Rabu, 10 November 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Loke: Belanja perjalanan menteri bercanggah

Posted: 10 Nov 2010 12:05 AM PST

Jawapan bertulis terbaru Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berhubung butiran perjalanannya adalah RM300,000 kurang daripada jawapan yang hampir sama diberikan dua minggu sebelum ini.

Ahli parlimen Rasah, Anthony Loke berkata percanggahan jawapan Ng semalam berhubung butiran perbelanjaan perjalanannya bagi Januari sehingga Oktober adalah RM1.28 juta tetapi jawapannya kepada MP Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat pada 28 Oktober lalu hanya mencatatkan jumlah RM1.58 juta.

"Terdapat perbezaan RM300,000... Adakah kerana menteri terlalu letih dengan penerbangan sehingga dia baca angka yang salah?" perlinya.

Ng sebelum ini sering-kali menjadi bidasan ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat yang menuntut jawapan berhubung lawatan luar negara yang didakwanya bagi mempromosi Malaysia.

Beberapa ahli parlimen menuntut menteri pelancongan itu memberikan butiran terperinci perbelanjaannya, khususnya ketika ke New Zealand dan Australia yang menelan belanja RM245,000.

Semalam dalam jawapannya Ng mendakwa ia merupakan hasil promosi menerusi lawatan, yang termasuk taklimat kepada 9,173 individu menerusi 306 acara iaitu seminar, travel mart, sidang media, wawancara media, perjumpaan khas termasuk berjumpa dengan 20 menteri pelancongan dari Asean, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec), Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) dan kumpulan 20 negara anggota atau G20.

Merujuk jawapan bertulis Ng berhubung 'misi' tujuh hari ke Eropah pada 25 hingga 31Mei lalu, Loke berkata

"Adakah ini lawatan membeli-belah atau apa?" soal Loke sambil berkata jumlah itu tidak masuk akal kerana kebanyakan pelancong yang melawat Malaysia bukan datang dari Eropah.

Menurut jawapan bertulis Ng lagi, lawatan ke Eropah berkenaan membabitkan "dua delegasi" dari Kementerian Pelancongan yang melawat London, Munich dan Milan.

Semasa lawatan itu, Ng dikatakan berjumpa dengan Persatuan Diraja Hortikultural bagi mempromosi taman-taman di Malaysia manakala pegawai Tourism Malaysia pula terbabit dengan Pameran Bunga Chelsea.

Katanya lagi, Tourism Malaysia memenangi pingat emas di bawah kategori 'pameran taman' dan kemudiannya diwawancara oleh BBC.Menurut Loke, ini bukan kali pertama Ng memberikan butiran perbelanjaan lawatan yang bercanggah.

Beliau memberi contoh misi kementerian itu ke negara-negara Teluk antara 4 hingga 12 Mei lalu.

Jawapan Ng kepadanya mengatakan kos yang terbabit adalah RM97,000, tetapi jawapan menteri itu kepada ahli parlimen Batu, Tian Chua sebelum itu, pula adalah RM300,000.

Loke berkata beliau berharap menteri berkenaan dan kementeriannya akan bertindak lebih profesional dalam menjalakan tugas mereka.

"Kami akan terus baca dan bandingkan jawapan dengan apa yang diberikan sebelum ini, baik daripada MP Pakatan mahupun BN untuk pastikan jumlah yang diberikan adalah konsisten," katanya.


Sumber: Malaysiakini

Provokasi Zulkifli Nordin,MP Kuala Selangor Dihalau Keluar Dewan

Posted: 10 Nov 2010 12:02 AM PST


KUALA LUMPUR 11 NOV: Seorang lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dihalau keluar dewan hari ini oleh Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dr Dzulkefly Ahmad PAS Kuala Selangor dihalau keluar berikutan tindakannya yang bangkit mempertikaikan tindakan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin yang dengan sengaja memprovokasi Ahli Parlimen PAS berhubung isu pelajar beragama Islam di Sarawak yang didakwa membawa sosej babi ke sekolah.

Dr Dzulkefly yang berang dengan tindakan tersebut mendesak supaya Zulkifli tidak lari daripada tajuk perbahasan yang sebenar.

Zulkifli kemudiannya dengan sengaja mengapi-apikan sehingga menyebabkan Dr Dzulkefly diarah keluar sehingga tamat sesi dewan sehingga tengahari.
"Jika bapa budak itu beragama Islam, maka sewajarnya budak itu juga semestinya beragama Islam," kata Zulkifli.

Namun, menurut Dzulkefly, isu yang dibangkitkan bukan berhubung indentiti agama pelajar berkenaan tetapi tindakan pihak sekolah yang menghukum budak lelaki itu dengan merotannya.

Zulkifli kemudian menuduh PAS mencadangkan orang Islam makan khinzir dan dakwaan itu mencetuskan ketegangan di Dewan Rakyat dengan Dzulkefly terus membidasnya.

Meskipun diarahkan oleh timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Jaafar, supaya berhenti bertengkar dan duduk, namun Dzulkefly terus membidas bekas ahli parlimen PKR yang berpaling tadah itu.

Wan Junaidi kemudian mengarahkan supaya keluar dewan sehingga waktu makan tengahari berahir pada jam 2.30 petang.

Insiden turut menyebabkan dewan kecoh dan Wan Junaidi tidak dapat mengawal keadaan sehingga beberapa lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(12) supaya Zulkifli turut dihalau daripada dewan.

Wan Junaidi memberikan alasan arahan tersebut disebabkan keengganan Dr Dzulkefly daripada terus berbahas.

Sementara itu, dalam sidang media di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak supaya Wan Junaidi mengambil tindakan tegas terhadap Zulkifli.

Dalam sidang media itu juga, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen turut menafikan dakwaan Zulkifli kerana jelasnya bahawa usul yang dibangkitkan semalam adalah mengenai pelajar bukan Islam yang dirotan sebanyak 10 kali oleh pihak pentadbiran di sebuah sekolah di Sarawak kerana membawa sosej babi ke sekolah.

Selasa lepas, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo turut dihalau dan dikenakan tindakan digantung selama satu hari oleh Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sumber: TVSNEWS

Terokai Bisnes Judi , Komponen BN MCA Timbang Beli Tanjong

Posted: 09 Nov 2010 11:59 PM PST


KUALA LUMPUR 10 NOV : Komponen Barisan Nasional iaitu MCA dikatakan menyertai usaha membida bisnes perjudian Tanjong Plc yang bernilai sekitar RM2.5 bilion, syarikat yang turut menjadi tumpuan keluarga Cheng bersama ahli perniagaan Filipina Roberto 'Bobby' Ongpin Jr dan beberapa firma ekuiti swasta antarabangsa.

Lapor portal berita The Malaysian Insider usaha parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menjadi perhatian susulan langkahnya menjual pegangan dalam sayap pelaburan Huaren Holdings Sdn Bhd, yang melepaskan 42.4 peratus pegangannya dalam Star Publications (M) Bhd, yang menerbitkan The Star, pada nilai RM1.28 bilion baru-baru ini.

Dengan penjualan itu syarikat tersebut dijangka akan menggunakan dana tersebut untuk membeli Tanjong dengan kombinasi pembiayaan.

The Malaysian Insider difahamkan MCA telah dinasihatkan untuk membida mendapatkan unit perjudian memandangkan operasi itu menawarkan pulangan baik, sebagaimana disumbangkan oleh perniagaan akhbar harian The Star.

"MCA sedang dalam usaha memburu Tanjong," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.

Difahamkan, pemegang utama saham Tanjong T. Ananda Krishnan akan memutuskan seawal hari ini sama ada mahu memutuskan penjualan syarikatnya.

Malah difahamkan, jualan syarikat itu juga sebahagian daripada langkah pematuhan elemen syariah dan juga untuk menerokai peluang pasaran di Timur Tengah dan Utara Afrika di samping usaha di Asia Tenggara dan Selatan bagi memperluaskan bisnes penjanaan tenaga.

Seorang pemain utama dalam soal perundingan ialah Ongpin, menteri perdagangan ketika era Marcos, yang membangunkan hartanah yang agar besar, bisnes telekomunikasi dan perniagaan perjudian atas talian di Filipina.

Difahamkan beliau akan menjadi rakan dalam bidaan itu sama ada oleh sayap pelaburan MCA ataupun keluarga Cheng, yang terlibat dalam perniagaan mesin slot perjudian, kebanyakannya bertumpu di Lembah Klang.

Keluarga itu diterajui oleh Datuk David Cheng, yang anaknya Datuk Douglas Cheng bergandingan dengan Datuk Vincent Tan Ting Wong dan Henry Yip mengadakan rangkaian restoran Cina popular Dragon-I pada 2004.

"Ada jurang kecil dalam soal penilaian antara apa yang ditawarkan dan yang diminta," kata sumber itu lagi.

The Malaysian Insider difahamkan perbezaan dimaksudkan itu dalam lingkungan RM100 juta.

Bisnes perjudian Tanjong termasuk operator nombor ramalan dan cabutan loteri Big Sweep dan lumba kuda.

Sayap perjudian Tanjong, Pan Malaysian Pools Sdn Bhd kini menguasai 24 peratus pasaran tempatan manakala Berjaya Sports Toto Bhd yang dimiliki Tan Sri Vincent mempunyai 40 peratus manakala Magnum Corp Bhd pula 36 peratus.

Sementara perniagaan cabutan nombor ramalan dan loteri menghasilkan aliran tunai yang baik, Tanjong dikatakan berhadapan dengan kerugian dalam operasi lumba kuda.

Kerugian daripada aktiviti lumba kuda dianggarkan RM80 juta pada tahun kewangan semasa.

Difahamkan pemilik baru Tanjong akan menawarkan produk perjudian baru bagi memastikan pulangan yang lebih baik selain meminta pengurangan cukai kerajaan.


Sumber: TVSNEWS

Kes Aminulrasyid Amzah : 32 Lubang Dan Lekukan Peluru Ditemui

Posted: 09 Nov 2010 11:50 PM PST


SHAH ALAM 10 NOV : Mahkamah Sesyen semalam diberitahu bahawa sebanyak 32 lubang dan lekukan peluru ditemui pada kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada hari dia dikatakan ditembak mati oleh seorang anggota polis.

Ketua unit senjata api dan kesan alat dari Seksyen Criminalistic, bahagian forensik, Jabatan Kimia, Shaari Desa berkata kesemua kesan itu ditemui semasa beliau memeriksa kereta bernombor pendaftaran BET 5023, yang diserahkan kepadanya oleh pegawai penyiasat pada 5 Mei lepas.

Lapor Bernama, saksi ke-24 pendakwaan itu berkata beliau juga menemui satu kesan tembakan dari arah belakang kereta yang menembusi bahagian tempat letak kepala kerusi pemandu.

Beliau berkata kesan lubang peluru turut ditemui pada belakang kereta, ekzosdan bahagian tangki minyak.

Shaari berkata demikian pada perbicaraan Koperal Jenain Subi, 48, yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11,antara 1.10 pagi dan 2 pagi, pada 26 April lepas, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. Beliau berkata selain tembakan, turut ditemui pada kereta itu ialah kesan perlanggaran seperti kerosakan pada sisi kiri bahagian depan dan penjuru depan sebelah kiri.

Ditanya mengenai kedudukan penembak dengan kereta yang dipandu mangsa,Shaari berkata yang pasti, individu tersebut bukan dalam keadaan merangkak atau meniarap.

Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, Shaari berkata beliau tidak dapat menganalisis satu serpihan peluru yang diterima dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi mengenal pasti senjata yang digunakan kerana ia telah rosak dan tidak sesuai untuk dibuat perbandingan.

Serpihan peluru itu dipercayai ditemui pada belakang kepala Aminulrasyid oleh pakar perunding kanan Jabatan Perubatan Forensik HTAR Dr Khairul Azman Ibrahim, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa, yang disahkan meninggal dunia akibat luka tembakan di kepalanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar bersambung hari ini.


Sumber: TVSNEWS

Selangor Sokong Projek Greater KL Bukan Menara 100 Tingkat

Posted: 09 Nov 2010 11:48 PM PST

khalid2SHAH ALAM 10 Nov - Menteri Besar Selangor , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyokong projek membangunkan Lembah Klang menerusi projek The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley.

Menteri Besar berpendapat, pembangunan semula Lembah Klang menerusi projek The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley itu mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan penyediaan kemudahan infrastruktur yang lebih maju kepada penduduk di Lembah Klang.

Bagaimanapun, kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menjayakan The Greater Kuala Lumpur and Klang Valley tidak bermaksud beliau menyokong pembinaan menara 100 tingkat yang bakal dikenali sebagai Warisan Merdeka yang terkandung dalam projek tersebut,

Menteri Besar berkata, pembinaan menara 100 tingkat perlu dibahaskan dan diteliti untuk mendapat pandangan pelbagai pihak dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu menjelaskan sumber pembiayaan projek ini dan juga bagaimana ia boleh memberi kebaikan ekonomi, sosial dan infrastruktur kepada rakyat.

"Kita perlu bincang jika bangunan ini benar-benar akan memberi kebaikan kepada rakyat. Jika bangunan ini dibina hanya kerana ianya mahu dibina, saya rasa kita tidak perlu. PNB perlu nyatakan secara terperinci bagaimana mereka boleh menjayakan pembangunan bangunan 100 tingkat ini," kata Tan Sri Abdul Khalid.

"Oleh itu berita yang mengatakan saya menyokong pembinaan bangunan 100 tingkat tersebut adalah tidak tepat," katanya ketika diminta menjelaskan berita yang melaporkan Menteri Besar menyokong pembinaan Warisan Merdeka ketika berucap di Dewan Negeri Selangor pagi semalam.

Sumber: Suara Keadilan

BTN Pelopor Kepada Penyebaran Fahaman Perkauman Sempit

Posted: 09 Nov 2010 11:46 PM PST

tian5KUALA LUMPUR 10 Nov - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata tindakan yang diambil terhadap pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) Hamim Husin yang menghamburkan kata-kata berunsur perkauman tidak menyelesaikan masalah politik perkauman sempit.

Menurut beliau, pemerintah Umno-Barisan Nasional secara aktif telah mempropaganda dan mempromosikan fahaman politik perkauman yang sempit.

"Kita harap kursus seperti Biro Tata Negara (BTN), kursus yang tidak selaras dengan prinsip berasaskan berbilang kaum dapat dibetulkan dan sahaja melalui slogan 1 Malaysia.

"Kita harap persepsi dan juga fahaman perkauman dapat diperbetulkan di semua peringkat kerajaan," ujar beliau ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Berhubung hukuman yang dikenakan terhadap pegawai kerajaan terbabit, beliau berkata tindakan kerajaan yang lambat bertindak mencerminkan betapa seriusnya masalah tersebut.

"Sungguhpun tindakan sudah diambil, ianya tidak menyelesaikan masalah kerana fahaman ini sudah tersebar," tegasnya.

Sementara itu , bagi Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata kerajaan Umno-BN tidak memandang serius isu perkauman.

"Ini menunjukkan bahawa gagasan 1 Malaysia yang kononnya membawa agenda inklusif merupakan satu retorik.

"Bagi saya, komitmen kerajaan hanya akan diyakini kalau dibuktikan dengan tindakan," kata beliau.

Ujarnya, isu itu penting kerana ianya berlaku di peringkat pendidikan yang berbeza dengan peringkat-peringkat yang lain.

"Kalau isu pendidikan sebegitu pun tidak diberikan perhatian yang tegas, mana mungkin kerajaan akan mengambil tindakan kalau berlaku di tempat kerja atau tempat awam.

"Jawapan yang diberikan oleh Menteri tidak menggambarkan komitmen dan retorik 1 Malaysia yang bertepatan apabila Pakatan Rakyat menolaknya," tegas Yusmadi.

Dalam pada itu, beliau turut membidas tindakan kerajaan yang hanya bertindak menghukum individu terbabit selepas diasak oleh Ahli Parlimen kedua-dua belah pihak di Dewan Rakyat.

"Pada pandangan saya, BN masih lagi ditunjangi dengan politik perkauman sempit ala Umno yang berlawanan dengan agenda 1 Malaysia," ujar beliau.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: