Selasa, 23 November 2010

Haniza Talha - Landscaping New Politics

Haniza Talha - Landscaping New Politics


Syabas diberi 14 hari untuk hentikan program tabung budi

Posted: 23 Nov 2010 06:48 PM PST

SHAH ALAM, 23 Nov – Kerajaan Selangor telah menghantar notis kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya menghentikan Program Tabung Budi kerana ia melanggar syarat perjanjian konsesi air.

Notis bertarikh 23 November 2010 ini dikeluarkan oleh Pengarah Kawal Selia Air Selangor, Nor Azmi Diron di bawah Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997.

Selain menghentikan program tersebut dalam masa 14 hari, Syabas juga dikehedaki memaklumkan kepada Kerajaan Selangor berkenaan pembatalan Tabung Budi. Pembatalan tersebut juga perlu diiklankan di dalam akhbar-akhbar utama di Malaysia.

Mengikut notis itu, Lesen Pembekalan Air yang diberikan kepada Syabas mengikut Subseksyen 12 (3) Akta Pembekalan Air 1997 akan dibatalkan jika Syabas gagal mematuhi arahan pembatalan program itu.

Notis tersebut juga telah mengingatkan Syabas bahawa selaku pemegang lesen, syarikat itu hanya boleh mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang (caj tertunggak) oleh pengguna dalam kawasan pembekalan air.

Syabas tidak boleh mengutip sumbangan daripada orang ramai bagi tujuan membayar caj bekalan air tertunggak seperti yang dilakukannya melalui Tabung Budi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini telah beberapa kali menasihatkan Syabas supaya menghentikan segera Tabung Budi kerana program tersebut bukan sahaja melanggar syarat konsesi tetapi juga menyalahgunakan dana Kerajaan Negeri.

"Syabas mendakwa program ini untuk kebajikan tetapi hakikat sebenarnya Syabas menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi," katanya.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri membayar Syabas setiap bulan menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk pemberian air percuma dan pada masa yang sama Syabas mengutip sumbangan orang ramai.

"Jika Syabas benar-benar ikhlas menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat, mereka sepatutnya melupuskan caj air dan tunggakan yang ditanggung mereka yang tidak mampu," katanya.

SUMBER: SELANGORKINI


Tiada ulasan: