Anak Muda Kampung Nak Senang |
- Bekas komando tuntut hak
- Pekerja kilang derita bau busuk longkang
- Bangunan Majlis Agama Islam Melaka dijual ke Taukeh Cina?
- Sarawak dilanda Malapetaka di Sungai Rajang
Posted: 29 Oct 2010 01:03 AM PDT Sinar Harian 29 Okt 2010 TANGGA BATU - Bekas Komando Angkatan Tentera yang pernah berjuang ketika zaman menentang pengganas komunis era 70-an menuntut kerajaan memberikan hak sama rata bagi Elaun Hilang Upaya anggota yang mengalami kecacatan kekal sewaktu mereka berkhidmat dahulu. Koperal (B) Yaacob Hassan, 58, mendakwa, ketika ini kerajaan hanya menyediakan Skim Bayaran Pampasan Bencana Kerja (Ex-Gratia) bagi anggota tentera yang mengalami kecederaan bermula pada 2001 hingga sekarang. Sedangkan menurutnya, anggota tentera sezaman dengannya hanya diberikan sedikit pampasan dianggap tidak setimpal berbanding zaman kini yang diberikan pelbagai kemudahan oleh pihak kerajaan. Yaacob yang kehilangan pergelangan tangan kanan dan mengalami kecacatan tangan kiri akibat jerangkap samar ketika menyertai operasi mempertahankan negara daripada ancaman komunis pada 1976 di Gubir, Kedah mendakwa, hanya diberikan pampasan RM2,000 atas kecederaannya itu. Menurutnya, ketika itu dia berumur 25 tahun dan terpaksa menerima hakikat menjalani kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) seumur hidup. "Umum sedia maklum, pada 2001 ke atas tiada lagi ancaman komunis. Bagi anggota yang menerima skim pencen bawah RM720 naik ke RM720. "Tetapi, bagi yang sudah mencecah RM720 tidak merasa naik lagi. Begitu juga kadar elaun kecacatan kekal yang dibayar tidak sama rata antara kami. Tangan saya kudung dapat RM500 tetapi ada dalam kalangan rakan seperjuangan yang kudung kaki dapat RM150 sahaja," katanya ketika meluahkan rasa tidak puas hatinya itu di rumahnya di Kampung Tanah Merah Jaya, semalam. Yaacob berkata, golongan sepertinya berjuang melawan komunis tetapi jasa dan pengorbanannya bagaikan tidak dihargai. "Apa salahnya jika kerajaan samakan bayaran kami semua dan serapkan dalam pencen. Saya dah jumpa pelbagai pihak untuk menyuarakan masalah ini tetapi malangnya masih tidak berhasil walaupun saya sudah perjuangkan perkara ini sejak 1978 lagi. "Bukan saya sahaja yang tertunggu-tunggu perkara ini, bahkan hampir 200 bekas tentera seperti saya yang menjadi OKU kerana berperang dengan komunis menunggu tindakan kerajaan," katanya. Menurutnya, golongan tentera kini dilayan istimewa oleh kerajaan apabila disediakan dengan pelbagai kemudahan dan insurans berkelompok serta pelbagai skim berbanding zaman dahulu. "Bagi yang cedera atau terkorban ketika berkhidmat di luar negara, mereka dibayar dengan puluhan ribu ringgit. "Kami pula diberikan sedikit sumbangan, kadang-kadang RM200 dan kadang-kadang RM500 ketika menghimpunkan kami sewaktu menyambut Hari Pahlawan, Hari Kemerdekaan ataupun hari raya," katanya. http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8343377.asp |
Pekerja kilang derita bau busuk longkang Posted: 29 Oct 2010 01:02 AM PDT Sinar Harian 29 Okt 2010 BANDARAYA MELAKA – Terpaksa menahan bau busuk hampir dua bulan dan diancam Aedes membuatkan ramai pekerja kilang di Kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Taman Merdeka berasa tidak selesa. Puncanya kerana tiada kerja penyelenggaraan kebersihan dilakukan sehingga menyebabkan longkang tersumbat dan sisa kumbahan dari kilang memproses makanan tidak dapat mengalir dengan lancar. Apatah lagi tiada kerja pembersihan dilakukan di lorong berkenaan sehingga tumbuh rumput dan kangkung liar memburukkan lagi keadaan. Neo Hock Heng, 56, berkata, dia sering datang ke kilang anaknya yang beroperasi di situ dan sememangnya berasa tidak selesa. "Apabila datang sini sahaja, saya susah nak bernafas. Bau busuk, lalat dan nyamuk membuatkan saya bersama pekerja rasa rimas. "Aduan sudah dibuat kepada pemaju tetapi sampai sekarang tiada tindakan. Pihak yang bertanggungjawab menjaga kebersihan pun tidak datang," katanya. Sementara itu, pekerja kilang, Joseph Tan, 34, berkata, mereka sering melakukan kerja pemunggahan barang sekitar waktu petang. "Jadi kami memang menjadi mangsa digigit nyamuk. Memang takutlah jika terkena demam denggi. "Saya sudah membuat aduan kepada pemaju tetapi diberitahu, bidang kuasa pembersihan diberikan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong pula berkata, keadaan seperti itu sepatutnya tidak lagi berlaku selepas Melaka diiktiraf negeri maju. "Sebagai negara maju, kebersihan menjadi aspek penting. Saya berharap keadaan ini segera diatasi. Walaupun pada mata kasar perkara ini dilihat ringan tetapi keadaan ini sudah berlaku sejak dua bulan. "Mereka yang beroperasi di sini terdedah dengan pelbagai penyakit berbahaya seperti demam denggi," katanya. Sementara itu, di Cheng, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Kamarudin Md Shah berkata, tiada penyelenggaraan kebersihan di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Taman Merdeka sehingga mengundang bahaya kepada orang ramai sekitar diatasi segera. Menurutnya, pihaknya sudah melantik kontraktor pembersihan minggu lalu. "Kawasan berkenaan mempunyai dua kontraktor pembersihan iaitu di fasa pertama dan kedua, membabitkan 150 unit kilang. "Bahagian IKS yang sudah lama beroperasi sememangnya diselenggarakan dengan baik dan kawasan bersih," katanya. Bagaimanapun, Kamarudin berkata, IKS yang terlibat dengan permasalahan longkang tersumbat itu adalah IKS yang baru siap dibina. "Tetapi sebenarnya kerja pembersihan giat dijalankan. Kami juga akan mengambil tindakan terhadap sebuah kilang memproses makanan di kawasan berkenaan yang menyebabkan air bertakung akibat sisa kumbahan mengalir tidak lancar," katanya. http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8343364.asp |
Bangunan Majlis Agama Islam Melaka dijual ke Taukeh Cina? Posted: 28 Oct 2010 07:50 PM PDT Menggemparkan dan menyedihkan. Laporan Ketua Audit Negara tahun 2009 untuk Melaka mendedahkan tanah dan bangunan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah terjual ke BC Lim Enterprise. Siapa BC Lim ini? Taukeh Cina ke ? Cina DAP ke ? Juga tanah MAIM telah dijual ke Universiti Terbuka Malaysia. Paling pelik sebuah rumah jenis kekal telah dibina atas Tanah BaitulMal tanpa kebenaran MAIM. Apa nak jadi Melaka ni ? Negeri Maju tapi tanah dan bangunan MAIM dah terjual, dijual, diceroboh ? Apa tunggu lagi , buatlah laporan polis dan SPRM. Sila baca laporan penuh di laman web Ketua Audit Negara di http://www.audit.gov.my/ MENANG SORAK ! KAMPUNG TERGADAI ! MELAKA MAJU ! MELAKA MAJU ! MELAKA MAJU ! |
Sarawak dilanda Malapetaka di Sungai Rajang Posted: 28 Oct 2010 05:53 PM PDT Oleh Dr Jeniri Amir - Berita Harian 29 Okt 2010 - Malapetaka Sungai Rajang mula dirasai. TIGA kejadian membabitkan sungai di Sarawak menjadi tajuk berita sejak kebelakangan ini. Pertama, kemalangan membabitkan bot ekspres yang mengorbankan nyawa di Sungai Anap, Tatau. Kedua, air di Sungai Rajang yang semakin surut. Ketiga, usaha kerajaan negeri di bawah pelan induk untuk membersihkan semua sungai dan cabangnya bermula dengan Sungai Sarawak. Sungai menjadi nadi kegiatan ekonomi, sistem pengangkutan dan kehidupan sebahagian besar daripada 2.5 juta penduduk Sarawak, terutama mereka di sepanjang Sungai Rajang, Sungai Baram, Batang Sadong, Batang Tatau, Batang Lupar dan Sungai Limbang. Sarawak mempunyai 55 batang sungai. Jika sungai mati, maka segala kehidupan dan kegiatan mereka akan turut mati. Sungai mempunyai peranan signifikan dan kesan besar dalam kehidupan seharian mereka. Sungai bukan saja perlu dipelihara tetapi dilindungi daripada segala kegiatan yang mengancam hayatnya. Jika sungai sudah tercemar dan mati, ia tentu merugikan manusia dan mendatangkan malapetaka yang tidak sukar dibayangkan. Tidak ada gunanya menyesal apabila nasi sudah menjadi bubur. Jadi, sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi, pelbagai langkah perlu diambil untuk mengelakkan kejadian buruk menimpa kita. Usaha menyelamatkan sungai daripada pencemaran bukan saja memakan masa dan tenaga, tetapi memerlukan peruntukan besar. Sebenarnya, semua itu tidak perlu jika kita sensitif dan prihatin terhadap sungai dan tidak mengambil ringan dengan membuang segala sampah ke dalamnya sehingga mencekik dan mematikan sungai. Tidakkah kita berasa berdosa dan kesal melihat sungai yang mengalir lancar dan begitu bersih suatu ketika dulu, kini tidak lagi bergerak, berbau busuk dan dipenuhi sampah dan keladak? Jadi, apabila Sungai Rajang dicemar oleh sampah sarap dan balak dua minggu lalu, tidak hairan ramai yang memperlihatkan keprihatinan mereka. Sungai Rajang perlu segera diselamatkan dan dibersihkan daripada sebarang ancaman angkara perbuatan manusia yang rakus dan tidak mempedulikan alam sekitar. Kini, kita wajar berasa risau dengan kejadian yang menimpa Sungai Rajang. Sungai Rajang yang menarik perhatian ramai baru-baru ini kerana fenomena balak dan sampah sepanjang 50 kilometer sehingga menggemparkan penduduk di sepanjang sungai terbabit, kini berdepan dengan ancaman lain yang tidak kurang risikonya. Kerajaan memang sedar peranan sungai berkenaan sebagai laluan kapal dan bot. Pada 2002 misalnya, kerajaan Pusat menyumbang peruntukan RM4 juta bagi tujuan khas untuk melaksanakan Program Pencegahan Pencemaran dan Peningkatan Kualiti Air Batang Rajang. Program itu bertujuan untuk membantu memastikan setiap aktiviti pembangunan dilaksanakan di kawasan Lembangan Batang Rajang, termasuk Projek Bakun, tidak menjejaskan kualiti air, serta kegunaan berfaedah Batang Rajang. Sungai Rajang semakin kering. Air semakin susut dan akibatnya, penduduk di Sibu, Kanowit, Song, Kapit dan Belaga dicengkam kebimbangan yang bukan kepalang. Ini berita buruk kepada mereka yang sekian lama bergantung kepada sungai sebagai nadi kehidupan dan pengangkutan. Malah, sungai berkenaan menjadi mangkin kehidupan sejak zaman-berzaman lagi. Bayangkan tanpa jalan raya, bagaimanakah penduduk dari kawasan terbabit dapat bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan juga pergi ke Sibu? Apakah yang menjadi sebab air semakin kering? Adakah kerana langkah menakung air di Empangan Bakun setinggi 205 meter? Hakikatnya, satu pertiga daripada sumber air yang mengalir ke dalam Sungai Rajang dinafikan dengan langkah penakungan air berkenaan. Puncanya bukan kerana ketiadaan hujan kerana sebelum itu pun hujan tidak pernah turun untuk beberapa hari tetapi tidaklah seperti sekarang. Kali ini air cepat susut di dalam sungai sehingga mendedahkan tebing dan segala kemudahan prasarana berkaitan dengan sistem pengangkutan. Kerisauan penduduk di sepanjang sungai berkenaan memang beralasan kukuh. Penduduk dari Kanowit mungkin tidak begitu risau kerana mereka dihubungkan dengan jalan raya ke Sibu, tetapi bagaimana dengan mereka di Song, Kapit, Belaga dan kawasan sekitarnya? Sungai Rajang satu-satunya sistem pengangkutan yang memungkinkan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Jika sungai itu sudah kering kontang, ini satu malapetaka yang pasti mendatangkan kesulitan yang luar biasa kepada petani, penangkap ikan, pembalak, pengendali bot dan sebagainya. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MalapetakaSungaiRajangmuladirasai/Article |
You are subscribed to email updates from Anak Muda Kampung Nak Senang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan