Khamis, 14 Oktober 2010

Angkatan Muda Keadilan Bagan Datoh,Perak Darul Ridzuan

Angkatan Muda Keadilan Bagan Datoh,Perak Darul Ridzuan


Tiada sabotaj tiada konspirasi halang sesiapa tanding, tegas SU Agung PKR

Posted: 13 Oct 2010 08:42 PM PDT


KUALA LUMPUR, 14 Okt — Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan kononnya wujud unsur sabotaj dan konspirasi bagi menghalang Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar daripada bertanding jawatan timbalan presiden. Saifuddin yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu menegaskan, surat pekeliling yang dihantar pada 19 Julai lalu jelas menunjukkan semua pencalonan melibatkan pemilihan peringkat pusat harus diserahkan kepada ibu pejabat PKR sebelum 10 Oktober 2010.
"Saya tidak mahu komen mengenai kononnya wujud konspirasi tetapi ingin saya jelaskan bahawa dalam surat pekeliling yang dihantar kepada semua peringkat jelas tertulis senarai calon hendaklah dihantar pada 10 Oktober.
"Yang menjadi isunya adalah tarikh 10 Oktober kerana ramai orang yang tidak tahu.
"Tetapi jika lihat pada surat pekeliling yang dihantar kepada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, ketua-ketua wanita PKR negeri, ketua-ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, ketua-ketua cabang dan setiausaha-setiausaha cabang ia memang jelas tertulis tarikh akhirnya hantar senarai pencalonan itu," katanya kepada The Malaysian Insider malam tadi.
Dalam surat pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Agung PKR yang bertarikh 19 Julai mengatakan tarikh akhir peneriman pencalonan pemilihan peringkat pusat daripada cabang-cabang adalah ditetapkan pada 10 Oktober 2010.
Kesemua 208 cabang PKR dikehendaki menghantar senarai pencalonan kepada ibu pejabat pada tarikh tersebut.
"Sebanyak 162 cabang telah mematuhinya dan hantar senarai pencalonan sebelum 10 Oktober.
"Jadi sebenarnya ia tidak wujud soal mahu sembunyikan tarikh atau sabotaj sesiapa dalam pemilihan parti," kata Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang.
Semalam, pemimpin-pemimpin cabang PKR mempertikaikan kewujudan notis pencalonan dengan mendakwa seolah-olah ada usaha menghalang Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden parti itu.
Berdasarkan maklumat semalam, Nurul Izzah dilaporkan tidak layak bertanding jawatan timbalan presiden sebab hanya memperoleh satu pencalonan sedangkan seseorang yang hendak bertanding memerlukan minimum dua yang disyaratkan.
Mereka mendakwa tidak tahu-menahu keperluan semua pencalonan akhir perlu dikemukakan sebelum 10 Oktober lalu.
Dalam kenyataan berasingan dikeluarkan hari ini, Ketua Selangau Steven Epay Ganing dan rakan sejawatannya dari Semporna Lokma Uri berkata, tindakan pihak pengurusan parti tidak memaklumkan perkara itu adalah tidak wajar dan tidak adil.
"Tarikh akhir penyerahan nama calon pada 10 Oktober 2010 tidak pernah diberitahu kepada kami sama sekali dan kami merasakan bahawa tindakan yang diambil sama ada oleh Setiausaha Agung atau Jawatankuasa Pemilihan Pusat (DPP) adalah tidak wajar dan kami kecewa.
"Sebarang maklumat mengenai tarikh akhir penyerahan seharusnya diuar-uarkan bagi membolehkan setiap cabang bertindak sewajarnya," kata Steven Epay dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Lokman pula berkata tindakan tersebut seolah-olah satu konspirasi untuk menghalang Nurul Izzah daripada bertanding bagi jawatan timbalan presiden.
Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan Pusat S. Manikavasagam mencadangkan JPP agar melanjutkan tarikh akhir sehingga 16 Oktober ini bagi membolehkan Nurul Izzah bertanding jawatan timbalan presiden.
Nurul Izzah dilihat hanya boleh bertanding jawatan naib presiden sebab beliau tidak melepasi kelayakan minimum dua pencalonan yang disyaratkan untuk bersaing kerusi nombor dua parti.
Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat.

Buku 'The March To Putrajaya' Kini Di Internet

Posted: 13 Oct 2010 08:35 PM PDT


Buku yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, "The March to Putrajaya – Malaysia's New Era is at Hand", karya Kim Quek kini boleh diakses menerusi internet, http://www.themarchtoputrajaya.com/. Para pembaca boleh muat turun keseluruhan buku setebal 361 muka surat itu.

Dalam satu kenyataan media semalam, pengarangnya Kim Quek berkata, "beginilah sepatutnya. Rakyat di negara ini tidak seharusnya dihalang dari mendapat maklumat tersebut semata-mata kerana maklumat yang terkandung di dalamnya tidak memihak kepada pemerintah."

"Sebuah negara yang mengawal warganegaranya dari akses kepada maklumat yang penting seperti ini ialah sebuah negara yang mundur dan akan menemui kegagalan dalam era globalisasi dan teknologi maklumat," ujar beliau.

Beliau berkata, melihat di serata dunia, negara-negara yang dianggap terbaik dan dipuji dari sudut pencapaian sosial dan ekonominya adalah masyarakat yang memiliki media yang bebas.

"Hanya melalui aliran idea yang bebas, potensi pemikiran rakyatnya dapat dibangunkan sepenuhnya. Kualiti mindalah yang menentukan sesebuah masyarakat sedang menuju ke hadapan atau mundur ke belakang.

Tiada ulasan: