Isnin, 25 Oktober 2010

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Dah 53 tahun merdeka, tapi ambil 370 guru asing

Posted: 25 Oct 2010 01:20 AM PDT

Dah 53 tahun Malaysia merdeka, negara akan mengambil 370 pakar bahasa Inggeris dari negara luar untuk memantau pengajaran bahasa Inggeris di sekolah. Apa, dah banyak sangat duit Kementerian Pelajaran ? Apa, gaji guru dari luar negara ini lagi murah ? Apa, tidak ada anak Malaysia, anak Melayu, anak Cina, anak India yang pakar bahasa Inggeris ?

Yang mengajar Muhyiddin bahasa Inggeris dulu guru Malaysia atau guru luar negara ? Yang mengajar Hishamuddin dulu guru Malaysia atau guru luar negara ? Yang mengajar Tun Mahathir dulu, guru Malaysia atau guru luar negara ? Yang mengajar Anwar Ibrahim dulu guru Malaysia atau guru luar negara ?

Kalau guru buat roket, satelit, kapal angkasa ambil dari luar negara tu, logiklah juga. Itu pun untuk peringkat universiti, peringkat sekolah rendah, guru fizik cukup.

****************
Harian Metro 25 Okt 2010

370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara akan diambil mulai tahun depan

MELAKA: Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara mulai tahun depan bagi memantau pengajaran bahasa itu di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengambilan pakar itu selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) untuk pelajar tahun satu sekolah rendah yang akan bermula tahun depan.

"Mereka akan melihat bagaimana guru-guru mendidik anak-anak kita dalam bahasa Inggeris, ini kita akan mulakan pada tahun depan," katanya pada sesi dialog program Titipan Naluri bersama guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Melaka, Johor dan Negeri Sembilan, di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini, hari ini.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012 selepas mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak bimbang untuk memartabatkan bahasa Melayu kerana sebahagian besar guru yang sedang berkhidmat sudah terlatih dalam bahasa itu.

Yang agak mencabar bagaimana hendak kita perkukuhkan bahasa Inggeris?. (Oleh itu) kita juga mahu guru yang sudah tersedia dalam sistem pendidikan mesti didedahkan semula dengan kursus-kursus dalam cuti supaya mereka dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih mahir lagi," katanya.

Beliau juga berkata, penguasaan guru pelatih di IPG dalam bahasa Inggeris juga akan ditingkatkan agar mereka tidak menghadapi masalah apabila mengajar di sekolah.

"Secara terperincinya, kita akan kemukakan kepada orang ramai tidak berapa lama lagi supaya rakyat tahu dan mereka dapat membantu supaya dasar MBMMBI kita dapat dilaksanakan secara terbaik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Pelajaran akan mencari jalan untuk menyeimbangkan jumlah guru pelatih lelaki dan wanita berikutan bilangan guru pelatih lelaki lebih rendah pada masa sekarang.

Beliau berkata, sehingga Ogos lalu, jumlah guru pelatih di 27 IPG seluruh negara ialah 34,512 orang dan daripada jumlah itu, seramai 22,805 orang adalah guru pelatih wanita, manakala 11,707 orang adalah guru pelatih lelaki.

Selain menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan semasa di IPG, Muhyiddin mahukan guru pelatih lebih kreatif dan inovasi dalam bidang pendidikan.

-Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/370pakarbahasaInggerisdariluarnegaraakandiambilmulaitahundepan/Article/

Konvoi Anak Muda Rembau ke Penang 5 ke 7 Nov 2010

Posted: 24 Oct 2010 09:31 PM PDT


KONVOI ANAK MUDA REFORMASI
Dari Rembau ke Permatang Pauh
5 hingga 7 November 2010 (Jumaat-Ahad)

Anjuran :
SAMM (Solidariti Anak Muda Malaysia)
Yayasan AMAN
United Sharks Bikers 250 Malaysia
bersama
Belia Senawang, DACS ARC, AMK Rembau dan AMK Permatang Pauh

Pertanyaan hubungi Yaser 012-6794704

Sumber http://chegubard.blogspot.com/

Poster program di https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjiR5lH0N5dGRstjWfRekbaJn8he1q_X8kPZk5fiBd9UrzZcSJXqTc5n9rBLb2jnRSVRYk_r1UgmPEmPSu7BzSud14hNflF1OdkSSCiJfTZ2i-CICIwjOQDHoRFWrt7KK5Aqb6VM2aN2a0/s1600/motor.jpg

Kejadian Lemas di PD

Posted: 24 Oct 2010 08:39 PM PDT


PORT DICKSON, 23 Okt - Anggota Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat Mohd Azhari Tahari, 41, yang ditemui lemas di Pantai Telok Pelandok, Batu 10, di sini malam tadi.

Mangsa dari Seremban bersama empat rakan pergi ke pantai itu untuk menjala ikan dipercayai terjatuh ke laut dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang.

Kehilangan mangsa disedari rakan-rakannya sebelum mereka menghubungi pasukan penyelamat selepas gagal menemui mangsa.

Mayat mangsa akhirnya ditemui Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Teluk Kemang, di Pulau Judi, Batu 12 pada kira-kira pukul 7 malam dan mayat dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat.

-- BERNAMA

http://fotoweb.bernama.com/fotoweb/preview.fwx?position=150&folderid=5093&search=&sorting=modifytime_desc

Rumah macam reban ayam di kawasan selamat UMNO Melaka

Posted: 24 Oct 2010 08:31 PM PDT


Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.- Utusan Malaysia 17 Okt. 2010

'Reban ayam' jadi tempat berteduh
Sinar Harian 25 Okt 2010

KAMPUNG PADANG - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah boleh diibaratkan kehidupan Junita Jaafar, 30, yang terpaksa menetap di sebuah rumah kecil seperti 'reban ayam'.

Meninjau ke rumah Junita, kelihatan ruang rumahnya di mana dia dan keluarga tidur, memasak dan segalanya berlaku di ruang sempit itu.

Bagi mereka yang berada, mungkin kotak kecil itu kelihatan seperti bilik stor yang hanya menanti masa untuk dirobohkan sahaja.

Junita berkata, dia dan suaminya, Borhan Ibrahim, 35, mendirikan rumah berkenaan sebagai tempat berlindung bagi mereka sekeluarga.

Menurutnya, tapak rumah berkenaan adalah tapak pusaka ibu mertuanya.

"Kami mempunyai dua anak yang masih kecil, bagaimanapun nasib tidak menyebelahi kami kerana tidak mampu untuk hidup lebih baik berbanding orang lain," katanya.

Junita berkata, suaminya hanya bekerja sebagai buruh awam dan pendapatannya tidak tetap.

"Jika ada kerja, adalah rezeki kami, jika tidak sebaliknya hanya bergantung kepada pendapatan saya sebagai pekerja di kilang membuat batu nisan di sini.

"Malah, pendapatan saya pula hanya RM450, untuk makan dan menguruskan keperluan harian pun sekadar yang mampu," katanya.

Dia bernasib baik dapat menumpang di rumah kakak dan abang iparnya apabila hendak menggunakan elektrik dan air.

"Setakat ini hanya kepada merekalah tempat kami mengadu dan menumpang, tetapi sampai bila mereka hendak menanggung kami," katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah dikunjungi pihak berkenaan yang menguruskan permohonan rumah PPRT buatnya.

"Mereka mengatakan akan membina rumah PPRT bagi menggantikan rumah yang kami duduki kini.

"Tetapi hari demi hari, janji hanya tinggal janji dan sudah dua tahun berlalu kami masih berlindung di rumah ini," katanya.

Junita berkata, diharapkan pihak berkenaan dapat membantunya menguruskan rumah PPRT baru memandangkan anak-anaknya semakin membesar.

"Besar harapan saya untuk melihat anak-anak mendapat perlindungan yang lebih sempurna.

"Semoga impian saya untuk mendapatkan rumah yang lebih baik dan selesa termakbul dengan keprihatinan pihak berkenaan," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8330691.asp

Seksa kena saman

Posted: 24 Oct 2010 08:30 PM PDT

Berita Harian 25 Okt 2010

Perniaga dakwa pelanggan takut singgah di Pasar Awam Alor Gajah

ALOR GAJAH: Perniagaan di Pasar Awam Alor Gajah didakwa kian malap apabila banyak peniaga dan pelanggan menjauhinya angkara tidak tahan dengan ketegasan penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) yang mengeluarkan saman tanpa timbang rasa. Tindakan tegas MPAG yang tidak memberi muka kepada pesalah letak kenderaan turut dirasai 40 peniaga di pasar berkenaan sejak dua bulan lalu meskipun kesalahan kecil lazimnya boleh diselesaikan menerusi notis amaran. Kira-kira 40 peniaga pasar di pekan Alor Gajah, yang ditemui Berita Harian mengaku kecewa dengan tindakan penguat kuasa MPAG yang kerap mengeluarkan notis saman atas kesalahan kecil sejak kebelakangan ini.

Ada peniaga tidak puas hati dengan sikap kasar segelintir pegawai penguat kuasa MPAG yang bersikap biadab, termasuk menghamburkan kata-kata kesat terhadap mereka.

Akibat tertekan dengan saman setiap bulan itu, mereka kini menuntut kerajaan negeri campur tangan menasihati pegawai MPAG supaya lebih berhemah ketika menjalankan tugas.

Peniaga, Leong Mei Wah, 47, berkata, dia disaman anggota penguat kuasa MPAG atas kesalahan meletakkan barang jualan di luar kawasan tapak perniagaan sehingga menghalang laluan.
"Saya memang keliru dengan peraturan MPAG kerana dalam satu perjumpaan membabitkan peniaga dan MPAG tidak lama dulu, kami dimaklumkan kawasan dibenarkan untuk meletak barang.

"Saya letak bekas ini dekat sini sebab saya berniaga setiap hari, sukar sekiranya saya hendak membawa barang pulang setiap hari dan sehingga kini sudah dua saman saya terima, satu pada bulan lalu dan satu dalam bulan ini," katanya.

"Peniaga disaman antara RM50 hingga RM250, iaitu sama dengan purata keuntungan harian, kalau saman ini berlarutan, mana kami boleh tahan sebab setiap kali mereka menyerbu ke sini, ada pelanggan pun lari sebab tak gemar melihat gelagat kasar mereka," katanya.

Rakannya, Ng Swee Hun, 40, berkata, pendapatannya kini merosot sehingga 70 peratus angkara mengumpul wang untuk menyelesaikan pelbagai bayaran kompaun.

"Setiap hari mereka tekan kami dengan saman, kalau selalu begini bagaimana kami mahu cari makan, duit berniaga habis bayar saman, bukan peniaga saja disaman, sebaliknya pelanggan yang tengah beli barang turut terkejut apabila kenderaan mereka disaman," katanya.

Peniaga buah-buahan, Muhammad Ridzuan Rosman, 20, berkata, dia menerima 14 saman dalam bulan ini dan menahan telinga mendengar kata-kata kesat daripada anggota penguat kuasa ketika menyaman.

"Pasar ini semakin lengang kerana pelanggan juga seolah-olah takut ke sini kerana bimbang kenderaan mereka disaman, walhal tempat kereta amat terhad, penduduk semakin bertambah.

"MPAG tidak langsung bersikap properniagaan, sedangkan hasil cukai dikutip, ini jelas berlawanan dengan dasar kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat,'' katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Seksakenasaman/Article

Akhirnya Najib akui UMNO Melaka lebih bijak urus parti

Posted: 24 Oct 2010 05:15 PM PDT

Akhirnya Najib akui Ali Rustam bijak mengurus UMNO di Melaka, tiada krisis, dan minta negeri lain contohi UMNO Melaka. Paling elok UMNO N.Sembilan , kerana BN hampir tumbang dalam pilihanraya umum ke 12. Susah-susah sangat, lebih baik Ali Rustam tu jadi Presiden UMNO, selesai masalah. Bawah Ali Rustam , Melaka sifar pembangkang Melayu, kalau Ali Rustam jadi Presiden UMNO, susahlah jawabnye calon Melayu PAS dan PKR

*****************************
UMNO Melaka bijak urus masalah
Harian Metro 2010/10/25

MELAKA: UMNO Melaka berjaya menguruskan semua masalah dalaman parti membabitkan ahli dan pemimpinnya di semua bahagian di negeri ini selaras dengan arahan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang mahu melihat UMNO sifar masalah.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata semua masalah yang timbul berjaya ditangani dengan bijaksana sejak 10 tahun lalu dan beliau amat berpuas hati dengan kerjasama diberikan pemimpin dan ahli setiap bahagian. "Masalah kecil memang ada berlaku sejak dulu lagi, tapi nampaknya semua dapat diuruskan dengan baik dan kini saya tidak risau dengan masalah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Melaka 2010 di Dataran Sejarah, Ayer Keroh di sini, semalam. Mohd Ali berkata demikian mengulas tujuh amanat Najib ketika ucapan penggulungan Model Transformasi UMNO pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO ke-61 di PWTC, kelmarin.

Beliau berkata, semua amanat Najib itu sudah dilaksanakan dengan kemas oleh UMNO Melaka dan mana-mana kekurangan akan diperbaiki dalam usaha mengukuhkan kedudukan parti serta kembali meraih sokongan rakyat.

Mengulas mengenai cadangan rombakan kepemimpinan yang bakal dilakukan Najib dalam tempoh terdekat ini, Mohd Ali berkata, UMNO Melaka menyokong langkah menyusun saf kepemimpinan parti itu.

"Saya menyokong usaha kerana ia boleh menguatkan lagi parti," katanya. dan membolehkan semua pihak melakukan transformasi UMNO berjalan lebih lancar," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak tahu sama ada perubahan saf kepemimpinan yang bakal dilakukan itu membabitkan pemimpin dari negeri ini.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UMNOMelakabijakurusmasalah/Article

Bekas tentera jumpa Najib belum dapat elaun

Posted: 24 Oct 2010 05:09 PM PDT


Ingat lagi Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil pada awal bulan Oktober 2010 yang dihadiri 20,000 bekas tentera bersama Perdana Menteri ? Pelbagai janji ditabur. Rupanya bekas tentera ini dijanjikan wang tunai untuk hadir, tapi belum dapat lagi. Macam ni cara kerja mereka bawa orang ramai-ramai dalam apa-apa program, janji bagi duit, lepas tu lambat atau mungkin tak bayar, atau hilang ?

Tak dapat elaun

Utusan Malaysia 25 Okt 2010

SAYA adalah antara ribuan bekas tentera yang telah hadir ke perhimpunan raksasa yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 10 Oktober lalu. Untuk mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas saya serta beberapa rakan telah menaiki LRT dari Stesen Sentul.

Sambutan yang diberikan oleh bekas-bekas tentera amat menggalakkan. Tapi saya serta rakan- rakan amat kecewa kerana hanya bekas-bekas tentera yang menaiki bas yang disediakan oleh pihak PBTM sahaja yang mendapat ganjaran wang tunai.

Bagi kami yang menggunakan pengangkutan awam tidak mendapat sebarang bayaran!

Diharap Datuk Presiden PBTM menyiasat perkara ini.
VETERAN
Kuala Lumpur

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1025&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_05.htm


PM umum insentif baru untuk bekas tentera
10/10/2010 5:04pm

BUKIT JALIL 10 Okt - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sumbangan khairat kematian kepada bekas tentera melalui Yayasan Veteran dinaikkan daripada RM500 kepada RM3,000.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan akan segera menyelesaikan tuntutan ex-gratia anggota tentera yang cacat anggota sebelum 1994.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini. - Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1010&pub=utusan_malaysia&sec=Terkini&pg=bt_23.htm&arc=hive

Bekas tentera bakal terima dua insentif


KUALA LUMPUR 10 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan dua insentif yang akan menggembirakan kira-kira 300,000 bekas anggota tentera yang selama ini sanggup mengorbankan nyawa demi memastikan keamanan negara.

Dua perkara itu ialah sumbangan khairat kematian sebanyak RM3,000 daripada RM500 sebelum ini yang akan berkuat kuasa serta-merta.

Selain itu, bayaran ex-gratia kepada anggota yang cacat anggota badan kerana terlibat dalam pertempuran sebelum 1994 akan segera diselesaikan dalam masa terdekat.

"Pasukan keselamatan sama ada yang masih dan berhenti berkhidmat kepada negara merupakan kumpulan masyarakat yang amat penting. Kerajaan memang menjaga kebajikan kumpulan ini mengikut kemampuan kewangan kita.

"Semasa menjadi Menteri Pertahanan pada 2001, saya telah menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia dan sejak itu sebanyak RM197 juta dibelanjakan bagi membantu kebajikan bekas tentera.

"Namun usaha ini perlu disemak mengikut kemampuan kewangan negara, tentu sekali jika kita mampu bantuan akan ditambah, sebab itulah hari ini saya umumkan dua insentif besar ini," katanya

Najib mengumumkan demikian semasa berucap sempena Perhimpunan Raksasa Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis yang julung kali diadakan itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abd. Ghani serta hampir 20,000 bekas anggota dan pegawai tentera dari seluruh negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui selepas majlis itu memberitahu bahawa terdapat kira-kira 2,000 anggota tentera yang cacat anggota kerana terlibat dalam pertempuran bermula pada zaman darurat hingga 1994.

Katanya, kumpulan yang akan mendapat ex-gratia ini, senarai nama mereka akan dikemas kini oleh PBTM, JHEV dan Kementerian Pertahanan, pembiayaan sepanjang hayat mereka akan dibuat setelah Perdana Menteri menelitinya kerana ia melibatkan jumlah yang besar.

Mengenai khairat kematian pula, Ahmad Zahid berkata, ia akan dilaksanakan tanpa perlu menunggu Akta Veteran diluluskan dan JHEV telah diarahkan untuk membuat penelitian jumlah sebenar yang terlibat.

"Komitmen Perdana Menteri itu merupakan penghargaan beliau dan kerajaan terhadap bekas anggota tentera, beliau amat memahami kesukaran yang terpaksa ditanggung apabila berlakunya kematian.

"Berdasarkan kepada keadaan semasa, RM500 itu tidak mencukupi dan kenaikan ini memang sesuatu yang diharapkan oleh veteran tentera dan keluarga mereka. Harap ia dapat melega dan meringankan sedikit beban mereka," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1011&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm&arc=hive

Empat sekeluarga di pondok usang, Melaka Maju 2010

Posted: 24 Oct 2010 05:08 PM PDT

Empat beranak di Kampung Pokok Mangga, di sini, hidup dalam serba daif apabila tinggal di pondok usang akibat dibelenggu kemiskinan. "Dengan pendapatan tidak seberapa kerana saya bekerja di kilang membuat batu nesan menyebabkan kami empat beranak tinggal dalam keadaan berhimpit dalam pondok usang berkenaan selain tiada kemudahan dapur untuk memasak," katanya.

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu UMNO serta semua sayap parti mengadakan lebih banyak program berbentuk mendampingi rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang dan bukannya di kawasan selamat.- Utusan Malaysia 17 Okt. 2010

******************
Pondok usang usang tempat berteduh

Harian Metro 25 Okt 2010

MELAKA: Empat beranak di Kampung Pokok Mangga, di sini, hidup dalam serba daif apabila tinggal di pondok usang akibat dibelenggu kemiskinan.

Junita Jaafar, 30, berkata, pondok berkenaan dibina atas tanah milik ibu mentuanya yang didiami bersama suami, Borhan Ibrahim, 35, dan dua anak perempuan mereka berusia lima dan lapan tahun, sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, walaupun tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air, mereka perlu membiasakan diri kerana tidak mempunyai pilihan lain.

"Saya terpaksa mendapatkan bekalan elektrik dengan menyambung wayar menerusi rumah kakak ipar bersebelahan, manakala untuk mandi pula perlu mengambil air paip di rumah abang ipar berikutan kami sekeluarga hidup kemiskinan disebabkan suami tiada kerja tetap.

"Dengan pendapatan tidak seberapa kerana saya bekerja di kilang membuat batu nesan menyebabkan kami empat beranak tinggal dalam keadaan berhimpit dalam pondok usang berkenaan selain tiada kemudahan dapur untuk memasak," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati keadaan pondok berkenaan yang tidak mempunyai bilik sememangnya terlalu usang dengan sebahagian dindingnya ditampal papan lapis.

Selain itu, bahagian ruang tamu dijadikan tempat tidur keluarga terbabit mempunyai satu katil usang dengan berlantaikan tanah saja.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kesidang, Mohd Zailani Mohd Ali berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada keluarga berkenaan sebelum ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pondokusangtempatberteduh/Article/index_html

Tiada ulasan: