Khamis, 21 Oktober 2010

.

.


Pelancaran Kempen Bantah Projek Menara 100 Tingkat

Posted: 20 Oct 2010 11:58 PM PDT

Minggu lepas, pengumuman Bajet 2011 oleh Dato' Seri Najib Razak amat mengecewakan oleh golongan pemuda serta pendapatan rendah. Dalam pimpinan Najib Razak dalam 2 tahun ini tidak membawa perubahan yang ketara kepada golongan berpendapatan rendah tetapi malahan ekonomi negara ke arah tidak menentu.

Salah satu intipati Bajet Najib adalah membina menara 100 tingkat yang bernama Menara Warisan Merdeka. Projek mega yang dicadangkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan menelan kos sebanyak RM5 bilion.

Walaupun Perdana Menteri mempertahankan projek menara 100 tingkat bukan projek membazir, tetapi Malaysia sudah ada Menara Berkembar KLCC dan banyak lagi pencakar langit seperti Dayabumi yang masih mempunyai kekosongan yang tinggi. Banyak projek mega yang dilaksanakan oleh kerajaan akhirnya menjadi projek gajah putih. Rakyat terpaksa menanggung beban atau kerugian yang dialami.

Selain itu, kepadatan Bandaraya Kuala Lumpur yang terlampau tinggi telah menyebabkan pelbagai masalah seperti kesesakan lalulintas, sistem pengangkutan awam yang kurang rapi, perancangan bangunan yang tidak mesra alam sekitar sehingga banjir kilat serta tanah runtuh. Pembinaan Menara 100 tingkat hanya akan menambah kepadatan bandaraya serta merumitkan masalah yang sedia ada.

Peranan PNB adalah menaikan taraf pelaburan dan menjaga kepentingan Bumiputra melalui pengurusan pelaburan portfolio. Pembinaan menara memang bukannya keutamaan PNB malahan hanya menunjukkan kembalinya "Mahathirism" dalam pengurusan ekonomi yang berteraskan mega projek.

Projek mega Menara Warisan Merdeka yang dijangka siap pada tahun 2020 telah mendapat bantahan hebat daripada rakyat jelata. Kerajaan tidak boleh bersikap lepas tangan kepada PNB untuk membuat sebarang projek. Apakah ini adalah rakyat diutamakan?

Walaupun PNB menyatakan bahawa projek Menara 100 tingkat dibiayai dana dalaman sendiri tanpa menyentuh duit pelabur, tetapi apakah RM5 bilion boleh dimanfaatkan untuk kegunaan orang ramai? Apakah manfaat RM5 bilion sekiranya boleh disalurkan kepada sekolah-sekolah? Apakah RM5 bilion boleh diguna untuk menaikkan taraf kesihatan negara kita? Mengapakah kualiti hidup rakyat tidak diutamakan semasa pembangunan dijalankan?

Jika meninjau dalam Laporan Ekonomi 2010/2011, hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat daripada RM362 bilion pada tahun 2009 kepada RM408 bilion pada tahun 2010, ia telah meningkat sebanyak 12.7% setahun. Dalam Bajet 2011, kerajaan juga dilihat gagal menangani isu yang paling besar iaitu masalah defisit perbelanjaan kerajaan.

Dalam keadaan ekonomi negara yang masih lembab, kerajaan Persekutuan bukan sahaja tidak mengurus ekonomi dengan lebih bijaksana, malah telah mengamalkan pengurusan ekonomi pembaziran serta membebankan rakyat jelata khasnya bagi orang muda.

Oleh itu, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) melancarkan Kempen Bantah Projek Menara 100 tingkat di peringkat nasional untuk mengutip tandatangan daripada rakyat jelata untuk membantah bajet yang membazir.

AMK akan menggerakkan semua anggota untuk turun padang dan mengadakan pelbagai program seperti forum, ceramah dan mengedarkan risalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pembaziran Bajet 2011. Program kutipan tandatangan di seluruh Malaysia akan dijalankan oleh pimpinan AMK di cabang-cabang.

Dengan ini, kami dari Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyeru Perdana Menteri Najib Tun Razak supaya membatalkan cadangan projek Menara Warisan Merdeka 100 tingkat.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Tiada ulasan: