Umno pulang. Apa perlu saya buat? Jadi misi saya sekarang kerana saya yang bawa datang, insyaAllah satu hari saya juga akan hantar Umno pulang. Apa pandangan Datuk mengenai senario politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13? Di Malaysia cuma ada dua parti yang akan bertanding di pilihan raya umum akan datang iaitu BN dan Pakatan Rakyat, tidak ada parti lain. Yang boleh memerintah Malaysia cuma dua, BN atau Pakatan Rakyat. Kalau mahu terus budaya cium tangan, angkat kaki, 'please stay with BN' tapi kalau mahu perubahan, 'reform' undilah Pakatan Rakyat. Bukan soal saya suka YB Azmin atau YB Anwar tapi isunya begini, kalau saya tidak mahu BN, Pakatan Rakyatlah pilihan saya, 'no choice' Kalau ada 'Parti Karim Ghani' saya undi parti itu (ketawa) tapi tidak ada 'third force', cuma dua ini sahaja. Panggillah apa konsep sekali pun, sistem dua parti atau apa sahaja tapi hakikatnya dua sahaja pilihan rakyat Malaysia - BN atau Pakatan Rakyat. Anggota parti seperti Sapp, mereka parti negeri. Kalau ditakdirkan mereka memerintah, dia nak sekolah, dia nak minyak, dia nak hospital dia terpaksa minta daripada kerajaan 'federal' tapi kalau dia tidak selari satu tim dengan kerajaan 'federal' jadi macam Kelantan waktu belum ada Pakatan Rakyat, seperti PBS waktu belum dalam BN. Jadi saya minta orang Sabah khususnya dan rakyat Malaysia, kalau mahu 'business as usual', mahu angkat kaki cium tangan, please duduk dengan BN. Mahu perubahan sokonglah Pakatan Rakyat. Itu sahaja, tidak payah gaduh, tidak payah maki hamun. Dalam kajian saya, dulu di Semenanjung kalau kita cakap pasal PAS depan orang Cina terus mereka palingkan muka tapi sekarang mereka kata 'we don't care, Cina, India, Kadazan ke, kalau BN lawan Pakatan Rayat, kita akan sokong Pakatan Rakyat'. 'The wind of change have come'. Sebagai tokoh politik yang disegani di Sabah, apa peranan yang akan dimainkan Datuk setelah keluar daripada Umno? Saya mahu sabah juga sealiran dengan kerajaan 'federal'. Oleh sebab saya tidak mahu lagi kerajaan BN, ke mana saya hendak pergi, ke mana saya hendak minta rakyat Sabah sokong? Saya sudah tinggalkan BN sudah tentu saya akan minta rakyat sokong sebelah sana (Pakatan Rakyat). Sekarang ini tidak ada lagi parti yang mampu memerintah Malaysia kecuali Pakatan Rakyat - kalau tidak mahu masuk KEADILAN, bole masuk PAS, tidak mahu PAS masuk DAP asalkan jangan kita gaduh sama sendiri. Boleh puji PAS bagus KEADILAN, DAP bagus tapi jangan kata sesama sendiri, yang tidak bagus hanya BN. Apa pandangan Datuk peranan Usno sekiranya parti itu berjaya dihidupkan semula? Fakta pertama yang harus kita ingat 95 peratus ahli umno di Sabah sekarang adalah bekas ahli Usno. Yang saya dijanjikan iaitu berkuasa dan dijaga tidak ditunaikan BN. Kalau Usno dihidupkan apa akan jadi kepada Umno, sudah tentunya mati. Jadi saya fikir tidak ada orang akan beri senjata untuk bunuh dirinya sendiri. Kemungkinan Usno dihidupkan tipis, tidak mungkin di bawah BN tetapi kalau semangat perjuangan dan prinsip Usno itu betul, tidak ada siapa boleh jel dia, kunci dia, Usno akan terus hidup. Bekas ahli Usno minta Pakatan Rakyat hidupkan semula Usno, kembalikan Amanah Saham Sabah. Saya katakan kalau hari ini Pakatan Rakyat memerintah, rakyat Sabah boleh datang ambil sijil saham itu. Beza dengan amanah saham Tun Mustapha dulu, kali ini amanah saham Sabah akan beri sijil kepada setiap rakyat Sabah yang berumur 18 tahun ke atas. Duit cukup sebab ada 20 persen royalti minyak, tidak ada masalah langsung pasal duit. Apa gesaan Datuk kepada bekas ahli Usno yang berada dalam Umno? Saya datang ke Sandakan untuk pilihan raya kecil dan di Sandakan saya akan katakan hanya dua sahaja parti yang boleh memerintah. Saya sudah tinggalkan BN dan siapa yang boleh tawarkan apa yang saya minta untuk Sabah itulah yang saya minta rakyat Sabah sokong. Saya tidak mahu bertaekwando tapi mahu bersilat. Bila kita bersilat kita gunakan tenaga musuh untuk mengalahkan musuh. Apa pandangan Datuk berhubung ucapan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti itu yang lalu? Bagi saya ucapan Datuk Seri Najib itu yang membangkitkan isu mempertahankan hak Melayu, raja Melayu tapi pelikmya saya tidak pernah dengar KEADILAN atau DAP atau PAS kata mereka mahu hapuskan hak istimewa Melayu, hak Raja, agama, tidak pernah saya dengar sekalipun. Jadi kenapa Najib mahu teriak-teriak pasal apa? Najib bangkitkan soal perkauman yang sudah tidak laku, orang Sabah sudah tidak mahu dengar, apa yang mereka mahu dengar adakah royalti minyak akan dinaikkan, mahu bagi otonomi atau tidak, kami tidak mahu mahu Ketua Menteri di cucuk hidung seperti apa yang berlaku sekarang, kami mahu pilih Ketua Menteri sendiri yang sealiran dengan kerajaan yang kita pilih. Saya nampak di Malaysia, Umno sudah mati. Umno bagai bunga yang cantik, manis, kembang, disembah oleh semua orang. Bunga yang kembang akan kuncup, yang kuncup akan kereput, yang kereput akan kering dan yang kering akan mati. Umno yang dulu kuat, disembah dan tidak ada orang berani lawan kemudiannya berpecah dua dengan PAS. Kalau dalam pilihan raya kawasan itu 'solid' pengundi Melayu PAS menang. Umno dan BN hanya boleh memang kalau ada 35 persen Cina dan India. Lepas itu KEADILAN wujud, orang Melayu pun masuk KEADILAN, kebanyakannya dari Umno, jadi Umno kuncup lagi. Bila Cina dan India tinggalkan Umno, mati tak Umno? Jadi di Semenanjung Umno sudah mati! Di Sabah katakan kepada rakyat, " Kalau kapal isu sudah pecah, kamu mahu tunggu lagi? Kalau kamu tunggu jangan salahkan orang kalau kamu mati". Ini saya cakap daripada pengalaman saya. Pada tahun 1975 saya pegawai tinggi kerajaan (Setiausaha Tetap Kementerian), bila Usno dipecah belahkan oleh Tun Razak, saya bilang Usno akan mati dan akhirnya benar-benar mati. Begitu juga di Semenanjung, Umno sudah mati atas sebab yang saya katakan tadi. Umno selalu berkata, "Melayu bersatu, bersatu!" Atas alasan apa? Kalau Melayu itu bersatu dalam KEADILAN atau bersatu dalam PAS pernah dengarkah kita mereka mahu hapuskan hak Melayu, Sultan, agama? Jawapannya tidak ada. Retorik-retorik begini kalau kita fikir memang bunyinya bagus. Bersatu, bersatu memang ada dalam Islam, Islam suruh kita bersatu tetapi tidak ada dalam Islam suruh kita bersatu dalam Umno atau PAS. Tetapi kalau orang Melayu bersatu dalam KEADILAN atau PAS apa yang terkandung di dalam Perlembagaan tidak boleh terkacau. Tetapi Perlembagaan sekalipun siapa kata tidak boleh dipertikai. Kalau ada dua pertiga majoriti boleh dipersoalkan, ini bukan Al Quran, ini kita tidak boleh persoalkan. Yang penting kerajaan yang akan ditubuhkan itu stabil. Kalau Pakatan Rakyat memerintah, mahukah orang Melayu dalam Pakatan Rakyat katakan, "hapuskan hak Melayu, Bahasa Melayu, Sultan? 'No way' mereka akan berbuat demikian. Kalau BN memerintah bolehkah mereka mengatakan, "kami mempertahankan matahari naik dan timbul, kami berjuang biar pun nyawa habis kami akan pertahankan. Itu retorik yang bagus didengar tapi kalau kamu tidak pertahankan matahari tetap naik dari timur. Begitu juga di Malaysia sudah termaktub di Malaysia dalam Perlembagaan hak-hak orang Melayu, tidak boleh digugat. Adakah Najib kini terlalu 'desperate' sehingga terpaksa berucap dalam nada yang demikian? Ya, terlalu 'desperate', antaranya mahu bikin lagi dua menara. Menara sekarang pun saya dengar kosong, sekarang mahu bikin lagi menara RM5 bilion. Nanti bila 'negotiate' kontrak bukannya' negotiate down' tetapi 'negotiate up'. Dalam Umno-BN ada budaya, ada sistem, ada praktik. Pemimpin-pemimpin termasuk Najib berkata, "the change in leaders only result in the change of style', sistem, budaya, praktik tetap sama. Sistem nepotisme, kronisme, korupsi; budaya cium tangan angkat kaki tidak akan berubah. Kalau mahu berubah semua ini satu sahaja iaitu alternatif kepada BN ialah Pakatan Rakyat. Pada pandangan Datuk sejauh mana BN yakin menghadapi PRU-13 nanti? Saya dengar ada ura-ura nak bubarkan Parlimen awal tapi kalau BN bubarkan Parlimen, saya yakin Pakatan Rakyat tidak akan bubarkan Dewan Undangan Negeri di mana ia berkuasa. Ini satu dilema. Kalau BN bubarkan Parlimen tetapi negeri Pakatan Rakyat tidak turut bubar masa itu Ketua Menteri dan Menteri Besar Pakatan Rakyat masih berkuasa, jadim itu satu kemudaratan kepada BN. Yang kedua, konsep 1Malaysia perlukan pilihan raya seluruh negara serentak tapi kalau nak serentak menjelang April DUN Sarawak mesti bubar, kalau Sarawak bubar tapi Parlimen tak bubar apa maknanya 1Malaysia? Kalau Sarawak bubar negeri Pakatan Rakyat bubar apa jadi dengan konsep 1Malaysia? Sebab itu saya tidak setuju sama sekali kerana satu Malaysia 13 negeri. Waktu kita sertai Malaysia, satu Malaysia bukan 13 negeri tapi 5 wilayah - Sabah, Sarawak, Brunai, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Jadi ada lima komonen - semuanya hak yang sama, perkongsian yang sama dan status yang sama kata Tunku Abdul Rahman. Kalau kongsi seratus peratus kami Sabah sepatutnya dapat 20 peratus. Bila Brunai tak ikut jadi setiap satu komponen ada saham 25 peratus dan bila Singaoura kena tendang, sepatutnya kami dapat 33 peratus tapi dalam konsep 1Malaysia bila ada 13 negeri, pembahagiaan sudah jadi pak pandir, pembahagiaan bujang lapuk - satu Sabah, satu Sarawak , 11 Semenanjung. Ini bukan yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak. Keranna itu saya minta kita kembali kepada semangat 1963, saya tidak minta satu sen lebih atau satu sen kurang. Saya tahu kerana saya terlibat dalam proses penilaian samada mahu sertai Malaysia atau tidak dalam 'Cobbold Report'. Saya juga terlibat dalam menterjemahkan memorandum yang dikemukakan dan saya juta terjemahkan 'Cobbold Report', jadi saya tahu semua ini. Masa itu Tunku janji disebabkan kita miskin, pernah dijajah dan tidak membangun, maka jika kita sertai Malaysia, Sabah dijanjikan bebas daripada penjajahan, kaya seperti Semenanjung dan juga maju seperti Semenanjung. Tapi 47 kemudian kami yang paling miskin. Kami bukan miskin - kami ada kayu balak, minyak dan segalanya. Jadi Malaysia bagi kami adalah 'a failed promise as far as Sabah is concerned'. Ini mesti diperbetulkan sebab saya sayang Malaysia. Saya percaya kalau Pakatan Rakyat memerintah, kalau 28 perkara yang saya tuntut, kalau 10 ditunai cukup bagus tapi 3 atau 4 pun alhamdulillah. Sumber: Suara Keadilan |
Ansari: Saya Janji Pindah Ke Batu Sapi Kalau Pakatan Rakyat Menang Posted: 02 Nov 2010 12:50 AM PDT SANDAKAN 2 Nov - Calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Batu Sapi, Ansari Abdullah berjanji akan berpindah ke kawasan ini sekiranya beliau diamanahkan oleh rakyat untuk mewakili mereka di Parlimen pada 4 November nanti. Sumber: Suara Keadilan |
Posted: 02 Nov 2010 12:43 AM PDT KUALA LUMPUR Nov 2 — Harga petrol runcit bagi gred premium, RON97 dinaikkan sebanyak 5 sen atau 2.4 peratus kepada RM2.15 seliter, berkuatkuasa hari ini. Menurut agensi berita Reuters, kenaikkan itu adalah sebahagian daripada pengumuman kerajaan untuk mengurangkan subsidi yang diumumkan kerajaan, awal tahun ini. "RON 97 tidak diberikan subsidi oleh kerajaan sejak harga minyak mentah dunia naik, dan harga petrol telah diubah," kata Hashim Othman, Presiden Pengusaha Pam Minyak Malaysia. Sumber: Suara Keadilan |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan