Isnin, 11 Oktober 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


PKR Bakal Bertanding di Batu Sapi?

Posted: 11 Oct 2010 02:00 AM PDT

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan bahawa parti itu bakal diletakkan sebagai wakil calon dalam menghadapi pilihan raya di Batu Sapi kelak.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah, Ahmad Thamrin Jaini satu mesyuarat akan diadakan esok di ibu pejabat PKR negeri dengan dihadiri anggota parti dan ketua-ketua cabang yang terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) sebelum ini.

Thamrin juga tidak menolak sebarang kemungkinan PKR bakal diberi mandat itu, namun menyerahkan segala keputusan kepada pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

"Lebih 50 orang bakal menghadiri mesyuarat itu di Penampang esok malam dan fokus utama perbincangan berkisar mengenai persiapan PKR negeri dalam pilihan raya di Batu Sapi.


"Walaupun pada 2008 lalu PKR diberi mandat bertanding di kawasan itu, namun segala-galanya bergantung kepada keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat Sabah yang bakal dilakukan pertengahan Oktober ini," katanya yang dihubungi FMT.

Kerusi parlimen Batu Sapi kosong ekoran kematian ahli parlimennya Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah (PBS), yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu Sabtu lalu.

Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.

Kerusi milik PKR

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh pula turut memberi andaian bahawa kerusi Batu Sapi masih milik PKR.

Kata Fuziah, melalui perundingan pada 2008 lalu PKR diberi peluang meletakkan calon dalam pilihan raya itu dan sehingga hari ini tiada sebarang perubahan mengenainya.

Maka katanya, perjanjian untuk meletakkan calon PKR bagi kerusi tersebut masih sah, namun segala-galanya takluk kepada pimpinan Pakatan Rakyat kelak.

"Pada 2008 kerusi Batu Sapi diletakkan sebagai milik PKR. Namun di saat-saat akhir kita tidak letakkan calon.

"Maka saya andaikan kerusi itu masih menjadi milik PKR. Perjanjian itu masih sah malah tiada sebarang pindaan dibuat PKR Sabah mahupun Pakatan Rakyat setakat ini.

"Namun segala-galanya masih terpulang kepada pimpinan PR dalam membuat keputusan selanjutnya," katanya yang dihubungi FMT.

Pada pilihan raya 2008, Edmund berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah apabila menumpaskan calon Bebas,

PKR yang sepatutnya meletakkan calon pada pilihan raya 2008 lalu tidak berbuat demikian ekoran masalah teknikal semasa penghantaran borang pencalonan.

Maka pada pilihan raya 2008 lalu, Edmund berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah apabila menumpaskan calon bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

Calon pilihan warga tempatan

Bercakap mengenai calon sekiranya PKR diberi laluan bertanding, Thamrin berkata persiapan sedang dilakukan membabitkan jentera parti, namun masih terlalu awal bagi membincangkan calon yang sesuai.

"Jika diputuskan PKR akan jadi wakil calon kami menerimanya. Malah mesyuarat yang akan diadakan esok sebagai persiapan awal bagi menghadapai sebarang kemungkinan yang berlaku.

"Menyentuh mengenai calon, kami cukup ramai calon berpotensi. Kami belum bincang soal calon namun calon tempatan masih menjadi keutamaan," kata beliau.

Tiada ulasan: