Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Polis Gagal Siasat Enam Laporan : SPRM Perlu Siasat- Shamsul
- Ibrahim Ali Tidak Hormati Sesi Tafakur
- Kerajaan Turut Selektif Umum Daya Saing Negara
- ETP: PM Digesa Jelaskan Langkah Kerajaan Peroleh RM454 Billion Dalam Ucapan Bajet 2011 Jumaat Ini
- Akta Kawalan Harga Bebankan Peruncit
- Sidang Kemuncak Wanita Pertama Satu Pembaziran
- Walaupun Guna Rahimi Umno-BN Tidak Mampu Sekat Kemaraan PR
- Dasar Lupus Kereta Lama Hanya Untungkan Kroni Umno-BN, Rakyat Bakal Sengsara
- Parlimen Tolak Soalan Berhubung Pembelian Puluhan Ribu Senjata Untuk Pemuda Umno
- Felda Diminta Jangan Tipu Peneroka Berhubung Isu Tabung Tanam Semua
Polis Gagal Siasat Enam Laporan : SPRM Perlu Siasat- Shamsul Posted: 11 Oct 2010 01:25 AM PDT SHAH ALAM 11 OKT: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan terhadap kemungkinan wujud elemen penyelewengan melibatkan pihak berkepentingan dalam kes pembunuhan kejam Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya. Beliau yang ditemubual TV Selangor berkata, rakyat menunggu maklumat saban hari untuk mengetahui ketelusan polis menyiasat kes terdahulu yang dijangka ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan. Shamsul menambah, sekirannya SPRM tidak melindungi kepentingan mana-mana pihak maka mereka perlu seiring dengan polis memastikan kebenaran terjamin. "Saya tidak dengar apa-apa lagi, mungkin mereka lakukan secara sulit namun setakat ini saya tidak dengar lagi mana-mana polis termasuk Ketua Polis Selangor dipanggil memberi keterangan menjelaskan keadaan yang berlaku," jelas beliau. Kenyataan Shamsul merujuk jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein di Parlimen berkenaan enam laporan polis direkodkan dari tahun 2005 hingga 2010 dan yang membabitkan suspek kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain. Sebelum itu, tiga ahli parlimen iaitu Lim Kit Siang(DAP-Ipoh Timur) di sini bersekali dengan soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim Bandar Baharu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) meminta penjelasan berkenaan perkembangan pembunuhan jutawan kosmetik berkenaan. Hishamuddin berkata, daripada enam laporan membabitkan peguam terbabit serta adiknya, dua kes selesai disiasat dengan satu daripadanya, kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan satu lagi dalam perbicaraan di mahkamah. Menurut Shamsul, fakta tidak lengkap yang diumumkan Hishamuddin tidak akan mengaburi mata masyarakat justeru beliau percaya terdapat sebelas lagi kes yang melibatkan suspek dari tahun 1995 masih belum diselesaikan polis. Beliau menambah, tindakan sambil lewa kerajaan terhadap isu ini melambangkan seolah-olah mereka mencari jalan keluar memberi perlindungan kepada pihak yang berkepentingan. "Sebagai Menteri Dalam Negeri dia perlu menjelaskan mengapa perkara ini boleh berlaku dalam sistem kepolisian yang sepatutnya menjaga keselamatan awam. "Kerajaan cuba mencari jalan keluar dalam kes ini. Sepatutnya Hishamuddin perlu lebih tegas menyatakan bahawa kementerian akan mengambil tindakan tanpa mengenal bulu kepada sesiapa yang cuba untuk menutup kes ini," tegas beliau. Shamsul menambah sekirannya Hishamuddin serius menangani perkara ini maka beliau perlu tampil menjelaskan kepada umum tiada individu berprofil tinggi terlibat dalam kes ini. Sumber: TVSelangor |
Ibrahim Ali Tidak Hormati Sesi Tafakur Posted: 11 Oct 2010 01:20 AM PDT KUALA LUMPUR, 11 OKT- Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berasa kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali kerana tidak menghormati sesi bertafakur selama seminit dalam dewan sebagai tanda hormat terhadap kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Edmund Chonng Ket Wah. Ibrahim didakwa tidak berdiri dan bercakap menggunakan telefon bimbitnya ketika ahli dewan lain bangun dan bertafakur selama seminit. Ahli Parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata Ibrahim bukan sahaja tidak menunjukkan rasa hormat kepada mendiang Chong yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya Sabtu lalu, malah tindakan beliau menggunakan telefon bimbit di dalam dewan juga melanggar arahan Speaker Parlimen yang melarang penggunaan telefon ketika dewan bersidang. "Kelakuan beliau menunjukkan beliau tidak menghormati Speaker Dewan dan mendiang Chong. Walaupun beliau seorang Melayu dan beragama Islam, adalah menjadi nilai kita sebagai rakyat Malaysia untuk saling menghormati. Ibrahim sepatutnya ingat bahawa sebagai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa(PERKASA), tindakannya seolah-olah menunjukkan bahawa beliau langsung tidak menghormati sesiapa sahaja yang bukan Melayu dan beragama Islam," katanya kepada media di lobi Parlimen. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata Ibrahim sengaja bersifat provokatif dan memberi amaran pihak pembangkang mungkin akan mengemukakan usul untuk menghukumnya. "Saya rasa kita patut mengemukakan usul...kelakuannya menggalakan kaum Melayu untuk tidak menghormati kaum lain. Seorang rakan sejawat meninggal dunia dan kami bertafakur seminit sebagai tanda menghormatinya namun beliau terus duduk dan bercakap dengan nada yang kuat melalui telefon, mungkin untuk menunjukkan semangatnya sebagai seorang pejuang Melayu," katanya dengan nada sinis. Sumber: TVSelangor |
Kerajaan Turut Selektif Umum Daya Saing Negara Posted: 11 Oct 2010 01:05 AM PDT KUALA LUMPUR 11 OKT -Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed turut memberikan data secara selektif berkenaan daya saing ekonomi negara. Beliau yang ditemu di lobi Parlimen menjelaskan demikian terhadap kenyataan Mustapa Mohamad yang menyelar pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mengatakan bahawa Ketua Pembangkang itu menggunakan data secara selektif untuk memburukkan kerajaan. "Mereka juga selektif, iaitu memberi laporan yang menidakkan rujukan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar. Sedangkan beliau menjelaskan bahawa, rujukan yang dipetik itu adalah sebelum dari tarikh, sedangkan apa yang dikemukakan oleh Mustapa itu, terkemudian dari kenyataan," jelas Mahfuz. "Ada sedikit lonjakan selepas itu, jadi (kenyataan itu) tidak salah. Pandangan Datuk Seri Anwar itu dikemukakan lebih awal," jelas Mahfuz. Bahkan, Mahfuz mempersoalkan peningkatan daya saing negara yang dikemukakan oleh Mustapa, sebagai tidak memberangsangkan. "Berbanding dengan negara Indonesia, menurut suatu laporan, mereka kini panik pula apabila melihatkan kemasukan pelabur luar yang begitu tinggi. Sedangkan di negara kita tidak berlaku sedemikian rupa," tambahnya. Pandangan beliau turut dikongsi bersama Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Hamid yang menjelaskan bahawa kenyataan Ketua Pembangkang itu merupakan suatu fakta yang jelas dah telah berlaku. "Kalau (daya saing negara) itu diperbaiki, adalah lebih baik. Kalau dia mengambil sikap positif, itu adalah suatu ukuran untuk (kerajaan Malaysia) memperbaiki kedudukan Malaysia," jelasnya. Abdullah menganggap bahawa apa yang diakibatkan dari indeks tersebut merupakan cerminan kepada kegagalan kerajaan Barisan Nasional untuk mengurus dan mentadbir negara. "Sikap kepimpinan negara ini sendiri yang menidakkan perkara dan fakta. Kini Malaysia lebih jauh ketinggalan, bahkan berbanding negara-negara Asia Tenggara sendiri," kata Abdullah. Sumber: TVSelangor |
ETP: PM Digesa Jelaskan Langkah Kerajaan Peroleh RM454 Billion Dalam Ucapan Bajet 2011 Jumaat Ini Posted: 11 Oct 2010 01:00 AM PDT KUALA LUMPUR 11 Okt - Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bagaimana kerajaan Umno-BN bercadang mendapatkan sejumlah RM454 billion untuk kesemua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar mereka dapat melaburkan wang tersebut dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP). Katanya, penjelasan itu hendaklah dibuat pada ucapan Bajet 2011 yang akan dibentangkan Najib pada Jumaat ini termasuk menerangkan tentang apa tindakan kerajaan untuk memastikan pelaburan sebanyak RM850 billion daripada sektor swasta dapat diperolehi. Menurut beliau, sebanyak RM1.44 trillion diperlukan bagi melaksanakan 131 pelan pembangunan ETP seperti dicadangkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang dipengerusikan oleh Datuk Idris Jala di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Daripada jumlah itu, katanya kerajaan Umno-BN mengharapkan 60 peratus sumbangan pelaburan daripada sektor swasta sepenuhnya dan 32 peratus daripada GLC, manakala baki 9 peratus akan ditanggung oleh kerajaan Umno-BN. "Kita perlu mengetahui sama ada GLC dapat menampung RM454 billion atau 32 peratus seperti yang diharapkan oleh kerajaan Umno-BN. "Jika dilihat kepada jumlah modal pasaran yang dipunyai oleh 20 syarikat GLC teratas yang disenaraikan di Bursa Saham, hanya berjumlah RM266 billion, maka bagaimana kerajaan Umno-BN bercadang mendapatkan bakinya?" soal Tony dalam sidang media di lobi parlimen hari ini. Tambah beliau, hanya ada dua cara sahaja GLC dapat menampung kos ini iaitu pertama, setiap GLC mengambil pinjaman berjumlah ratusan juta ringgit atau kedua untuk memastikan kesemua pemegang kepentingan dalam GLC berkenaan mengeluarkan ratusan juta ringgit dari poket sendiri. "Saya tidak mempertikaikan kemahuan politik kerajaan Umno-BN tetapi saya tidak faham bagaimana kerajaan Umno-BN boleh meletakkan harapan sebegitu tinggi sedangkan angka sebenar penilaian GLC langsung tidak menggambarkan sebegitu?" tegas beliau. Menurut Tony, 20 GLC terbesar itu juga menanggung hutang sebanyak RM38.65 Billion yang juga perlu dilunaskan, maka GLC terpaksa menanggung bukan sahaja beban pelaburan tetapi juga beban hutang setiap tahun. Sementara itu bercakap dalam sidang media yang sama, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempertikaikan percanggahan kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui ketika menjawab soalan beliau di Parlimen yang menyatakan kerajaan Umno-BN masih belum membuat keputusan berkenaan cadangan pembinaan loji nuklear. Katanya, beliau mendapati pembinaan logi nuklear telahpun dimasukkan sebagai salah satu daripada 131 projek ETP yang dicadangkan oleh Pemandu di bawah JPM. "Ini sama seperti projek pembangunan Kuala Lumpur yang dikatakan masih dalam perancangan tetapi telah pun disertakan di dalam ETP, maka saya ingin bertanya adakah ini hanya satu janji manis Umno-BN memuaskan hati rakyat? "Dan juga untuk menunjukkan bahawa kerajaan Umno-BN kononnya sedar dan sentiasa akan mengambil langkah yang hanya akan membawa kebaikan kepada rakyat?" soal Santiago lagi. Beliau bagaimanapun turut mempersoalkan sejauh mana kejayaan pelan pembangunan ETP yang dibentangkan oleh Pemandu dapat dijayakan kerana sehingga kini tiada bukti atau sumber yang dapat menyatakan pelan-pelan ini dapat menggerakkan ekonomi di masa hadapan. "Apa yang saya lihat hanya pelan 'hypothetical', pelan yang mungkin boleh dan bukannya pelan yang terbukti akan berjaya menggerakkan ekonomi," jelas beliau. Sumber: Suara Keadilan |
Akta Kawalan Harga Bebankan Peruncit Posted: 11 Oct 2010 12:06 AM PDT KUALA LUMPUR, 11 OKT - Akta Kawalan Harga akan membebankan peruncit tempatan dan juga pengilang tempatan yang terpaksa mengikut kawalan harga ditetapkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN). Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan di Parlimen, ini akan menyebabkan para pengilang untuk mengeluarkan produk sampingan seperti krimer kerana harga susu dikawal. "Para pengilang tempatan akan mula mengeluarkan produk 'enrichment' kepada produk yang dikenakan kawalan harga apabila kawalan harga dikenakan terhadap kedua-dua pengilang dan peruncit," kata Dr Dzulkefly. Buat masa ini, Akta Kawalan Harga menetapkan harga siling terhadap tujuh barang kawalan sepanjang masa dan dari 18 hingga 20 barang semasa musim perayaan. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Ismail Sabri Yaakub, kementerian mengenakan kawalan terhadap harga yang dijual oleh pengilang kepada peruncit dan juga harga jualan oleh peruncit. Beliau juga menyatakan kementerian akan membuat pantauan dari masa ke semasa dan menyaman peruncit yang tidak mematuhi kawalan harga yang dikenakan terutamanya pada musim perayaan di mana permintaan barangan tinggi. Bagaimanapun Dr Dzulkefly mencelah, apabila harga siling sebegini dikenakan, para peruncit juga akan terpaksa mendapatkan barangan daripada sumber-sumber lain yang memberikan harga murah bagi menampung kos mereka. Selain itu, kata beliau ada juga peruncit yang terpaksa menjual pada harga asal kerana tidak dapat menampung kos operasi hanya dengan membeli borong pada harga siling pengilang dan menjual pada harga kawalan. Sumber: TVSelangor |
Sidang Kemuncak Wanita Pertama Satu Pembaziran Posted: 11 Oct 2010 12:03 AM PDT SHAH ALAM 11 Okt - Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menganggap Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang menjadi projek idaman isteri Perdana Menteri, Dati Seri Rosmah Mansor yang berlangsung esok adalah pembaziran semata-mata dan tidak sensitif kepada kesengsaraan kehidupan rakyat yang dibelenggu masalah ekonomi dan bebanan kos barangan yang meningkat. Beliau menganggarkan kos untuk menganjurkan sidang kemuncak tersebut termasuk kos pengangkutan Wanita Pertama dan delegasi masing-masing ke Kuala Lumpur, penginapan, makan dan minum, keselamatan, hiburan dan kos berkaitan adalah sekitar RM20 hingga RM30 juta untuk acara tiga hari tersebut. "Ini jelas satu pembaziran kerana di tengah-tengah ekonomi negara sedang 'sakit' isteri Perdana Menteri mengadakan acara bertaraf negara yang difikirkan tidak perlu dan tidak sesuai dengan agenda memulihkan ekonomi negara. "Dari mana datangnya semua perbelanjaan sidang kemuncak tiga hari ini kali tidak dari perbendahraan negara. Saya anggap mereka datang ke sini lebih untuk melancong yang dibayar oleh rakyat Malaysia daripada menghasilkan sesuatu yang betul-betul konkrit. "Apakah objektif sebenar sidang kemuncak ini? Kalau hendak berbincang mengenai isu pendidikan kanaka-kanak tidak perlu adalah sidang kemuncak. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai kepakaran masing-masing dan boleh diadakan simposium atau seminar. Mengapa mahu belanja berjuta-juta untuk tujuan ini?," kata Azan kepada Suara Keadilan. Melihat kepada aturcara program tiga hari tersebut yang dipaparkan dalam laman sesawang www.firstladiessummit.org, Wanita Pertama, Menteri dan pegawai kanan mereka akan dihidangkan dengan pelbagai acara sepanjang mereka berada di Malaysia. Antaranya persembahan kebudayaan, pertunjukan fesyen, Pusat Pendidikan Awal Permata di Putrajaya dan diakhiri dengan lawatan sekitar Kuala Lumpur, Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah. Seramai 16 wanita Pertama mengesahkan kehadiran mereka dari Albania, Congo, Gambia, Ghana, Jamaica, Kiribati, Laos, Mali, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Paraguay, Seychelles, Sierra Leone, Sri Lanka dan Zambia. Lapan lagi negara iaitu Azerbaijan, Ecuador, Equatorial Guinea, Guinea Bissau, Indonesia, Sudan, Thailand dan Tunisia menghantar menteri bagi mewakili wanita pertama negara masing-masing manakala tujuh negara, Oman, Qatar, Turki, Emiriah Arab Bersatu, Yaman, Afghanistan dan Iran turut menghantar menteri bagi menyertai persidangan itu. Rosmah akan mempengerusikan sidang kemuncak bertemakan 'Anak Hari Ini, Pemimpin Hari Esok' yang bertujuan memperkasakan kanak-kanak yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa depan. Sumber: Suara Keadilan |
Walaupun Guna Rahimi Umno-BN Tidak Mampu Sekat Kemaraan PR Posted: 11 Oct 2010 12:02 AM PDT SHAH ALAM 11 Okt - Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyifatkan dakwaan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhamad Rahimi Osman dipaksa menandatangani akuan bersumpah kes Fitnah II sebagai terlalu kerdil untuk menyekat gelombang kemarahan rakyat terhadap Umno-Barisan Nasional. "Bagi saya, ini lebih merupakan serangan politik dan bukannya pertuduhan jenayah. "Apa yang terjadi adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menggunakan taktik dan skrip yang sama yang dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa konspirasi menjatuhkan timbalannya ketika itu. "Dr Mahathir menggunakan seluruh jentera kerajaan termasuk pihak polis dan peguam negara untuk bersengkokol dengan beliau," ujar beliau. Menurut Johari, serangan politik itu telah menyebabkan Umno-Barisan Nasional kehilangan lima buah negeri serta dua pertiga majoriti di Parlimen.Tindakan serupa yang dibuat Najib akan menyebabkan Umno-BN akan kehilangan satu Malaysia. "Najib nampaknya tidak belajar daripada kesilapan. Kehidupan manusia ini singkat tetapi nilai kemanusiaan itu akan berkekalan. "Rakyat akan terus bercakap dan perkara yang difikir secara logik akal dan tidak boleh diterima akan ditolak," kata Johari kepada Suara Keadilan. Sumber: Suara Keadilan |
Dasar Lupus Kereta Lama Hanya Untungkan Kroni Umno-BN, Rakyat Bakal Sengsara Posted: 11 Oct 2010 12:00 AM PDT SHAH ALAM 11 Okt - Dasar kenderaan tamat hayat (ELV) dalam Bajet 2011 akan memberi impak negatif dan merupakan malapetaka kepada rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail berkata dasar itu sekaligus membuktikan keputusan kerajaan sebelum ini untuk mengeluarkan kereta buatannya sendiri adalah salah. Menurut beliau, di antara negara ASEAN, Malaysia merupakan negara tunggal mengeluar dan memasang keretanya sendiri. "Saya yakin dasar ini hanya untuk menyelamatkan industri automotif negara yang kini mencapai peringkat ketepuan. Dari segi kualiti berbanding kereta buatan luar negara, kita masih lagi ketinggalan dan disebabkan tidak laku di pasaran tempatan maka isu kereta lama yang dikatakan tidak selamat dan tidak mesra alam dijadikan alasan. "Tambah lagi kerajaan baru-baru ini telah menandatangani dasar terbuka liberisasi untuk menghapuskan dasar perlindungan yang diamalkan Malaysia dan ini termasuk pasaran industri automotif. Maka untuk menyelamatkan Proton kerajaan memperkenalkan ELV supaya kereta lama dapat dilupuskan," jelas beliau kepada Suara Keadilan. Apa yang membimbangkan kata Azan, kini terdapat 13 juta kenderaan persendirian dan 6 juta kenderaan perdagangan tetapi maklumat dan data mengenainya tidak diurus dengan baik dan ini tentu akan menyukarkan keadaan. Beliau turut mengingatkan kesan terhadap rakyat yang berpendapatan sederhana jika dasar ini dilaksanakan. "Ini tentunya akan menyusahkan rakyat terutamanya mereka langsung tidak mempunyai aset, sudahlah kereta yang dibeli dihutang sehingga 9 tahun, belum sempat habis hutang, terpaksa dilupuskan. Ini tentunya mendatangkan kesusahan kepada mereka. "Kerajaan Umno-Barisan Nasional setiap kali memperkenalkan dasar baru, ianya hanya mengundang malapetaka kepada rakyat. "Kerajaan Umno-BN langsung tidak mempedulikan rakyat, mereka hanya menjaga kepentingan kroni mereka sahaja," ujar beliau. Tambahnya lagi, dasar itu juga dikaitkan dengan tujuan untuk memberikan keuntungan pihak tertentu kerana menurutnya industri melupuskan kenderaan memberikan pendapatan lumayan. "Cadangan dasar ini nampaknya seperti memberikan peluang kepada kroni mereka untuk membuka empayar perniagaan yang baru. Saya yakin jika ianya dilaksanakan, akan berlakunya kejutan kepada rakyat Malaysia," kata Azan lagi. Sebelum itu, Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Bhd, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata dasar ELV itu memberi impak segera terhadap keseluruhan ekosistem seperti yang dilaksanakan menerusi pakej rangsangan setahun yang lalu. Alasannya, kenderaan lama perlu ditamatkan hayatnya apabila jumlah industri automotif mencapai peringkat ketepuan. Beliau turut membuat perbandingan dengan negara seperti Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Indonesia. Katanya, ELV membabitkan kereta dan trak ringan yang dianggap sampah dan perlu dilupuskan. Sumber: Suara Keadilan |
Parlimen Tolak Soalan Berhubung Pembelian Puluhan Ribu Senjata Untuk Pemuda Umno Posted: 10 Oct 2010 11:54 PM PDT SHAH ALAM 11 Okt - Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata soalan beliau kepada Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini telah ditolak berhubung tindakan kerajaan membeli jumlah peralatan senjata dalam jumlah yang amat banyak daripada sumber pasaran haran di luar negara dan hubungannya dengan latihan separa tentera Pergerakan Pemuda Umno. Kata Kit Siang, Parlimen juga menolak soalan beliau mengenai sikap Menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan yang masih menolak konsep 1Malaysia walaupun setelah 18 bulan gagasan itu diperkenalkan. Bagaimanapun soalan beliau berkaitan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya diletakkan pada kedudukan nombor empat soalan lisan. Ia berbunyi," Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan tarikh/jenis laporan-laporan polis yang dibuat terhadap adik-beradik peguam yang disyaki terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai Datuk Sosilawati di Banting, serta tindakan terkini terhadap laporan-laporan polis berkenaan." "Saya tetap akan menanyakan dia soalan yang ditolak itu sepanjang sidang Parlimen kelak," kata beliau. Sumber: Suara Keadilan |
Felda Diminta Jangan Tipu Peneroka Berhubung Isu Tabung Tanam Semua Posted: 10 Oct 2010 11:51 PM PDT SHAH ALAM 11 Okt - Pengerusi Biro Felda dan Hal Ehwal Orang Asal KEADILAN Pusat, Suhaimi Said berkata tindakan peneroka menyaman Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) adalah disebabkan keengganan agensi itu membayar wang Tabung Tanam Semula yang dipotong setiap bulan. Mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan kononnya tindakan menyaman Felda hanya merugikan peneroka Suhaimi berkata tindakan undang-undang diambil kerana sikap agensi itu yang menyebabkan peneroka hilang sabar dan mengheret isu ini ke mahkamah. "Bagi kita, saman itu juga tidak penting, yang pentingnya Felda harus bersikap adil kepada peneroka. Isu wang Tabung Tanam Semula, masih ramai lagi peneroka yang belum menerimanya, cuma separuh daripada mereka yang menerima bayaran itu. Perkara inilah yang harus Felda selesaikan. "Mengenai peneroka kemuka saman berhubung bayaran Tabung Tanam Semula di mahkamah, perkara ini bukan baru tetapi sudah lama mereka minta tapi tidak diberikan. "Kalaulah Felda bersikap adil kepada peneroka, kita pun tidak perlu mengemukakan saman dan kita minta Felda jangan tipu peneroka," tegas beliau ketika dihubungi Suara Keadilan. Katanya, selepas mahkamah mengeluarkan perintah kepada Felda membuat bayaran kepada peneroka terbabit barulah agensi itu bertindak membuat bayaran. "Sampai mahkamah pun minta supaya Felda jangan tipu peneroka, bukan sahaja Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan bahkan Mahkamah Persekutuan pun minta agensi itu jangan menipu peneroka. "Saya nak cakap kepada Ahmad Maslan, yang kemukakan saman ini, bukan hanya peneroka pihak pembangkang sahaja, malahan terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai parti dan juga dari kalangan ahli Umno sendiri. "Ini bukan masalah pihak pembangkang tetapi adalah masalah peneroka," tegas beliau lagi. Sementara itu, Suhaimi berkata pihaknya juga akan mengemukakan saman terhadap artikel di majalah Felda yang didakwa memfitnah peguam yang mewakili peneroka kononnya menerima bayaran RM5,000 bagi setiap peneroka untuk mengemukakan saman terhadap agensi itu. "Jangan cuba nak kelentong sebab peguam cuma ambil RM50 dari setiap seorang peneroka, itu pun bukan untuk yuran guaman tetapi untuk proses ke mahkamah, kita akan saman atas kenyataan berbaur fitnah terhadap peguam kita ini," jelas Suhaimi. Tambahnya, artikel itu turut menuduh peguam yang mewakili peneroka ini datang menaiki kereta mewah sambil menginap di hotel mewah bagi menemui peneroka di kawasan Felda. Beliau turut mencabar Ahmad menyatakan jumlah bayaran kepada peguam untuk agensi itu mengemukakan saman kepada lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan dan sumber dana bagi membayar khidmat peguam itu yang juga bertindak sebagai peguam Umno. "Adakah RM100,000 atau RM200,000 dan daripada manakah wang untuk membayar khidmat peguam ini?" cabar Suhaimi. Sumber: Suara Keadilan |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan