Selasa, 19 Oktober 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


JPM Boros Belanja Biayai Rombongan PM, TPM

Posted: 19 Oct 2010 03:29 AM PDT

jpmKUALA LUMPUR 19 Okt - Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mendakwa Jabatan Perdana Menteri (JPM) semakin boros berbelanja dana awam apabila kos rombongan rasmi Perdana Menteri dan Timbalannya melonjak daripada RM6 juta pada 2009 kepada RM10 juta tahun ini.

"Pada tahun 2008, kos rombongan rasmi Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Badawi berjumlah RM5.5 juta tetapi apabila Najib mengambilalih jawatan Perdana Menteri pada 2009 dan 2010, jumlah kos melonjak tinggi iaitu RM6 juta dan RM10 juta pada tahun ini.

"Ini bermakna di antara tahun 2008 dan 2009, kos tersebut meningkat hampir 8 peratus dan dari tahun 2009 dan 2010, ia meningkat 62 peratus," kata beliau dengan merujuk kepada dua soalan berkaitan perkara itu kepada Perdana Menteri di dalam Parlimen.

Katanya lagi, perbandingan kos menampung rombongan rasmi antara 2008 2010 menunjukkan peningkatan sebanyak 75% dan angka tersebut amat membimbangkan.
Ini melihat kepada kos purata seorang pegawai yang terlibat dalam rombongan iaitu RM20,000 (tahun 2008, 280 orang pegawai) dan RM32,000 setiap pegawai bagi tahun 2010 (311 orang pegawai).

Tian Chua berkata perbezaan kos antara 2008 dan 2010 menunjukkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 58 peratus.

"Saya percaya bahawa ketika rombongan rasmi Perdana Menteri dan timbalannya terpaksa menanggung kos perbelanjaan besar di London pada tahun 2008, sebahagian besar kos tersebut adalah untuk membiayai isteri beliau, sebagai contoh pada bulan Mei lalu di mana beliau telah menghadiri Forum Wanita Antarabangsa di Washington dan New York," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata pada tahu 2006, jumlah keseluruyhanperbelanjaan JPM adalah RM4.3 bilion dan mencecah melebihi RM10.2 bilion pada tahun 2009.

Ini menunjukkan pertambahan sebanyak 136%, tidak termasuk perbelanjaan tambahan.

Dalam Bajet 2011, JPM telah diperuntukkan sebanyak RM18 bilion atau 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan dan ketiga terbesar mengikut jumlah peruntukan setiap kementerian.

Sumber: Suara Keadilan

Bangunan Umno kini milik Pemuda PAS Kelantan

Posted: 19 Oct 2010 01:45 AM PDT

KOTA BHARU, 19 Okt: PAS Kelantan mencatat satu lagi sejarah sempena genap usia 20 tahun pemerintahan apabila berjaya memiliki bangunan empat tingkat yang pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu.

Tentunya maruah Umno Kelantan sekali lagi tergadai kerana bangunan yang pernah dimiliki Umno Kota Bharu kini menjadi milik Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Bangunan tersebut yang pernah terbengkalai dalam tempoh begitu lama berjaya disiapkan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Bagaimanapun selepas Zaid digugurkan daripada jawatannya atas dakwaan terbabit dengan rasuah politik ketika pemilihan di peringkat bahagian tersebut, bangunan itu menjadi lengang semula.

Ketika jawatan Zaid digantung, Umno Kota Bharu di bawah Datuk Fatmi Che Salleh gagal memasuki bangunan berkenaan.

Bangunan tersebut yang difahamkan dimiliki sepenuhnya Zaid selepas berjaya menyiapkan bangunan yang lama terbengkalai.

Ketika itu signboard Umno Kota Bharu dipasang di puncak bangunan yang boleh dilihat dengan jelas dari jambatan Sultan Yahya Petra pada waktu malam.

Pada April lalu, Umno Kota Bharu yang diketuai anggota jawatankuasanya, Datuk Kamaruddin Abdullah mengadakan perhimpunan di pekarangan bangunan terbabit di Jalan Sultanah Zainab menuntut Zaid menyerahkan bangunan berkenaan.

Zaid kini Penyelaras Pakatan Rakyat tetap tidak berganjak dan enggan tunduk terhadap desakan Umno Kota Bharu.

Dan hari ini berlangsung sejarah yang mengejutkan Umno Kelantan dan pusat apabila bangunan pejabat yang pernah menjadi pejabat Umno bertukar tangan menjadi milik PAS.

Dewan Pemuda PAS Kelantan membeli bangunan berkenaan dengan harga RM4.5 juta.

Majlis penyerahan geran hak milik oleh Zaid telah dilakukan tengah hari tadi di Gua Musang sempena kempen pilihan raya kecil Dun Galas.

Ia dibeli dengan harga RM4.5 juta yang bakal menjadi pejabat Pemuda PAS negeri dan pusat komersial.

Perjanjian jual beli ditandatangani antara Zaid dengan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan juga kepimpinan Pemuda PAS negeri yang diketuai, Abdul Latif Abdul Rahman yang disaksikan Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bangunan empat tingkat itu mempunyai dewan di bahagian atas yang boleh memuatkan seramai 700 orang, manakala dua tingkat lagi dijadikan pejabat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, majlis bersejarah bagi menaikkan bendera PAS di hadapan bangunan tersebut akan dilakukan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi esok.

Katanya, majlis yang penuh bersejarah itu diadakan sempena genap 20 tahun usia kerajaan PAS dan bahang kempen pilihan raya kecil Galas sekarang.

"Kita bersyukur kerana Dewan Pemuda PAS Kelantan akhirnya berjaya memiliki bangunan sendiri di lokasi yang begitu strategik.

"Ini satu kejayaan besar dalam sejarah PAS yang tidak pernah berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi bangunan itu pernah dijadikan pejabat Umno Bahagian Kota Bharu," katanya ketika dihubungi di Gua Musang.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, banyak kemudahan yang ada di bangunan berkenaan termasuk pendawaian elektrik dan kemudahan lain telah dirosakkan.

Katanya Dewan Pemuda terpaksa memperuntukan kira-kira RM500,000 lagi bagi memasang sistem pendawaian elektrik dan kemudahan lain yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya juga, Dewan Pemuda PAS yang kini berpejabat di Perhubungan PAS Negeri di Jalan Datuk' Pati akan berpindah ke bangunan baru selepas kerja-kerja membaikinya siap dalam masa terdekat.

Sumber: Harakah Daily

Felda: Ahmad Maslan menteri 'putar alam'

Posted: 19 Oct 2010 01:40 AM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan disifatkan sebagai 'menteri putar alam' apabila didakwa cuba memutar belit isu Felda.

Ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad mendakwa Felda tidak pernah menipu peneroka berkaitan kadar perahan gred buah tandan sawit dalam kes Felda Kemahang 3.

Selain itu katanya, Felda kalah dalam kes tersebut kerana peguamnya tidak hadir pada hari perbicaraan tersebut.

Bagi kes Felda Sungai Koyan pula, beliau berkata Felda tidak kalah kerana keputusan mahkamah sama dengan pendirian Felda yang hanya akan membayar wang tanam semula kepada peneroka yang memenuhi syarat Felda.

Felda juga katanya tidak akan membuat rayuan kes tersebut.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Telok Kemang).

Penjelasan itu kemudiannya mengundang soalan bertalu-talu dari ahli parlimen pakatan rakyat khususnya dari Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena).

"Lawyer letak jawatan 2007, kes 2008 sepatutnya hantar lawyer lain lah.

"Dia tak bantah, dia tak rayu...kalau keputusan sama, patut tak hantar lawyer lawan la.

"Pusing...memang kuat putar alam...menteri kelam kabut," katanya lagi.

Ahmad Maslan dalam responsnya bagaimanapun mengajak Mahfuz berjumpa di luar dewan termasuk di Galas untuk selesaikan pertelingkahan tersebut.

Sementara itu, bercakap dalam sidang medi di lobi Parlimen selepas itu, Mahfuz menggesa Felda diletakkan di bawah Parlimen dan mesti menghantar laporan terperinci mengenai permasalahan Felda dan peneroka.

"Saya minta supaya satu laporan terperinci tentang permasalahan hubungan antara Felda dan peneroka dibentangkan di Parlimen. Ini sangat penting untuk kepentingan peneroka," katanya.

Ahmad Maslan turut dijemput ke sidang media tersebut, bagaimanapun beliau menolak dan mahu mengadakan sidang media berasingan.

Pada sidang media sama, Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) menggesa Felda mengakui kekalahan mereka dan menunaikan tanggungjawab sebaiknya kepada peneroka seperti yang diputuskan mahkamah.

"Bila Felda kalah ertinya kalahlah. Bukan kerana kes peguam tak datang. Dalam rayuan, saya yakin peguam Felda sudah memberikan segala hujah tapi kalah juga. Tapi tak mengaku kalah.

Khalid Samad (PAS-Shah Alam) pula menggesa Ahmad tidak memutar belit fakta sebenar berkaitan kedua-dua kes melibatkan Felda.

Yang dipertikaikan sekarang ini lawyer itu layak buat tuntutan atau tidak. Mahkamah kata layak tapi di Parlimen dikatakan seolah-olah tak ada isu. Kalau semua dah setuju kenapa nak bawa ke mahkamah.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini telah mengarahkan agar Felda membayar kepada peneroka Felda Kemahang 3 sebanyak RM11 juta kerana menipu berhubung menggred buah kelapa sawit.

Manakala dalam kes Sungai Koyan, Felda diarahkan membayar RM17 ribu kepada peneroka sebagai wang tanam semula.

Sumber: Harakah Daily

Menara Warisan : Satu Lagi Projek 'Gajah Putih'

Posted: 19 Oct 2010 01:35 AM PDT


KUALA LUMPUR 19 OKT : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan pembinaan projek mega era Datuk Seri Najib Razak yang mengulangi projek gajah putih era Tun Dr Mahathir Mohammad.

Kos Pembinaan Menara Berkembar Petronas menelan lebih kurang AS$1.6 bilion (RM6 bilion). Ini tidak termasuk lagi kos tanah (RM900 juta), taman KLCC (RM200 juta), Dewan Simfoni Filharmonik (RM500 juta), dan Loji 'Gas District Cooling (RM300 juta). Jumlah kosnya mencecah lebih RM10 bilion dan tidak termasuk kos penyelenggaraan sebanyak RM250 juta setahun.

Najib dalam Belanjawaan 2011 menyebut bahawa, "Kita berasa sungguh berbangga, bahawa, ke mana sahaja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas yang menjadi ikon negara. Ia merupakan satu monumen kepada semangat Malaysia Boleh."

Tegas Anwar, "Adakah kita berbangga dengan Menara Berkembar Petronas yang sudah bukan menara tertinggi di dunia? Adakah kita berbangga dengan mega projek ini yang mengakibatkan Petronas terpaksa menanggung hutang sebanyak RM10 bilion?."

Anwar turut mempertikaikan penggunaan wang Permodalan Nasioanal Berhad(PNB) dalam pembinaan menara warisan tatkala sebelum ini wang Petronas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) digunakan untuk menampung kos beberapa pembinaan projek mega.

"Persoalannya, adakah kita memerlukan sebuah lagi menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia? Tidak bolehkah kita mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara tanpa pembinaan Warisan Merdeka?."

"Wajarkah kita mengeksploitasikan Permodalan Nasional Berhad (PNB) selepas Petronas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)? Bolehkah kita menjimatkan RM5 bilion kos pembinaan dan menyalurkannya untuk membina lebih infrastruktur asas di kawasan pedalaman?" soal Anwar.

Sumber: TVSelangor

Dedah Pampasan Sebenar Kepada Konsesi Link Kedua

Posted: 19 Oct 2010 01:30 AM PDT


KUALA LUMPUR 19 OKT : Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Cheng meminta kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) mendedahkan jumlah pampasan sebenar yang perlu dibayar kepada operator konsesi Link Kedua bagi mengurangkan kadar tol sebanyak 20 peratus seperti dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap dalam satu sidang media di Parlimen hari ini, Teo memberitahu bahawa beliau mengemukakan soalan di Dewan Rakyat April lalu bertanyakan jumlah pampasan yang dibayar untuk menanggung kos diskaun tol sebanyak 50 peratus untuk bas sahaja seperti dijanjikan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dahulu.

"Jawapan bertulis yang saya dapat menunjukkan kerajaan Umno-BN membayar sejumlah RM22.67 juta sebagai pampasan untuk membolehkan kadar tol dikurangkan 50 peratus untuk bas," kata beliau.

Katanya lagi, pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan Umno-BN kepada operator tol Link Kedua bagi mengurangkan kadar tol sebanyak 20 peratus dianggarkan sebanyak RM2.67 bilion.

"Dan sekarang, kerajaan mengumumkan perlu membayar pampasan sebanyak RM5 bilion untuk mengekalkan kadar tol.

"Maka saya meminta kerajaan Umno-BN berterus terang memberitahu apakah kos sebenar yang perlu dibayar untuk menampung pengurangan diskaun sebanyak 20 peratus dan juga perician berkenaan RM5 bilion yang dijangkakan dibayar kepada PLUS," tegas Teo lagi.

Sumber: Suara Keadilan

Projek Bakun Hanya Untungkan Kroni : Anwar

Posted: 19 Oct 2010 01:25 AM PDT


KUALA LUMPUR 19 OKT : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pembinaan projek Empangan Bakun hanya menguntungkan kroni dengan menggunakan wang rakyat.

"Sepanjang projek pembinaan Bakun, pelbagai pihak dan kroni kerajaan yang mendapat faedah. Tetapi akhirnya yang menanggung pembiayaan projek tersebut adalah KWSP dan KWAP yang berjumlah RM5.75 bilion.

"Kos keseluruhan Empangan Bakun yang dilaporkan adalah RM7.3 bilion tidak termasuk tanggungan faedah oleh kerajaan, impak sosial dan persekitaran," Anwar berkata demikian dalam perbahasan bajet 2011 di Dewan Rakyat semalam.

Tegas Anwar lagi, "Terbaru, sudah ada bidaan untuk membeli Empangan Bakun daripada Syarikat Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB). Adalah dimaklumkan secara tidak rasmi bahawa Sarawak Energy Berhad (SEB) yang menawarkan harga RM6.3 bilion akan memperoleh empangan tersebut. Tawaran harga tersebut adalah RM1 bilion lebih kurang daripada kos pembinaan Bakun."

"Perundingan penjualan Empangan Bakun dilakukan secara tertutup antara Kerajaan Sarawak dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Amalan sedemikian adalah bercanggah dengan jaminan kerajaan dalam mentransformasikan ekonomi Malaysia selari dengan pelancaran 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) baru-baru ini," katanya.

Berdasarkan perancangan asal pembinaan Empangan Bakun, Kerajaan Persekutuan pernah berhasrat untuk menyalurkan tenaga elektrik ke Semenanjung Malaysia menerusi kabel dasar laut. Atas sebab-sebab tertentu dan dasar yang tidak menentu, projek tersebut dihentikan.

Anwar juga mempersoalkan pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas yang dilihat mengulangi jejak langkah pembinaan Empangan Bakun yang dikritik ramai.

"Tanpa Dasar Tenaga Nasional yang konsisten dan mapan, adakah pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas ini menjejak balik langkah lama sama dengan Bakun?. Lagipun, memandangkan projek ini dijalankan dalam bentuk Perkongsian Awam-Swasta (PPP), adakah ia bermaksud pihak yang mendapat projek ini akan menjadi Penjana Kuasa Bebas (IPP) terbaru?."

Anwar juga mendesak agar subsidi kepada IPP dinilai semula apabila kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi setiap tahun.

" Adalah diperingatkan bahawa kerajaan sekarang menanggung subsidi kepada IPP sebanyak RM22 bilion setahun. Adakah perjanjian dengan IPP akan dinilai semula untuk mengurangkan subsidi kepada korporat besar?" tegas Anwar.

Sumber: TVSelangor

Bank Milik KWSP Beri Pinjaman RM880 Juta Kepada Adik KM Sarawak

Posted: 19 Oct 2010 01:20 AM PDT

raziahKUALA LUMPUR 19 Okt - Tidak sampai seminggu rakyat dikejutkan dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan membenarkan pelaburan luar negara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ditingkatkan daripada 7 peratus kepada 20 peratus membabitkan dana awam hampir RM75 bilion, kini RHB Bank yang dimiliki KWSP dilaporkan telah memberi pinjaman USD285 juta atau RM880 juta kepada adik Ketua Menteri Sarawak, Raziah Mahmud dan suami ketiga beliau, Robert Geneid.

Menurut laman web sarawakreport.com yang terkenal dengan pendedahan kekayaan dan aset serata dunia yang dimiliki Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta keluarganya, daripada maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pinjaman besar tersebut diperolehi pada Jun sebuah syarikat persendirian yang dipunyai oleh pasangan tersebut, Kumpulan Construction Sdn Bhd.

Maklumat SMM menunjukkan Kumpulan Construction didaftar dengan modal berbayar saham RM1 juta di mana 5 peratus sahamnya dipegang oleh Zaleha Mahmud, kakak kepada Raziah dan selebihnya dimiliki oleh Mastim Sdn Bhd, syarikat yang dimiliki oleh Raziah dan Robert, yang merupakan warganegara Australia.

Tanpa laman sesawang rasmi, tidak banyak informasi mengenai syarikat yang diketahui umum namun menurut sarawakreport lagi sumber terhad yang diperoleh daripada akaun syarikat tersebut melalui SSM menunjukkan Kumpulan Consruction memcatat perolehan sebanyak RM43 juta pada 2009, dengan untung bersih kira-kira RM4 juta setelah ditolak cukai.

Di samping modal saham berjumlah RM1 juta, modal simpanannya hanya lebih kurang RM4 juta sementara liabiliti serta aset keseluruhan syarikat bernilai RM42 juta.

Persoalan yang timbul bagaimana KWSP yang diamanahkan untuk mengawal serta menjaga kepentingan "Simpanan Hari Tua" kaum pekerja di negara ini dengan senang sekali meluluskan pinjaman RM880 juta kepada sebuah syarikat yang dikategorikan sebagai sederhana.

Lebih mengejutkan walaupun nama Kumpulan Construction membawa maksud syarikat itu terbabit dalam aktiviti pembinaan namun ia dikatakan tidak pernah langsung melaksanakan sebarang projek kecuali hanya mengsubkontrakkan projek yang diperolehi kepada pihak ketiga.

Memetik sumber dalaman RHB, sarawakreport berkata, "syarikat itu tidak pernah melaksanakan sebarang kontrak yang diperolehi dan kesemuanya disubkontrakkan kepada pihak lain terutamnanya Hock Seng Lee Bhd(HSL)".

Sebelum ini sarawakreport juga mendedahkan Kumpulan Construction adalah antara tiga pada 2008 bagi projek pembentungan bandaraya Kuching 2008.

Selang sebulan konsortium tiga syarikat itu - Kumpulan Construction, Nishimatsu Construction dan Hock Seng HSL - memperolehi kontrak tersebut, projek itu disubkontrakkan kepada HSL dengan nilai sebanyak RM452 juta.

Ini bermakna dengan mudah Kumpulan Construction dan Nishimatsu mendapat keuntungan atas angin sebanyak RM78 juta dalam tempoh sebulan.

Laporan tahunan RHB Capital Bhd bagi 2009 menunjukkan KWSP memegang 56.14 peratus kepentingan dalam RHB Capital yang memiliki 70 peratus saham dalam RHB Bank Bhd

RHB Bank pada masa ini adalah kumpulan perbankan keempat terbesar di Malaysia dengan saiz aset sebanyak RM103 bilion dan mempunyai 200 cawangan di seluruh negara dan beberapa cawangan di luar negara yang majoritinya di Singapura.

Sumber: Suara Keadilan

Orang Asal Sokong Calon Pakatan Rakyat Di Galas

Posted: 19 Oct 2010 01:15 AM PDT

PC_OrangAsalKUALA LUMPUR 19 Okt - Masyarakat Orang Asal dijangka memberi sokongan penuh kepada calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas berikutan keputusan Speaker Dewan Rakyat menolak usul tergempar berhubung kedudukan pribumi Orang Asal di dalam Perlembagaan pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Tanah Orang Asal, Simpan Suda berkata masyarakat Orang Asal akan turun ke Galas bagi membantu kempen Pakatan Rakyat dan seterusnya mengekalkan kerusi tersebut ditangan PAS.

"Ya, kami semua akan turun ke Galas dan sokong penuh jika Pas letakkan calon Orang Asli sebagai wakil Galas nanti.

"Walaupun mengharapkan agar wakil kami dicalonkan supaya suara kami dapat didengari, kami tetap menghormati keputusan kerajaan negeri atau PAS jika mahu meletakkan sendiri calon lain," katanya.

Sebelum ini Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul tergempar berkaitan kedudukan pribumi Orang Asal sebagai Bumiputera berdasarkan takrifan yang termaktub dalam Fasal (2) Perkara 160 serta memaktubkan secara jelas kedudukan istimewa mereka sebagai Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata beliau kesal dengan keputusan tersebut yang sekaligus menafikan hak Orang Asal di negara ini.

"Kita merayu agar pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut memandangkan proses rayuan memakan masa terlalu lama.galas-sk

"Kita minta kerajaan turut mempertimbangkan usul tersebut memandangkan Orang Asal telah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan pengiktirafan dan hak sebagai kaum bumiputera," jelas beliau pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.

Simpan Suda berkata kehadirannya bersama 28 Orang Asal di Parlimen adalah sebagai pemerhati untuk melihat perbahasan usul mengenai hak keistimewaan suku kaumnya.

Menurutnya, mereka tidak berniat mempertikai keistimewaan Orang Melayu serta Bumiputera Sabah-Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi mahu hak mereka juga dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan.

"Sudah lebih 50 tahun merdeka, tapi masyarakat Orang Asal jauh ketinggalan dalam pelbagai sektor, malah kami terus ditindas dan tanah kami dirampas kerajaan atas alasan demi pembangunan negara.

"Kita mahu Orang Asal diiktiraf dalam Perlembagaan untuk pertahankan hak-hak kami, bukan kita minta dimansuhkan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan," kata beliau kepada media.

Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan mengenai masyarakat Orang Asal Semenanjung Tanah Melayu tetapi tidak menjamin sebarang hak keistimewaan kaum minoriti tersebut.

Sebelum itu, seramai 28 pemimpin Orang Asal disekat oleh polis di pintu masuk bangunan Parlimen walaupun mereka telah membuat permohonan rasmi untuk mengikuti perbahasan Bajet 2011.

Sumber: Suara Keadilan

Pengguna Terpaksa Bayar Tol KL-Pulau Pinang RM111.25 Pada 2015

Posted: 19 Oct 2010 01:10 AM PDT

tonypuaKUALA LUMPUR 19 Okt - Rakyat dijangka terpaksa membayar sebanyak RM111.25 bagi perjalanan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada 2015 selepas Perdana Menteri membekukan kenaikan kadar tol di empat lebuh raya milik Plus Expressway Bhd selama lima tahun.

Kadar ini merupakan peningkatan 33.6 peratus daripada kadar tol kini sebanyak RM88.60 bagi jarak yang sama.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kesan daripada tindakan langkah kerajaan tersebut, pemegang konsesi utama, United Engineering Malaysia (UEM) berkata kerajaan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM5 bilion menurut perjanjian konsesi lebuh raya yang ditandatangani oleh kerajaan.

Jelas beliau berdasarkan perjanjian konsesi antara kerajaan dan UEM, Plus dibenarkan menaikkan kadar tol sebanyak 10 peratus setiap 3 tahun.

"Kenaikan terakhir adalah pada tahun 2005, dan kadar tersebut telah dibekukan sejak itu. Kos perjalanan dua hala dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang sekarang ini adalah RM88.60, tetapi ianya akan meningkat kepada RM111.25 pada tahun 2015, jika kerajaan membenarkan Plus menaikkan kadar tersebut sepenuhnya.

"Namun apa yang membimbangkan, jika kerajaan membekukan kadar kenaikan tersebut sehingga tamat konsesi, jumlah pampasan yang terpaksa dibayar oleh kerajaan selepas 28 tahun adalah sebanyak RM64 bilion," tegas beliau pada sidang media di lobi Parlimen petang tadi.

Dalam pada itu, Tony juga meminta kerajaan memikirkan secara serius berhubung konsesi Plus demi kepentingan rakyat daripada terus membiarkan perjanjian konsesi begitu sahaja.

"Tindakan ini tidak masuk akal apabila kerajaan terpaksa memberi pampasan sebanyak RM5 bilion kepada pemilik konsesi dan berkemungkinan besar setinggi RM64 bilion dalam tempoh keseluruhan konsesi itu di mana pembelian langsung Plus hanya sebanyak RM23 bilion sebagaimana yang ditawarkan UEM-KWSP.

"Kecualilah jika kerajaan mahu melihat rakyat Malaysia menderita," kata beliau.

Sumber: Suara Keadilan

KEADILAN Minta SAPP Beri Laluan Bagi Pertandingan Satu Lawan Satu

Posted: 19 Oct 2010 01:05 AM PDT

DSC_0773_1KUALA LUMPUR 19 Okt - Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi.

Beliau juga berharap Parti Bersatu Rakyat Sabah (SAPP) yang sebelum ini berkata akan meletakkan calon nya di kawasan Parlimen tersebut agar boleh memberi laluan kepada KEADILAN bagi membolehkan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional.

Anwar berkata keputusan itu dicapai selepas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Sabah yang bermesyuarat hujung minggu lalu memutuskan bahawa mereka bersetuju untuk KEADILAN bertanding untuk kerusi tersebut.

"Kita akan putuskan nama calon dalam masa singkat setelah selepas saya bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berunding," ujar Anwar dalam sidang media ringkas yang diadakan di lobi Parlimen, pagi tadi.

Jelas Anwar pada Pilihan Raya Umum 2008, kerusi itu telah diperuntukkan kepada KEADILAN dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Sabah juga telah membuat ketetapan berhubung kedudukan kerusi itu.

"Tidak ada alasan-alasan lain mengapa KEADILAN meletakkan calonnya di situ," jawab Anwar kepada soalan yang dilontarkan wartawan kepada beliau.

Jumaat lalu, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu adalah pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.

PRK itu diadakan berikutan kematian wakil Parlimennya daripada Barisan Nasional (BN) Edmund Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Oktober lepas.

Sumber: Suara Keadilan

Bonus Tidak Mampu Diberi Tapi Elaun JKKK Dinaikkan

Posted: 19 Oct 2010 01:00 AM PDT

lge4KUALA LUMPUR 19 Okt - Keputusan kerajaan tidak memberikan bonus kepada 1.2 juta kakitangan awam menimbulkan rasa kurang senang apabila kerajaan pada masa yang sama menaikkan elaun kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sehubungan itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta kerajaan mengkaji semula cadangan untuk membina bangunan mega Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion yang ternyata tidak memberikan keuntungan kepada rakyat.

"keputusan kerajaan Umno-BN untuk membina bangunan Warisan Merdeka serta menaikkan elaun JKKK menimbulkan kurang senang di kalangan kakitangan awam yang tidak mendapat bonus tahun ini.

"Apa yang saya tidak faham, mengapa kerajaan boleh menaikkan elaun JKKK daripada RM450 kepada RM800 sedangkan mereka tidak mampu membayar bonus kepada kakitangan awam.

"Pada masa yang sama, kerajaan Umno-BN juga berura-ura mahu membina bangunan Warisan Merdeka berharga RM5 bilion.

"Kita harap perkara ini dapat dipertimbangkan semula. Kalau elaun dinaikkan ia perlu diberikan kepada semua. Kalau tak ada tak perlu beri," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Belanjawan 2011 berkata kerajaan memberikan kenaikan elaun bulanan Pengerusi JKKK dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini, bagi menghargai peranan mereka sebagai pemimpin masyarakat.

Pada masa yang sama kerajaan juga meluluskan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka yang akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) merangkumi Stadium Merdeka dan Stadium Negara yang sediada serta pembinaan sebuah menara 100 tingkat.

Ahli Parlimen bagan itu juga menyelar tindakan kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus kerana ini akan hanya membebankan golongan miskin yang tidak mampu menampung kenaikan kos perkhidmatan.

"Ini adalah bentuk hiburan kepada orang miskin. Kita harap ia boleh dikaji semula, kerana ini akan menambahkan beban kepada rakyat Malaysia sebanyak RM597 juta dengan kenaikan cukai perkhidmatan ini," katanya.

Sumber: Suara Keadilan

Tiada ulasan: