Anwar Ibrahim |
- Rosmah: Lebih Sudu Dari Gulai
- Menyingkap Hari-Hari Terakhir UMNO-BN
- Gaji Minima: Perlu Keazaman Politik dan Perubahan Menyeluruh
Posted: 14 Oct 2010 11:49 PM PDT Dari Malaysiakini Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin membidas cadangan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor supaya pusat bersepadu bagi membantu golongan remaja perempuan yang melahirkan bayi tanpa berkahwin ditubuhkan, lapor Suara Keadilan. Ini kerana menurut Zuraida (kanan), tindakan Rosmah itu dilihat mahu mengambil alih tanggungjawab serta memperlekehkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dam Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil. “Saya hendak cakap pun tak faham, apakah sebenarnya peranan Rosmah. Beliau menteri atau isteri Perdana Menteri ke, apa jawatan rasmi beliau yang sebenarnya? “Cadangan beliau menunjukkan beliau ingin campur tangan dalam kementerian dan urusan kerajaan, dia tidak ada apa-apa latar belakang maklumat mengenai masalah tersebut tiba-tiba nak bagi idea yang sebegini. Ini adalah satu perkara yang ‘adhoc’.
“Sebarang cadangan sekali pun, Rosmah perlu berbincang dengan pihak kementerian yang berkenaan dan bukannya berlagak seperti mahu ambil alih tugas menteri dan campur tangan dalam pentadbiran negara,” kata Zuraida. Zuraida berkata Rosmah seolah-olah mencerminkan kepada rakyat bahawa Shahrizat tidak menjalankan tugasnya sebagai anggota jemaah menteri. “Kalau macam ini baik tutup sahaja kementerian Shahrizat dan letak sahaja tanggungjawab ini di bawah Rosmah,” sindir beliau lagi. Semasa di Belgium mengiringi Datuk Seri Najib Razak, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Kelapan di Brussels, Rosmah telah melawat “Centre of Integrated Family Welfare” (CIG) untuk mendapatkan input bagi menangani masalah pembuangan bayi . Pusat itu ditubuhkan oleh kerajaan Belgium dengan bertujuan mendekatkan lagi perhubungan ibu dengan anak di mana remaja yang tidak berkahwin akan diberikan latihan bagi menjalankan kehidupan seperti biasa. Lawatan Rosmah ke CIG itu telah dibidas Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad (atas, kanan) yang menyifatkan seolah-olah kerajaan hilang punca dan kontang idea untuk mengatasi gejala berkenaan. Idris berkata tindakan Rosmah itu ibarat memohon sedekah dan ehsan daripada orang lain, sedangkan Islam mempunyai penyelesaiannya yang jitu terhadap masalah ini. |
Menyingkap Hari-Hari Terakhir UMNO-BN Posted: 14 Oct 2010 11:36 PM PDT Hari-hari terakhir bagi sesebuah pemerintahan atau kerajaan menjadi sangat nyata apabila ianya semakin zalim dan korup. Begitulah keadaannya dengan umno-bn di Malaysia. Dalam konteks ini, Johor yang kononnya sebagai benteng kuat umno tidak terkecuali. Beberapa hari yang lalu, suasana perayaan Aidilfitri anjuran Keadilan Negeri Johor yang pada mulanya meriah dan berjalan lancar telah menjadi ribut apabila sepasukan polis tiba-tiba menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah persendirian di Kampung Air Manis, Kulaijaya tempat jamuan hariraya itu diadakan. Pada malam Sabtu 8 Oktober itu, kira-kira 40 orang anggota polis yang diarah sendiri oleh Ketua Polis Daerah, DSP Zulkefly Yahya, telah merentap mikrofon ketika Pengerusi Keadilan Negeri, Chua Jui Meng, sedang berucap. Selepas itu, mereka merampas pula peralatan siaraya yang lain termasuk dua keping banner di situ. Mengapakah polis yang kononnya "tegas, adil dan berhemah" itu bertindak sebegitu rupa? Zulkefly Yahya tidak ada jawapan lain kecuali membebelkan "tidak ada permit". Kalau itulah alasannya, kami ingin bertanya: berapa ribukah permit yang telah dikeluarkan oleh pihak polis, dan berapa ratuskah majlis rumah-terbuka yang telah mereka serbu sepanjang musim perayaan ini? Peristiwa polis menceroboh kawasan persendirin atas alasan "tidak ada permit" sudah pernah berlaku beberapa kali. Kejadian di Sungai Tongkang, Rengit pada malam 31 Julai masih segar dalam ingatan. Ketika itu, ribuan orang sedang menunggu untuk mendengar ceramah anjuran Keadilan di kawasan Markas Pas. Pada masa itulah, ratusan orang polis termasuk dari unit FRU telah dikerah untuk menceroboh masuk ke kawasan yang berkenaan serta memecahkan pintu stor dan merampas peralatan siaraya yang terkunci di dalamnya. Dalam masa yang sama, mereka juga telah bertindak memukul serta mencederakan sejumlah orang, dan menangkap beberapa yang lain. Semua ini tidak dapat dilupakan. Akantetapi, mengapakah polis yang sepatutnya profesional bertindak sedemikian rupa? Dari dua contoh di atas, saya buat kesimpulan begini: Pemerintah yang sudah tidak berupaya, dan institusi kerajaan yang sudah korup serta tidak berwibawa, kedua-duanya akan berpaut erat antara satu sama lain. Demi survival, mereka akan berganding melakukan apa saja, tanpa mempedulikan nasib serta masa depan negara dan rakyat. Syed Hamid Ali |
Gaji Minima: Perlu Keazaman Politik dan Perubahan Menyeluruh Posted: 14 Oct 2010 11:32 PM PDT Parti Keadilan Rakyat menyambut baik berita bahawa Kabinet akan membincangkan cadangan gaji minima untuk pekerja-pekerja di Malaysia hari ini. KEADILAN juga mengalu-alukan sokongan Pemuda BN terhadap gaji minima. Harapan KEADILAN adalah agar ini bukan satu lagi angan-angan Mat Jenin, tetapi wujud keazaman politik untuk Kerajaan melaksanakan dasar ini. Sekian lama pekerja-pekerja terutamanya menerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah memperjuangkan dasar gaji minima bagi membela kebajikan pekerja. KEADILAN telah menjadikan gaji minima sebagai antara 5 manifesto utama pada Pilihan Raya Umum 2008. Komitmen melaksanakan gaji minima juga telah dimeterai oleh Pakatan Rakyat menerusi Dasar Bersama yang diluluskan Konvensyen Pakatan Rakyat pertama pada tahun lepas. Masalah kadar upah yang rendah adalah masalah utama yang membelenggu pekerja dan keluarga mereka. Sudah begitu lama Malaysia bergantung kepada kadar upah rendah dengan kebanjiran pekerja asing.
Ekonomi negara tidak meningkat dalam rangkaian nilai dan rakyat Malaysia berhadapan kos sara hidup yang tinggi. Kesannya, semakin ramai pekerja dan keluarga mereka dibebani hutang di sekeliling pinggang. KEADILAN tidak berkongsi pandangan Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam yang seolah-olah berat hati untuk melaksanakan dasar gaji minima. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika kita memeriksa rekod Barisan Nasional yang gagal membela golongan pekerja selama lebih 50 tahun memegang kuasa. Pengalaman negara-negara luar membuktikan dasar ini boleh berjaya seiring pengenalan dasar-dasar lain yang memacu pertumbuhan ekonomi. Isu meningkatkan pengangguran mahupun mengurangkan pelaburan asing tidak timbul jika kerajaan membina keyakinan untuk meningkatkan pelaburan asing dan swasta serta pada masa yang sama melabur dalam sektor pendidikan, latihan dan infrastruktur. Ini sekaligus dapat meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja. Kerajaan juga mesti serius mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing. Keyakinan pelabur hanya dapat diperoleh dengan mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kerajaan berserta memerangi gejala rasuah. Isu-isu ini yang telah menjejaskan kebolehan Malaysia menarik pelaburan hari ini meskipun belum melaksanakan gaji minima. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjanjikan pendapatan minimum isi rumah sebanyak RM4000 menjelang 5 tahun Pakatan Rakyat memegang tampuk Kerajaan Persekutuan ketika mengulas pencapaian separuh tahun ekonomi negara yang hambar Ogos lalu, Sasaran ini dapat dicapai dengan iltizam untuk memerangi ketirisan serta rasuah, melakukan reformasi terhadap sistem kehakiman serta institusi awam lainnya di samping mengembalikan kredibiliti, ketelusan dan pertanggungjawaban untuk menarik pelaburan asing secara langsung . KEADILAN berpendapat gaji minima akan benar-benar bermakna hanya jika dilaksanakan bersama perubahan menyeluruh tersebut dengan keikhlasan membela hak pekerja dan rakyat Malaysia. NIK NAZMI NIK AHMAD |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan