Khamis, 4 November 2010

.

.


Anjakan Baru Apa Yang Disaran oleh Asri?

Posted: 03 Nov 2010 06:53 PM PDT

Jawapan kepada Dr Mohd Asri.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin mengulas kenyataan terbaru Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin melalui blog beliau semalam di bawah entri "Politik Kita Memerlukan Anjakan Baru".

Kenyataan beliau yang mencadangkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara daripada politik, kononnya kerana "rentak tari politik yang makin tidak seimbang", adalah satu kenyataan yang pelik dan tidak berpijak pada realiti politik tanah air semasa.

Apakah beliau lupa bahawa tercetusnya gelombang perubahan di kalangan rakyat ialah melalui Datuk Seri Anwar? Apakah beliau tidak sedar bahawa berlakunya impak kepada Umno-BN di dalam Pilihanraya Umum Ke-12 adalah kerana gelombang rakyat melalui muafakat Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar?

AMK tidak apologetik dan kekal menegaskan, kepimpinan Anwar adalah relevan sehingga kini dan masih diperlukan berikutan pengalaman serta kredibiliti kepimpinan beliau yang jelas berjaya memperkukuh Pakatan Rakyat di sebalik pelbagai usaha Umno-BN untuk merincih kefahaman dan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat.

Di saat beliau menyarankan politik idea dan politik nilai dibudayakan, cadangan beliau seolah-olah satu bentuk perlindungan kepada Umno-BN yang jelas kelihatan tandus idea untuk mengekang kemaraan rakyat melalui kepimpinan Datuk Seri Anwar dan kesepakatan kepimpinan KEADILAN-PAS-DAP di bawah panji Pakatan Rakyat.
Sekiranya benar beliau menjunjung politik idea dan politik nilai, maka sewajarnya Dr. Asri menyarankan agar Umno-BN bersikap jantan dan gentleman untuk menjunjung semangat federalisme dan tidak mengawal instrumen kerajaan termasuklah sistem kehakiman yang saban hari semakin menjelekkan, khususnya di dalam mengendalikan kes konspirasi kedua ke atas Datuk Seri Anwar.

AMK berminat untuk menyarankan agar Dr. Asri menasihati idola beliau, Tun Dr Mahathir Mohamad agar insaf dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tertindas selama hampir 23 tahun di bahawa hegemoni Mahathirisme yang jelas membunuh semangat demokrasi dan berterusan memanipulasi instrumen kerajaan demi memperkukuh cengkaman Umno-BN kepada rakyat.

Jika ini gagal dilakukan Dr. Asri, terbuktilah kenyataan Dr. Asri sebelum ini adalah satu kenyataan politik yang hendak dijadikan remedi oleh Umno-BN. AMK mendoakan agar Dr. Asri terhindar daripada diperguna oleh Umno-BN yang gagal menerima hakikat bahawa rakyat telah membuka mata dan bersedia menolak Umno-BN yang tebal dengan rasisme dan unsur penyelewengan.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Tiada ulasan: