Suara Sri Andalas |
- Belanjawan Selangor 2011 Sasar Kerjasama dan Defisit Sifar
- MTUC Gesa Kerajaan Kawal Dana Pencen Swasta
- Kuil Baru Seksyen 23, Siap November Ini
Belanjawan Selangor 2011 Sasar Kerjasama dan Defisit Sifar Posted: 20 Oct 2010 07:35 PM PDT Belanjawan Selangor 2011 yang akan dibentang pada November depan berteraskan kepada belanjawan defisit sifar dan mengeratkan kerjasama ekonomi antara Kerajaan Negeri dan Pusat. Penjimatan dari strategi defisit sifar ini dan pendapatan dari kerjasama Selangor-Putrajaya akan digunakan untuk memacu pembangunan semula kawasan bandar, mewujudkan sistem pengangkutan cekap dan membangunkan potensi komersil di sepanjang tebing Sungai Klang. "Kerajaan negeri merasakan usaha pembangunan di Kuala Lumpur Raya adalah usaha yang patut mendapat sokongan dari Kerajaan Negeri. Kita mahu bekerjasaman dengan Kerajaan Pusat untuk merangka dan melaksana sistem pengangkutan efisien yang memberi penekanan kepada pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa," kata Khalid. Selain dari memanfaatkan program-program pembangunan yang direncana Kerajaan Pusat, Tan Sri Khalid berkata Selangor merancang untuk menjayakan beberapa projek yang direncanakan dalam pakej stimulus Selangor. "Kita merasakan program pembangunan semula kawasan bandar adalah salah-satu cara untuk merangsang ekonomi Malaysia, yang terkesan dengan aliran pelaburan asing yang berkurangan," tegas Khalid. Kerajaan Negeri bagaimanapun mengambil langkah cermat dan berhati-hati supaya pengemblengan sektor hartanah tidak akan membebankan pengguna dan pembayar cukai Selangor. Selain itu,Khalid juga ingin melihat projek pemulihan dan kemajuan Sungai Klang berjalan lancar, menjadikannya koridor pelbagai fungsi untuk pembangunan hartanah, komersil, pengangkutan dan pembekalan air. "Usaha untuk memperindah dan membangunkan Sungai Klang adalah selari dengan rancangan Kuala Lumpur Raya," kata Khalid. Menteri Besar Tan sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri mengambil iktibar dari Belanjawan Nasional 2011 dan menjadikannya sebagai panduan untuk menghasilkan belanjawan yang lebih baik. Beliau berpendapatan Belanjawan Nasional yang dibentang Perdana Menteri Najib Tun Razak boleh diperbaiki lagi terutamanya dari aspek menjimat perbelanjaan dan mengurangkan defisit. "Kita harus mengambil iktibar bagaimana negara-negara Barat seperti United Kingdom yang juga mengambil langkah untuk mengurangkan defisit perbelanjaan. Walaubagaimanapun ini tidak dilakukan dalam Belanjawan Nasional 2011" kata Khalid. Sumber: TVSelangor |
MTUC Gesa Kerajaan Kawal Dana Pencen Swasta Posted: 20 Oct 2010 07:00 PM PDT SHAH ALAM 20 OKT : Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Syahir Syed Mohamud berkata, kerajaan yang seharusnya mengawal Dana Pencen Swasta, bukan dengan menyerahkan kepada pihak ketiga untuk menguruskannya. "Syarikat-syarikat yang menguruskan Dana Pencen Swasta ini, matlamat mereka adalah untuk membuat laba atau keuntungan. Jadi, keutamaannya ialah keuntungan," kata Syed Shahir. "Jika berlaku sesuatu, siapa yang akan menanggung? Sudah tentu negara. Jika negara yang perlu menanggung, tiada maknalah perkara (Skim Pencen Swasta) ini. Lebih baik negara yang buat," jelasnya. Beliau menjelaskan demikian ketika dihubungi TV Selangor bagi mendapatkan pandangannya berkenaan rancangan kerajaan untuk menggalakkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur di dalam Dana Pencen Swasta. "Pengalaman yang berlaku di beberapa negara seperti Argentina, Chile malahan di Amerika sendiri apabila Skim Pencen Swasta ini gagal. "Ertinya bila ia menghadapi masalah, maka pemerintah terpaksa mengambil alih dan menanggung apa juga beban yang ditanggung oleh syarikat-syarikat ini, kerana untuk kepentingan-kepentingan pencarum," jelasnya. Dalam pembentangan Bajet 2011, Perdana Menteri mengumumkan pelancaran dana tersebut yang dijangkakan pada tahun hadapan. Turut diumumkan ialah pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 kepada mereka yang mencarum kepada dana itu, termasuk oleh mereka yang bekerja sendiri. Justeru, Syed Shahir menyuarakan kebimbangan, kerana beliau mendakwa cadangan ini akan mendatangkan kesulitan pada masa hadapan kepada pencarum. "Caruman KWSP ini adalah simpanan hari tua. Apabila pekerja habis sahaja tempoh perkhidmatannya, ada simpanan untuk dia lanjutkan kehidupannya. Tetapi itu pun masih tidak cukup, kerana caruman kurang. Bagaimana carumannya kurang, kerana gajinya rendah," tambahnya. "Apa yang sepatutnya diutamakan adalah perkhidmatan kesihatan, pendidikan, jaminan sosial termasuk keselamatan. Ini adalah tanggungjawab negara kepada rakyatnya," jelas Syed Shahir. Sumber: TVSelangor |
Kuil Baru Seksyen 23, Siap November Ini Posted: 20 Oct 2010 02:28 AM PDT SHAH ALAM, 20 Nov – Pembinaan bangunan baru kuil di Seksyen 23 di sini dijangka siap sepenuhnya November ini. Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, pembinaan bangunan baru itu akan dibina seperti bangunan asal dengan penambahan kekurangan yang ada pada bangunan lama. Menurut Rodziah, beliau berpuas hati dengan keputusan yang dibuat dan memngambil kira semua maklumat daripada pihak yang terlibat serta mengambil kira kepentingan semua pihak. Rodziah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga menegaskan, isu pemindahan kuil yang 'panas' seketika dulu sebenarnya bukan berdasarkan isu agama semata-mata. Sebaliknya ia merupakan satu persepsi yang silap dan sengaja dipolitikkan oleh golongan tertentu. Sumber: Selangorkini |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan