Rabu, 17 November 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Kunjungan Diplomatik Ke Australia

Posted: 17 Nov 2010 06:45 PM PST

Alhamdulillah kunjungan 3 hari memenuhi undangan University of Sydney dan Australian National University, Canberra berakhir pagi 16 Nov lepas.
SYDNEY:
Acara di University of Sydney dimulakan dengan ucapan pengantar Duncan Ivison, Profesor Jabatan Falsafah dan dipengerusikan Assoc. Prof Lily Rahim. Pembicaraan saya atas judul yang ditetapkan penganjur agak rencam: “Islam, quasi-secular state, reform”.

Saya tegaskan agar kita tidak  terperangkap dengan penghujahan konsep secara umum menurut tafsiran asing. Maka saya memilih untuk menjelaskan apa yang menjadi paksi pemerintahan sepertimana dalam muafakat Pakatan Rakyat.

Kerangka besarnya mencakup jaminan kebebasan dan keadilan semua rakyat berlandaskan prinsip pokok Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Islam dan kebebasan beragama; bahasa Melayu dan amalan lain bahasa; hak keistimewaan Melayu-bumiputra; Raja2 Melayu. Yang disanggah keras adalah pelanggaran prinsip murni tersebut termasuk terhakisnya keyakinan terhadap institusi pemerintahan akibat rasuah dan campurtangan politik serta pemunggahan khazanah negara dan kekayaan olih segelintir di kalangan elit penguasa.

Jamuan makan malam “Dine with Anwar” diselenggara pendukung Keadilan Sydney dan dikenakan bayaran. Ada mahasiswa yang mengeluh juga kerana tempat terhad. Saya kupas agenda pembaharuan dan cabaran. Seterusnya melayani soalan mengenai kerjasama Pakatan Rakyat; penekanan konsep keMelayuan Umno dan isu Keadilan yang tidak putus menerima serangan dari pemerintah dan dalaman. Alhamdulillah, penerimaan mereka nyata sekali positif.

Imam, sarjana dan wakil badan Islam menganjurkan jamuan tengahari dan membincangkan pelbagai isu. Media  Australia- ABC dan Skynews memberikan liputan meluas termasuk wawancara ekslusif di televisyen.

CANBERRA:

Sarjana dan wakil badan Islam Canberra meraikan saya dengan hidangan Turki disusuli dialog isu daa’wah, pendidikan dan kerjasama anatara kaum dan agama.
Keesokan paginya saya minum pagi dengan wakil pelajar Msia. Majlis dipendekkan kerana pertemuan yang disusun awal dengan Menteri Luar Kevin Rudd. Saya terkesan dengan sikap peribadi beliau yang begitu prihatin dan berbicara panjang isu semasa.
Saya kembali ke universiti (ANU) dalam majlis perbincangan dengan sarjana Fakulti Pengurusan, Ekonomi dan Asia Tenggara. Jamuan tengahari bersama Prof. Kent Anderson (Jabatan Falsafah), Prof. Tom. Kompas (ekonomi dan pengurusan), Graham Bradley (Majlis Perniagaan Australia) dan lain-lain.
Saya kemudian ke Parlimen menemui sebahagian ahli Parlimen dan senat yang menulis menyatakan sokongan kepada saya awal tahun ini. Mereka termasuk Michael Danby, Malcolm Turnbull, Andrew Leigh dan lain-lain.

Pidato di Dewan Besar Universiti ANU dipengerusikan Prof. Kent Anderson – dengan judul Social Justice. (teks pidato telah dimuatkan dalam blog terdahuulu). Prof. Kent Anderson kemudiannya mengundang beberapa sarjana utama untuk makan malam di rumah universiti.

Sebelum ke lapangan terbang untuk kembali ke tanah air saya berkunjung ke rumah Sarjana Kanan Prof. Emeritus AH. Johns.

ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan: