Rabu, 17 November 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Kurang patriotik: Bekas tentera bidas Zahid Hamidi

Posted: 17 Nov 2010 10:35 PM PST



Apabila Laksamana (B) K Thanabalasingam bersetuju menjadi panglima tentera laut negara yang pertama, tidak terlintas di fikirannya bahawa kesetiaannya kepada negara akan dipersoalkan.
Beliau yang mengetuai operasi tentera laut dan dipertanggungjawab melindung keselamatan Malaysia daripada pelbagai ancaman antara tahun 1960-an hingga 1970-an terguris dan tergaman apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata masyarakat bukan Melayu kurang semangat patriotik kerana tidak berminat menyertai angkatan tentera. "Saya tak faham, bagaimana kenyataan itu boleh dibuat... saya telah melalui banyak perkara dan saya tidak peduli siapa yang berkata demikian, ia menguris perasaan saya. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia dan saya bercadang untuk mati di sini," kata Thanabalasingam. Veteran tentera berusia 75 tahun itu memegang jawatan tertinggi tentera laut selama sembilan tahun satu bulan sebelum bersara pada Januari 1977 berkata tidak pernah timbul kurang patriotik di kalanagn bukan Melayu dalam mempertahankan negara.
Beliau mengimbas zaman mudanya ketika bersama rakan-rakannya berbangsa Melayu berjuang bersama tanpa mengira mereka dalam tentera laut, darat, udara ataupun pasukan polis - menghalau kebangkitan komunis selama tiga dekad daripada 1950-an hingga ia berakhir pada 1989, perjuangan semasa mempertahankan Malaysia semasa Konfrontasi dengan Indonesia daripada 1963 hingga 1966.

Konfrontasi "Malah semasa konfrontasi, banyak pertempuran di Selat Singapura dan Selat Melaka. Ketika itu, dua pegawai saya dianugerahkan pingat PGB (Panglima Gagah Berani), iaitu anugerah paling tinggi untuk keberanian kerana meletupkan Operasi Komando Kor Indonesia (KKO) semasa kami diserang.

"Seorang pegawai berbangsa India yang kemudiannya bersara sebagai laksamana pertama, manakala seorang lagi berbangsa Serani juga bersara sebagai laksamana pertama. Mengapa mereka diberi PGB? Kerana keberanian ketika bertugas," katanya dengan nada marah bercampur kesal. Bagi Brig Jen (B) Datuk Goh Seng Toh pula, beliau lebih lantang dalam bidasannya dan menyifatkan kenyataan Zahid itu sebagai "tidak adil, bodoh dan rasis".
Goh, 65, berkata sebelum sesiapa menuduh bukan Melayu tidak rela berkhidmat dengan angkatan tentera, mereka, khususnya pemimpin negara perlu menunjukkan teladan tentang apa yang mereka perkatakan itu. "Dia (Zahid) menyalak pada pokok yang salah... jika awak bercakap mengenai patriotisme, saya ada satu soalan; adakah anak-anak menteri kita menganggotai angkatan tentera? Jika tidak, hujah yang sama terpakai untuk mereka, kenapa hanya mensasarkan orang Cina? "Saya ditembak dua kali oleh pengganas komunis di Betong di sempadan Thai-Malaysia. Saya nyaris terbunuh lebih dari satu kali tetapi tidak pernah kecut. Jika siapa-siapa yang persoalkan semangat patriotik saya, saya marah," kata veteran tentera yang telah berkhidmat 35 tahun untuk negara itu.
Kedua-dua pegawai tentera kanan itu setuju bahawa isu kurang anggota bukan Melayu dalam angkatan tentera bukan kerana kesetiaan mereka tetapi lebih menjurus kepada cabaran di dunia moden ini. Thanabalasingam berkata golongan buka Melayu lebih mengambil berat berhubung prospek kerjaya mereka. Ini kerana persepsinya ialah golong bukan Melayu seringkali diketepikan apabila peluang kenaikkan pangkat dalam pasukan tentera itu.

Naik pangkat "Hari ini, orang ramai lebih berminat dengan kerjaya. Sekarang ini, mereka sertai tentera dan bukan hanya ikut arahan sahaja. Mereka mahu lihat apa peluang mereka, bolehkah gaji mencukupi bagi sara keluarga, beri pendidikan kepada anak-anak.. besarkan mereka dengan selesa.

"Jika keadaannya betul, mereka akan sertai. Angkatan tentera mesti membuktikan mereka menjanjikan masa depan dan prospek yang baik kepada anggotanya serta tiada diskriminasi dalam kenaikkan pangkat atau mengikuti kursus khas di luar negara," katanya. Goh berkata angkatan tentera juga gagal menangani persepi bahawa bangsa seseorang anggota diambil kira semasa proses kenaikkan pangkat. "Terdapat elemen kebenaran dalam kenyataan itu, kecuali awak berkata semua orang Cina yang menyertai angkata tentera tak bagus. Ini tidak benar kerana kebanyakan mereka bagus dan cekap tetapi mereka tinggalkan angkatan tentera kerana peluang naik pangkat tidak cerah." Goh, yang dinaikkan pangkat ke Brig Jen pada 1997 – tiga tahun sebelum beliau bersara - berkata antara sebab lain kurangnya askar bukan Melayu dalam ketenteraan negara adalah kerana sebahagian besar Angkatan Tentera Malaysia diwakili oleh Rejimen Askar Melayu Diraja.
"Tiada seorang pun bukan Melayu boleh menganggotainya. Tiada Cina, India, Iban atau mana-mana bangsa boleh sertai rejimen ini. Awak mesti jadi Melayu (untuk menyertai RAMD). "Saya tidak tahu banyak mana rejimen seumpama itu, tetapi andaikan ia mewakilinya 50 peratus daripada tentera negara, cuma ada peluang 50 peratus lagi kepada bangsa-bangsa lain dan ini pula kebanyakannya dalam bahagian perkhidmatan dan sokongan tentera," katanya. Namun menurut, Thanabalasingam beliau yakin rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama akan bersatu dan menawarkan diri mempertahankan negara jika keselamatan Malaysia terancam. "Jika kita berperang hari ini, saya akan tawar diri melakukan apa yang terdaya, walaupun saya kini berjalan menggunakan tongkat, ramai juga akan buat demikian untuk mempertahnkan negara," katanya.


Sumber: Malaysiakini

Pindaan perlembagaan BN timbulkan keresahan

Posted: 17 Nov 2010 10:30 PM PST

Cadangan supaya perdana menteri selaku pengerusi BN diberi kuasa penuh berhubung pemilihan calon bagi pilihan raya akan datang dikatakan tidak mendapat sokongan sebahagian besar pemimpin parti komponen gabungan itu.

Sumber yang rapat dengan gabungan itu memberitahu Malaysiakini bahawa cadangan berkenaan dimasukkan dalam draf pindaan dan telah diserahkan kepada 13 parti komponen BN pada awal tahun ini untuk pertimbangan mereka.

"Apa gunanya menjadi presiden parti? Ia tidak masuk akal. Kalau macam itu, lebih baik presiden bubarkan semua parti komponen dan jadikan BN sebagai satu parti.

"Amalan sekarang adalah bagi presiden parti mencadangkan nama calon, walaupun keputusan muktamad di tangan ketua BN.

"Tetapi sekarang hak ini mahu dirampas dan kuasa diberikan kepada satu orang sahaja," kata sumber itu.

Isu berkenaan menjadi 'duri dalam daging' dan semakin mendesak apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memikirkan sama ada untuk membubarkan parlimen supaya pilihan raya umum diadakan pada tahun depan.

Namun menurut sumber itu lagi, Najib kemungkinan besar akan melengkapkan penggalnya sebagai perdana menteri sebelum membubarkan parlimen.

Selain itu, perjanjian perkongsian kuasa bagi memastikan pengerusi BN berkuasa penuh, sumber itu berkata ada juga cadangan supaya BN yang selama ini membuat sebarang keputusan secara konsensus menggantikannya dengan undi majoriti.

Isu-isu berkenaan akan dibincangkan pada konvensyen BN minggu depan selain mencari jalan menyuntik semangat baru selepas kekalahan teruk mereka pada pilihan raya umum 2008 yang lalu.

Ia dijadualkan pada 28 November ini di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

"Mengikut perlembagaan BN, semua 13 parti komponen, masing-masing dikehendaki menghantar tiga perwakilan. Justeru, akan ada 45 hingga 50 perwakilan yang akan hadir membuat keputusan berkenaan."

Menurut sumber itu lagi, pindaan ke atas perlembagaan mesti pertamanya diluluskan oleh mesyuarat agung tahunan BN - yang akan dijadualkan kemudian - sebelum ia boleh dikuatkuasakan.

Katanya lagi, pemimpin utama parti juga akan menghadiri mesyuarat pengurusan BN pada Jumaat ini yang akan dipengerusikan oleh timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Perdana Menteri mahu mandat baru - kerana beliau baru ambil-alih daripada Abdullah dan tidak dilantik oleh rakyat.

"Bagaimanapun besar kemungkinan isu mengenai pilihan raya umum tidak akan dibincangkan pasa mesyuarat itu. Tetapi kita mungkin, buat pertama kalinya membincangkan cadangan pindaan perlembagaan itu," kata sumber itu lagi.

Tambahnya, ramai yang berpendapat lebih banyak perlu dilakukan untuk parti-parti kecil di kalangan gabungan BN.

"Mereka beri kami (kereta) Kancil tetapi menjangkakan kami bertindak seperti BMW," rungutnya.


Sumber: Malaysiakini

Prinsip Ketelusan menjadi dukungan Kerajaan Pakatan

Posted: 17 Nov 2010 10:28 PM PST


SHAH ALAM 18 Nov - Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Negeri Selangor bersedia untuk menghukum individu-individu yang terlibat dalam penyelewengan sekiranya terbukti bersalah.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, Kerajaan Negeri Pakatan memegang prinsip ketelusan dari awal pemerintahan termasuk tiada usaha melindungi kelemahan mana-mana pihak yang berlaku salah dalam pengurusan harta negeri.

Justeru tambahnya, sikap profesional kerajaan Selangor melantik wakil-wakil pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Yayasan Selangor melalui sistem temu duga mampu menangkis kelibat kroni seperti yang berlaku ketika pemerintahan Umno-Barisan Nasional (BN) terdahulu.

"Jadi di sini, kita dapat bezakan antara pemerintahan Barisan Nasional dan Pakatan, apabila sudah dilantik tiada kepentingan, bila berlaku apa-apa penyelewengan maka orang ini akan dikenakan tindakan. Kita tidak ada tutup, sembunyikan maklumat, tidak cuba membela dengan alasan-alasan remeh dan sebagainnya," jelas beliau dipetik daripada TV Selangor di pekarangan Masjid Al-Ehsan, Shah Alam semalam.

"Bagi kita dalam Pakatan, kita tidak ada kepentingan. Kita minta rakyat yang ada dalam PKNS, Yayasan Selangor, sekiranya ada maklumat, dedahkan. Orang bersalah akan dikenakan tindakan. Tidak ada apa yang kita sorok, berpura-pura."

Khalid yang hadir ke majlis Korban di Seksyen 24, Shah Alam pagi tadi, turut tidak menafikan kelemahan dalam pengurusan yang baru diambil alih, justeru Kerajaan Pakatan berusaha untuk menurunkan kadar ketirisan ke tahap minima.

Tambah beliau lagi, sekiranya terdapat sebarang masalah dan kelemahan dalam pengurusan Yayasan Selangor seperti yang didakwa maka ia tidak lagi melibatkan campur tangan pemimpin politik.

"Kalau macam dulu ada penyelewengan, ia atas arahan pemimpin Barisan Nasional kerana mereka mahukan kekayaan dan sebagainya.

"Tapi sekarang ini kerana ia diserahkan kepada pihak profesional dan mereka sepatutnya menguruskan dengan cara baik, jadi sekiranya ada penyelewengan maka pengurusan yang dilantik akan dikenakan tindakan," kata beliau.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa, kerajaan Selangor membelanjakan sejumlah RM800 ribu untuk kos penganjuran majlis sambutan ulang tahun Yayasan Selangor Jumaat lalu.

Noh juga mendakwa sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberikan kontrak untuk menganjurkannya.

Isu tersebut mula mendapat perhatian apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dilaporkan membatalkan hasrat untuk berangkat ke majlis itu apabila dikatakan dukacita kerana kos mengadakannya amat tinggi.

Khalid yang juga Lajnah Politik PAS percaya kerajaan Umno-BN tidak mampu melaksanakan ketelusan sepanjang pemerintahan parti itu kerana sering melindungi kepentingan individu-individu tertentu melalui kuasa politik.

Beliau yang menyifatkan Noh Omar sebagai kurang akal, turut mengecam tindakan menteri itu membela sekumpulan samseng yang memukul Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Karang, Ng Suee Lim, ketika membuat lawatan bertemu petani di daerah itu minggu lalu.

"Kita tidak ada usaha sorokkan perkara tersebut. Bukan macam Noh Omar, bila YB Ng Suee Lim pergi ke Tanjong Karang kerana hendak dengar aduan petani, kena pukul. Lepas itu Nor Omar membela, mengatakan YB tersebut memang patut dipukul. Ini menteri yang sewel sikit," tegas beliau.

Kira-kira 200 orang hadir ke pekarangan Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Shah Alam pagi tadi menyaksikan 13 ekor lembu dikorbankan pada sambutan Hari Raya Aidil Adha kali ini.

Khalid Samad turut membantu ahli jawatankuasa masjid melapah daging lembu.


Sumber: Selangorkini

Idea Konsensus Bebas dianggap lapuk

Posted: 17 Nov 2010 10:21 PM PST


SHAH ALAM, 18 Nov - Setiausaha Menteri Besar, Faekah Husin berkata, Konsensus Ahli Parlimen Bebas, yang dianggotai lima bekas ahli Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN), dianggap sebagai ketinggalan zaman kerana ia terlebih dahulu telah diambil tindakan oleh kerajaan negeri.

"Mereka ini sebenarnya ketinggalan zaman, kerana kita telahpun melantik firma audit profesional dan bebas bagi menjalankan kerja-kerja audit untuk semua agensi kerajaan negeri kerana merasakan tidak ada yang perlu disorokkan," katanya dipetik daripada Sinar.

Menurut beliau, sebagai contoh, kerajaan negeri telahpun melaksanakan Pek Integreti ke atas pentadbiran Kerajaan Tempatan dalam usaha membendung masalah penyalahgunaan kuasa dan gejala rasuah.

"Pek Integreti yang diurus oleh Transparency Internasional sudahpun dipraktikkan dengan meluas dalam Kerajaan Tempatan di luar negara seperti Itali, Indonesia dan Korea Selatan," katanya.

Pek Integreti sebelum ini diperkenalkan Kumpulan Semesta Sdn Bhd bagi memastikan anak syarikat kerajaan negeri dan kontraktor perlombongan pasir berlesen tidak menjalankan urus niaga secara tidak bermoral.

"Sekiranya salah satu pihak melakukan penyelewengan, sebelah pihak lagi berhak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

"Ini adalah perjanjian, kita bakal melaksakan dengan beberapa fasa, supaya pihak bertanggungjawab faham tanggungjawab masing-masing," jelasnya.

Kelmarin, Konsensus Bebas mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, melantik firma audit profesional dan Bebas bagi menjalankan kerja-kerja audit untuk semua agensi kerajaan.


Sumber: Selangorkini

Polis Disaran Ambil Kursus Komunikasi

Posted: 17 Nov 2010 10:18 PM PST


KUALA LUMPUR 18 NOV: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran mengambil kursus berkaitan kemahiran berkomunikasi, termasuk pelbagai bahasa, sebagai langkah menyerapkan rasa 'mesra' dan 'melindungi' terutama ketika berhadapan dengan orang awam.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata latihan itu penting bagi mengelakkan berlaku salah faham antara polis dan masyarakat serta tuduhan kononnya polis tidak mesra masyarakat.

"Mereka (polis) harus dilatih dengan latihan ataupun kursus yang berkaitan dengan komunikasi agar ketika berhadapan dengan masyarakat, hubungan itu menjadi semakin erat dan orang ramai sendiri tidak akan takut untuk membuat laporan polis atau menyalurkan sebarang maklumat.

"Dengan latihan sebegitu, jika ada pengadu yang membuat laporan polis, anggota yang bertugas tahu bagaimana untuk berinteraksi dengan pengadu secara

profesional dan mesra tanpa menyinggung perasaannya sekaligus tiada tuduhan bukan-bukan dari masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas forum meja bulat NKRA untuk pengurangan jenayah di Wisma Bernama di sini semalam.

Lee berkata anggota polis juga disaran mengamalkan 4P -- People Oriented (berorientasikan masyarakat), Protective (melindungi), Performance (pencapaian) dan Proactive (proaktif) -- bagi meningkatkan profesionalisme pasukan itu dan sebagai landasan mengurangkan kadar jenayah.

Beliau berkata konsep kepolisan yang memerlukan penglibatan masyarakat itu penting bagi memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap usaha dan langkah-langkah yang dilakukan dalam mengurangkan jenayah.

"Ia (perbetulkan persepsi) perlu dilakukan pihak polis kerana masih ramai yang buat komen sinikal terhadap polis dan mereka memperkecilkan usaha yang telah diambil, mereka tak percaya apa-apa perangkaan yang dikeluarkan oleh polis," katanya.

Beliau berkata melalui dasar 'People Oriented' ini, polis perlu merapatkan hubungan dengan masyarakat agar segala maklumat mudah disalurkan dan ia secara tidak langsung dapat mengekang kadar jenayah di negara ini.

"Di MCPF, kami akan mengundang pihak polis dalam apa juga aktiviti atau program kami. Ini merupakan peluang terbaik mereka (polis) untuk berinteraksi dengan orang ramai dan bertanya seberapa banyak soalan atau keraguan kepada mereka.

"Melalui aduan, kenyataan dan kesangsian ini, pihak polis secara tidak langsung dapat mengkaji usaha atau mekanisme yang boleh dilakukan agar dapat menangani masalah itu, yang akhirnya memberi kepuasan kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata selain itu, apabila polis membuat rondaan di kawasan perumahan, mereka (polis) boleh mengambil kesempatan itu untuk berinteraksi dengan orang ramai termasuk bertanya hal kebajikan serta persepsi tentang jenayah di tempat mereka.

Lee berkata 'People Oriented' itu seharusnya dapat dilaksanakan ke peringkat akar umbi PDRM kerana pada akhirnya masyarakat juga yang akan menilai tahap, usaha dan pencapaian PDRM dalam mengekang jenayah di negara ini.

"Saya nak cadangkan ini kerana ia merupakan satu tindakan yang sepatutnya diambil oleh polis. Saya rasa mereka mesti mengambil tindakan proaktif bagi memastikan mereka boleh membina hubungan yang harmoni dengan masyarakat, lebih mesra kepada masyarakat.

"Apa yang penting pada akhirnya ialah mereka mesti memastikan bahawa polis dan masyarakat bekerjasama, mereka boleh memahami antara satu sama lain dengan lebih baik," katanya.

Beliau berkata setiap anggota polis juga perlu memastikan diri mereka boleh dijadikan contoh terbaik kepada masyarakat jika mahu dipandang tinggi, dihormati dan menerima persepsi positif daripada mereka.


Sumber: Bernama.

Kedai Tutup: Presiden MCA Salahkan Aidil Adha

Posted: 17 Nov 2010 10:14 PM PST


KOTA BHARU 18 NOV : Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek sekali lagi cuba mencetuskan isu untuk membelasah PAS semalam apabila mempersoalkan mengapa kebanyakan kedai di Kota Bharu tutup sempena sambutan Aidil Adha, lapor Harakahdaily.

"Disebabkan Hari Raya Haji, semua kedai nampak tertutup untuk sambutan ataupun ini adalah arahan daripada majlis tempatan? Ia sunyi di Kota Bharu," soal Chua di Twitter walaupun sememangnya umum diketahui bahawa sambutan Hari Raya Haji di Kelantan dan beberapa negeri lain adalah jauh lebih meriah berbanding Hari Raya Aidilfitri.

Kenyataan bekas Menteri Kesihatan yang pernah terpalit dengan skandal seks apabila videonya dengan seorang wanita tersebar di khalayak ramai, menerima kritikan keras daripada ahli parlimen Batu, Tian Chua yang menyelar Chua cuba menjadikan cuti sambutan Aidil Adha sebagai satu isu.

Kenyataan Chua turut dibidas oleh para pengikutnya di Twitter sehingga beliau dituduh sebagai seorang ahli politik yang bankrap idea.

"Reportlah polis. Minta suruhanjaya diraja. Buat demo ke," cabar seorang pengguna Twitter Noor Azam yang juga kelihatan tersinggung dengan kenyataan Chua.

Ini bukan kali pertama presiden MCA itu menonjolkan kedaifannya terhadap hal-hal berkaitan Islam.

Pada bulan Ogos yang lepas, Chua menimbulkan kontroversi apabila mengatakan antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.

Beliau turut mendakwa pertarungan keIslaman antara Umno dan PAS sebagai punca utama negara terperangkap dalam golongan negara berpendapatan sederhana untuk sedekad yang lalu.

Kenyataan Chua tersebut menerima kritikan pedas dari ahli politik kedua-dua sisi dan disebabkan itu, sebagai jalan keluar bekas menteri Kesihatan menyalahkan online portal Malaysiakini dan The Malaysia Insider kerana 'salah memetik' kenyataannya.


Sumber: TVSNEWS

BN Guna Jabatan Imigresen Sarawak Halang Pembangkang Buat Kunjungan

Posted: 17 Nov 2010 10:11 PM PST


KUALA LUMPUR 18 Nov - Badan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membidas keputusan kerajaan negeri Sarawak yang mengenakan syarat kepada salah seorang Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jannie Lasimbang dan menganggap langkah itu sebagai sikap tidak toleransi terhadap usaha mempromosi dan mempertahankan hak asasi di negeri itu.

Suaram berkata dalam satu kenyataannya semalam sikap yang diambil oleh kerajaan negeri itu tidak memeranjatkan memandangkan rekod buruk di segi isu hak asasi manusia di Sarawak.

"Terdapat kes di mana warga Sarawak yang dinafikan hak untuk keluar negeri dan aktivis dari Semenanjung yang dihalang memasuki negeri itu.

"Persoalannya bagaimana ini boleh dikatakan selari dengan konsep 1Malaysia yang di war-warkan apabila warganegara sendiri dinafikan hak bergerak di dalam negeri dan juga ke luar negara?" tanya Pengurus Program Suaram, Tah Moon Hui.

Sungguhpun Suaram menerima hakikat bahawa Sarawak mempunyai dasar yang berbeza di segi peraturan imigresen hasil Perjanjian Persekutuan Malaysia 1963 namun hak ini tidak boleh disalah guna dengan sesuka hati oleh kerajaan negeri.

Dalam banyak kes kata badan itu tidak ada alasan rasmi diberikan apabila seseorang warganegara di halang memasuki Sarawak di kaunter imigresen.

"Kebanyakan individu hanya diberitahu secara tidak rasmi bahawa mereka disenaraihitamkan atas alasan penglibatan mereka dalam aktiviti anti-pembalakan atau kempen melindungi hutan Sarawak, sumber dan juga pribumi negeri itu.

"Dalam kes Jannie Lasimbang beliau diharamkan memasuki Sarawak atas sebab kunjungannya pada tahun 1994 atas misi kajian mengenai kaum Penan," tegas Moon Hui.

Suaram mendesak Suhakam menjalankan penyiasatan berhubung perkara ini terutamanya mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa jabatan imigresen negeri untuk menindas suara pembangkang.

Badan itu juga mahu kerajaan negeri Sarawak mengiktiraf hak semua rakyat Malaysia untuk bergerak secara bebas dan menghentikan amalan
menyenaraihitamkan individu tertentu daripada memasuki negeri itu.


Sumber: Suara Keadilan

Selepas Aminulrasyid, Polis Tembak Mati Pula Remaja 16 Tahun

Posted: 17 Nov 2010 10:06 PM PST


KUALA LUMPUR 18 Nov - Badan hak asasi manusia, Suara Malaysia (Suaram) mengutuk keras tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menembak mati tiga suspek anak muda yang disyaki terlibat dalam satu kes rompakan sebuah stesen minyak di Glenmarie, Shah Alam pada pukul 4.15 pagi 13 November lalu.

Malah dalam kejadian itu salah seorang yang ditembak mati oleh anggota polis adalah remaja di bawah umur berusia 16 tahun, Mohd Shamil Hafiz Shafie.

Kematian tragis Mohd Shamil merupakan remaja bawah umur yang kedua ditembak mati oleh polis selepas kes kematian Aminulrasyid Anzah, 14 tahun pada 26 April tahun ini.

"Kami amat kecewa atas alasan polis terhadap insiden tersebut yang menuduh bahawa polis terpaksa menembak mati ketiga-tiga suspek kerana ketiga-tiga menyerang polis dengan menggunakan parang. Kalau supsek hanya menggunakan parang, mengapa kesemua mereka di tembak mati? Adakah sebarang amaran diberikan oleh polis kepada suspek? Versi polis dalam setiap kes penembakan mati adalah sama dan mereka selalu menggunakan faktor keselamatan diri untuk justifikasi penngunaan senjata api di mana sehingga hari ini pasukan polis tidak pernah mendedahkan konteks penggunaan senjata api oleh pihak polis di Malaysia.

"Kami memahami risiko keselamatan bertugas sebagai polis namun kami tidak boleh menerima cara polis yang selalu menggunakan senjata api dan menembak mati seseorang suspek. Perlembagaan Persekutuan Artikel 5 (1) jelas menyatakan setiap individu perlu menghormati hak bernyawa setiap manusia," kata Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu Suaram menyeru Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar segera mengemukakkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) yang dituntut oleh rakyat dan membuktikan bahawa beliau serius dalam melaksanakan pendekatan 4P yang dilaung-laungkannya.

"Kami menyeru agar satu Suruhanjaya yang bebas dan berdikari ditubuhkan untuk menyiasat segala kes penembakan mati oleh polis dengan serta- merta.

"Kami tidak boleh menerima bahawa IGSO sebagai bahan sulit kerana ia melibatkan kepentingan keselamatan dan nyawa setiap rakyat dan ia sepatutnya diumunkan. Ini dengan jelas membuktikan bahawa penggunaan senjata api oleh polis tidak diimbangi oleh pemeriksaan awam dan sekaligus menyebabkan tahap akauntabiliti yang amat rendah di dalam institusi polis.

"Oleh kerana ketiadaan prosedur yang kukuh untuk memastikan setiap kes tembakan polis seperti ini dilaporkan dan disiasat secara bebas dan menyeluruh, timbul keraguan sama ada pihak polis sememangnya menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri ataupun sengaja menggunakan terhadap suspek untuk memudahkan penyelesaian kes mereka," tegas beliau lagi.

Heng Lung berpendapat penggunaan senjata dan tidak memberikan hak untuk suspek membela diri adalah salah dari segi undang-undang hak asasi.

Tambah beliau, penembakan mati anak muda bawah umur Mohd Shamil merupakan satu pelanggaran terhadap Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Kanak-Kanak (CRC) terutamanya Artikel 16 (1) & (11) dan Artikel 37 yang memberi perlindungan terhadap kanak-kanak bawah undang-undang dan terlindung dari sebarang hukuman yang tidak berperikemanusiaan ataupun penangkapan tanpa bicara.

"Penyalahgunaan kuasa di kalangan PDRM dan penindasan terhadap hak asasi manusia adalah masalah serius yang jelas wujud dalam PDRM, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia.

"Kami menyeru pihak polis berhenti mengunakan alasan kononnya menyelesaikan kes jenayah dan untuk keselamatan polis dengan terpaksa menembak mati sesiapa suspek . Kami percaya pihak polis adalah terlatih dan berprofesional serta sanggup mengikuti prosedur penggunaan senjata api yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Suaram menuntut agar pihak Kerajaan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia terutama menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera," ujar Heng Lung.


Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: